Jumaat, 7 Februari 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Sindiket 'ayat-ayat cinta' tumpas

Posted: 07 Feb 2014 11:12 AM PST

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN
pengarang@utusan.com.my

Antara ahli sindiket warga asing yang menipu golongan yang terdesak bercinta di laman sosial yang ditangkap polis baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Polis menumpaskan satu sindiket penipuan penghantaran barang yang aktif di beberapa buah negeri sejak beberapa tahun lalu yang mengakibatkan kerugian mangsa mencecah RM7.8 juta.

Dalam beberapa serbuan di ibu negara semalam, seramai 15 suspek ditahan termasuk lima warga Nigeria dan seorang wanita tempatan berusia 27 hingga 42 tahun yang disyaki menjadi dalang sindiket itu.

Lebih mengejutkan hasil kegiatan itu membolehkan seorang suspek wanita memiliki sejumlah wang berjumlah antara RM1.5 juta dan RM2 juta di dalam akuan banknya.

Kegiatan penipuan sindiket itu terbongkar selepas mereka menipu seorang janda yang juga ahli perniagaan berusia 60 tahun di Tampoi, Johor, sejak Julai tahun lalu dengan kerugian lebih RM550,000.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) II, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menyasarkan golongan wanita dan lelaki berharta serta terdesak untuk bercinta di laman sosial.

"Mereka menggunakan gambar palsu individu cantik atau kacak di laman sosial bagi mengaburi mangsa, selain menggunakan kata-kata manis dan ayat-ayat cinta.

"Suspek menabur janji untuk hidup bersama dan menghadiahkan barangan tertentu seperti wang tunai, namun tersekat di lapangan terbang oleh penguat kuasa kastam dan meminta mangsa memasukkan sejumlah wang bagi mendapatkan barangan tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK di Kompleks Kerajaan Bukit Perdana di sini hari ini.

Menurut Abdul Jalil, dalam kes penipuan terbaharu sindiket itu, janda tersebut membuat 12 kali transaksi pembayaran ke dalam nombor akaun bank berlainan penama setelah dijanjikan sejumlah wang tunai yang banyak.

"Bertindak atas maklumat, kesemua suspek yang turut beroperasi di Kelantan, Perak dan Johor ditahan di pelbagai lokasi sehingga pagi ini.

"Polis merampas 14 buah buku simpanan pelbagai bank, 21 keping kad mesin pengeluaran bank automatik (ATM), 10 telefon bimbit, buku pasport dan komputer riba," ujarnya.

Tambah Abdul Jalil, siasatan terhadap kelima-lima warga Nigeria tersebut juga mendapati mereka mengakui sebagai pelajar, namun sebenarnya hanya memasuki negara ini menggunakan pas golongan itu untuk melakukan kegiatan jenayah.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, sebanyak 16,661 kes komersial dilaporkan tahun lalu dengan kerugian RM1.8 billion iaitu menunjukkan penurunan kes sebanyak 4.9 peratus berbanding 2012 dengan jumlah 18,336 kes.

Nenek 80 tahun rentung rumah terbakar

Posted: 07 Feb 2014 11:12 AM PST

Pasukan forensik bomba dan penyelamat memeriksa tempat kebakaran rumah yang mengorbankan Andik Darma Fateh Bedu di Kampung Lama, Benut, Johor, semalam.

PONTIAN 7 Feb. - Seorang nenek berusia 80 tahun yang menghidap angin ahmar rentung dalam kebakaran rumahnya di Kampung Lama, bersebelahan Masjid Jamek Benut di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, Andik Darma Fateh Bedu berseorangan di rumah kerana cucunya, Andik Raizal Mohd. Salleh, 27, keluar makan di premis berhampiran.

Andik Raizal berkata, dia terkejut melihat kepulan asap ketika menghampiri rumah semasa pulang kira-kira pukul 1.30 pagi.

"Namun saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak dan asap tebal. Saya berusaha masuk untuk selamatkan nenek kerana dia tidak boleh berjalan tetapi gagal.

"Saya baru empat bulan tinggal bersama nenek kerana sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur. Saya berhenti kerja pun kerana mahu menjaga nenek kerana dia suka duduk bersendirian walaupun ada lima anak, 11 cucu dan dua cicit," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Andik Raizal memberitahu, hatinya luluh saat melihat mayat neneknya ditemui dalam keadaan rentung di atas katil bilik tidur rumah pusaka keluarga mereka.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi memberitahu, mayat mangsa ditemui oleh pasukan bomba dan penyelamat sebaik sahaja api dipadamkan.

Pegawai Operasi, Balai Bomba Pontian, Jalan Alsagoff, Pegawai Bomba Kanan 1 Ayob Kamisan berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 1.36 pagi.

"Seramai 37 anggota serta lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, Jalan Alsagoff, Pontian Baru, Rengit dan dua jentera pasukan Bomba Sukarela Benut dikejarkan ke lokasi," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved