Utusan Online - Johor |
Derita bunyi bising keterlaluan Posted: Derita bunyi bising keterlaluan Oleh AZIZI MAJID CHEE Siew Kuoy (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis dan kad pesakit jantung manakala Michael Tay Chee Boon menunjukkan MoU antara penduduk dan kedai sistem audio kereta di Johor Bahru, kelmarin. JOHOR BAHRU 8 Sept. - Sejak tiga tahun lalu, penduduk di kawasan perumahan Jalan Dato' Sulaiman, Taman Abad di sini terpaksa 'memekakkan' telinga dengan bunyi bising dari kedai aksesori berhampiran kediaman tersebut. Penduduk juga pernah membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan laporan polis mengenai perkara itu, namun ia masih gagal diatasi. Bahkan, satu memorandum persefahaman (MoU) yang dibuat antara penduduk dengan pemilik kedai menerusi MCA Cawangan Bandar Baru Tampoi di sini pada 21 Julai lalu hanya bertahan selama seminggu sahaja. Menurut seorang penduduk, Chee Siew Kuoy, 66, masalah tersebut telah berlarutan sejak tiga tahun lalu dan bunyi bising itu turut menjejaskan kesihatannya sebagai penghidap penyakit jantung. "Syarikat berkenaan beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam dan bunyi bising sistem audio itu dipasang dengan kuat tanpa mengira waktu. "Setiap kali mereka menguji sistem audio dengan kuat, penduduk yang akan menanggung derita," katanya pada sidang akhbar di pejabat Pengerusi Biro Aduan MCA Johor Bahru, Michael Tay Chee Boon di sini semalam. Dalam pada itu, Chee Boon berharap, syarikat berkenaan dapat bertolak ansur dan bekerjasama supaya mematuhi MoU berkenaan demi kepentingan bersama. Katanya, meskipun perkara tersebut dibawa kepada MBJB dan polis, namun tiada penyelesaian dapat dibuat kerana ia diluar bidang kuasa mereka. "Saya akan terus berunding dengan syarikat berkenaan agar satu penyelesaian baik dapat dilakukan dan berharap mereka dapat memberi kerjasama," katanya. |
Mercu tanda replika tarian singa bakal dibina di Muar Posted: Mercu tanda replika tarian singa bakal dibina di MuarMUAR 8 Sept. - Sebuah mercu tanda baru berbentuk replika tarian singa bakal dibina di bandar ini bagi mengiktiraf keunggulan pasukan tarian singa dari daerah ini yang muncul juara di peringkat dunia sebanyak beberapa kali. Pembinaan replika bernilai RM120,000 di tapak berhampiran Pusat Penjaja Bentayan itu dijayakan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Muar dan diharap dapat merancakkan lagi kegiatan pelancongan di daerah ini. Majlis pecah tanah bagi pembinaan replika tersebut disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung baru-baru ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Chris Lee Ching Yong serta Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Muar, Datuk Ng Kok Hwa. Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Kok Hwa berkata, pembinaan replika singa itu merupakan pengiktirafan kepada keunikan dalam kepelbagaian budaya di negeri ini. "Replika tarian singa ini dibina kerana Muar adalah daerah yang melahirkan pasukan tarian singa yang sering menjadi juara di peringkat antarabangsa dan menewaskan pasukan dari China, Hong Kong, Singapura dan negara lain. "Kami berharap replika tarian singa di tapak ini akan menjadi tarikan pelancongan yang baru di daerah Muar dan mempromosikan lagi kebudayaan masyarakat Tionghua," katanya. Jelas beliau, pembinaan replika setinggi tiga meter itu akan dilakukan oleh tukang batu yang didatangkan dari negara China dan ia dijangka siap Disember ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan