Ahad, 1 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Paip henti operasi loji Jerantut

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

JERANTUT 1 Sept. - Penduduk di daerah ini akan mengalami gangguan bekalan air lebih kerap ekoran tindakan Pengurusan Air Pahang (Paip) menghentikan sementera operasi lojinya di sini, kerana kualiti air yang terlalu keruh.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris (gambar) berkata, langkah itu dibuat berikutan kekeruhan air mentah berada pada tahap tidak boleh diproses dengan bacaan Nephelometic (NTU) mencecah 4,100 iaitu rekod bacaan kekeruhan air mentah paling tinggi di Sungai Pahang.

"Sebelum ini saya menerima banyak aduan mengenai gangguan bekalan air daripada penduduk dan masalah itu terjawab sebaik sahaja saya menghubungi pihak Paip untuk mendapatkan penjelasan.

"Saya dan pegawai Paip juga membuat tinjauan ke Loji Pemprosesan Air di Kampung Batu Embun yang terpaksa ditutup kerana airnya terlalu keruh," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, tindakan itu pada masa kini bertujuan mengelak penduduk mendapat bekalan air tercemar.

Beliau berkata, air sungai Pahang tercemar akibat pencemaran alam semula jadi yang terletak berhampiran sungai dan hujan lebat menyebabkan air menjadi keruh serta berkelodak.

"Saya menggesa pihak yang bertanggungjawab segera menyiasat punca pencemaran ini serta mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan penduduk menikmati bekalan air bersih," ujarnya.

Beliau juga memuji langkah Paip menutup segera loji berkenaan sebelum kejadian buruk menimpa orang ramai.

Dalam pada itu, Pengurus Paip Daerah Jerantut, Ahmad Ramzi Jamaludin berkata, pihaknya terpaksa menanggung kos tinggi untuk merawat air tercemar sejak tiga tahun lalu bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air bersih.

"Setiap tahun indeks bacaan NTU semakin meningkat sehingga kami terpaksa mengunakan sebanyak 60 tan bahan kimia perawat sebulan berbanding 30 tan sejak tiga tahun dahulu. Kualiti air yang bersih adalah pada tahan NTU lima dan ke bawah," jelasnya.

700 murid Kuala Lipis terima sumbangan raya Aidilfitri

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Mustapa Long (tiga dari kiri) menyampaikan duit raya kepada seorang murid sekolah dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di SK Penjom, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 1 Sept. - Sebanyak 700 murid termasuk 10 anak yatim Sekolah Kebangsaan (SK) Penjom di sini, menerima sumbangan duit raya bernilai RM4,000 daripada syarikat perlombongan, J Resources Penjom Gold Mine (JRPGM) Lipis dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sekolah tersebut di sini baru-baru ini.

Penasihat Eksekutif JRPGM, Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim berkata, sumbangan itu merupakan keprihatinan syarikat tersebut selaras kewajipan sosial dalam membela kebajikan mereka yang tidak berkemampuan bagi meraikan Aidilfitri tahun ini.

"Program ini turut meraikan guru dan murid sekolah ini yang dipilih sebagai sekolah angkat JRPGM bagi meningkatkan bidang akademik, kokurikulum dan bina insan selaras hasrat kerajaan menerusi transformasi pembangunan modal insan.

"Segala bantuan kita sediakan bertujuan menyasarkan kecemerlangan 100 peratus murid di sini dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.

Menurutnya, majlis itu turut menghargai sumbangan pekerja lombong berkenaan yang terdiri daripada 30 peratus penduduk Kampung Penjom, Taman Muhibhah dan kawasan berdekatan.

"Kita juga merancang menyumbang van jenazah untuk masjid serta suntikan kewangan bagi program sekolah rendah dan menengah berdekatan dengan lombong ini," katanya.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, usaha syarikat tersebut merupakan langkah terpuji kerana mereka membantu penduduk di sekitar kawasan ini bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik.

"Kerjasama syarikat perlombongan itu dengan pemimpin setempat merupakan usaha murni dan sewajarnya diteladani syarikat korporat lain yang meluaskan perniagaan atau perusahaan di luar bandar," kata beliau.

40 mualaf terima sumbangan Pejabat Agama Islam Lipis

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

KUALA LIPIS 1 Sept. - Pejabat Agama Islam Lipis (PAIL) menyampaikan sumbangan wang tunai serta hamper makanan bernilai RM4,000 kepada sebanyak 40 mualaf Cina Tionghua dan kaum lain daerah ini di sini semalam.

Mereka yang tinggal di bandar Kuala Lipis, Padang Tengku, Benta dan Kechau di sini, menerima bantuan wang tunai bernilai RM50 dan hamper makanan.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan majlis itu turut dihadiri Kadi Daerah Lipis, Abu Bakar Ismail dan Ketua Penyelaras Saudara Baharu Muslim Lipis, Mohd. Fauzi Fong.

Abu Bakar berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan PAIL tidak meminggirkan golongan terbabit termasuk Orang Asli dan sentiasa melaksanakan usaha membela nasib mereka sepanjang masa terutama ketika menjelang hari perayaan.

"Setiap tahun kita terus melaksanakan usaha membela nasib golongan ini sempena sambutan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina yang membuktikan keprihatinan kita menerusi usaha berkaitan kebajikan mereka," katanya di sini semalam.

Menurut beliau, langkah itu dapat meringankan beban golongan berkenaan untuk berbelanja di samping membuktikan keyakinan JAIP, PAIL dan pemimpin setempat dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah bagi kalangan saudara baharu Tionghua termasuk Orang Asli.

"Kita juga menghargai sokongan ahli keluarga yang belum memeluk Islam dalam kalangan anak-anak mereka yang sudah memeluk Islam dengan mengundang ke majlis ini untuk diberi bantuan di samping melihat kesungguhan usaha dakwah daripada JAIP," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada program pengisian dakwah Islam menerusi kemudahan beribadat dengan menaik taraf masjid serta pembinaan surau di kawasan perumahan bandar dan luar bandar.

"Projek berkenaan diberi keutamaan di kawasan penduduk yang semakin ramai khususnya keselesaan beribadat, pembangunan modal insan menerusi pendidikan agama dan sosial Islam.

"Kita mengambil berat kebajikan penduduk dan pembangunan agama di sesebuah kawasan bandar dan luar bandar termasuk saudara baharu Islam daripada kaum lain menerusi bantuan tertentu serta pengisian dakwah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved