Jumaat, 7 Februari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Sembunyi diri dalam peti sejuk

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

BUTTERWORTH 6 Feb. - Tiga lelaki warga Myanmar menyembunyikan diri di dalam peti penyimpanan ais di sebuah kilang memproses ais di kawasan Perindustrian Prai di sini hari ini bagi mengelak daripada ditahan pasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang.

Mereka ditemui dalam keadaan kesejukan sedang bersembunyi di sebalik timbunan ais yang sudah siap dibungkus, kata Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Basri Othman.

Beliau berkata, dalam operasi bermula pukul 10 pagi itu, pihaknya menyerbu sebuah kilang memproses ais dan mendapati premis itu kosong walaupun risikan awal mendapati pemiliknya menggaji pekerja warga negara asing.

"Kami mengesyaki ada yang tidak kena kerana ketika sampai mesin memproses ais masih beroperasi tanpa sebarang pemantauan daripada operator namun kami berjaya menemui tiga lelaki terbabit hasil pemeriksaan lanjut," katanya kepada pemberita selepas operasi.

Selain tiga lelaki terbabit, pihaknya turut menahan 20 orang termasuk dua wanita warga Myammar dan Indonesia dalam pemeriksaan di kilang dobi dan kantin sekolah di kawasan Perindustrian Prai itu.

Basri berkata dalam serbuan di kilang dobi pihaknya menahan 18 lelaki dan seorang wanita warga Myammar kerana bekerja tanpa sebarang permit yang sah.

Beliau turut memberi amaran kepada majikan supaya tidak menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah kerana pihaknya tidak akan bertolak ansur serta mengenakan tindakan tegas sekiranya didapati melakukan kesalahan itu.

"Semua warga asing berusia 19 hingga 47 tahun itu dibawa ke Jabatan Imigresen Seberang Jaya untuk disiasat mengikut Seksyen 6 (1) © Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan Seskyen 15 (4) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh ditetapkan," katanya. — BERNAMA

Kebakaran lalang meningkat

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

ALOR SETAR 6 Feb. - Hanya dalam tempoh 35 hari tahun ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah sudah menerima 510 panggilan daripada orang ramai mengenai kebakaran belukar dan lalang di seluruh negeri itu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohamad Hafiz Suhaimi berkata, jumlah itu jelas membimbangkan setelah keseluruhan panggilan melibatkan kes sama di sepanjang tahun lalu hanyalah berjumlah 806 sahaja.

Menurutnya, hasil siasatan pihak bomba mendapati, pertambahan kes-kes sedemikian adalah disebabkan kecuaian manusia.

"Lebih-lebih lagi ketika ini ada dalam kalangan petani yang melakukan pembakaran terbuka bagi membakar jerami padi. Kami harap, mereka dapat berhati-hati dan sentiasa mengawal api daripada marak ke tempat lain.

"Jika mereka melakukan pembakaran itu, jangan tinggalkan begitu saja. Bukan sekali dua terjadi api yang tidak langsung dikawal akhirnya menjadi terlampau besar sehingga mendatangkan kerugian pada diri sendiri mahu pun pihak lain," katanya.

Bersandarkan perundangan, pihak bomba tidak dapat melakukan apa-apa terhadap pihak yang melakukan kecuaian seperti itu memandangkan ia tertakluk kepada bidang kuasa agensi lain.

Bagaimanapun jelasnya, adalah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak untuk salin menasihati agar setiap perbuatan terutamanya oleh para petani tidak membawa bencana kepada pihak lain.

Sebagai contoh tambahnya, pada 6 Januari lalu, seorang petani mengalami kerugian besar setelah sawahnya seluas 1.6 hektar terbakar apabila 'jirannya' membakar jerami tanpa membuat kawalan.

"Kejadian itu berlaku di Sedaka, Yan. Apa yang menyedihkan, padi itu sudah masak sepenuhnya dan hanya menanti masa untuk dituai.

"Malangnya akibat sikap tidak prihatin 'jiran' berkenaan, petani itu menanggung kerugian besar.

"Justeru saya menasihatkan agar semua pihak sentiasa berhati-hati dalam melakukan pekerjaan yang melibatkan pembakaran terbuka seperti itu," ujarnya.

Hati-hati undang penceramah - Raja Muda Perlis

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menandatangani plak perasmian Masjid Al-Shakur sambil diperhatikan oleh Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tiga dari kanan) dan Azlan Man (kiri) ketika menghadiri Majlis Program Celik Muamalah 2014 di Kampung Permatang Bongor, Arau, malam semalam.

ARAU 6 Feb. - Ahli jawatankuasa (AJK) masjid diingatkan supaya berhati-hati menerima penceramah agama undangan dalam usaha mengelakkan penyebaran ajaran sesat dan dakyah-dakyah palsu daripada berleluasa di negara ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penyebaran aktiviti seumpama itu bukan sahaja boleh mencetuskan ketidakselesaan kariah malah memecahbelahkan umat Islam secara tersirat mahupun terang-terangan.

"Rujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa dalam tempoh tertentu bagi memastikan penceramah-penceramah yang diundang mempunyai tauliah dan diiktiraf," titah baginda.

Baginda merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Al-Shakur di Kampung Permatang Bongor, Sanglang dekat sini malam tadi.

Yang turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Khalil Akashah dan turut hadir ialah Menteri Besar, Azlan Man.

Dalam pada itu, baginda bertitah, semua AJK masjid jangan sesekali mudah berputus asa atau kecewa sekiranya berlaku sebarang masalah atau perbezaan pandangan.

Sebaliknya, titah Tuanku Syed Faizuddin, hindarkan provokasi serta sentiasa bersifat tabah, sabar dan mahu berkompromi.

"Pelbagaikan usaha dan ikhtiar dalam membantu kehidupan bermasyarakat melalui institusi masjid, serta sedarilah bahawa menguruskan masjid adalah suatu tugas mulia warisan para nabi dan cukup besar ganjarannya," titah baginda.

Selain itu titah baginda, kalangan AJK mahupun warga masjid perlu mengelakkan sikap mengambil tindakan dan membuat keputusan secara individu yang boleh memudaratkan dan merosakkan imej institusi masjid itu sendiri.

"Buatlah keputusan secara kolektif dan bermusyawarah agar keputusan tersebut mendatangkan kebaikan kepada semua pihak," saran baginda.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved