Jumaat, 7 Februari 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Tersentuh hati melihat Rojaah

Posted: 07 Feb 2014 11:12 AM PST

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

PASANGAN Othman Shafie dan Rojaah Samsuri bersyukur dapat memberikan pendidikan agama yang cukup kepada anak-anak.

Saya berkahwin kerana Allah dan agama bukan kerana nafsu. Itu sebab saya memberanikan diri untuk pergi berjumpa sendiri keluarga bakal isteri.

"Dalam pertemuan itu, saya bukan sekadar mahu melahirkan hasrat untuk menyunting anak mereka, tetapi ingin menyiasat latar belakang keluarga,"luah Othman Shafie, 63.

Pemenang Tokoh Keluarga Mithali Negeri Perak 2014 itu berkata, pendekatan tersebut dilakukannya ketika mahu melamar kedua-dua isterinya, Faizah Mahmudin (telah meninggal dunia kira-kira 14 tahun lalu) dan isteri sekarang, Rojaah Samsuri, 57, yang dinikahinya pada tahun 2002.

Beliau yang juga bekas pengurus tadbir di beberapa jabatan agama Islam serta juri tilawah peringkat negeri itu berkata, pendekatan itu digunakan kerana beliau percaya pasangan yang mempunyai asas agama meskipun sedikit, dapat menjadikan sesebuah keluarga itu berkat dan pasti akan dibantu setiap kali mengalami kesulitan Allah SWT.

''Allahyarham isteri saya, Faizah lulusan sekolah agama, sama seperti saya. Manakala Rojaah pula, meskipun sekolah aliran biasa, tetapi dia sangat rajin belajar agama.

''Biarpun dia pernah menangis ketika diajar, alhamdulillah ketika ini, dia sudah menguasai apa yang sepatutnya dilakukan sebagai hamba-Nya, sebagai isteri dan ibu segera kepada anak-anak saya yang ramai," cerita Othman kepada S2 baru-baru ini.

Othman memberitahu Faizah pergi menghadap Ilahi akibat uzur setelah hampir 25 tahun hidup bersamanya serta meninggalkan 11 anak yang ketika itu berusia antara lima hingga 20 tahun.

Menyingkap 'jodohnya' dengan Rojaah, Othman berkata, isterinya itu diperkenalkan kepadanya oleh kawan-kawan setelah melihat dia bertungkus lumus seorang diri menguruskan 11 anak termasuk tiga anak kurang upaya selepas hampir dua tahun Faizah meninggal dunia.

Malah ketika itu, menurut Othman, bukan hanya Rojaah seorang yang dicalonkan tetapi terdapat kira-kira 10 wanita lain turut dicadangkan oleh kawan-kawannya.

Namun, hati lelaki Othman tertarik kepada Rojaah yang bekerja sebagai jururawat di Tapah, Perak ketika itu setelah melihat kesungguhan dan kepandaian wanita itu melayan kerenah anak-anaknya.

''Masa itupun sebenarnya hati rasa memang dah tidak mahu berumahtangga kerana mahu menjaga anak-anak termasuk yang OKU.

"Lagipun hidup saya ketika itu amat sibuk sebagai jurulatih latihan di Felda Gugusan Trolak, selain memenuhi undangan ceramah agama dan mengajar agama.

''Namun, hati saya tersentuh melihat kesungguhan Rojaah melayan kerenah 11 anak saya sewaktu kami bertemu dalam satu majlis minum petang, kira-kira 12 tahun lalu.

"Meskipun dia terkejut melihat keluarga saya yang besar, tetapi dia tetap melayan kami dengan baik," kata pendakwah bebas itu sambil ketawa.

Ternyata, menurut Othman, Rojaah pilihan yang tepat apabila wanita itu mampu menggalas tanggungjawab dengan sempurna dalam membesarkan anak-anak, selain menyokong kerjayanya sehingga kini.

Menyingkap pula rahsia kejayaan beliau mendidik anak-anaknya sehingga terpilih sebagai Tokoh Keluarga Mithali Negeri Perak, Othman memberitahu mereka sekeluarga sering melakukan solat berjemaah, selain membudayakan diri dengan membaca al-Quran dan majlis ilmu.

Othman yang kini menetap di Tapah mengakui selain sering solat berjemaah bersama keluarga, beliau berusaha mengelakkan sebarang ruang yang menjurus kepada perkara negatif di mana jua anak-anak berada.

Tidak menjangka menerima anugerah itu, beliau memberitahu akan terus memberi khidmat sukarela kepada yang memerlukan, selain terus bergiat aktif dalam aktiviti dakwah.

''Semua pendidikan al-Quran dan agama anak-anak, saya sendiri yang ajar mereka di rumah. Meskipun ramai melihat perwatakan saya tenang tetapi saya sangat tegas sehinggakan hampir semua anak-anak pernah menangis semasa saya mengajar mereka.

''Bagaimanapun, sebagai ayah, saya merasa amat gembira apabila melihat kesemua mereka berjaya dalam kehidupan masing-masing," katanya.

''Saya sebenarnya tidak menyangka dianugerahkan Tokoh Keluarga Mithali. Walaupun mempunyai ramai anak dengan pendapatan yang tidak seberapa dahulu, saya tetap mengharungi cabaran hidup biarpun mempunyai tiga anak istimewa yang mana dua daripadanya telah meninggal dunia.

''Kini, saya bertugas sebagai pendakwah bebas dan guru takmir di masjid kerana mempunyai kelayakan tauliah daripada Jabatan Mufti. Dahulu, ketika saya baru mempunyai tiga anak, saya mengambil inisiatif untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

''Masuk anak keempat, saya tambahkan lagi pengetahuan dengan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum diterima melanjutkan pelajaran ke dalam bidang syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Semuanya saya lakukan untuk masa depan keluarga," katanya yang sering membawa keluarganya menyertai majlis-majlis ilmu yang disertainya.

Jawatan pertama yang disandang Othman adalah imam di Maktab Tentera Sungai Besi pada 1976 hingga 1983, manakala jawatan terakhirnya adalah penerbit rancangan Suara Felda di RTM Ipoh.

Sementara itu, Rojaah memberitahu, dia terpaksa mengambil masa yang agak lama sebelum bersetuju untuk menjadi isteri Othman kerana ketika itu dia berasa takut untuk memikul tanggungjawab besar yang menanti.

Namun, anak tunggalnya, Mohd. Shahril Shaharudin yang ketika itu berusia 17 tahun memujuk dan memintanya memilih Othman kerana merasakan lelaki itu mampu membimbing mereka dua beranak.

"Sebelum bernikah dengan ustaz (Othman), saya telah menjanda dan hidup sendirian selama 13 tahun.

"Perasaan takut timbul tatkala mengenangkan anaknya seramai 11 orang, membuatkan hati saya berbelah bahagi.

"Pada masa itu pun, ada beberapa orang lain turut mahu menjadikan saya isteri. Tetapi Mohd. Shahril sudah berkenan dekat ustaz, dia hanya mahu ustaz jadi ayahnya. Itu yang membuatkan saya akhirnya memilih ustaz," kata Rojaah sambil tersenyum.

Menurut Rojaah, menjadi ibu segera untuk anak-anak yang ramai bukan satu tugas mudah, lebih-lebih lagi dia perlu berulang alik dari Felda Trolak ke Hospital Tapah setiap hari sejauh 54 kilometer.

Untuk memudahkan urusan, Rojaah yang kini bertugas sebagai ketua jururawat di Hospital Tapah memberitahu, semua urusan berkaitan keluarga termasuk didikan anak-anak dibahagi sama rata antara mereka suami isteri.

"Ustaz orangnya sangat tegas dalam mendidik anak-anak. Dia akan memastikan saya dan anak-anak dapat menguasai apa yang diajarnya, selain mahu saya dan anak-anak makan bersama dan mendengarnya membaca al-Quran.

"Alhamdulillah, ternyata penat jerih kami selama ini berbaloi apabila anak-anak berjaya dalam hidup masing-masing. Saya juga amat bersyukur dipertemukan jodoh dengan ustaz.

"Ternyata kehadirannya dalam hidup saya memberi kebahagiaan dan kegembiraan yang saya cari selama ini," katanya.

Bapa kahwin janda, ibu nikah lelaki muda

Posted: 07 Feb 2014 11:12 AM PST

Setiap anak mahukan yang terbaik untuk masa depan mereka termasuk ibu bapa yang hidup dalam harmoni dan berkasih sayang serta kehidupan yang tenang bersama keluarga.

Pun begitu tidak semua impian akan menjadi kenyataan. Berlaku sahaja perceraian, anak-anak akan menjadi mangsa. Walau tidak teruk pasti terasa tempiasnya.

Inilah kisah yang ingin dikongsi oleh Dura (bukan nama sebenar) yang terpaksa menerima hakikat ibunya bernikah dengan lelaki muda setelah bercerai dengan ayah kandungnya setahun lalu.

Ingin tahu apa terjadi seterusnya? Kita ikuti cerita Dura selanjutnya seperti mana diberitahu kepada saya.

"Saya berusia 25 tahun, baru tamat belajar dan bekerja di sebuah syarikat swasta. Saya mempunyai ibu bapa yang telah bercerai setahun lalu kerana tidak ada persefahaman lagi setelah 26 tahun hidup bersama.

"Syukur saya tidak ada adik, kakak atau abang. Mudah cerita, saya anak tunggal. Alasan ibu, dia sibuk dengan kerjayanya, jadi tidak ada masa untuk menambah zuriat.

"Saya dibesarkan dengan penuh kasih sayang, kemewahan dan apa sahaja yang saya mahu..., semua dapat. Sayangnya saya kekurangan kegembiraan dan perhatian ibu dan ayah yang masing-masing sibuk mengejar duniawi.

"Namun begitu saya bersyukur kerana tidak lalai dengan keadaan. Saya gembira kerana mempunyai kawan-kawan dan keluarga yang membantu saya. Menjaga solat saya dan mengambil berat akan diri saya. Alhamdulillah.

"Enam bulan setelah berpisah, ayah kahwin lain, diikuti ibu kemudiannya. Ayah bernikah dengan seorang janda beranak dua.

"Ibu pula mengambil keputusan bernikah dengan seorang anak teruna berusia awal 30-an, berbeza usia 12 tahun dengannya.

"Bayangkan bagaimana dengan saya? Bapa cara dia, ibu juga begitu. Saya terumbang-ambing meneruskan hidup. Walaupun bapa mempelawa saya tinggal bersamanya, saya menolak, begitu juga ibu.

"Saya ambil jalan selamat dengan menyewa bersama kawan-kawan untuk menjaga kedua-dua pihak walaupun saya lebih berat untuk tinggal bersama ibu, tetapi saya tidak mahu mengganggu pengantin baru.

"Ibu terasa hati tetapi saya beritahu dia saya akan balik seminggu sekali. Begitu juga bapa. Sayangnya saya tidak dapat berbuat demikian kerana saya agak pembaca sendiri boleh faham.

"Di rumah bapa, saya terpaksa berdepan dengan adik dan ibu tiri, di rumah ibu, saya ada bapa tiri yang masih muda. Susah untuk saya menyesuaikan diri. Mana lagi saya harus menjaga aurat saya.

"Saya bukan tidak suka keluarga baru bapa dan ibu tetapi sebagai anak, saya tentunya merasa sedih dengan keadaan berbeza yang saya lalui. Saya cuba balik ke rumah ibu tetapi saya tidak selesa. Bila ibu dan ayah tiri ada di ruang tamu, saya berkurung dalam bilik, begitulah sebaliknya.

"Saya memang tidak selesa sebab tidak kenal lagi hati budi ayah tiri saya yang masih muda itu, tambahan pula saya tidak tergamak melihat perangai ibu yang mengada-gada dengan suami barunya itu macam orang muda.

"Ibu tidak tahu menjaga dirinya dan tidak menutup aurat. Di rumah dia pakai sesuka hati, seluar pendek, kemeja T tanpa lengan...,maklumlah nak layan selera suami muda.

"Saya pula sejak sekolah, masuk asrama dan menuntut di universiti telah berhijab. Berbeza dengan ibu. Tapi saya tidak boleh menegur ibu kerana bimbang dia terasa hati. Saya berdoa siang malam agar ibu berubah.

"Bapa tidak banyak kerenah kerana dia faham keadaan saya. Tapi saya bimbangkan ibu, sampai bila ibu harus berperangai macam itu? Salah satu sebab bapa ceraikan ibu kerana sikapnya tidak pandai menjaga maruah bapa dan perangainya yang macam orang muda.

"Kini saat indah bersama ibu bapa kandung sudah berlalu dan tidak mungkin akan kembali. Di rumah bapa, saya agak selesa sebab ibu tiri boleh tahan juga baiknya. Dia tidak pernah menyakiti saya. Adik-adik tiri juga mesra dengan saya.

"Begitu juga apabila di rumah ibu, saya akan teringatkan bapa. Bayangkan 25 tahun, saya hidup bersama mereka, tiba-tiba keseronokan itu hilang sekelip mata. Walaupun saya sedang belajar mengenal ayah tiri saya tetapi saya tidak mungkin dapat menerimanya sepenuh hati.

"Saya juga pelik kenapa ibu tidak ada perasaan malu dengan saya apabila bersama suaminya. Sekurang-kurangnya jaga batas sebagai ibu di hadapan saya, ini macam sengaja nak menunjuk-nunjuk kepada saya.

"Saya pernah bercerita hal ini kepada nenek sebelah ibu tetapi nenek juga tidak mahu campur tangan kerana dia tahu perangai anaknya macam mana. Begitu juga dengan saudara ibu yang lain.

"Dalam apa juga keadaan, saya harus menerima hakikat yang kehidupan saya tidak sama lagi seperti dahulu. Mujur saya sudah dewasa untuk memahami keadaan ini. Saya selalu berdoa agar ibu akan berubah sikap dan menjadi wanita yang sebenarnya.

"Ibu dan suami barunya banyak menghabiskan masa dengan melepak dan membeli-belah dan bercuti macam orang muda. Saya tahu ibu mampu tetapi dalam usia yang hampir mencecah 50-an, saya harap ibu akan sedar dan berubah.

"Saya tidak ada masalah dengan bapa kerana saya tahu, dia seorang lelaki yang baik, penyayang dan bertanggungjawab. Untung bapa dapat isteri baru yang juga penyayang, mengambil berat dan sayang kepadanya. Itulah yang saya harapkan daripada ibu dahulu.

"Sebagai anak, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk ibu dan bapa. Saya juga berharap saya akan segera dipertemukan jodoh agar saya dapat membina kehidupan saya sendiri. Pasti saya tidak akan merasa sunyi dan tersisih seperti sekarang, mudah-mudahan Allah makbulkan permintaan saya ini." kata Dura menamatkan ceritanya.

Begitulah lumrah dunia. Ada yang bahagia dan ada yang menderita. Saya gembira kerana Dura sudi berkongsi cerita ini dengan pembaca ruangan ini.

Saya percaya ramai pembaca di luar sana yang menghadapi masalah seperti Dura, dan saya berharap mereka bertindak bijak untuk menangani situasi ini seperti mana yang dibuat Dura.

Syabas! Dura mempunyai fikiran yang positif terhadap ibu dan bapanya. Doa saya agar Dura akan terus sabar dan memberi perhatian dan kasih sayang kepada kedua-duanya tanpa berbelah bahagi.

Menamatkan catatan, pesanan saya: "Biarpun kehidupan itu perit, kita perlu terus hidup untuk menikmati kegembiraan di penghujungnya."

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved