Ahad, 1 September 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Klausa saman bukan perkara baharu

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

BILA menyebut tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), mungkin tidak ramai rakyat biasa di luar bidang ekonomi dan perniagaan antarabangsa yang betul-betul memahami isi ceritanya mahupun implikasi terhadap hidup mereka kelak.

Antara isu terkini berkaitan TPPA adalah perenggan mengenai Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) di dalam bab mengenai pelaburan yang membolehkan syarikat atau pelabur asing menyaman Malaysia di tribunal antarabangsa jika berlaku pertikaian tertentu.

Bagi kumpulan majoriti negara ini, tentulah yang paling dibimbangkan adalah tahap kesediaan warga bumiputera menerima pelaksanaan TPPA berbanding bukan bumiputera yang lebih kukuh serta berpengalaman dalam pelbagai sektor ekonomi dan impaknya kepada generasi pewaris.

Felo Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Felo Kanan dan Perunding Luar World Trade Institute, Switzerland, Prof. Madya Dr. Sufian Jusoh cuba mengatasi kebimbangan umum itu dengan memberi penjelasan lebih terperinci tentang klausa saman ISDS tersebut.

Menurut beliau, ISDS memang membolehkan pelabur luar secara peribadi menyaman negara tetapi bukannya terbuka kepada semua perkara dan hanya boleh saman jika melibatkan projek yang telah pun diluluskan kerajaan negara terbabit

"Ada dua cara saman. Di dalam undang- undang perdagangan antarabangsa, selalunya negara boleh menyaman negara lain, tetapi dalam keadaan tertentu perjanjian perlindungan pelaburan membolehkan pelabur sendiri atau negara pelabur menyaman negara tempat pelaburan itu dibuat jika melanggar perjanjian.

"Skop saman juga terhad dan bukan boleh saman sesuka hati. Jika projek itu tiada kebenaran kerajaan maka tidak boleh saman, ada peraturan-peraturannya" jelasnya.

Tambahnya, sebarang tindakan terhadap pelabur perlu ada prosedurnya seperti maklumkan alasan tindakan itu diambil, beri peluang merayu dan jika tindakan merampas barang pelabur dibuat tanpa beri ganti rugi contohnya, maka mereka berhak saman seperti rakyat tempatan sendiri berhak saman jika menghadapi situasi serupa.

Beliau memaklumkan antara peruntukan yang membolehkan pelabur asing menyaman kerajaan seperti perlindungan aset pelaburan oleh polis jika ada demonstrasi tetapi tidak termasuk isu-isu keselamatan, rahsia negara, polisi alam sekitar dan banyak lagi.

"Ini bukan kali pertama peruntukan ISDS dimasukkan dalam perjanjian dua hala. Kita sudah tandatangan 70 perjanjian dengan 70 negara termasuk dengan negara-negara ASEAN yang ada peruntukan sama, membolehkan pelabur asing menyaman negara (jika ada pertikaian) dan saman itu bukan sehala sahaja.

"TPPA juga sama, jangan risau pelabur AS sahaja boleh saman kita, pelabur kita pun boleh saman AS. Perlukah dirungkai semua 70 perjanjian itu semata-mata risau TPPA yang melibatkan AS ini? Ini perlu dijelaskan agar orang ramai tidak risau tanpa sebab," ujarnya.

Beliau mendedahkan daripada 70 perjanjian sebelum ini, hanya dua kes pelabur asing menyaman Malaysia dan 2 kes pelabur Malaysia menyaman negara tempat mereka melabur iaitu sebahagian daripada 514 kes dicatatkan antara 1987 dan 2012 di seluruh dunia.

Jelasnya lagi, 224 kes telah diselesaikan dengan 42 peratus memihak kepada negara terbabit, 31 peratus kepada pelabur sementara bakinya diselesaikan di luar mahkamah dengan purata kes pelabur yang menang menerima tidak lebih AS$5 juta (RM16.44 juta).

"Orang mungkin takut nilai saman besar tetapi perjanjian ini bukannya untuk kita menyaman atau disaman sesiapa. Klausa ini untuk memastikan semua orang ikut peraturan yang ditetapkan dan selama ini pun (pelabur asing) tiada masalah dengan Malaysia kerana semua ikut peraturan.

"Negara kita juga bukan seperti negara-negara yang banyak disaman pelabur asing seperti Argentina, Ecuador, Venezuela, Mexico, Mesir dan lain-lain. Sebenarnya, AS adalah antara lapan negara teratas yang paling banyak disaman pelabur asing" tegasnya.

Sufian memaklumkan, negara-negara yang banyak disaman itu bertindak mengabaikan aduan yang dibuat pelabur asing dan akibatnya pelabur tiada pilihan selain menyaman mereka.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa klausa ISDS juga demi melindungi aset pelabur Malaysia di negara luar memandangkan rekod 2007 hingga 2012 menunjukkan aset pelabur Malaysia di luar lebih tinggi daripada aset pelabur luar di negara ini.

"Jika kita tidak tandatangani TPPA sekalipun, pelabur dari negara-negara yang sudah mempunyai perjanjian dua hala dengan kita tetap boleh saman Malaysia tetapi mengikut syarat-syarat tertentu.

"Perjanjian perlindungan kita dengan AS dan Kanada sekarang ini tidak ada peruntukan ISDS tetapi ada peruntukan untuk negara itu menyaman kita atau negara kita menyaman mereka bagi pihak pelabur. Tanpa TPPA, pelabur kita tidak boleh saman mereka (perlu harap kerajaan Malaysia saman) jika timbul pertikaian. Memang sistem (dalam ISDS) tidak sempurna sepenuhnya tetapi ada cadangan langkah dan peruntukan untuk elak saman," jelasnya.

Beliau turut membangkitkan keperluan satu sistem pencegahan konflik untuk kerajaan pusat memantau kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar faham isu-isu berbangkit melibatkan pelabur asing bagi mengelak aduan melarat ke peringkat tribunal.

"Saya harap tiada lagi sistem 'petik kertas', semua enggan mengaku aduan dibuat pelabur itu dalam bidang kuasa atau kerja hakiki mereka sehingga akhirnya membawa kepada saman.

"Kalau pelabur buat aduan, kena ada sistem untuk dia mengadu dan selesaikan masalah yang timbul. Jika tiada sistem untuk pelabur saman negara sekalipun, perlu ada pencegahan dan penyelesaian konflik ini kerana kerajaan masih boleh saman negara terbabit (bagi pihak pelabur)," katanya.

Berkaitan isu China tidak termasuk dan seperti diketepikan AS dalam TPPA, Sufian menjelaskan AS dan China mempunyai perbincangan perjanjian pelaburan dua hala mereka sendiri yang lebih tinggi nilaiya daripada TPPA dan sekalipun dicadangkan negara lain, terpulang kepada China sendiri mahu sertai TPPA atau tidak.

Beliau turut memaklumkan, Malaysia kini masih boleh berunding untuk situasi menang-menang tetapi jika tidak menandatangani TPPA dan memilih masuk selepas 10 tahun contohnya, maka negara tidak boleh lagi berunding ketika itu dan terpaksa terima apa juga syarat (termasuk syarat baru) ditetapkan.

"Dari sudut pelaksanaan pula, kita mudah dan cepat kerana hanya melalui Kabinet. Negara lain perlu melalui Parlimen, Dewan Senat atau Kongres untuk luluskan TPPA.

"TPPA tidak boleh dilaksanakan selagi semua negara peserta tidak meluluskannya dan saya jangka ia hanya boleh dilaksanakan empat ke lima tahun selepas ditandatangani," jelas beliau.

Tambahnya, tempoh itu memberi masa untuk Malaysia bersedia, khususnya dalam membantu rakyat yang masih mencari tapak kukuh untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

"Pandangan saya, kerajaan mahu tandatangani atau tidak, perlu ada analisis kesan TPPA kepada golongan yang berkepentingan terlebih dahulu.

"Tingkatkan tahap kesediaan pelbagai pihak termasuk bumiputera serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebelum TPPA dilaksanakan, bantu jika mereka yang tidak cukup kepakaran, tiada sistem yang kukuh, tiada rakan kongsi di luar negara dan sebagainya. Kena lebih agresif bantu sebelum TPPA dimulakan," tegasnya.

Bertuahnya hidup di sebuah negara 'bebas'

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh Hassan Mohd. Noor

SAMBUTAN ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-56 sudah berlalu pada Sabtu lalu. Acara perbarisan tahunan yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur mendapat sambutan hebat. Segmen yang turut menarik perhatian adalah acara gayung perang war chant oleh VAT 69. Persembahan pasukan komando itu turut melibatkan pegawai-pegawai dan anggota yang terlibat dalam Op Daulat ketika pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada Mac lalu. Insiden berdarah yang dipaparkan menerusi formasi gayung perang amat menyayat hati lebih-lebih lagi apabila layar yang tersedia memaparkan wajah balu anggota yang terkorban. Semoga segmen itu akan memperingatkan rakyat Malaysia mengenai pentingnya mempertahankan sebuah negara berdaulat bernama Malaysia. Walaupun persembahan itu hanya sandiwara atau lakonan tetapi sedikit sebanyak menginsafkan kita bahawa pencerobohan Lahad Datu boleh berulang di mana-mana sahaja sekiranya kita leka. Insiden ini bukan sandiwara yang sengaja direka. Nyawa bukan untuk dijual beli.

Persembahan atau perarakan kali ini khabarnya mendapat sambutan luar biasa. Ramai yang menunjukkan semangat patriotik. Semoga semangat itu tidak terbatas di Dataran Merdeka sahaja. Begitu juga dengan sambutan Ambang Merdeka 2013 di Putrajaya dan Dataran Merdeka yang disulami dengan pertunjukan bunga api. Dalam menyambut acara tahunan setiap 31 Ogos ini, berapa ramai daripada kita yang sama-sama mensyukuri nikmat kemerdekaan ini?

Berapa ramai yang memanjatkan doa kesyukuran atas nikmat yang dikecapi selama ini hasil menetap di sebuah negara berdaulat bernama Malaysia? Adakah setiap yang hadir pada malam Ambang Merdeka dan keesokannya pada hari perbarisan dan perarakan benar-benar mempunyai semangat patriotik? Bagaimana dengan mereka yang tidak hadir pada kedua-dua acara itu? Patriotik atau tidak, bukan terletak kepada kehadiran pada majlis-majlis berkenaan sebaliknya perasaan cintakan negara boleh ditunjukkan melalui pelbagai cara.

Salah satu daripadanya ialah melalui kibaran Jalur Gemilang. Malangnya pada kali ini, kibaran bendera yang mula diperkenalkan di pekarangan Istana Sultan Selangor pada tahun 1950 itu tidaklah sehebat tahun-tahun sebelumnya. Seorang sahabat memberitahu, pada tanggapannya, tahun ini paling teruk. Katanya, tidak kelihatan langsung kenderaan awam atau persendirian memasang Jalur Gemilang. Begitu juga dengan rumah, kedai, bangunan dan tempat awam. Jika ada pun, boleh dibilang dengan jari. Berapa banyak bas, LRT, monorel atau komuter dibaluti Jalur Gemilang? Begitulah kata sahabat berkenaan. Kenyataan itu tidak boleh dinafikan. Dua minggu sebelum detik 31 Ogos 2013, Selak sudah menyelak mengenai perkara ini di bawah tajuk Berlambak bendera semasa PRU, susah sangat Jalur Gemilang setahun sekali. Satu masa dulu, menjelang ulang tahun kemerdekaan negara, kibaran Jalur Gemilang amat meriah. Pernah satu ketika, boleh dikatakan setiap kenderaan akan kelihatan Jalur Gemilang. Ketika itu, ada yang dapat percuma atau membelinya. Lebih menarik, ada pihak yang menawarkan hadiah lumayan bagi kenderaan terpilih yang mengibarkan Jalur Gemilang. Maknanya, mereka mengibarkan bendera kerana mendapat bekalan percuma atau memburu ganjaran. Terserahlah sama ada mereka ikhlas atau tidak ketika mengibarkan Jalur Gemilang ini. Persoalannya sekarang, adakah rakyat Malaysia sudah hilang semangat patriotism? Adakah rakyat tidak lagi menyokong program-program yang dianjurkan oleh kerajaan untuk mengingatkan mereka tentang kemerdekaan? Atau adakah rakyat Malaysia sudah terpengaruh dengan temberang pihak yang mahu menukar Jalur Gemilang?

Ada juga yang memberi alasan, sukar untuk mendapatkan Jalur Gemilang. Berapa banyak kedai yang menjual atau mempromosikan bendera ini? Mudahkah mendapatkan Jalur Gemilang ketika berurusan di tempat-tempat awam seperti di institusi kewangan, pejabat pos, pasar raya besar atau ketika mengisi minyak kenderaan? Kerajaan tentu menyedari sambutan dingin terhadap kibaran Jalur Gemilang ini.

Maka tercetuslah idea untuk mewajibkan setiap premis dan bangunan kerajaan atau swasta mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan. Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek, kerajaan akan melihat keperluan untuk mewujudkan undang-undang berkaitan kerana masih banyak premis dan bangunan terutama milik swasta tidak peka kepentingannya sebagai melahirkan rasa menghargai dan kecintaan kepada negara.

Sekarang ini kita masih belum sampai masa untuk mengenakan sebarang undang- undang kepada mana-mana premis atau bangunan kerajaan atau swasta... sekarang ini secara sukarela.

Bagaimanapun, saya lihat masih banyak bangunan terutama milik swasta yang tidak memberi respons yang baik kerana masih banyak yang tidak berbuat demikian," katanya pada Program Pocket Show 2013 yang turut mengedarkan Jalur Gemilang di sekitar ibu negara anjuran Jabatan Penerangan.

Mewujudkan peraturan dan undang-undang memang mudah. Bagaimana pelaksanaannya? Ada ketikanya undang-undang gagal dilaksanakan kerana pelbagai ugutan . Undang-undang terpaksa tunduk kepada ugutan atau tidak mampu mengambil tindakan terhadap mereka yang secara terang-terangan melanggar undang-undang.

Kembali kepada Jalur Gemilang, pihak berkuasa tempatan (PBT) harus memainkan peranan untuk memastikan jalan-jalan utama serta bangunan di dalam kawasan mereka dihiasi Jalur Gemilang. Pada kali ini, ketiadaan Jalur Gemilang di beberapa jalan utama (tidak terhad di Kuala Lumpur sahaja) sudah menjadi pemandangan biasa. Adakah PBT tidak menyedari keadaan ini atau ada arahan supaya tidak mengibarkan Jalur Gemilang? Mungkinkah tidak ada peruntukan atau peruntukan sudah habis ?

Satu perkara lagi yang menarik perhatian ialah ada sesetengah papan iklan di jalan-jalan utama yang dibiarkan kosong dengan tulisan Ruang iklan untuk disewa. Kenapa tidak dimanfaatkan ruang ini dengan hiasan Jalur Gemilang atau tema sambutan kali ini? Sukar untuk melihat tema sambutan kali ini terpampang di papan iklan.

Rasanya masih belum terlambat untuk kita menyemarakkan bulan kemerdekaan ini sehingga Hari Malaysia. Bendera merupakan lambang kepemimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kewarganegaraan bagi sesebuah negara. Walaupun hanya sebidang kain tetapi warna merah, putih, kuning, biru serta jalur, anak bulan dan bintang mempunyai makna tersendiri.

Malangnya, ada orang yang lebih bijak mahu menukarkan bendera ini termasuk sebidang kain berwarna merah putih serta dihiasi 12 bintang. Sehingga malam Ambang Merdeka, sudah beberapa kali Jalur Gemilang diperlekehkan. Selama mana warganegara Malaysia sendiri akan memandang rendah terhadap Jalur Gemilang? Mungkin mereka ini bernasib baik kerana tidak berada di negara lain termasuk jiran kita yang begitu tegas dengan isu-isu seperti ini. Begitulah kebebasan dan toleransi di- negara `Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved