Utusan Online - Sukan |
Bayar gaji atau lupakan Liga M Posted: Bayar gaji atau lupakan Liga MPETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi kata dua kepada pasukan negeri dan kelab untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain sehingga 31 Oktober ini atau tidak dibenarkan beraksi dalam Liga M musim depan. Pengerusi Jawatan kuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Amin menegaskan, FAM menetapkan tarikh akhir berbuat demikian pada 31 Oktober ini. "Saya harap pasukan yang masih belum menyelesaikan masalah pembayaran gaji kepada pemain mengambil berat tentang perkara ini kerana ia terkandung dalam perkara empat JKPT," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT, semalam. Jelasnya, jika ada pasukan yang gagal menyelesaikan pada tarikh tersebut berkemungkinan besar tidak dapat beraksi dalam saingan liga tempatan berikutan tarikh pengesahan pendaftaran pasukan untuk musim baru 2012 adalah pada 31 Oktober. "Kami merasakan ini adalah satu perkara yang serius dan FAM tidak teragak-agak untuk menghalang pasukan yang mempunyai masalah tersebut daripada mengambil bahagian pada saingan musim depan. "Saya rasa ia boleh menjadi contoh kepada pasukan lain dan dalam masa yang sama FAM mahu menjaga kebajikan pemain demi kebaikan bola sepak Malaysia. Pindaan tersebut membuktikan FAM memberi ruang kepada pasukan yang terlibat," ujarnya. Jawatan kuasa tersebut juga membuat pindaan jadual suku akhir sehingga perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 kerana memberi ruang kepada aksi persahabatan pasukan kebangsaan menentang Australia di Sydney pada 7 Oktober ini. "Perlawanan suku akhir pertama diadakan pada 10 Oktober, suku akhir kedua 14 Oktober manakala separuh akhir pertama 18 Oktober, separuh akhir kedua 22 Oktober dan final pada 29 Oktober. "Sementara itu pemain yang terpilih untuk mewakili skuad bawah 23 tahun negara di Piala Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) dari 17 hingga 24 Oktober tidak dibenarkan untuk beraksi dengan pasukan masing-masing jika pasukan yang diwakili mereka mara ke saingan separuh akhir Piala Malaysia," kata Hamidin. |
Posted: Felda, KL bukan lagi kerdilOleh ABDUL HAFIZ AHMAD KUALA LUMPUR - Felda United dan Kuala Lumpur mempunyai dua persamaan - selain berpangkalan di ibu kota, kedua-duanya menjadi pasukan bukan pilihan yang disebut-sebut pemerhati bola sepak tanah air sebagai 'bakal pemusnah gergasi' Piala Malaysia. Aksi sulung masing-masing Sabtu lalu menonjolkan langkah meyakinkan mereka dan tanggapan bahawa semangat dan suasana memburu trofi berprestij negara itu berbeza daripada Liga Super dan Piala FA, kian jelas kebenarannya. Sekalipun dengan hanya kemenangan awal 2-0 ke atas Johor FC, penolong pengurus Felda United, Faisal Zakariah menjangkakan kebangkitan pemain senior dan berpengalaman mampu mempengaruhi prestasi mana-mana pasukan yang memilikinya. "Saya dapati setiap kali munculnya Piala Malaysia, prestasi pemain senior akan turut menyerlah sekali dan Felda United berharap beberapa tonggak kami yang seangkatan Hairuddin Omar, Shukor Adan atau Indra Putra Mahayuddin akan mengikut jejak mereka itu. "Kami memiliki Liew Kit Kong, Nizaruddin Yusof dan Kaironnisam Sahabudin Hussain mahupun Azi Shahril Azmi, jadi saya rasa mereka akan bangkit lebih baik daripada prestasi sederhana kami dalam Liga Super lalu," katanya. Mengenai Sarawak, lawan anak buah E. Elavarasan di Stadium Petaling Jaya, kata Faisal, kehadiran tenaga muda terutama yang dipinjam dari skuad Harimau Muda, tidak akan sesekali diabaikan untuk digandingkan dengan tonggak senior. "Bersama Farderin Kadir (penjaring dua gol di Pasir Gudang, Selasa lalu, saya menganggap mereka mampu membentuk pasukan yang bercirikan kemenangan walaupun kami tidak sesekali memperkecilkan Sarawak (naib juara Liga Perdana musim ini)," katanya. Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail menyifatkan anak buahnya kian bersemangat untuk menyambung langkah cemerlang di Paroi, Selasa lalu dengan mengejutkan T-Team di Selayang pula. "Dibandingkan dengan lawan yang memiliki Indra Putra, Zairo Anuar Zailani, Nor Farhan Muhammad, Norfazly Alias yang berpengalaman antarabangsa, memanglah pemain kami kurang setanding apatah lagi mereka turut meminjam pemain MP Muar. "T-Team juga sudah menewaskan (juara 32 kali,) Selangor 1-0 dan saya berasa lebih selesa jika kami terus dilabel sebagai pasukan bukan pilihan tetapi bukan bererti lawan boleh diberi laluan mudah. Kami tetap menjanjikan tentangan sengit buat pelawat," katanya. Razip juga percaya gandingan anak buahnya yang mencipta kemenangan 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia di Paroi, bakal dikekalkan biarpun ada seorang dua daripadanya yang mengalami kecederaan yang tidaklah begitu membimbangkan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan