Jumaat, 7 Februari 2014

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Bermula dari dalam talian

Posted: 06 Feb 2014 09:33 PM PST

oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my

Erven Sarasendy Abd. Hadi bersama suaminya, Wan Zaki Wan Taib di butik JelitaSARA di Bangi Gateaway, Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Memulakan perniagaan secara maya sebelum disusuli dengan membuka premis kekal, merupakan langkah bijak dalam perniagaan hari ini terutama dalam kalangan usahawan wanita.

Rata-rata mahu melihat kejayaan pasaran melalui dalam talian (online) yang sudah pastinya membabitkan modal lebih rendah, sebelum berani meluaskan perniagaan dengan membuka kedai.

Strategi sama diambil oleh Erven Sarasendy Abd. Hadi, 31, ketika pertama kali mahu memperkenalkan jenama tudungnya, JelitaSARA.

Perniagaan yang diusahakan secara dalam talian ini telah bermula sejak tahun 2009 lagi. Sememangnya dari awal lagi kami ingin menjadikan internet sebagai medium pasaran produk keluaran kami.

Begitupun minat orang berbeza-beza, tidak semua suka membeli secara dalam talian sebaliknya lebih gemar melihat secara nyata terlebih dahulu produk ingin dibeli.

Setelah mendapat pelbagai reaksi serta maklum balas daripada para pelanggan, kami akhirnya membuat keputusan untuk membuka butik tudung demi kepuasan pelanggan kami," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaan terbaharunya yang terletak di pusat beli-belah Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Butik tersebut merupakan yang kedua selepas pembukaan butik pertama pada 2012 di Lagenda, Melaka.

Apabila ditanya mengapa Melaka menjadi pilihan sebagai lokasi pertama, ulas Erven atau lebih mesra disapa Aween berkata, ini kerana beliau sendiri beroperasi dari Melaka.

Beliau berkata, walaupun menyedari sebahagian besar pendapatan yang diperoleh daripada penjualan secara dalam talian, pembukaan kedai adalah untuk memenuhi permintaan daripada para pelanggan yang lebih selesa untuk melihat sendiri produk yang dihasilkan sebelum membelinya.

Baginya, tiada yang lebih menggembirakan melainkan dapat memenuhi permintaan pelanggan yang selama ini menjadi pemangkin kejayaan JelitaSARA.

Bercerita lebih lanjut mengenai perniagaan tersebut, Aween memberitahu, penglibatan dalam dunia perniagaan khususnya rekaan tudung berlaku secara tidak sengaja.

Seperti cerita usahawan-usahawan tudung yang lain, Aween memberitahu dia bermula apabila cuba menjual tudung yang dibawa balik oleh kakak iparnya melalui internter.

Tanpa disangka, selain mendapat sambutan ramai permintaan dari sehari ke sehari semakin banyak.

Ekoran daripada itu, Aween bersama suami akhirnya membuat keputusan menjadikan perniagaan sampingan tersebut sebagai perniagaan tetap hingga masing-masing berhenti kerja semata-mata untuk memberi tumpuan kepada perniagaan yang baharu sahaja bermula.

Perancangan demi perancangan dibuat untuk memastikan segala yang dirancang berjalan lancar.

Kini usahawan muda itu mempunyai kilang sendiri bagi menghasilkan tudung jenama tersebut.

Menggunakan tenaga kerja tempatan, Aween berkata, fabrik yang digunakan diimport dari luar negara dalam usaha memberi kepelbagaian corak serta cita rasa kepada para pelanggan.

Hingga kini walaupun sudah bergelar pengarah, Aween serta suami masih lagi memilih sendiri kain untuk dijahit dan tidak hanya mengharapkan pekerja bawahan untuk melakukan semuanya.

Saya serta suami akan pergi melihat dan memilih sendiri kain yang hendak dijahit, malah kalau tidak berkesempatan kami akan menghantar pekerja sebelum fabrik dibeli.

Pekerja tersebut akan menghantar gambar bagi mendapat persetujuan kami dan baharulah pembelian dilakukan.

Bukan tidak mempercayai para pekerja yang telah diamanahkan, tetapi kami lebih selesa untuk memilih sendiri kain-kain dalam usaha menjaga kepercayaan pelanggan terhadap jenama kami.

Apa yang pasti, segala produk di bawah label ini adalah berkualiti dan memuaskan hati pelanggan," ujarnya.

Terdapat pelbagai koleksi tudung termasuk selendang, tudung awning, tudung Syria dan sebagainya yang pastinya memikat hati wanita.

Didatangkan dalam pelbagai pilihan warna, corak, dan juga rekaan, koleksi yang ada sesuai untuk digayakan oleh semua peringkat umur wanita.

Harga yang ditawarkan juga cukup berbaloi dan boleh diperoleh antara RM39 hingga RM169.

Bagi memastikan para pelanggan sentiasa mendapat yang terbaik dari JelitaSARA, Aween menyatakan pihaknya akan mengeluarkan koleksi terbaharu setiap minggu.

Hiasan mangkuk Turki

Posted: 06 Feb 2014 09:33 PM PST

Elisa Tajuddin menunjukkan pelbagai warna dan saiz mangkuk Turki.

Daripada kraf kaca hingga kepada lampu-lampu perhiasan, permaidani dan 1,001 macam cenderamata yang memukau sesiapa sahaja yang melihat.

Rugi jika tidak membeli apa-apa kerana keunikan dan keindahan yang dapat dilihat pada barangan tersebut berbeza daripada negara-negara lain yang pernah dikunjungi.

Antara yang sering dibawa pulang ialah pinggan mangkuk hiasan dengan ukiran berwarna-warni yang cukup halus dan teliti buatannya.

Menariknya, setiap jenis kraf yang dihasilkan jelas memaparkan seni budaya negara tersebut.

Sememangnya Turki sejak zaman dahulu lagi terkenal dengan barangan perhiasan yang cantik dan seni bangunan yang melambangkan ketinggian tamadun manusia.

Jadi, tidak hairanlah negara ini tidak putus dikunjungi pelancong dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, bagi yang tidak berpeluang melawat Turki tetapi minat menghias rumah dengan barangan perhiasan kaca dari negara tersebut, mungkin boleh menambah koleksi dengan mangkuk-mangkuk kaca yang terdapat di Saffron by TJ Fine Art, di Centrio Pantai Hillpark, Kuala Lumpur.

Sesuai dijadikan perhiasan sama ada di atas meja kopi, atas almari rendah, dalam almari atau untuk hiasan dinding, mangkuk kaca buatan tangan ini cukup cantik dengan warna-warna garang dan ukiran halus.

Pelbagai warna mangkuk boleh dipilih seperti jingga, merah, biru, hijau dan sebagainya. Setiap satu mempunyai ukiran yang berbeza kerana ia dibuat tangan dan bukan dikeluarkan oleh mesin.

Menurut pemilik Saffron, Elisa Tajuddin, mangkuk yang diimport dari Turki ini dibuat daripada tanah liat dan dilukis dengan motif-motif tertentu yang kesemuanya melambangkan negara tersebut.

Setiap satu mempunyai motif tertentu seperti tulip, iznik dan sebagainya. Warna-warna yang dipilih juga adalah daripada warna terang. Apa yang menarik, bahagian depan dan belakang mangkuk dilukis dengan motif berbeza, katanya.

Tambahnya, mangkuk-mangkuk kaca tersebut sememang cantik sebagai barangan perhiasan kerana nilai seninya yang unik dan tidak sama dengan yang lain.

Selain boleh diletakkan sebagai perhiasan, mangkuk ini juga boleh dibingkaikan dan digantung pada dinding.

Menurut Elisa, mangkuk ini juga boleh dijadikan sebagai cenderahati eksklusif untuk cenderhati perkahwinan atau hadiah hari jadi.

Bagi mereka yang ingin membeli untuk cenderahati perkahwinan, boleh mendapatkan mangkuk yang bersaiz kecil pada harga RM10 jika dibeli sebanyak 300 hingga 500 biji.

Pelanggan juga boleh menempah mengikut warna tema majlis perkahwinan mereka.

Di Malaysia, jelas Elisa, belum ada lagi kedai yang menjual mangkuk kaca Turki ini untuk jumlah yang banyak seperti yang boleh diperoleh di kedainya.

Mangkuk kaca tersebut boleh diperoleh dalam tiga saiz, iaitu lima, 10, 15 dan 20 sentimeter.

Mangkuk lima sentimeter dijual pada harga RM23, 10 sm RM28, 15 sm RM35 ke atas dan ada yang dijual hingga RM70 untuk mangkuk yang lebih besar. Mangkuk yang dilukis penuh keseluruhannya lebih mahal harganya, katanya yang turut merancang untuk membawa masuk barangan kraf dari negara-negara lain pada masa hadapan.

-MERAN ABU BAKAR

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved