Sabtu, 17 Disember 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Dua solat Jumaat satu kariah

Posted:

Dua solat Jumaat satu kariah

Dua solat Jumaat satu kariah

Oleh Radhuan Hussain
utusanterengganu@utusan.com.my


Sultan Mizan Zainal Abidin menandatangani plag simbolik merasmikan Masjid Raja Cendering yang ditukar nama kepada Masjid Sultan Ismail di Kuala Terengganu, semalam. Turut hadir Tengku Muhammad Ismail (dua dari kanan), Tengku Muhammad Mua'az (dua dari kiri) dan Ahmad Said.


KUALA TERENGANU 16 Dis. – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di negeri ini tanpa kebenaran pemerintah.

Baginda bertitah, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

Titah baginda, masalah tersebut berlaku disebabkan tiada persefahaman dalam mencari jalan penyelesaian sesuatu masalah yang dihadapi sesama umat Islam itu sendiri.

Justeru, Sultan Mizan menyeru seluruh umat Islam di negeri ini agar mencari jalan penyelesaian demi kedamaian serta kemurnian hubungan antara pihak-pihak yang bertelagah.

"Masalah ini menyebabkan agama Islam tercemar, maruah bangsa Melayu Islam ternoda dan umat Islam dihina dan dipermainkan.

"Keadaan ini amat menyedihkan Beta selaku ketua agama dan pemimpin umat Islam di negeri ini.

"Oleh itu, beta menyeru rakyat sekelian supaya sama-sama mencari jalan ke arah kedamaian dan kemurnian hubungan antara dua pihak bertelagah agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Raja Chendering yang kini dikenali sebagai Masjid Sultan Ismail di sini.

Keberangkatan Sultan Mizan diiringi Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail. Turut hadir, putera baginda, Tengku Muhammad Mua'az; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta para pembesar dan kenamaan negeri.

Baginda turut mengajak umat Islam agar mengambil iktibar daripada tema sambutan Awal Muharam tempoh hari iaitu Persefahaman Asas Perpaduan Ummah yang menuntut umat Islam sentiasa bersatu padu dalam jemaah berdasarkan tuntutan al-Quran.

Malah, baginda juga menyeru umat Islam supaya menjadikan peristiwa Hijrah Rasulullah ke Madinah sebagai pengajaran apabila berjaya menyatukan dua golongan yang bertelagah iaitu Aus dan Khazraj.

Dalam pada itu, Sultan Mizan yang baru menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 serta dua putera baginda turut menunaikan solat Jumaat bersama-sama lebih 1,000 jemaah di masjid berkenaan.

Masjid Sultan Ismail yang mula dibina baru sejak 2008 dengan peruntukan sebanyak RM7.5 juta siap sepenuhnya pada Mei lalu dan ia merupakan antara 491 buah masjid yang terdapat di Terengganu.

Full content generated by Get Full RSS.

1.3 juta pelajar layak terima baucar buku RM260 juta

Posted:

1.3 juta pelajar layak terima baucar buku RM260 juta

1.3 juta pelajar layak terima baucar buku RM260 juta


SEBAHAGIAN pelajar IPTA gembira sambil melaungkan slogan 1Malaysia selepas menerima replika cek Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM260,000,000 yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN


PUTRAJAYA 16 Dis. – Seramai 1.3 juta penuntut yang mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi tempatan dan pelajar sekolah menengah di tingkatan enam layak menerima baucar buku bernilai RM200 seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012, baru-baru ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM260 juta untuk diagihkan kepada penuntut-penuntut tersebut yang dikategorikan sebagai aktif.

Katanya, pemberian baucar tersebut diberikan tanpa mengira penuntut itu mengikuti pengajian pada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan pun Doktor Falsafah (PhD) secara sepenuh masa atau pun sebaliknya.

"Semua pelajar warga Malayasia yang aktif dan berdaftar dalam tempoh Januari hingga Mac tahun depan di institusi pengajian awam dan swasta (IPTA/S), politeknik, matrikulasi/asasi mahu pun di peringkat pengajian persediaan layak menerima dengan syarat daftar sebelum hujung Mac.

"Seorang penuntut akan mendapat empat baucar bernilai RM50 sekeping dan mereka hanya dibenarkan membeli buku akademik, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan IPT masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Kecemerlangan (CoE) Berpotensi kementerian tersebut di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, tempoh sah laku baucar tersebut hanya selama tiga bulan iaitu bermula pada 1 Januari hingga 31 Mac tahun depan.

Sehubungan itu, katanya, penuntut boleh menebus baucar itu di mana-mana kedai buku yang menyertai program tersebut namun dilarang menebus dengan wang tunai.

Full content generated by Get Full RSS.

Elaun pegawai masjid naik

Posted:

Elaun pegawai masjid naik

Elaun pegawai masjid naik

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan elaun Pegawai Penyelia Masjid Daerah (PPMD) akan dinaikkan kepada RM1,810 mulai tahun depan, iaitu peningkatan sebanyak RM600.

Pada masa sama, Perdana Menteri memberitahu, elaun tuntutan perjalanan PPMD yang ketika ini berjumlah RM500 juga akan dinaikkan kepada RM700 sebulan.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menambah jawatan PPMD yang kini hanya berjumlah 87 orang kepada setiap daerah wajib mempunyai seorang PPMD.

"Langkah menaikkan elaun dan menambah bilangan perjawatan PPMD adalah bagi mengimarahkan masjid dan surau yang menjadi pusat perpaduan serta simbol syiar Islam.

"Semoga institusi masjid dan surau kita dapat diimarahkan serta terpelihara dengan sebaiknya," katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Ulama, Umara dan Imam di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

Sebelum ini kerajaan turut menaikkan elaun 14,254 imam kepada RM750; elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kepada RM800 serta elaun guru takmir kepada RM100 sebulan.

Dalam pada itu, Najib berkata, satu sekretariat khas ulama dan umara akan ditubuhkan dalam masa terdekat sebagai jambatan bagi menyuarakan pandangan serta nasihat kepada kerajaan.

Melalui sekretariat itu kata beliau, program seperti forum, makmal serta aktiviti lain akan diurus secara kerjasama strategik dan ia akan diterajui bersama antara Jakim dan Pejabat Perdana Menteri.

"Sekretariat ini akan menganalisis dan menangani isu seperti halal, ajaran sesat, pengurusan fatwa, institusi imam dan masjid, pentadbiran zakat, inovasi dalam pengurusan haji dan pembangunan hartanah wakaf," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, bagi memperkemaskan lagi pentadbiran Islam di peringkat Persekutuan, sebuah Kompleks Pusat Pentadbiran Islam Putrajaya juga akan dibina di Presint 2, Putrajaya yang dijangka siap pada 2014.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved