Jumaat, 7 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Lapor terus kepada SKMM

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Shahiruddin Ab. Moin (dua, kanan) menyatakan sesuatu kepada Nor Azhar Hassan dalam majlis taklimat di pejabat SKMM di Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 7 Feb. - Para pengguna di negeri ini disaran mengemukakan aduan bertulis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekiranya berasa terpedaya dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, beliau banyak menerima aduan dan rungutan daripada pengguna berhubung perkhidmatan yang tidak memuaskan serta caj yang melampau.

"Kebanyakan rungutan berkaitan rasa terbeban dengan caj perkhidmatan sesetengah syarikat telekomunikasi terutama talian prabayar yang menolak baki kredit mereka apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) tertentu.

"Saya berharap pengguna yang rasa tertipu dengan perkhidmatan seperti ini segera membuat aduan kepada pejabat SKMM berhampiran atau melalui talian 1-800-88-030 atau SMS ke SKMM ADUAN ke 15888," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada pengurusan SKMM negeri di sini semalam.

Menurut Shahiruddin, SKMM juga perlu memantau perkhidmatan syarikat-syarikat telekomunikasi agar tidak sewenang-wenangnya mengenakan caj kepada pengguna.

"Saya mencadangkan agar SKMM turun padang dan memantau perkhidmatan yang ditawarkan syarikat-syarikat tersebut agar tidak 'mendera' para pengguna.

"Dalam masa yang sama, SKMM perlu memberi penerangan kepada pengguna agar mereka tahu hak sebagai pengguna sekali gus tidak mudah terpedaya," jelasnya.

Pusat GiatMara RM3.47j bakal dibina di Kuala Krau

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Ismail Mohamed Said (kanan) melihat seorang penuntut mengayuh basikal selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra bersama warga GiatMara Kuala Krau, baru-baru ini.

KUALA KRAU 7 Feb. - Sebuah pusat GiatMara bernilai RM3.47 juta yang lengkap dengan pelbagai kemudahan bakal dibina di daerah ini bagi menggantikan pusat GiatMara yang sedia ada.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, berdasarkan perancangan pusat latihan kemahiran berkenaan akan dibina di kawasan tanah seluas 0.8 hektar berhadapan bangunan GiatMara yang beroperasi ketika ini.

"Saya telah menghantar kertas kerja mengenai perkara ini kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan berharap pembinaannya dapat dilaksanakan dengan segera.

"Pembinaan bangunan ini penting bagi memastikan lebih ramai pelatih ditempatkan di sini pada masa akan datang," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis ramah mesra bersama warga GiatMara Kuala Krau di sini kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi GiatMara, Datuk Jaujan Sambakong dan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Datuk Mohd. Rosdi Ismail.

Menurut Ismail, pusat GiatMara berkenaan akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bengkel, pusat inkubator, surau dan dua blok bangunan asrama.

Selain itu katanya, pusat berkenaan juga akan menyediakan lot-lot perniagaan dan pameran untuk pelatih memasarkan terus produk mereka.

Dalam pada itu Jaujan berkata, pihaknya akan membawa permohonan berkenaan kepada pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan kementerian berkaitan untuk tindakan segera.

"Pada dasarnya kita menyokong usaha ini memandangkan pembinaan pusat GiatMara baharu di sini merupakan keperluan mendesak yang perlu dilakukan dengan segera," katanya.

Tambahnya, pembinaan pusat itu di tapak baharu juga selaras dengan fokus pihaknya bagi memastikan semua pusat GiatMara tidak menumpang di tanah pihak lain.

Sementara itu, beliau berkata, secara umum pihaknya memerlukan kira-kira RM150 juta bagi menaik taraf 231 buah GiatMara di seluruh negara.

Katanya, kerja-kerja menaik taraf pusat latihan berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat berdasarkan kepada keutamaan.

Masyarakat perlu bekerjasama salurkan maklumat jenayah

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

JERANTUT 7 Feb. - Masyarakat diminta memainkan peranan proaktif menyampaikan maklumat jenayah kepada polis dalam usaha semua pihak mengurangkan kadar jenayah di daerah ini sehingga ke tahap sifar.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, sikap meletakkan tanggungjawab di bahu polis semata-mata perlu dikikis sebaliknya masyarakat perlu bekerjasama menyampaikan maklumat untuk menangani kes jenayah di tempat masing-masing.

"Usaha dan kerjasama dengan polis memerangi jenayah amat penting sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk melihat kawasan kediaman yang lebih selamat dan bebas jenayah.

"Usaha pembangunan kerajaan dan keselesaan penduduk akan tercalar jika jenayah tidak diperangi habis-habisan.

"Oleh itu, tanggungjawab berkenaan tidak wajar disandarkan ke atas bahu polis semata-mata," katanya sempena program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jerantut bersama-sama Ahli Parlimen dengan penduduk, di Kampung Sungai Putat, dekat sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Jerantut, Supritendan Azid Ismail.

Menurut Ahmad Nazlan, kerjasama bukan setakat maklumat jenayah tetapi tugas penduduk menerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pertubuhan belia boleh mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang selamat dan kondusif.

Beliau berkata, kerjasama membanteras sebarang jenayah sewajarnya dipikul bersama-sama tanpa mengira batas kaum, kedudukan dan kepercayaan politik agar jaminan ketenteraman awam sepanjang masa.

"Walaupun statistik jenayah di daerah Jerantut menurun, namun penduduk tidak sewajarnya leka, sebaliknya terus menyalurkan maklumat jenayah supaya tindakan segera dapat diambil oleh polis.

"Justeru, PDRM akan lebih kerap turun padang di semua tempat bagi menerapkan aspek kesedaran keselamatan dan jenayah selain meningkat hubungan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Ahmad Nazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut berkata, kerajaan memuji usaha anggota PDRM kerana berjaya menurunkan kadar jenayah di daerah ini atas komitmen dan integriti pasukan berkenaan.

"Daerah Jerantut antara lokasi yang amat sedikit berlaku kejadian jenayah dan daerah yang terbaik di negeri ini menerusi peranan bersungguh-sungguh PDRM berjaya mengurangkan kes berkenaan.

"Ini adalah kerjasama dan hubungan yang erat antara PDRM, pemimpin setempat dan penduduk di daerah ini bagi membolehkan perkongsian idea dan menyampaikan maklumat ke arah membanteras jenayah di sini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved