Khamis, 17 November 2011

Utusan Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Fanatik hobi mewah

Posted:

Fanatik hobi mewah

Fanatik hobi mewah

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN


DiablO merupakan kereta pertama dalam keluarga Lamborghini tetapi ia kemudiannya digantikan dengan model Lamborghini MurciƩlago.


KETAKSUBAN untuk memiliki kereta berkuasa tinggi dan mewah jelas dikaitkan dengan golongan lelaki. Golongan itu sememangnya tidak boleh dipisahkan dengan dunia automotif.

Bagi pemilik kereta seperti itu, naluri atau keinginan mereka pastinya mudah tergoda dengan deruman enjin berkuasa tinggi, kelajuan maksimum dan daya kemampuan injap dan kemasan komponen kereta umpama kerlipan emas serta permata.

Oleh sebab itu, kereta-kereta mewah sering menjadi rebutan para jutawan untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada koleksi kekayaan mereka.

Malah ada di antara mereka sekadar membelinya hanya kerana ingin menjadi orang paling terawal mendapatkan keluaran terbaru sesuatu model kereta yang baru sahaja dipasarkan.

Maka tidak hairanlah mengapa golongan jutawan mempunyai hobi membelanjakan wang berjuta-juta ringgit semata-mata untuk mendapatkan kenderaan yang diidamkan.

Tidak cukup dengan sekadar memiliki kereta mewah, kereta antik seperti Bugatti Atlantic Model 1936 yang dijual dengan harga RM130 juta turut menjadi sasaran golongan tersebut.

Baru-baru ini, Mega menjadi antara media yang berpeluang melihat secara dekat kehebatan jenama kereta mewah seperti Ferrari, Lamborghini, Porsche dan Rolls Royce.

Menerusi ekspedisi konvoi kali kedua, Franck Muller Super Tour 2011 yang diadakan di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Kuala Lumpur, itu menarik perhatian lebih 30 buah supercar dari Malaysia, Singapura dan Hong Kong.

Lebih mengujakan lagi apabila konvoi itu turut disertai tiga buah kereta yang sukar untuk ditemui di atas lebuh raya - Pagani Zonda F, Mercedes DTM CLK dan Ferrari Superamerica F1 .

Kemewahan jenama Pagani Zonda F misalnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Ia merupakan antara supercar paling laju pernah dihasilkan manusia.

Eksklusifnya bukan sekadar pada reka bentuk kokpit seperti kereta Formula Satu (F1), bahkan kelibat Pagani Zonda F di jalanan boleh diumpamakan satu dalam sejuta.

Begitu juga dengan Mercedes DTM CLK dan Ferrari Superamerica F1 yang dikategorikan sebagai spesies unik yang pastinya menarik perhatian setiap yang memandang.

"Peluang berkonvoi bersama barisan kereta mewah sangat jarang dilakukan lebih-lebih lagi untuk menikmati kepuasan pemanduan kelas tertinggi," ujar Pengerusi Franck Muller Asia, Kelvin Chau.

Dalam ekspedisi merentasi tiga negara bermula dari Singapura, Malaysia dan Thailand itu, jenama jan Franck Muller yang cukup terkenal. Ekspidesi itu sebagai menghargai para pelanggannya.

"Kereta dan jam tangan mewah mewakili barangan mekanikal yang memberikan pengalaman yang berlainan di antara satu sama lain tetapi jika ia digabungkan banyak yang boleh dipelajari ketika mencuba fungsi-fungsinya.

"Sebab itu, Franck Muller mengutamakan ketulenan gaya mewah yang cukup sinonim dengan keberanian dan inovasi menerusi penguasaan teknikal," jelasnya.

Konvoi kali ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran pemilik kereta yang jarang dilihat di dunia seperti koleksi eksotik Pagani Zonda F yang amat eksklusif dan Mercedes DTM CLK edisi terhad yang hanya terdapat 50 dan 100 buah di dunia.

Selain itu, kereta Lamborghini Murcielago LP 670-4 SuperVeloce dengan 660 kuasa kuda dan Porsche Turbo 600 kuasa kuda turut mengambil bahagian dalam pengembaraan merentasi perjalanan sejauh 3,000 kilometer itu.

Kelvin yang juga merupakan salah seorang peminat kereta mewah berkata, sebahagian daripada pemilik kereta mewah dalam siri penjelajahan kali ini ingin mencuba kemampuan jentera masing-masing.

"Ada antara kereta-kereta ini hanya digunakan beberapa kali sahaja dan ada juga yang hanya disimpan di rumah.

"Namun apa gunanya jika mereka membeli kereta tersebut tanpa mencuba kemampuan kenderaan itu," katanya.

Kelvin mengakui yang kebanyakan pemilik kereta mewah itu tidak lokek berbelanja besar andai bertekad mendapatkan model kereta idaman.

"Untuk membeli sebuah kereta idaman, pemilik itu tidak boleh bersikap terburu-buru. Sebaliknya ambil sedikit masa untuk menyelidik serta membuat perbandingan harga.

"Apabila jumpa yang berkenan dan kebetulan harga ditawarkan berbaloi, baru beli. Jangan hanya utamakan kepuasan hobi," ujarnya.

Tambahnya, konvoi kali ini pastinya lebih mencabar kerana keadaan banjir di Thailand. Walau bagaimanapun, pihaknya telah diberitahu yang perjalanan ke sana masih selamat untuk diteruskan.

Pemilik Pagani Zonda F, Michael Choi, 43, berkata, memiliki sebuah kereta mewah juga umpama pelaburan yang bijak.

"Sebelum membeli kereta ini empat tahun yang lalu, saya mencuba Lamborghini Gallardo. Tetapi selepas mencuba Pagani Zonda F saya terus jatuh cinta dengannya.

"Malah saya berpuas hati membelinya kerana kemampuan kereta ini amat luar biasa," jelasnya yang berasal dari Hong Kong.

Michael berkata, kereta Pagani Zonda F itu dibelinya dengan harga RM5 juta.

Bagaimanapun, kereta idaman itu bukan kereta termurah pernah dibeli tetapi ada pelbagai model lain yang disimpannya sebagai koleksi peribadi.

"Hobi mengumpul kenderaan mewah boleh dikatakan sesuai buat golongan berduit serta profesional sahaja.

"Ini kerana, setiap kenderaan mewah memerlukan pelaburan ratusan ribu dan berjuta setiap kali ingin membelinya.

"Kesabaran jitu diperlukan khususnya ketika sedang mencari model yang dihajati. Selain melayari Internet, pembeli perlu memperuntukkan sedikit masa untuk berkunjung dari satu kedai ke satu kedai yang lain untuk mencari kereta idaman mereka," katanya.

Ketika ditanya adalah dia tidak khuatir koleksinya itu rosak atau hilang diambil orang, Michael hanya sekadar tersenyum.

"Setakat ini saya belum berhadapan dengan masalah seperti itu.

"Lagipun, saya tidak perlu bimbang kerana kereta mewah seperti Pagani Zonda F dan lain-lain dilengkapi dengan sistem pengesan kedudukan kenderaan berdasarkan satelit," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved