Selasa, 10 September 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kimma diminta jadi lidah kerajaan

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan perwakilan ketika hadir untuk merasmikan Konvensyen Kimma Johor 2013 di Johor Bahru, kelmarin. - Utusan/AMIN FARIJ HASAN

JOHOR BAHRU 9 Sept. - Kerajaan negeri berharap Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) akan terus menjadi lidah dan mata kerajaan untuk berinteraksi dengan kaum tersebut supaya dasar kerajaan dapat dijelaskan dengan lebih baik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu amat penting supaya segala dasar dan polisi kerajaan tidak disalahertikan atau diputar belit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, Kimma selama ini juga banyak membantu dalam keseimbangan pola dan struktur pembangunan sosial selain memainkan peranan aktif menjaga kepentingan kaum berkenaan.

"Kerajaan negeri bersedia duduk semeja untuk mendengar segala masalah, pandangan dan cadangan demi kesejahteraan kaum India Muslim yang ada di negeri ini.

"Malah kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan kepada Kimma dalam usaha memenuhi keperluan serta membabitkan parti itu dalam program anjuran kerajaan negeri," katanya semasa merasmikan Konvensyen Kimma Johor 2013, di sini semalam.

Yang turut hadir, Presiden Kimma, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader; Penasihat Kimma negeri, Datuk Shahul Hamid Abdul Kadir dan Pengerusi Kimma negeri, Mohamad Raffi Beran.

Hingga kini, Kimma Johor mempunya 14 bahagian dengan 54 cawangan yang telah didaftarkan dengan ahli seramai 7,500 orang.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri kini giat untuk membawa Johor ke arah yang lebih dinamik menerusi gagasan 'Merakyatkan Kerajaan, Pembangunan Pro Rakyat dan Muafakat Johor'.

"Kita akan pastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan dan menjamin semua kaum di negeri ini tidak kira agama atau bangsa, pasti akan dibela dan mendapat hak yang saksama.

"Oleh yang demikian, saya menjemput Kimma turut serta mengambil bahagian dalam usaha kita membangunkan negeri kerana kerajaan negeri yakin kehadiran Kimma mampu memberi suntikan semangat dan kerjasama yang kukuh untuk kebaikan rakyat," katanya.

Peruntukan naik taraf jalan kampung ditambah

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

PONTIAN 9 Sept. - Kerajaan negeri dijangka menambah peruntukan kepada setiap Pejabat Daerah bagi tujuan menaik taraf jalan-jalan kampung berbanding RM400,000 yang diterima sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad (gambar) berkata, cadangan tersebut akan dibentangkan semasa pembentangan Bajet 2014 nanti.

Beliau berkata, kini terdapat 3,623 batang jalan kampung sepanjang 5,173 kilometer dengan daerah Batu Pahat mempunyai 1,087 batang jalan, diikuti Pontian 557, Kluang (534), Muar (345), Segamat (316), Ledang (233), Johor Bahru (215), Mersing (164) Kota Tinggi (129) dan Kulaijaya (43).

"Memandangkan terdapat keperluan serta permintaan daripada setiap Pejabat Daerah di negeri ini, kami akan menimbangkan supaya peruntukan dapat ditambah mulai tahun depan," katanya selepas menghadiri program Merdeka Raya UMNO Cawangan Kampung Lama, Benut di sini semalam.

Menurutnya, peruntukan itu boleh digunakan bagi tujuan menaik taraf jalan tanah merah kepada jalan berturap, membuat jalan baharu dan menambah bahu jalan.

"Keutamaan akan diberikan bagi membina jalan baharu, manakala kerja-kerja penyelenggaraan di bawah Infra Desa Johor (IDJ) yang diberikan tanggungjawab untuk memastikan jalan-jalan kampung selesa bagi pengguna," katanya.

Selain IDJ, empat lagi agensi yang bertanggungjawab terhadap jalan-jalan kampung ialah Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hasni berkata, langkah yang diambil itu bagi menunaikan janji kepada rakyat terhadap masalah jalan kampung supaya mereka juga dapat menikmati apa yang disediakan di kawasan bandar.

"Kami berharap penduduk dapat memberi kerjasama sekiranya jalan-jalan kampung di tempat mereka dibuat pelebaran jalan bagi memudahkan pihak kontraktor melaksanakan kerja-kerja tersebut," katanya.

Katanya, rangkaian perhubungan yang baik juga mampu meningkatkan lagi pembangunan ekonomi di sesuatu kawasan, sekali gus dapat memajukan sesebuah kampung yang sebelum ini sukar untuk dihubungi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved