Jumaat, 7 Februari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Selami budaya masyarakat

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh FARIK SALLEH
utusan.johor@gmail.com

BADERI Dasuki (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada keluarga angkat sempena Operasi Khidmat Masyarakat 10 Penjuru Darul Takzim (Tenggara) 2014 di Dewan Terbuka Kampung Temenin Baru, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 6 Feb. - Institusi pengajian tinggi (IPT) mengadakan program kemasyarakatan seperti aktiviti bergotong-royong bersama masyarakat setempat bagi memberi pendedahan kepada penuntutnya.

Namun, untuk membolehkan mereka dapat menyelami dengan lebih dekat budaya, adat resam dan kehidupan masyarakat, IPT sering menganjurkan program anak angkat yang mana para penuntut tinggal beberapa hari bersama keluarga angkat masing-masing.

Baru-baru ini, Persatuan Mahasiswa Anak Johor (Permaj) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah Sekretariat Majlis Tertinggi mengadakan program anak angkat di Kampung Temenin Baru, dekat sini.

Program yang diberi nama Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) 10 Penjuru Darul Takzim (Tenggara) 2014 itu bagi memberi peluang kepada penuntut menimba pengalaman bersama penduduk serta mempraktikkan ilmu pengetahuan yang dipelajari di kampus.

Ketua Pengarah Opkim Tenggara, Mohd. Faizul Osman berkata, sepanjang lima hari program itu, pelbagai aktiviti diadakan untuk memupuk semangat perpaduan, kejiranan dan gotong-royong.

Menurutnya, sebanyak 51 siswazah pelbagai jurusan kebanyakannya anak jati Johor terlibat dengan program itu yang menekankan aspek beramal kepada masyarakat.

"Banyak perkara berjaya dikongsi sepanjang berada dalam komuniti yang boleh dijadikan bahan kajian terutama cara hidup, budaya dan ragam setempat, tahap pendidikan serta sosioekonomi bagi membantu pihak kerajaan mendapatkan maklumat tepat.

"Peserta turut berusaha membantu membangunkan akademik pelajar di kampung berkenaan dan bersama belia-belia untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan," katanya dalam penutupan program itu.

Majlis penutupan program tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Datuk Baderi Dasuki yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Homestay Kampung Temenin Baru, Zainoh Musa dan Penolong Pendaftar UKM Bangi, Asyraf Radzwan.

Mohd. Faizul berkata, sambutan penduduk kampung terhadap program tersebut amat menggalakkan.

"Apa yang penting matlamat program untuk melahirkan kepimpinan siswazah yang mampu membawa wadah dan aspirasi negara untuk membangunkan masyarakat, khususnya golongan petani tercapai.

"Malah, ikatan kekeluargaan bersama ibu bapa angkat diharap akan terus berpanjangan selepas ini," kata anak sulung daripada empat beradik dari Kampung Lukut, Kota Tinggi di sini itu.

Opkim beri banyak manfaat - Peserta

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

SEBAHAGIAN daripada mahasiswa UKM yang menyertai Operasi Khidmat Masyarakat 10 Penjuru Darul Takzim (Tenggara) 2014 bergambar kenangan di Dewan Terbuka Kampung Temenin Baru, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 6 Feb. - Peserta Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) 10 Penjuru Darul Takzim (Tenggara) 2014 menyifatkan program berkenaan amat bermanfaat dan memberi faedah kepada mereka khususnya bagi mengenali budaya, adat resam dan kehidupan penduduk kampung tersebut.

Seorang penuntut asing dari Miyazaki, Jepun, Shota Tohara, 25, yang fasih berbahasa Melayu mengakui teruja dengan layanan keluarga angkat dan berasa belum puas tinggal bersama mereka sepanjang mengikuti program berkenaan.

Shota berkata, pengalaman itu amat besar ertinya kerana dia memang menggemari suasana kampung di sini, malah budaya di sini jauh bezanya dan membuatkannya berasa seperti ingin terus meneroka keindahan di Malaysia.

"Rasanya program selama lima hari ini terlalu singkat dan padat sehingga masa untuk bersama keluarga angkat di rumah terbatas.

"Saya gemar masakan di sini walaupun agak pedas tetapi menyelerakan," kata anak sulung daripada tiga beradik yang baru tiga bulan mengikuti kursus Bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor.

Selain Shota, program itu turut disertai oleh 51 peserta lain, termasuk Maiizatul Akmar Noryusre, 20, yang turut teruja dan gembira kerana dapat menyumbangkan bakti kepada penduduk Kampung Temenin Baru di samping mengenali adat dan budaya masyarakat setempat.

"Kali pertama saya menyertai program ini dan berasa seronok mengenali penduduk di sini serta sedikit sebanyak dapat menghilangkan tekanan belajar," kata penuntut tahun satu Ijazah Pentadbiran Perniagaan yang berasal dari Klang, Selangor.

Bagi Yuslaini Azmi, 24, pula, program seperti itu perlu diwajibkan kepada semua penuntut di peringkat ijazah sarjana muda supaya mereka dapat didedahkan dengan realiti kehidupan sebenar.

"Pada masa yang sama program ini juga mampu mengasah kemahiran insaniah penuntut untuk berkomunikasi dengan masyarakat luar dengan lebih baik," kata pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Psikologi berasal dari Dungun, Terengganu.

Sementara itu seorang penduduk, Nur Hidayah Ahmad, 25, pula berharap lebih ramai penuntut universiti tempatan dan luar negara berkunjung dan mengadakan program lain di kampungnya selepas ini.

"Program seperti ini perlu diteruskan dan saya berharap hubungan ini tidak tamat di sini sahaja," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved