Jumaat, 7 Februari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pemandu lori ke tali gantung

Posted: 07 Feb 2014 11:12 AM PST

R. Enthiran diiringi anggota ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 7 Feb. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati di tali gantung terhadap seorang pemandu lori yang didapati bersalah membunuh rakannya dengan tukul besi setelah mangsa dikatakan cuba mencabul anak perempuannya, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim memutuskan demikian setelah mendapati pembelaan R. Enthiran, 34, gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Enthiran didakwa membunuh M. Asokhkumaran, 34, menggunakan tukul besi dalam satu pergaduhan di rumah No 15, Lorong 10/SS3 Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, dekat sini pada pukul 3 pagi, 28 Ogos 2011.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, mayat Asokhumaran dicampak ke dalam longkang berhampiran sebuah kuil di Simpang Ampat sebelum tertuduh melupuskan motosikal mangsa di tepi sungai berhampiran.

Hakim Zamani dalam penghakimannya berkata, empat alasan pembelaan yang dikemukakan iaitu tertuduh mabuk ketika kejadian, provokasi daripada mangsa terhadap tertuduh, tindakan dibuat untuk pertahankan diri serta pergaduhan berlaku secara tiba-tiba tidak boleh diterima.

Selain kata, kata beliau, tertuduh yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah gagal memberi penjelasan munasabah selain pembelaannya bercanggah dengan kecederaan yang dialami mangsa dan keterangan anak perempuannya.

Tertuduh yang memakai baju T berwarna putih berbelang hitam dan berseluar jean kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Arif Shaharuddin.

Muhammad Arif kemudiannya memberitahu, pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Mejar TUDM didakwa isu dakwat kekal

Posted: 07 Feb 2014 11:12 AM PST

Zaidi Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Seorang Mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara TUDM Butterworth, Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tentera di sini hari ini atas lima pertuduhan melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera dan dua pertuduhan melanggar Perintah Tetap Pangkalan Udara Butterworth, tahun lalu.

Mejar Zaidi Ahmad, 45, didakwa atas tuduhan-tuduhan itu berikutan tindakannya membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur politik dan hasutan.

Dia membuat pengakuan itu di hadapan panel enam pegawai tentera yang diketuai Yang Dipertua, Kolonel Saadon Hassan dari TUDM di sini.

Lima lagi anggota panel berkenaan ialah Leftenan Kolonel Zainurin Mohd. Dom, Mejar Khuzairi Mohd. Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S. Nadzeer Sallehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Lelaki itu didakwa membuat kenyataan media mengenai rasa tidak puas hati berhubung isu dakwat kekal yang sepatutnya perkara tersebut disiasat melalui saluran pihak angkatan tentera dan membuat kenyataan itu tanpa mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pekarangan Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kepala Batas, Pulau Pinang, 1 Mei 2013.

Dia yang mempunyai empat anak juga didakwa melakukan perbuatan sama dan menyiarkan maklumat rasmi iaitu kawat tumpangan keluar kepada pihak media tanpa mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, 3 Mei 2013.

Pegawai kanan itu turut didakwa menghantar SMS tersebut semasa bertugas di Pangkalan Udara Butterworth, 1 Mei 2013.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 50(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau mana-mana yang lebih ringan termasuk dibuang kerja.

Pendakwaan dikendali oleh Pegawai Pendakwa TUDM, Mejar Ahmad Sanusi Ali manakala tertuduh diwakili peguam bela, Dr. Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 8 April ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved