Ahad, 1 September 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


DBKL arah bersihkan serta-merta

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Mhd. Amin Nordin

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengakui kawasan Jalan Chan Sow Lin sememangnya terkebelakang dari segi kebersihan dan berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan dan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, sehubungan itu, jabatan-jabatan berkaitan telah diarah untuk memperbaiki keadaan di Jalan Chan Sow Lin dengan segera dan dijangka keadaan akan berubah tidak lama lagi.

Selain itu, katanya, pihaknya juga telah meminta pengendali sisa pepejal, Alam Flora Sdn. Bhd. untuk mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan itu.

"Jalan Chan Sow Lin merupakan kawasan industri yang amat sibuk. Di situ terdapat pelbagai kilang termasuk kilang simen konkrit, bengkel kereta dan premis barang lusuh.

"Keadaan jalan amat kotor dan berdebu. Pihak DBKL telah mengarahkan jabatan berkaitan melaksanakan tindakan dengan kadar segera.

"Ini termasuk tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap lori simen konkrit, premis barang lusuh serta kitar semula, pembaikan jalan yang berlubang, rosak dan berdebu, papan tanda dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung nasib malang Jalan Chan Sow Lin khususnya di Jalan Lima dan Jalan Enam yang disiarkan pada Khamis lalu.

Menurut Mhd. Amin, aspek kebersihan merupakan tanggungjawab Alam Flora yang dipantau oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).

"Apa yang kami lihat, Jalan Empat adalah yang paling teruk terjejas. Kami minta supaya Alam Flora membersihkannya sekurang-kurangnya tiga kali sehari di samping pihak DBKL akan bersama-sama memastikan perkara ini tidak berulang," jelasnya.

Sementara itu, Alam Flora memberikan penjelasan bahawa kutipan sisa pepejal milik industri di kawasan perindustrian bukan di bawah tanggungjawab syarikat konsesi tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Zain Hassan berkata, syarikatnya hanya bertanggungjawab mengutip sisa domestik di kawasan perumahan dan premis perniagaan sahaja.

"Contohnya seperti timbunan sampah di Jalan Lima dan Jalan Enam merupakan 'sampah haram' yang dipercayai dibuang oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab. Penyelia kami telah meronda kawasan terbabit pada Selasa lalu dan menyedari timbunan sampah itu.

"Sehubungan itu, Alam Flora telah menulis surat kepada pihak PPSPPA dan kami diarah membersihkannya. Jadi sampah itu telah dibersihkan," jelasnya ketika dihubungi.

Menurut Mohd. Zain, Alam Flora turut menyapu sampah seperti ranting kayu dan daun yang bertaburan di tepi jalan khususnya di Jalan Lima serta Jalan Enam tiga kali seminggu manakala enam kali seminggu di jalan-jalan besar.

"Kebiasaannya, masalah tersebut berlaku apabila pihak premis barang lusuh mengagihkan barangan dan ia tidak dibersihkan. Sampah kitar semula dibiarkan dan disimpan di tepi jalan, mereka tidak boleh berbuat demikian," ujarnya.

Krisis air: Derita penghuni pangsapuri berterusan

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Penduduk Pangsapuri Mesra Ria, Taman Pandan Mesra di Ampang, Selangor beratur untuk mengambil air dari lori tangki Syabas akibat masalah ketiadaan air semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR 1 Sept. - "Pakcik tak larat nak mengangkat tong berisi air ini berseorangan naik ke rumah. Pakcik harap gangguan bekalan air ini pulih dengan segera supaya aktiviti harian kami berjalan seperti biasa."

Begitulah keluhan Ramli Talib, 59, yang terpaksa mengangkut air yang dibekalkan menggunakan lori tangki ke rumahnya di tingkat empat.

Dia yang ditemui Utusan Malaysia berkata, dia terpaksa melakukan kerja berat itu kerana anak-anaknya keluar bekerja.

"Pada musim Aidilfitri ini, sudah empat kali kami mengalami gangguan bekalan air. Rumah pakcik di tingkat empat, jika lif rosak, terpaksa kami mengangkat tong air dengan menaiki tangga. Tujuh buah tong yang pakcik bawa ini hanya mampu bertahan sekejap sahaja," katanya.

Kepayahan yang dialami oleh pakcik Ramli turut ditanggung penduduk lain di Pangsapuri Mesra Ria di Taman Pandan Mesra, Ampang, dekat sini sejak Jumaat lalu.

Penduduk memberitahu gangguan bekalan air di perumahan itu mula terputus pada pukul 8 malam semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di pangsapuri itu mendapati, walaupun hujan, penduduk beratur panjang untuk mendapatkan air yang dihantar ke situ oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dengan menggunakan lori tangki.

Bagaimanapun, beberapa penghuni pangsapuri 16 tingkat itu apabila ditanya mengakui tidak mengetahui punca sebenar masalah gangguan bekalan air yang berlaku kali ini.

Ruslimah Karso, 50, berkata, pangsapuri itu kerap kali berlakunya gangguan bekalan air.

"Di sini bekalan air sekejap ada, sekejap tiada sehingga menimbulkan keraguan di kalangan kami. Saya sendiri tidak tahu punca masalahnya," jelasnya.

Semalam, Syabas memberi jaminan pemulihan bekalan air secara berperingkat bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas akan mencapai ke tahap 80 peratus dalam tempoh tiga hari lagi sementara pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

Gangguan bekalan air kali ini berlaku setelah empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd (Splash) terpaksa dihentikan sementara operasinya akibat pencemaran tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu sungai di sekitar kawasan Rawang.

Pemandu van, N. Raja, 32, yang tinggal di tingkat lima bersama-sama sembilan orang ahli keluarganya berkata, rutin harian keluarganya terganggu teruk akibat ketiadaan air.

"Saya memiliki keluarga besar jadi susah untuk kami menjalankan rutin harian seperti memasak, mencuci pinggan, mandi dan sebagainya. Seingat saya tahun ini, sebanyak dua kali tiada bekalan air," katanya.

Juruteknik, Mohd. Hafiz Taib, 35, yang mempunyai dua orang anak yang berusia tujuh dan 14 tahun pula membeli air dari sebuah mesin yang terletak di pangsapuri tersebut untuk kegunaan seharian.

"Isteri saya terpaksa mandi di tempat kerja. Kalau nak makan, kami pergi sahaja ke kedai-kedai makan berhampiran. Sehubungan itu, kami berharap masalah ini secepat mungkin," ujarnya.

Penghuni 28 buah rumah diarah pindah segera

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Penghuni 28 buah rumah di Taman Bukit Idaman, Selayang yang terlibat dalam kejadian tanah mendap pada 21 Ogos lalu telah diarahkan supaya berpindah buat sementara waktu dengan segera demi keselamatan mereka.

Ini kerana pergerakan tanah dikesan masih berlaku sehingga menyebabkan struktur bangunan di kawasan perumahan jenis dua tingkat di Jalan Bukit Idaman 1 itu didapati merekah dan retak. Kejadian merekah turut dikesan berlaku pada jalan raya.

Pegawai Daerah Gombak, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, buat masa ini kawasan terlibat tidak selamat untuk didiami dan pihaknya telah mengarahkan para penghuninya berpindah segera.

"Pada Isnin depan, kami bersama-sama pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan wakil penduduk akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai penempatan sementara.

"Mereka dicadangkan berpindah ke kawasan berhampiran, antaranya kondominium Venicia, Ideal Heights atau Casa Mila jika ada kekosongan dan kos akan ditanggung," katanya selepas meninjau lokasi tanah mendap itu bersama wakil Kumpulan Ikram Sdn. Bhd., Syabas dan MPS baru-baru ini.

Menurut Nor Hisham, selain itu, siasatan awal mendapati berlaku paip bocor sepuluh hari sebelum kejadian tersebut dan pihak Syabas telah menjalankan kerja-kerja penggantian paip.

"Pihak MPS sedang melaksanakan pemantauan secara berkala selain memasang kepingan kaca bagi mengesan pergerakan tanah. Ia semakin membimbangkan ketika waktu hujan.

"Selain itu, rekahan permukaan jalan raya telah ditampal dengan simen oleh pihak Syabas untuk mengurangkan pergerakan dan mengelakkan air daripada masuk ke dalamnya," jelasnya.

Ikram pula, katanya, sedang mengkaji struktur tanah dan bangunan di kawasan terlibat serta kos pembaikan semula dan kajian dijangka mengambil masa tiga hingga enam bulan.

Dalam perkembangan sama, wakil Syabas ketika ditemui berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung kejadian tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved