Khamis, 22 Disember 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Usia berapa boleh memimpin?

Posted:

Usia berapa boleh memimpin?

Usia berapa boleh memimpin?

Oleh Saharuddin Musthafa

KEPADA mana-mana pemimpin politik Indonesia yang berusia 60 tahun ke atas, barangkali mereka terpaksa melupakan hasrat untuk bertanding kerusi nombor satu negara itu pada Pilihan Raya Umum 2014.

Usia lebih separuh abad itu dilihat bukan angka ideal untuk memimpin sebuah negara apa lagi bagi negara demokrasi seperti Indonesia yang menuntut aliran pemikiran tokoh yang dinamik seiring dengan tuntutan semasa.

Sejak kebelakangan ini, faktor usia seorang tokoh yang bakal menggantikan kerusi yang diduduki Susilo Bambang Yudhoyono sebagai Presiden Indonesia menjadi polemik. Perdebatan mengenai calon yang sesuai mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan memasuki dimensi baru.

Penelitian terhadap calon-calon yang akan bertanding kini memasuki fasa perbandingan usia dengan kemampuan daya berfikir serta kepimpinan. Sejauh mana tokoh berusia lebih 60 tahun boleh menjadi ketua sebuah negara? Apakah mereka memiliki keupayaan membangunkan bangsa Indonesia? Pada satu perspektif lain, apakah soal menguruskan sesebuah negara boleh diletakkan di bahu pemimpin muda yang tidak memiliki pengalaman? Inilah isu yang yang menjadi tumpuan masyarakat.

Memilih seorang pemimpin biarlah berteraskan segenap aspek kemampuannya, bukan bersandarkan pada populariti semata-mata. Tokoh yang sudah mencecah usia 60 tahun dilihat sebagai tidak lagi relevan untuk memimpin lebih 240 juta rakyat Indonesia. Indonesia dalam tempoh tiga tahun lagi bakal menyaksikan pelbagai cabaran besar yang mencakupi segenap aspek landskap sosio budayanya.

Justeru, personaliti yang akan menggantikan Susilo kelak biarlah memiliki sosok pemikiran yang matang dan paling utama berada dalam lingkungan usia 45 hingga 55 tahun.

Rumusan yang dibuat bekas Ketua Majlis Perwakilan Rakyat (MPR), Amien Rais itu mengundang perbincangan di kalangan politikus-politikus tempatan. Pelbagai reaksi diterima, ada yang bersetuju dengan pendapat Amien bahawa tokoh berusia lebih 60 tahun hanya akan menyulitkan proses penyuburan demokrasi di negara itu.

Tidak kurang yang menolak pandangan Amien kerana kepada mereka usia bukanlah kayu ukur untuk memimpin sesebuah negara.

Biarpun pemilihan presiden hanya akan berlangsung pada 2014, namun ketika ini, enam tokoh politik Indonesia sudah dinamakan sebagai calon yang akan menandingi kerusi tersebut.

Mendahului senarai ialah tokoh korporat ternama Aburizal Bakrie yang juga pemimpin tertinggi parti Golkar disokong oleh partinya untuk bertanding kerusi berkenaan. Aburizal kini berusia 65 tahun dan pernah berada dalam Kabinet Indonesia sebelum digugurkan pada 2005.

Hatta Rajasa yang berusia 58 tahun pemimpin Amanat Nasional (PAN) juga sudah dinamakan sebagai wakil parti berkenaan untuk mengambil alih kerusi besannya, Susilo pada 2014.

Megawati Soekarnoputri juga disebut-sebut berminat untuk bertanding tetapi parti pimpinannya, Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P) belum lagi mengumumkannya. Beliau pula pada 2014 akan berusia 68 tahun dan pernah menduduki jawatan Presiden Indonesia kelima pada pada 23 Julai 2001 ketika berusia 54 tahun

Dua nama lain yang tidak kurang popularnya ialah bekas jeneral, Prabowo Subianto yang kini berusia 60 tahun dan Mahfud MD, 54, juga memasuki senarai berkenaan. Tidak ketinggalan, bekas Menteri Kewangan Indonesia yang kini Pengarah Urusan Bank Dunia, Sri Mulyani Indrawati, 49, pula dinamakan oleh parti pimpinannya, Serikat Rakyat Independen (SRI) pada 12 November lalu sebagai calon presiden 2014.

Lalu siapakah dari kaca mata Amien yang layak diangkat sebagai calon Presiden Indonesia pada 2014?

Menurut Amien, sebolehnya biarlah calon itu terdiri daripada orang muda yang memiliki daya pemikiran yang tajam serta mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi.

"Ini bermakna generasi saya seperti Wiranto, Megawati sudah berat (sukar) bahkan hampir mustahil," komen beliau mengenai rakan seangkatannya.

Pada masa masa, Amien tidak bersetuju tokoh muda yang berusia kurang daripada 45 tahun diangkat sebagai calon presiden kerana dinilai terlalu muda untuk memimpin negara kerana golongan ini disifatkannya sebagai kurang matang. Indonesia dari kaca mata politikus ternama ini memerlukan seorang pemimpin yang tidak terlalu tua dan tidak juga muda.

"Katakanlah umur antara 45 hingga 55 tahun dan terdiri daripada golongan intelek pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya," jelasnya mengenai latar belakang calon yang wajar diberi peluang memimpin negara.

Namun begitu, daripada penelitian beliau, beberapa tokoh Indonesia yang dinilai Amien (tentunya yang berusia lebih 60 tahun) sebagai berpotensi memimpin negara pada masa depan ialah Hatta Rajasa, Prabowo dan Sri Mulyani serta seorang tokoh kanan dari PDI-P, Pramono Anung.

Cadangan Amien, kepada mana-mana calon yang berhajat menjadi Presiden Indonesia kelak harus memiliki pelan induk pembangunan sektor ekonomi negara itu.

"Seandainya Hatta mahu jadi presiden beliau harus memiliki pelan induk Hattanomics, begitu juga Prabowono dengan Prabowonomics. Seperti di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dengan pelan induk Clintonomics dan Obamonomics," kata Amien menyuarakan cadangannya.

Pelan induk ekonomi seseorang pemimpin amat penting dan harus memiliki dadasar pelan pembangunan ekonomi yang berteraskan kepentingan rakyat.

Ketika Amien menyuarakan mengenai keperluan Indonesia memiliki pemimpin yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Marzuki Alie pula menegaskan, usia bukanlah kayu ukur untuk melahirkan pemimpin yang baik.

"Di China misalnya seorang pemimpin nasional berusia 60 tahun ke atas tetapi semuanya berhasil. Apa yang penting seseorang calon presiden harus memiliki integriti, keupayaan dan profesionalisme serta kesetiaan pada rakyat yang dipimpinnya," tegas Marzuki.

Pandangan Marzuki juga ada kebenarannya kerana Indonesia pernah dipimpin oleh presiden pertamanya, Soekarno ketika beliau berusia 44 tahun. Indonesia juga turut melakar kegemilangan di era Suharto yang pernah menjadi Presiden Indonesia sehingga usianya menjangkau 70 tahun.

Lantas, di usia berapa sebetulnya yang boleh ditakrifkan sebagai kayu ukur untuk menjadi pemimpin nombor satu Indonesia?

Di sinilah memerlukan kebijaksanaan rakyat negara itu membuat pilihan yang tepat untuk kemajuan bangsa mereka pada masa depan.

Full content generated by Get Full RSS.

Perpaduan ummah isu pokok dalam perjuangan Islam

Posted:

Perpaduan ummah isu pokok dalam perjuangan Islam

Perpaduan ummah isu pokok dalam perjuangan Islam

Oleh TOK KI

ANTARA perkara yang disebut oleh Datuk Dr. Hasan Ali dalam polemik yang sedang berlangsung adalah keengganan pucuk pimpinan Pas mengadakan kerjasama terhadap perpaduan ummah.

Pada hemat penulis isu perpaduan ummah adalah isu pokok dalam perjuangan Islam. Perbezaan pendekatan dalam situasi politik semasa adalah lazim. Ia bukan bermakna tidak ada langsung titik persamaan yang boleh menemukan kedua-dua pihak.

Orang yang arif membaca senario politik Malaysia akan sering berpendapat bahawa perpecahan sesama umat bakal membawa padah besar. Mencari titik-pertemuan bukanlah suatu hal yang mustahil.

Ia boleh berlaku sekiranya terdapat jiwa besar di kalangan kepimpinan politik melakukan muzakarah dengan jiwa pengorbanan dan tolak ansur yang tinggi demi kepentingan umat. Islam harus diletakkan di tempat yang tinggi mengatasi politik kepartian kerana ia boleh menjadi faktor unggul menyatukan kekuatan umat. Kalaulah soal negara Islam yang menjadi isu sekian lama, sekarang ini Pas sedang memperjuangkan negara berkebajikan.

Apa bezanya negara berkebajikan Pas dengan dasar kebajikan UMNO/BN yang telah berjalan sekian lama. Pas amat memahami perkara ini. Kalaulah sekian lama pertentangan Pas dengan UMNO berkait dengan negara Islam dan pelaksanaan Hukum Hudud apakah di bawah negara berkebajikan maksud negara Islam dan pelaksanaan hukum Hudud boleh terjadi.

Hasan Ali dalam usahanya memperkasa kedudukan Islam dalam pakatan pembangkang di Selangor menemui kebuntuan dan kekecewaan untuk mencegah kemungkaran sosial yang berleluasa dan pemurtadan berlaku dengan agresif dan terancang . Malah rakan dalam Pas tidak memberi kerjasama. Apa lagi rakan sepakatnya mencemuh apa yang dilakukannya.

Kalau begitu apa maksud negara berkebajikan yang ingin dibawa oleh Pas. Apakah ia menggambarkan pendekatan tolak ansur supaya jalur perjuangan Pas dapat diterima oleh PKR dan DAP. Kalau maksudnya begitu Pas telah melakukan perubahan besar yang lari dari haluan perjuangan sebenar.

Ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi malah kepimpinan Pemuda, Ulamanya sering membuat kenyataan bahawa matlamat akhirnya perjuangan mereka adalah untuk mendapat keredaan Allah dengan menegakkan akidah dan syariahnya di bumi ini.

Tidakkah ia bercanggah dengan maksud negara berkebajikan yang sedang diperjuangkan oleh sesetengah pihak dalam Pas. Kelantan berazam terus untuk melaksanakan hukum hudud. Tidakkah ini menjadi sesuatu yang amat tidak digemari oleh PKR dan DAP.

Pas pada hemat penulis sangat faham tentang hala tuju perjuangan PKR dan DAP. PKR berjuang mempertahankan Anwar Ibrahim yang sudah banyak hilang kredibilitinya. Abdul Hadi Awang sangat tahu tentang kedudukannya di bawah kepimpinan ulama dengan pengaruh "Edorgan" yang menjadi proksi kepada Anwar.

Apakah Pas hari ini mempunyai ketua dalam pakatan pembangkang yang 'bersih dan kelihatan bersih' dan bercita-cita untuk memperjuangkan maksud negara Islam dalam politik, ekonomi, pendidikan dan pembangunan sosial.

Pada hemat penulis, pendekatan yang diambil oleh Pas bakal meletakkan ia dalam kekecewaan yang besar suatu hari nanti, ibarat yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran. Hal yang sama juga terhadap hala tuju perjuangan DAP. Apakah DAP bersetuju dan cuba memahami konsep negara Islam yang luas membawa erti keadilan dan kebaikan untuk umat manusia.

Apakah yang menyebabkan DAP tidak dapat menjinakkan dirinya untuk memahami perjuangan asal Pas sehingga Pas terpaksa mengorbankan risalah perjuangan utama ke arah negara Islam yang syumul dan komprehensif. Sebaliknya, DAP tetap teguh dengan haluan besar perjuangannya untuk menegakkan negara Sosialis-Demokratik bertunjangkan konsep Malaysian Malaysiannya yang dijadikan agenda utama Lee Kuan Yew suatu ketika dulu.

Penulis tidak nampak dimana manfaat besar atau maslahah utama yang boleh dicapai oleh Pas untuk bersama dengan pakatan pembangkang. Jalan kembalinya Pas adalah menghubungkan semula muzakarah dan tekad supaya penyatuan dijadikan agenda penting umat Islam. Ia tidak bermakna Pas dan kelompok politik umat Islam lain harus memerangi yang bukan Islam.

Gabungan UMNO dan komponen lain dalam BN umpamanya adalah suatu bentuk kerjasama yang setakat ini masih boleh berjalan. Bayangkan sekiranya perpaduan sesama umat dimeterai, kuasa politik umat Islam tetap menjadi teras kepada kekuatan politik Malaysia.

Dengan jiwa dai' dan murabbi yang ada pada orang Pas peningkatan amal Islami boleh berlaku walaupun perbezaan tetap ada. Orang UMNO adalah orang Islam. Titik-temu boleh dicari. Sewaktu Datuk Asri menjadi anggota Kabinet kerajaan campuran di awal 70-an dulu, bulan dakwah seluruh Malaysia dilancarkan.

Perkembangan dakwah dan lahirnya badan-badan dakwah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Apakah ia mustahil boleh terjadi kerana generasi muda orang UMNO hari ini ramai yang mempunyai latarbelakang pendidikan agama yang baik.

Pas sepatutnya faham bahawa kuasa politik umat Islam sedang tergugat dan ia adalah pangkalan terakhir bagi mereka. Sekiranya pangkalan ini hancur bayangkan pangkalan ekonomi yang masih di bawah ekuiti 20 peratus akan turut terjebak, peluang anak-anak Islam untuk mendapat ruang belajar semakin sempit dan dasar baru yang lebih liberal dan humanis bakal lahir.

Rebahnya sebatang pokok bukanlah kerana mata beliung yang menjadi penyebabnya. Kayu yang bersama dengan beliung dijadikan sumber kekuatan untuk menyebabkan pokok rebah dan tumbang.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved