Khamis, 17 November 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Memperkukuhkan peranan Perkasa

Posted:

Memperkukuhkan peranan Perkasa

Memperkukuhkan peranan Perkasa

Oleh FAUZI MOHD.
utusanterengganu@utusan.com.my


RHB Islamic Bank antara syarikat korporat yang prihatin dengan anak-anak yatim di Asrama Darul Falah, Bukit Payong, Marang, baru-baru ini.


MARANG 16 Nov. - Sudah lebih satu dekad Yusof Musa, 70, bersama dengan Persatuan Kebajikan Islam (Perkasa) Terengganu dan terus diberi kepercayaan untuk menerajuinya dalam pemilihan jawatankuasa baru-baru ini.

Yusof selaku Yang Dipertua terus memberi nafas kepada persatuan yang telah diasaskan oleh Datuk Wan Abdul Rahman Long pada 1946.

Setelah melalui rentetan usia yang panjang persatuan itu berdiri kukuh hari ini.

Selepas Wan Abdul Rahman, Perkasa dipimpin oleh tokoh-tokoh seperti Datuk Wan Abdullah Kamal Wangsa, Datuk Kamarudin Idris, Muhamad Salim Ahmad, Musa Awang dan Datuk Setia Jasa Mohd Salleh Awang.

Yusof yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Serada merupakan peneraju kelapan persatuan kebajikan tertua itu, menggantikan Datuk Bentara Luar Omar Pilus.

Perkasa, salah sebuah persatuan yang paling dekat dengan rakyat negeri ini sentiasa mendapat sokongan dan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri dan kerjaan Pusat.

Geran tetap turut diperoleh melalui Jabatan Pelajaran, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), selain sumbangan syarikat-syarikat dan orang ramai.

Dalam usaha memperluaskan peranan sejajar dengan konsep penubuhannya, Perkasa secara perlahan-lahan turut berusaha ke arah menambahkan sumber pendapatan agar membolehkannya mengurangkan pergantungan kepada kerajaan dan orang ramai.

Yusof berkata, dengan berdikari dan mempunyai kewangan kukuh, lebih banyak program kebajikan yang boleh dilakukan bagi membolehkan lebih ramai penerima mendapat manfaat.

''Namun biarlah kita lakukan secara perlahan-perlahan mengikut kemampuan agar ia memberi kesan.

''Kita, jawatankuasa yang menguruskannya memikul amanah dan bebanan yang besar," ujar beliau kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Menguruskan kebajikan anak yatim melalui asrama Darul Falah Bukit Payong yang diwujudkan pada tahun 1962 merupakan teras kegiatan pertubuhan itu selain aktif dalam aktiviti kebajikan lain dan dakwah yang membina ukhuwah.

Penempatan di atas sebidang tanah dusun seluas 1.4 hektar yang didermakan di Kampung Padang Pak Su Man pada permulaannya, ia menyediakan rumah dan keluarga baru bagi 21 orang anak-anak yatim agar mereka boleh belajar tanpa sebarang kekangan.

Dipelopori Allahyarham Datuk Mohd. Salleh Awang yang merupakan Pegawai Pemeriksa di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ketika itu, asrama anak yatim berkenaan didirikan secara bergotong-royong hasil derma orang ramai berjumlah RM60,000.

Perkasa kemudiannya membeli 0.8 hektar tanah berhampiran untuk menampung perkembangannya termasuk bagi menyediakan padang permainan dan bangunan tambahan.

Darul Falah yang dihuni 161 orang anak yatim lelaki dan perempuan itu ditadbir oleh seorang pengetua dan dibantu 21 kakitangan terdiri daripada beberapa jawatankuasa kecil termasuk pelajaran, keceriaan, pemakanan dan kokurikulum.

Daripada jumlah itu, 22 adalah murid Sekolah Kebangsaan Bukit Payung dan selebihnya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payung (127 orang), SMK Tun Telanai (11 orang) dan seorang di SMK Padang Midin.

Katanya, berhadapan masalah kewangan sudah menjadi perkara biasa persatuan itu tetapi untuk melihat anak-anak yatim di bawah jagaannya mendapat pendidikan sempurna dan tempat tinggal yang selesa, apa saja difikirkan perlu akan diusahakan.

"Tebal muka ke hulu ke hilir, dari pejabat ke pejabat untuk mencari dana tampung perbelanjaan sudah menjadi kebiasaan. Dahulu, untuk mendapatkan sumbangan kita yang pergi meminta tapi sekarang ramai dermawan akan cari kita," katanya.

"Di asrama, program dakwah menjadi pengisian seperti kuliah Maghrib dan Subuh, kelas al-Quran, program Qiamullail, khatam Quran peringkat asrama serta acara tahunan seperti pertandingan nasyid, tilawah al-Quran dan kuiz agama," katanya.

Bagi menyediakan penginapan yang selesa, dua blok asrama baru dibina pada tahun 2003 melibatkan tiga bilik tuisyen untuk kegunaan pembelajaran dan perbincangan berkumpulan serta sebuah makmal komputer dengan 35 buah komputer.

''Kita mahu jadikan asrama Darul Falah sebagai komplek anak yatim serba lengkap yang akan terus memayungi dan membela mereka yang tidak bernasib baik ini," ujarnya.

Perkasa juga mempelbagaikan perkhidmatan dan bantuan kepada masyarakat umum yang memerlukan melalui khairat kematian, bantuan malapetaka, penyakit kronik, bantuan persekolahan dan melanjutkan pelajaran.

Kira-kira RM1 juta diperlukan bagi menampung keperluan asrama dan program kebajikan setiap tahun manakala hasil pendapatan terkumpul sekitar lebih RM1 juta hingga lebih RM2 juta setiap tahun.

''Jumlah pendapatan keseluruhan sehingga Ogos lalu sebanyak RM1.567 juta, di mana RM828,000 hasil harta persatuan, RM260,000 sumbangan derma dan RM467,000 geran tahunan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pelajaran dan Maidam.

Aset persatuan termasuklah ladang kelapa sawit seluas 611 hektar di Hulu Cukai Kemaman melalui usahasama dengan sebuah syarikat di samping di Seri Bandi seluas 47.28 hektar kurniaan kerajaan negeri dan diusahakan sendiri.

"Penglibatan Perkasa dalam sektor perladangan sawit di di Hulu Cukai dijangka melonjakkan pendapatannya daripada lebih RM300,000 kepada RM1 juta tahun depan menjelang 2013.

Perkasa juga mempunyai 13 lot premis yang disewakan bagi mendapatkan pulangan tetap di samping melabur dalam perusahaan burung walet dengan mendirikan rumah burung di ladang di Kemaman dan ubahsuai bangunan tiga tingkat di Kuala Terengganu.

''Kita kini merancang membina sebuah kompleks perniagaan empat tingkat di Pengadang Baru Marang dengan anggaran kos RM2 juta yang dijangka dimulakan tahun depan.

''Juga sebuah kompleks perniagaan tiga tingkat yang bakal dijadikan hotel di bandar Kuala Berang dengan kos RM2.2 juta di samping Kompleks Perkasa dua tingkat di tapak asrama yang dianggarkan bernilai lebih RM2.5 juta melalui peruntukan kerajaan negeri," ujar beliau.

Katanya, pembelian tanah dan membangunkannya tidak melibatkan apa -apa risiko malah memberi keuntungan lebih besar.

Full content generated by Get Full RSS.

Sekolah pertama terima RM100

Posted:

Sekolah pertama terima RM100

Sekolah pertama terima RM100

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

KOTA BHARU 16 Nov. - Wang sumbangan bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap murid sekolah rendah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2012 di Parlimen bulan lalu mula dinikmati di negeri ini, semalam.

Seramai 344 murid daripada keluarga miskin di Sekolah Kebangsaan Padang Kala, Peringat di sini menjadi penerima pertama wang tersebut yang disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan tersebut berkata, penyerahan wang itu menandakan kerajaan menunaikan apa yang telah dijanjikan sebelum ini dan membuktikan bahawa kerajaan peka kepada kebajikan rakyat.

"Sebanyak RM34,400 wang tersebut diagihkan hari ini. Banyak lagi sekolah akan menerima wang ini kerana ia telah dijanjikan sebelum ini kepada rakyat.

"Asalnya wang ini terdapat dalam Bajet 2012 tetapi kita memikirkan balik lebih baik ia diberi awal-awal sebelum tamat sesi persekolahan tahun ini," katanya selepas Majlis Sumbangan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Padang Kala di sini petang semalam.

Sementara itu seorang penerima, Nur Fatihah Izzati Faizal Azman, 12, ketika ditemui gembira dengan pemberian sumbangan daripada kerajaan itu.

"Saya mahu beli alat tulis, pakaian dan kasut sekolah baru. Hari ini dapat RM100 jadi mesti cukup untuk belanja barang-barang sekolah bagi sesi persekolahan tahun depan," katanya.

Rakannya, Nur Haslinda Abdul Manaf, 12, turut bersyukur kerana bantuan tersebut mampu mengurangkan beban untuk ibu bapanya membeli kelengkapan sekolahnya.

"Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan. Saya sebelum ini tidak pernah menerima apa-apa sumbangan atau pun biasiswa jadi bila tahu akan dapat duit saya sangat gembira.

"Bolehlah kurang sikit perbelanjaan untuk beli peralatan sekolah terutama alat tulis dan pakaian," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kebakaran: 2 sahabat tinggal sehelai sepinggang

Posted:

Kebakaran: 2 sahabat tinggal sehelai sepinggang

Kebakaran: 2 sahabat tinggal sehelai sepinggang

KOTA BHARU 16 Nov. - Dua sahabat tinggal sehelai sepinggang apabila rumah sewa yang mereka duduki terbakar di Kampung Lundang, dekat sini petang semalam.

Kejadian berlaku pukul 5.30 petang ketika Amirullah Abidin, 49, dan Mohd. Johari Mohd. Yusof, 50, sedang bekerja di sebuah premis kira-kira 200 meter dari rumah mereka.

Menurut Amirullah, salah seorang rakannya memaklumkan mengenai kejadian itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Sebaik membaca SMS itu, saya berlari ke arah tingkap pejabat untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati rumah saya sedang terbakar," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Amirullah berkata, kesemua barangan yang ada di dalam rumah musnah dalam kebakaran tersebut.

Katanya, rumah tersebut disewa oleh majikannya untuk kemudahan pekerja.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pukul pukul 5.49 petang.

Menurutnya, seramai 13 anggota dari Balai Darul Naim dan Kota Bharu bersama tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian namun sebaik sahaja tiba, hampir 80 peratus rumah itu sudah terbakar.

"Punca kebakaran itu masih disiasat. Kerugian awal yang dialami dianggarkan kira-kira RM50,000," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved