Ahad, 1 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Polis buru pemilik kereta Proton Persona

Posted: 31 Aug 2013 11:00 AM PDT

PULAU PINANG 31 Ogos - Polis sedang memburu pemilik sebuah kereta Proton Persona yang ditinggalkan di kawasan perumahan berhampiran Lebuh Mahsuri, Bayan Baru di sini hari ini, bersama beberapa kesan tembakan dan dua bungkus dadah jenis heroin dalam kereta berkenaan.

Kemunculan kereta misteri itu disedari penduduk kawasan berkenaan kira-kira pukul 9 pagi ini setelah kenderaan tersebut diletakkan secara melintang di tengah jalan dan mengganggu lalu lintas.

Curiga dengan keadaan kereta itu, seorang penduduk bertindak menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Mohd. Hatta Mohd. Zain berkata, sepasukan polis yang memeriksa kenderaan itu menemukan tiga kesan tembakan di bahagian belakang dan satu di cermin hadapan kereta tersebut.

Polis, katanya, menemukan dua bungkusan dadah heroin di bawah tempat duduk pemandu serta satu kelongsong peluru di tempat duduk penumpang hadapan.

Menurutnya, semakan awal mendapati kereta itu dimiliki seorang lelaki berusia 33 tahun yang tinggal di Jalan Van Praagh, Georgetown namun ketika polis ke rumahnya pemilik kereta berkenaan tiada.

23 dicekup khalwat di tujuh hotel bajet

Posted: 31 Aug 2013 11:00 AM PDT

BUTTERWORTH 31 Ogos - Seramai 23 individu dicekup pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam operasi cegah maksiat sempena sambutan Ambang Merdeka, awal pagi ini.

Dalam operasi yang bermula seawal pukul 11 malam tadi, kesemua yang ditahan termasuk dua anggota tentera berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguat Kuasa JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, pihaknya memeriksa tujuh buah hotel bajet termasuk sebuah rumah rehat di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara.

Katanya, dalam pemeriksaan itu, sebanyak 12 lelaki dan 11 perempuan ditahan kerana disyaki berkhalwat dan kesemua mereka dibawa ke Pejabat Agama Butterworth untuk diambil keterangan.

"Kebanyakan yang ditahan mengaku masih bujang namun ada di antara mereka berstatus janda dan duda. Siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 akan dilakukan sebelum mereka boleh dijamin ahli keluarga masing-masing.

"Sekiranya didapati bersalah mereka boleh dihukum denda tidak kurang RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Khairul Azman, dalam operasi yang berakhir pukul 7.30 pagi itu, 17 individu turut ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 Enakmen yang sama kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved