Khamis, 17 November 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


MPSP sambung operasi roboh

Posted:

MPSP sambung operasi roboh

MPSP sambung operasi roboh

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my.


Penguat kuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai meroboh struktur gerai haram yang di bina di Taman Pelangi, Juru, Bukit Mertajam, semalam.


BUKIT MERTAJAM 16 Nov. - Setelah dihentikan hampir sembilan bulan lalu, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyambung semula operasi merobohkan gerai haram di kawasan perumahan Taman Pelangi, Juru di sini.

Kira-kira 80 anggota penguat kuasa MPSP dan polis menyertai operasi fasa kedua tersebut yang telah dimulakan sejak tiga hari lalu.

Dalam operasi kira-kira pukul 8 pagi itu, beberapa gerai haram yang telah dikosongkan oleh peniaga diroboh.

Turut 'dibersihkan' dalam operasi itu adalah penyambungan haram yang dibuat di premis-premis perniagaan yang diwujudkan di kawasan tersebut.

Ahli Majlis MPSP, M. Ramachandaran ketika dihubungi berkata, operasi tersebut melibatkan aktiviti meroboh struktur gerai dan penyambungan haram yang telah ditinggalkan oleh peniaga.

Kata beliau, pada operasi fasa pertama, satu perbincangan diadakan dengan peniaga di mana mereka bersetuju untuk berpindah ke premis baru.

''Selain itu, MPSP juga mengeluarkan notis baru-baru ini meminta mereka meroboh sendiri struktur premis masing-masing.

''Namun, disebabkan ada peniaga yang agak 'liat' untuk melakukannya, MPSP terpaksa bertindak tegas dengan meroboh premis tersebut," katanya.

Pada Februari lalu, MPSP melakukan operasi besar-besaran bagi meroboh gerai haram yang wujud di situ selepas menerima banyak aduan daripada penduduk.

Sebahagian besar gerai haram yang 'tumbuh' di situ merupakan rumah tingkat bawah di kebanyakan blok di taman perumahan itu yang telah diubah suai menjadi premis perniagaan.

Lebih memburukkan keadaan, ada pemilik premis yang melakukan penyambungan secara haram dan menyewakannya kepada warga asing untuk berniaga.

Full content generated by Get Full RSS.

Banjir di Kedah tiada kaitan dengan Thailand

Posted:

Banjir di Kedah tiada kaitan dengan Thailand

Banjir di Kedah tiada kaitan dengan Thailand

ALOR SETAR 16 Nov. - Banjir yang melanda negeri ini berpunca taburan hujan tinggi dan bukan disebabkan limpahan air sungai dari sungai-sungai di Thailand.

Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, sungai-sungai di Kedah tidak mempunyai sambungan dengan sungai di Thailand.

"Macam di Kelantan, Sungai Golok bersambung dengan Sungai Kelantan namun sungai di Haadyai tidak bersambung dengan sungai di Kedah.

"Kita tidak berkongsi sungai yang sama dengan Thailand dan banjir yang berlaku di Kedah adalah disebabkan hujan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Saad Man (BN-Jitra) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Phahrolrazi berkata, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM500,000 untuk membaiki tebing Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit yang terlibat dengan banjir besar tahun lalu.

"Kerja-kerja mengorek Sungai Anak Bukit juga telah dijalankan bagi menstabilkan sungai tersebut yang merupakan antara sungai utama di bandar raya ini.

"Kita sedar kepentingan Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit yang membawa air dari kawasan bandar ke laut," ujarnya.

Selain itu, Phahrolrazi menjelaskan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri juga telah diberi peruntukan sebanyak RM200,000 tahun ini untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit.

"Pihak kami juga bercadang menambah peruntukan membersihkan sungai kepada JPS namun ia bergantung dengan jumlah peruntukan yang diterima daripada kerajaan pusat," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Persatuan Penanam Nanas Kedah ditubuh untuk elak lambakan

Posted:

Persatuan Penanam Nanas Kedah ditubuh untuk elak lambakan

Persatuan Penanam Nanas Kedah ditubuh untuk elak lambakan

ALOR SETAR 16 Nov. - Kerajaan Negeri Kedah menubuhkan Persatuan Penanam Nanas Kedah bagi mengelakkan berlakunya lambakan buah nanas apabila semakin ramai petani menceburkan diri dalam sektor penanaman tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, persatuan itu dianggotai 100 penanam nanas berskala sederhana dan besar.

"Kita minta ahli-ahli persatuan ini supaya membuat jadual tanaman nanas supaya tidak berlaku lambakan nanas di pasaran.

"Nanas adalah satu tanaman yang tidak bermusim jadi kita memang boleh rancang pengeluaran nanas sepanjang tahun cuma kita tidak mahu berlaku lambakan buah itu sehingga menyebabkan kerugian kepada petani," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Datuk Md. Rohsidi Osman (Pas-Bukit Pinang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Menurutnya, kini terdapat kira-kira 4,000 hektar tanah terbiar sesuai untuk penanaman nenas dan kerajaan negeri akan memberikan bantuan kepada mereka yang ingin terlibat dalam penanaman buah tersebut.

"Kedah merupakan negeri kedua yang menjadi pengeluar terbesar nanas negara ini namun pihak kami sasar untuk menjadi negeri pertama pengeluar nanas negara.

"Sekarang pengeluaran nanas di Kedah kira-kira 13,417 metrik tan setahun dengan nilai RM21.24 juta dan kita yakin jumlah ini akan meningkat dengan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan," jelasnya.

Amiruddin memberitahu, pihaknya juga turut menggalakkan usahawan tempatan menceburkan diri dalam bidang pemprosesan nanas di dalam tin supaya tanaman itu dapat dikomersialkan.

"Banyak yang boleh kita lakukan dengan nanas ini seperti buat jus, puri dan kulit nanas juga boleh dijadikan makanan tambahan untuk haiwan.

"Buat masa ini nanas yang ditanam dijual kepada pemborong dan dijual terus kepada pembeli dan kita juga ada sebuah kilang untuk memproses nanas di dalam tin di Sungai Petani,"katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved