Khamis, 17 November 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Amah: Keputusan ‘tidak menyusahkan’

Posted:

Amah: Keputusan 'tidak menyusahkan'

Amah: Keputusan 'tidak menyusahkan'

Oleh Hassan Mohd. Noor


Najib Tun Razak (kiri) dan Susilo Bambang Yudhoyono (kanan) mengetuai mesyuarat dua hala Malaysia-Indonesia pada kesempatan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Nusa Dua, Bali, Indonesia, Rabu lalu. – Agensi


DIANGGARKAN kira-kira 50,000 majikan di Malaysia berasa lega apabila Indonesia bersetuju menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah yang bermula sejak 26 Jun 2009. Langkah itu tentunya menamatkan banyak masalah yang dihadapi terutama mereka yang sangat-sangat memerlukan khidmat pembantu rumah. Paling terasa tentulah pasangan muda suami isteri yang bekerja dan baru mendapat anak.

Di samping kelegaan di pihak majikan, pada masa yang sama juga kira-kira 50,000 pembantu rumah Indonesia bersiap sedia untuk memasuki Malaysia. Walaupun pembekuan itu ditarik balik mulai 1 Disember ini tetapi kemasukan dijangka berlaku selewat-lewatnya pertengahan bulan Januari 2012 selepas selesai mengikuti kursus yang ditetapkan.

Penarikan balik pembekuan itu menjadi kenyataan setelah berlangsung mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Nusa Dua, Bali pada Rabu lalu.

Pertemuan itu diadakan sejurus Najib tiba untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 yang bermula semalam.

Bertempat di Hotel Ayodya, Susilo menanti kedatangan Najib serta rombongan. Sejurus ternampak kehadiran Najib di luar ballroom tempat berlangsungnya pertemuan itu, dari jauh, Susilo mengucapkan: ''Assalamualaikum, selamat datang kembali. Apa khabar?"

Mereka kemudiannya berjabat tangan. Sebelum ini, pastinya mereka bertemu sebagai pemimpin di Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Honolulu, Hawaii baru-baru ini.

Pada Oktober lalu, mereka bertemu di Lombok, Nusa Tenggara Barat,dalam Perundingan Tahunan Ke-8. Pertemuan di Lombok antara lain turut membincangkan isu pembekuan pembantu rumah. Dan hasil pertemuan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan bagi mengkaji beberapa isu berkaitan yang kemudiannya perlu dibawa dalam pertemuan berikutnya di Bali.

Kini semuanya sudah berakhir. Pertemuan mesra petang kelmarin menamatkan penantian ribuan majikan Malaysia. Begitu juga dengan ribuan tenaga kerja Indonesia (TKI) yang ingin mencari rezeki di Malaysia.

Kata Najib, persetujuan itu menggambarkan keikhlasan Susilo yang bersedia menyelesaikan segala permasalahan yang timbul untuk kepentingan bersama. Baginya keputusan itu tidak menyusahkan mana-mana pihak sama ada di pihak majikan atau pembantu rumah. Malahan ia boleh dianggap sebagai situasi menang-menang.

Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumah berikutan beberapa kes penderaan dan penganiayaan terhadap pembantu rumah dari negara itu. Turut ditimbulkan isu berkaitan majikan tidak membayar gaji atau meminta pembantu rumah melakukan kerja lebih masa.

Ketika pembekuan dibuat, dianggarkan terdapat lebih 300,000 wanita Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah dengan 3,000 dihantar setiap bulan.

Berikutan itu, ramai majikan yang terpaksa mengambil pembantu rumah dari negara lain termasuk Kemboja dan Filipina.

Kini terserah kepada agensi pekerjaan, majikan dan pembantu rumah untuk 'menghargai' keputusan yang telah dibuat oleh kedua-dua pemimpin berjiran ini.

Mereka janganlah 'mengkhianati' apa yang telah dipersetujui.

Bagi majikan, jangan melakukan sesuatu yang boleh menyakiti hati pembantu rumah. Seperti yang pernah diingatkan Najib sebelum ini, supaya bakal majikan tidak melakukan apa-apa penganiayaan, penderaan fizikal dan psikologi sebab ini akan membuat mereka terhiris hati.

''Walaupun satu dua kejadian yang menimpa tetapi kerana nila setitik rosak susu sebelanga''.

Majikan perlu menjadi majikan yang baik. Peraturan baru menetapkan mereka hanya boleh membuat potongan sebanyak RM1,800 daripada kos yang mereka dahulukan kepada pekerja dengan memotong gaji tidak lebih daripada 50 peratus sebulan.

Majikan juga berhak mendapat semula wang mereka yang dikeluarkan sekiranya pembantu rumah melarikan diri dalam tempoh enam bulan. Bagaimanapun agensi pekerjaan boleh mengganti dengan pembantu rumah yang baru.

Kos pengambilan pembantu rumah pula ditetapkan RM4,511.

Diharapkan peraturan ini dapat memastikan agensi pekerjaan lebih berhati-hati mengambil pekerja mereka supaya tidak timbul masalah mengembalikan semula wang atau mencari pekerja baru.

Ketika ini majikan di Malaysia perlu melunaskan bayaran agensi antara RM7,500 hingga RM8,000 menyebabkan gaji pembantu rumah dibayar lebih rendah antara RM350 hingga RM450 sahaja.

Mengikut kajian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), majikan bersedia membayar RM700 sebulan asalkan kos untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah dapat dikurangkan.

Di pihak pekerja pula, mereka layak mendapat cuti sehari dalam seminggu atau mendapat bayaran yang ditetapkan mengikut akta pekerjaan jika dipanggil bekerja pada hari berkenaan. Mereka juga dibenarkan memegang sendiri pasport.

Seperkara lagi, setiap bakal pembantu rumah perlu menjalani kursus selama 200 jam atau 21 hari. Diharapkan kursus ini dapat memberi pelbagai pendedahan bukan sekadar mengenai bidang tugas semata-mata. Ini bagi melahirkan pembantu rumah yang lebih memahami kehendak dan budaya majikan mereka.

Kepada pembantu rumah, bekerjalah dengan jujur dan ikhlas. Jangan menimbulkan kebimbangan di kalangan majikan.

Apa yang penting, wujudkan keharmonian majikan dan pembantu rumah dengan sikap saling hormat menghormati.

Full content generated by Get Full RSS.

Siapa layak dipilih jadi pemimpin?

Posted:

Siapa layak dipilih jadi pemimpin?

Siapa layak dipilih jadi pemimpin?

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

SUDAH beberapa kali jangkaan tarikh pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 menjadi teka-teki dan pada tarikh 11 November lalu ramai yang membuat perhitungan, Perdana Menteri yang baru pulang dari mengerjakan haji akan membuat pengumuman atas andaian mendapat petunjuk sudah tiba masanya.

Bagaimanapun, dalam teka-teki tersebut, banyak juga lontaran pendapat mengenai bakal calon yang akan dipilih. Dari sudut pandangan Perdana Menteri, calon yang boleh menjamin kemenangan itulah yang akan diberikan peluang, kerana dalam politik perjuangan, kepentingan pertubuhan yang diwakili itu adalah lebih penting daripada kemenangan peribadi.

Dalam situasi sedemikianlah maka ada di antara kita mula memikirkan, bagaimana untuk menentukan wajah sebenar pemimpin yang kita impikan.

Adakah kita memerlukan seorang pemimpin yang memimpin dengan berkesan atau seseorang yang hanya kelihatan warak?

Watak-watak seperti itu memang sentiasa hadir dalam politik Malaysia. Ada mereka yang warak, tetapi tidak boleh memimpin dengan berkesan dan jahil dengan selok-belok pengurusan.

Jawapan yang pasti ialah kita memerlukan seseorang pemimpin yang dapat memenuhi dua sifat tersebut, iaitu warak dan mahir dengan soal-soal pengurusan.

Pengutamaan sepatutnya diberikan kepada mereka yang mempunyai dua kelebihan ini dan bila tidak dapat kedua-duanya maka yang mempunyai kemampuan mengurus itulah yang patut didahulukan sebagaimana urutan yang disebutkan di dalam al-Quran itu, Surah al-Qasas ayat 26.

Mereka yang warak adakalanya tidak mampu memimpin dengan baik kerana melihat dirinya dalam konteks kesempurnaan peribadi. Orang seperti inilah yang telah menimbulkan banyak kekalutan dalam masyarakat.

Sifat waraknya telah menyebabkan dirinya dinilai yang terbaik, tidak ada cacat dan cela. Cara itu akhirnya menjerumuskan pemimpin yang warak itu dalam bingkai pemujaan peribadi yang melampau.

Rakyat terus teruja dan memuja pemimpin itu sehingga melihat kesalahan yang dilakukan tidak mendatangkan musibah. Penderitaan dan kesusahan rakyat bukan salah pemimpin, ia adalah takdir yang telah ditentukan.

Kemiskinan rakyat bukan kerana kegagalan pemimpin untuk menyediakan ruang dan peluang, tetapi ia adalah hakikat yang mesti diterima tanpa banyak soal.

Pemimpin yang warak tidak dinilai telah gagal sedangkan rakyat meletakkan harapan yang besar agar nasib mereka dapat diperbaiki. Seorang pemimpin yang warak sentiasa menggugah emosi, mendorong pengikutnya agar lebih banyak bersabar dan memikirkan bahawa kehidupan sebenarnya bukanlah untuk mencipta kemewahan dan kesempurnaan di dunia.

Dunia hanyalah pinjaman dan segala apa yang dimiliki tidak akan menjamin kebahagiaan di akhirat. Itulah putaran ganas politik yang dimainkan oleh pemimpin yang sentiasa menampilkan dirinya sebagai orang yang warak.

Atas kegagalan pemimpin yang warak menguruskan segala sumber dengan berkesan, setiap kali dibangkitkan kelemahan-kelemahan itu akan diserang pula bersama kesimpulan, orang yang sentiasa mendorong kepada perubahan telah mengetepikan agama.

Apabila orang mempersoalkan apakah telah dilakukan sepanjang tempoh menjadi pemimpin, jawabnya juga mudah, semakin ramai rakyat memahami Islam?

Benarkah pemimpin yang warak itu berupaya meningkatkan kefahaman mengenai Islam kepada pengikutnya? Jika benar, maka secara jelas kita tidak akan mempunyai perangkaan gejala sosial yang sentiasa meningkat setiap tahun.

Tentunya juga petunjuk buang bayi, penagihan dadah, pecah rumah, maksiat dan penghidap HIV/AIDS tidak membimbangkan. Tentunya juga perpecahan dalam masyarakat tidak melebarkan sengketa dan pemencilan silaturrahim.

Al-Quran memberikan peringatan agar membuat keputusan secara bijaksana untuk memilih pemimpin. Bahkan, ketika ditanya mengenai dua orang calon pemimpin, Imam Ahmad Ibnu Hanbal menjelaskan, tidak mudah untuk mencari seorang pemimpin yang dapat memenuhi kedua-duanya.

Pemimpin pertama menunjukkan kekuatan fizikal tetapi banyak berbuat dosa. Pemimpin kedua, warak tetapi lemah dalam kepimpinan.

Jawab Imam Ahmad Ibnu Hanbal, "Orang pertama, dosanya dipikul sendiri sedangkan kekuatannya mendukung kepentingan ummah; dan orang kedua kewarakannya adalah untuk diri sendiri sedangkan kelemahannya membawa petaka kepada orang yang dipimpinnya." Maka yang sepatutnya kita pilih ialah orang pertama kerana sentiasa mencari jalan untuk mensejahterakan orang yang dipimpinnya.

Dalam memilih pemimpin, Nabi Muhammad SAW bersabda: Siapa yang mengangkat seseorang untuk satu jabatan yang berkaitan dengan urusan masyarakat sedangkan dia mengetahui ada yang lebih tepat, maka sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah, Rasul dan kaum Muslim. Maknanya, seseorang yang kelihatan warak itu belum tentu boleh mengurus dengan berkesan dan ini telah dibuktikan.

Ada pemimpin yang hanya bercakap mengenai dosa dan pahala bila mendekati pengikutnya, tetapi dalam masa yang sama memaki-hamun orang yang tidak sehaluan dengan pandangan dan keputusannya.

Pemimpin sedemikian sebenarnya telah lupa bahawa menjadi pemimpin adalah tanggungjawab. Prinsip tanggungjawab ini meliputi membantu menyelesaikan masalah rakyat dan meletakkan kekudusan niat mencari keredhaan Allah SWT.

Pemimpin tersebut tidak sombong, sentiasa merendahkan diri dan berkorban kepada rakyat. Ini tidak berlaku dalam sesetengah pemimpin yang menampakkan dirinya yang warak, kerana kewarakan itulah menjadikan dirinya terperangkap dalam kata-kata, manis sebelum dapat kuasa, setelah berkuasa memupuk budaya sempit, jumud dan keterlaluan sehingga semuanya buruk kecualilah dirinya sendiri.

Semuanya salah dan mengundang kecelakaan kecualilah menerima kesehaluan makna dengan corak politik, kuasa yang ada dipertahankan selagi hayat dikandung badan, manakala orang lain sudah lama mendesak agar berundur, kerana kewarakan itu tidak mampu menepis kegagalannya mengurus masalah rakyat.

Inilah wajah pemimpin yang seharusnya ditolak, kerana kewarakannya tidak boleh menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik, kewarakan digunakan sebagai kriteria mengekalkan kuasa dan menjerut emosi beragama.

Nilai-nilai agama diperdagangkan sehingga melahirkan tingkah politik dan kecurangan, rakyat menjadi semakin jumud dan tidak berani berubah.

Kalau hanya warak menjadi pilihan, kenapa Allah SWT tidak memilih malaikat untuk menjadi khalifah?

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved