Jumaat, 9 September 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Kembara Merdeka semai patriotisme

Posted:

Kembara Merdeka semai patriotisme

Kembara Merdeka semai patriotisme

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankb@utusan.com.my


Ramly Yusof bersama Naib Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Bakri Mustafa (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk di Tanah Merah, baru-baru ini.


TANAH MERAH 8 Sept. – Deretan skuad konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan yang dihiasi pelbagai saiz Jalur Gemilang di atas kenderaan pacuan empat roda, mencuri tumpuan pengguna jalan raya di sekitar bandar dan beberapa daerah di sini baru-baru ini.

Diiringi dendangan lagu-lagu patriotik termasuk Jalur Gemilang yang bergema dengan rancak melalui corong radio daripada salah sebuah kenderaan, suasana tersebut menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan negara seperti sebelum ini.

Namun, sepanjang destinasi ke beberapa buah daerah dan kampung didapati, kesedaran masyarakat untuk memasang Jalur Gemilang di rumah, bangunan kedai atau kenderaan sebagai simbolik kepada sambutan kemerdekaan negara masih dingin.

Bagaimanapun, kehadiran skuad disambut meriah terutama oleh kanak-kanak yang berebut-rebut untuk memiliki Jalur Gemilang sama ada untuk dikibar atau dilekatkan pada kenderaan ibu bapa mereka.

Menurut Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Ramly Yusof, pihaknya menyedari kurangnya sokongan orang ramai sama ada yang tinggal di bandar atau di kampung untuk menghidupkan suasana sambutan merdeka apabila terlalu sedikit yang mengibarkan Jalur Gemilang di sebalik pelbagai kempen dilancarkan.

"Pertandingan kemerdekaan anjuran pelbagai pihak juga sedang berlangsung sebagai dorongan kepada orang ramai mengambil bahagian. Apa yang lebih penting sebenarnya bukan kemenangan tetapi melalui penyertaan, sekurang-kurangnya ia mengembalikan semangat patriotik dalam jiwa rakyat Malaysia," katanya.

Beliau ditemui semasa menyertai 10 kenderaan konvoi Kembara Jalur Gemilang Ramadan anjuran Jabatan Penerangan negeri di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Cheng di sini baru-baru ini.

Kehadiran skuad konvoi tersebut disambut oleh Pegawai Daerah, Zain Ismail; Pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan, Mohd. Nor Ridzuan Jamil dan Pegawai Trafik Daerah, Cif Inspektor Zamri Mustaffa.

Skuad yang disertai hampir 60 pegawai dan kakitangan jabatan di peringkat negeri dan daerah itu konvoi ke kampung-kampung di 10 jajahan di Kelantan untuk menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan.

Mereka turut membawa Jalur Gemilang pelbagai saiz, rantai kunci, pelekat kemerdekaan dan juga surah yasin untuk diagih-agihkan kepada pengguna jalan raya dan penduduk kampung sepanjang perjalanan.

Menurut Ramly, pihaknya menyediakan 500 Jalur Gemilang bagi setiap daerah yang dikunjungi, di samping menyediakan pek sumbangan berupa barangan keperluan harian termasuk beras dan makanan kering untuk diberikan kepada keluarga miskin, ibu tunggal, anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU).

"Hari ini masuk hari ke lapan skuad berbuka dengan penduduk kampung untuk bersama-sama menghidupkan kembali sambutan kemerdekaan negara. Biar pun bara bendera masih dingin, ia tidak melunturkan semangat kami untuk meneruskan misi.

"Situasi muram ini berlaku mungkin disebabkan kebanyakan masyarakat hari ini mendapat maklumat kurang tepat tentang pelbagai isu yang sengaja diputar belit oleh pihak-pihak tertentu," katanya.

Khabar angin itu katanya, sedikit sebanyak membantutkan semangat orang ramai untuk menyambut hari bersejarah itu nanti.

"Buat masa ini kurang 50 peratus masyarakat yang memasang Jalur Gemilang di rumah, bangunan kerajaan dan swasta, atas kenderaan dan pintu-pintu gerbang kecuali inisiatif yang dilakukan oleh beberapa buah sekolah.

"Begitu juga kunjungan kami ke sekolah-sekolah Arab kelolaan kerajaan negeri, kampung-kampung tradisi Melayu dan kampung baru Cina, estet dan Felda sambutan masing-masing masih kurang," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, melalui Program Kembara Jalur Gemilang Ramadan yang dianjurkan, diharap masyarakat lebih memberi perhatian kepada ulang tahun kemerdekaan negara dan memasang Jalur Gemilang lebih kreatif dan bersungguh-sungguh.

"Untuk merealisasikan kembara tersebut mencapai objektifnya, pihak jabatan akan mengulangi semula program turun padang dengan masuk ke kampung-kampung tradisi yang pernah popular di era tahun 70-an dahulu.

"Kita akan memberi seberapa banyak maklumat yang tepat mengenai peranan kerajaan, menyampaikan risalah berkaitan secara terus kepada masyarakat," ujarnya.


Persiapan juadah berbuka oleh penganjur setelah tiba di Masjid Kampung Kusial, Tanah Merah sewaktu Majlis Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan.


Program kembara kali ini menjelajah ke empat buah kampung, Jerangau, Kulim, Terasir dan Kuala Paku di Gual Ipoh sebelum singgah ke Masjid Ulu Kursial untuk persiapan majlis penyerahan. Sebanyak 16 buah lagi keluarga menerima pek sumbangan di samping majlis berbuka puasa bersama ahli kariah dan orang kampung.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui melahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh pihak Jabatan Penerangan.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kerana terpilih menerima sumbangan kali ini dan menyokong program kembara yang saya anggap mengembalikan nostalgia menyambut bulan kemerdekaan," kata Mahmood Mamat, 88, dari Kampung Jerangau.

Perasaan sama disuarakan oleh Zimah Mat Zain, 82, dari Kampung Kulim yang terlantar akibat serangan penyakit angin ahmar.

"Kedatangan skuad konvoi ini amat menggembirakan dan menghiburkan saya. Kalaulah saya masih sihat, saya juga mahu memasang Jalur Gemilang di rumah sebagai tanda sokongan sambutan Hari Kemerdekaan," katanya.

Hasssan Awang, 71, dari Kuala Paku, Gual Ipoh pula memuji usaha yang dilakukan oleh Jabatan Penerangan itu dengan masuk ke kampung-kampung untuk mengajak rakyat sama-sama menghayati sambutan kemerdekaan negara.

"Baguslah ada pihak-pihak yang masuk ke kampung-kampung untuk mengajak penduduk sama-sama menghayati sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kerana kebanyakan generasi muda sekarang ramai yang tidak ambil peduli,' katanya.

Kerajaan Pas Kelantan ambil tanah rakyat tanpa berbincang?

Posted:

Kerajaan Pas Kelantan ambil tanah rakyat tanpa berbincang?

Kerajaan Pas Kelantan ambil tanah rakyat tanpa berbincang?


Sebahagian daripada penduduk Jalan Gajah Mati dan Jalan Sultanah Zainab mengadakan demonstrasi membantah tindakan kerajaan Pas Kelantan mengambil tanah mereka untuk dibangunkan sebagai pusat komersial di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 8 Sept. - Kira-kira 100 penduduk di Jalan Sultanah Zainab dan Jalan Gajah Mati, di sini berhimpun membantah tindakan kerajaan Pas Kelantan mengambil tanah mereka untuk dibangunkan sebagai pusat komersial.

Penduduk terbabit mendakwa, cara pengambilan tanah seluas kira-kira 3.6 hektar tersebut oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu tidak menepati Akta Pengambilan Tanah, 1960 sekali gus menimbulkan kesangsian niat sebenar pihak berkuasa.

Wakil penduduk, Rahimi Mohamad berkata, pihak berkuasa tidak pernah sekali pun datang berbincang dengan 60 pemilik tanah di kawasan itu sehingga satu surat dikeluarkan pada pertengahan bulan lepas.

Beliau berkata, cara yang digunakan oleh kerajaan Pas Kelantan dalam mengendalikan soal pengambilalihan tanah itu tidak dapat diterima sama sekali kerana mereka adalah pemilik tanah bukannya penduduk setinggan.

''Kami selaku pemilik tanah rasa begitu kecewa dengan tindakan Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu yang mengemukakan borang E dan F, Akta Pengambilan Tanah kepada kami secara tiba-tiba.

"Kami musykil dengan niat sebenar Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu yang selama ini telah menyembunyikan perkara sebenar tentang cadangan pengambilan tanah kami.

"Kami memohon jawapan daripada pihak berkuasa itu kenapa tidak dibuat terlebih dahulu Penyiaran Warta di bawah Seksyen 8, Akta Pengambil Tanah dan kenapa tidak dikemukakan terlebih dahulu Borang C dan D kepada kami, sekiranya ia diteruskan ia akan menyebabkan kira-kira 300 penduduk terjejas," katanya ketika ditemui di Jalan Gajah Mati di sini hari ini.

Difahamkan projek pembangunan bercampur 'perdagangan dan kediaman' yang melibatkan pembinaan hotel, ruang niaga dan kondominium itu dilaksanakan secara usaha sama di antara Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dengan sebuah syarikat bukan bumiputera.

Sementara itu, penduduk, Che Zainab Yusof, 73, meminta kerajaan Pas Kelantan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum meneruskan niat untuk mengambil tanah tersebut.

Dia yang dilahirkan di kawasan tersebut berkata, paling menyedihkan proses pengambilan tersebut dilakukan secara tergesa-gesa ketika umat Islam sibuk melakukan persiapan menyambut Aidilfitri.

"Borang E dan F dikeluarkan untuk memanggil pemilik tanah hadir di Pejabat Tanah pada 14 Ogos untuk mendengar tentang amaun pampasan yang akan diberi, 4 September untuk memberi maklum balas tentang pembaikan rumah bagi memberi penilaian dan 13, 14 dan 16 September tarikh hadir untuk siasatan.

"Tarikh ini dibuat secara tergesa-gesa tanpa sebarang perbincangan, adakah tujuan sebenar pejabat tanah dan jajahan supaya pemilik-pemilik tanah tidak mempunyai masa berbincang sesama ahli keluarga tentang nasib masa depan yang akan kehilangan tanah pusaka peninggalan nenek moyang kami," katanya.

Seorang pesara, Eng Chew Peng, 65, berharap kerajaan Pas Kelantan menyediakan program dan pelan yang teratur untuk memindahkan mereka keluar daripada kawasan tersebut.

"Saya tinggal di sini sejak 43 tahun dulu, dari sewa RM30 sebulan sehingga RM140 pada hari ini. Di mana lagi saya nak duduk, tidak ada rumah sewa dalam bandar murah macam ini.

"Kalau nak suruh kami berpindah sekali pun sediakan tempat untuk kami berpindah dengan kos yang rendah seperti menyediakan rumah untuk tinggal, orang seperti saya yang tiada pekerjaan macam mana nak bayar sewa kalau mahal sangat," katanya.

Suami isteri ditahan edar dadah

Posted:

Suami isteri ditahan edar dadah

Suami isteri ditahan edar dadah

Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 8 Sept. - Sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka berusia 10 tahun antara yang ditahan dalam satu serbuan berkaitan sindiket pengedaran dadah di sebuah pangsapuri di Ladang Gemilang, di sini awal pagi semalam.

Dalam serbuan itu, sebanyak 2,620 biji pil kuda bernilai RM65,500 dan wang tunai yang disyaki hasil jualan dadah berjumlah RM61,550 berjaya dirampas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, turut ditahan dalam serbuan pukul 1.22 pagi itu ialah rakan kepada pasangan berkenaan yang dipercayai dalang kepada sindiket tersebut.

Katanya, lelaki berusia 34 tahun itu berasal dari Ajil, Hulu Terengganu, dan menjadikan rumah pasangan terbabit sebagai tempat pengedaran dadah.

"Pada masa sama, pasangan suami isteri itu pula bertindak sebagai orang suruhannya bagi menghantar bekalan di sekitar Kuala Berang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Roslan berkata, pihaknya percaya suspek tersebut telah menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun lalu.

"Tiga suspek akan direman sehingga 12 September ini bagi membantu siasatan dan mereka akan didakwa di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

"Kanak-kanak perempuan itu pula akan diserahkan kepada keluarga terdekat memandangkan dia masih bersekolah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved