Utusan Online - Rencana |
Pas tidak tahu bezakan keadaan Posted: Pas tidak tahu bezakan keadaanOleh ZULKIFLI JALIL "Terima kasih Harakah... terima kasih Pas." Ungkapan kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang penuh tanda-tanya kepada penulis di Presint 15, Putrajaya semalam sebelum kami solat Jumaat di masjid berdekatan. Paparan terbaharu lidah rasmi Pas keluaran 9-11 September 2011 itu menguat-uarkan bahawa UMNO 'berasmara' dengan Parti Komunis China (CPC) selain mendakwa kononnya UMNO berbohong kepada rakyat bencikan komunis. Akhbar Pas yang dikenali lidah 'hentam keromo' dengan sering mengabaikan fakta sebenar itu memaklumkan berkaitan UMNO memeterai hubungan dengan negara kuasa besar ekonomi dunia, China melalui CPC di Beijing 5 Ogos lalu. Tiada raut wajah kurang senang daripada Tengku Adnan dengan paparan Harakah itu. Sebaliknya beliau sekali lagi mengucapkan terima kasih tidak terhingga. "Ia satu publisiti dan pengiktirafan yang diberikan oleh parti pembangkang itu kepada UMNO. Kita tak minta apa-apa tapi mereka sendiri berikan populariti kepada UMNO yang ternyata dikagumi oleh CPC sehinggakan kuasa besar di persada antarabangsa ini mahu melakukan kerjasama dan mempelajari bagaimana perjalanan dan struktur organisasi UMNO," kata beliau kepada Utusan Malaysia. Paparan berita yang dikeluarkan oleh Harakah adalah antara bukti bagaimana Pas mahu memesongkan isu yang ada sekarang dengan memanipulasikan fakta sebenar. "Inilah masalahnya Pas, tak tahu nak membezakan antara dua keadaan, suasana dan kedudukan yang berbeza. Bayangkanlah betapa dangkalnya mereka yang tak tahu membuat perbandingan antara komunis yang bertindak kejam dengan membunuh dan mendatangkan kekacauan sebelum kemerdekaan negara dengan sebuah kuasa besar dunia hari ini. "Apa yang menjadi isu sekarang ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang mengagungkan komunis pada tahun 1950-an dulu dan menganggap bahawa pemimpin mereka iaitu Mat Indera sebagai hero sedangkan mereka ini menyerang balai polis dan sanggup membunuh," kata Tengku Adnan. China yang terletak di Asia Timur merupakan negara paling ramai penduduknya di dunia dengan diduduki lebih 1.3 bilion orang. Ia menyamai satu perlima manusia di bumi dengan diperintah oleh CPC di bawah sistem satu parti dan berbidang kuasa di 22 wilayah (provinsi), lima kawasan berautonomi, empat perbandaran tadbiran langsung (Beijing, Tianjin, Shanghai, dan Chongqing) dan dua kawasan pentadbiran khas yang berautonomi tinggi. UMNO dan CPC pada 5 Ogos lalu itu sebenarnya telah mempertingkatkan hubungan melalui memorandum persefahaman (MoU) pertukaran dan kerjasama antara kedua-dua parti yang berlangsung di Bangunan Perhubungan Antarabangsa CPC, Beijing. Antara kandungan dalam memorandum persefahaman itu ialah mencapai kata sepakat konsensus bagi membangunkan pertukaran komprehensif dan kerjasama di antara kedua-dua pihak. Ini termasuk saling bersedia untuk terus mengembangkan hubungan berdasarkan prinsip-prinsip kemerdekaan, hak kesamaan mutlak, saling menghormati dan bersetuju untuk tidak mencampuri hal ehwal dalaman masing-masing dengan tujuan untuk bekerjasama bagi menjuruskan perkongsian strategik Sino-Malaysian. Dalam aspek ini, MoU tersebut terhasil ekoran pengamatan mereka yang amat kagum dengan pembangunan dan kesejahteraan negara dengan pelbagai bangsa sebagaimana negara China yang mempunyai etnik-etnik berbeza. China ingin mempelajari bagaimana UMNO/BN menangani masalah berkaitan kaum tanpa mewujudkan pertumpahan darah. Dalam pertemuan dengan CPC yang diwakili oleh Menteri Jabatan Antarabangsa dan Jawatankuasa Pusat, Mr. Wang Jiarui itu, Tengku Adnan menerangkan berkaitan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) di samping dasar-dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuklah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan gagasan 1Malaysia. Dalam pertemuan itu, Tengku Adnan menarik perhatian bahawa sudah menjadi kebiasaan kepada pembangkang yang akan memanipulasi dan memburuk-burukkan UMNO biarpun dalam masa yang sama mereka juga sebenarnya turut mendapat nikmat dan kesejahteraan atas apa yang berlaku termasuklah dalam hubungan akrab antara Malaysia dan negara-negara lain. "Tahukah Pas siapa CPC dan bagaimana hubungan antara Malaysia dan negara China itu? Bukankah dalam artikel yang mereka ulas ada menerangkan bahawa melalui persefahaman ini juga akan dapat membantu dari segi meningkatkan persefahaman ekonomi kedua-dua negara kerana China merupakan kuasa ekonomi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa? "Barangkali pemimpin Pas dan pembangkang tidak sedar bahawa China adalah antara pelabur yang merancakkan pembangunan negara kita selain memberikan peluang pekerjaan kepada jutaan rakyat dan dalam masa yang sama para pengusaha di Malaysia dapat mempelajari dan melakukan hubungan perdagangan dengan China. Itu yang perlu Pas pelajari," katanya. Kata beliau: "Masalah dalaman anggota Pas semakin kritikal kerana bukan saja tidak memahami konsep jalinan perdagangan dan hubungan persefahaman yang dijalankan malahan mereka juga terlalu jumud sehinggakan menyamakan Parti Komunis Malaya (PKM) 50 tahun lalu dengan CPC adalah sama biarpun zaman sudah berubah. "Nampaknya Pas dan pembangkang bukan saja perlu belajar kembali sejarah tetapi mereka juga perlu masuk sekolah semula supaya tahu selok-belok perdagangan, pembangunan dan ekonomi negara. Jika begini keadaannya, jangankan mahu menguasai Putrajaya, jadi pemimpin pun tak layak." Justeru, yang semua pihak termasuk Pas perlu faham ialah kedudukan Malaysia dan kuasa-kuasa ekonomi dunia selain memahami rangkaian perdagangan dan pentingnya jalinan akrab antara parti-parti politik. Dan bukannya bersikap rigid mengagungkan kekacauan dan pertelingkahan sebagaimana yang mereka mahu contohi seperti di Mesir, Libya dan Syria. Berpandu kepada semua inilah, Tengku Adnan selaku Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengingatkan Mat Sabu supaya menghentikan segera ungkapannya yang berkaitan dengan sejarah negara jika tidak tahu tentang fakta sebenar dan buta mengenainya. "Kalau dah jadi buta sejarah, dah tak tahu apa yang nak dibuat untuk dapatkan kuasa maka inilah jadinya. Dulu mereka pergunakan agama dan sekarang ini putarbelitkan sejarah. Sebelum ini mereka sebut mahu negara Islam tapi kemudian hendakkan negara kebajikan dan sekarang mereka mendewa-dewakan pula bahawa komunis adalah pejuang kemerdekaan negara ini." "Ini semua akan merosakkan, menghancurkan perpaduan dan menidakkan sejarah yang sebenarnya telah tertinta dalam negara," katanya. Kesal dengan perlakuan pemimpin Pas itu, Tengku Adnan menegaskan bahawa sejarah tidak boleh diubah dan hakikatnya komunis ketika itu hendak mengambil kuasa daripada pihak British dan juga orang Melayu. Malahan rakyat patut berbangga ada pihak-pihak yang mengutamakan keselamatan negara kita. "Nauzubillahi minzalik, kalau komunis memerintah negara kita barangkali kita bukan Islam malah tak taulah Parti Islam itu wujud atau tak. "Mat Sabu pun lupa sejarah bagaimana Pas ditubuhkan iaitu apabila Tuan Haji Ahmad Fuad yang merupakan Pengerusi Biro Agama UMNO atau Pekembar bila kalah bertanding dengan Tunku Abdul Rahman; maka kecewa dan keluar dari UMNO. Beliau pergi ke Gunung Semanggol tubuhkan Hizbul Muslimin yang hari ini adalah Pas. Ini sejarah. "Ini hakikat bahawa Pas juga adalah parti yang ditubuhkan atas rasa kekecewaan seperti juga Parti Keadilan yang ditubuhkan oleh Anwar Ibrahim kerana kecewa tak dapat kuasa," katanya. Apa yang berlaku adalah sejarah yang mesti difahami dan janganlah cuba diputarbelitkan sehingga anak cucu-cicit dan generasi kemudian terpengaruh lantaran keadaan dan zaman yang berbeza. |
Sedekad dasar AS selepas tragedi 11 September Posted: Sedekad dasar AS selepas tragedi 11 SeptemberOleh SHAKILA YACOB TRAGEDI 11 September 2001 (911) sedekad yang lalu mendorong kita untuk meninjau implikasi tragedi tersebut ke atas perjalanan politik dan ekonomi negara kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan yang paling penting impaknya ke atas dunia. Implikasi utama 911 adalah tindakan polisi pentadbiran George W. Bush (Januari 2001 - Januari 2009). Sepanjang dua penggal pentadbiran Bush, kita lihat tindak balas pentadbiran tersebut terhadap tragedi itu amat merugikan rakyat dan negara AS serta dunia amnya. Perang anti-keganasan terhadap Afghanistan yang dilancarkan pada Oktober 2001 dan diikuti dengan perang ke atas Iraq pada Mac 2003 telah meninggalkan kesan hebat ke atas kedudukan kewangan AS dan juga reputasi negara tersebut. Kesan buruk ini adalah hasil dasar Bush dan bukannya akibat tragedi 911. Seandainya Al-Gore berjaya dalam pilihan raya presiden AS tahun 2000, sudah tentu perjalanan politik AS akan jauh berbeza dan besar kemungkinan Iraq tidak akan diserang. Hampir sejuta nyawa manusia hilang dalam perang anti-keganasan global yang dilancarkan oleh negara kuasa tunggal ini selepas berlaku tragedi 11 September. Mengikut jurnal perubatan The Lancet, di Iraq sahaja 655,000 orang awam terkorban. Lebih 6,200 askar AS maut sepanjang dekad lalu. Sepanjang dua penggal pentadbiran Bush perbelanjaan pertahanan mencapai rekod paling tinggi di mana kerajaan persekutuan AS dipercayai membelanjakan jumlah wang yang besar melalui pelbagai polisi yang dilaksanakan demi memastikan AS bebas daripada serangan keganasan. Sememangnya pasca-911, tiada sebarang insiden serangan berlaku ke atas AS. Tetapi ketaksuban AS dalam perang terhadap keganasan dan obsesinya dengan Al-Qaeda menyebabkan hutang negara tersebut meningkat berlipat kali ganda. Penubuhan Department of Homeland Security dan perbelanjaan keselamatan sepanjang dekad lalu telah mencapai AS$360 bilion. Ditambah dengan perang di Iraq yang juga dikenali sebagai The Three Trillion Dollar War maka kos menentang keganasan ini telah mencapai hampir AS$4 trilion mengikut sumber yang dipercayai. Ini termasuk perbelanjaan di Pentagon, kos faedah hutang peperangan, kos kesihatan untuk veteran perang dan sebagainya. Di samping itu, salah urus ekonomi telah memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat AS. Keadaan diburukkan lagi dengan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan sehingga mewujudkan gelembung hartanah yang sehingga kini tidak dapat ditangani. Kesan kewangan ini terus menghantui penggal kedua pentadbiran Bush dan penggantinya Barack Obama. Pentadbiran Obama terus terbelenggu dalam krisis ekonomi yang tiada penghujung. Kadar pengganguran yang enggan berganjak dari 9.1 peratus (%), kadar inflasi yang terus melonjak naik pada 3.65%, kejatuhan harga rumah kesemuanya menghimpit rakyat AS. Kegagalan pentadbiran Obama memperbaiki ekonomi AS memburukkan lagi keadaan. Pakej rangsangan ekonomi Obama jelas gagal mempertingkatkan ekonomi AS mahupun peluang pekerjaan. Pelan penjagaan kesihatan yang melibatkan perbelanjaan persekutuan yang begitu besar terus menekan ekonomi AS. Krisis had hutang AS dan perbezaan pendapat antara pihak Demokrat dan Republikan di Kongres menyebabkan pasaran saham dunia jatuh merudum. Ini ditambah lagi dengan agensi penarafan yang menurunkan peringkat kredit negara itu. Kedua-dua peristiwa ini meninggalkan kesan besar ke atas pasaran kewangan global. Jelas AS dan sekutunya telah melakukan kesilapan besar apabila menyerang Afghanistan dan Iraq. Sehingga kini keadaan di Iraq masih porak peranda dengan pelbagai masalah. Senario yang sama bakal menanti di Afghanistan apabila tentera AS dan Nato dijangka berundur sepenuhnya pada tahun 2014. Sebagaimana di Iraq keganasan puak-puak akan berterusan di Afghanistan. Jelas polisi luar AS terhadap kedua-dua negara itu gagal mencapai matlamat pendemokrasian tetapi mewujudkan keadaan yang semakin meruncing yang telah membuka ruang kepada aktiviti keganasan di negara Asia Barat dan juga Pakistan contohnya. Maka apabila kita berbicara mengenai satu dekad selepas 911 kita harus menilai tindak balas polisi pentadbiran Bush dan Obama. Oleh sebab permasalahan ekonomi yang gagal diatasi, justeru rakyat AS mula menukar haluan dan menyokong pihak konservatif atau sayap kanan yang ekstrem. Ini jelas terbukti apabila pilihan raya Kongres 2010 memperlihatkan kejayaan wakil Republikan memenangi kerusi majoriti di Dewan Perwakilan sehingga menyukarkan Obama untuk memperkenalkan sebarang polisi kerana harus berhadapan dengan tentangan pihak Republikan. Pelampau politik dan agama ini pasti akan terus mendapat sokongan sesetengah rakyat AS yang tidak mampu berfikir dengan rasional akibat tekanan ekonomi. Tambahan lagi, penerimaan terhadap golongan kanan yang ekstrem dan juga golongan fundamentalis Kristian ini begitu jelas di Eropah dan di negara sekutu AS seperti Perancis dan Britain. Maka trend ini akan berterusan dan menjadi semakin ketara di AS. Semangat Islamofobia di Eropah jelas bersemarak di AS juga. Dari segi politik, strategi mendampingi dunia Islam yang juga merupakan sebahagian daripada diplomasi 'lembut' Obama gagal merentasi batasan Timur-Barat yang wujud selama ini. Dalam hal ini apa yang nyata adalah Islamofobia atau Arabfobia yang semakin menyemarak kesan daripada tragedi 911 telah menyukarkan kehidupan masyarakat muslim di AS khususnya dan dunia amnya. Bagaimanapun dalam senario politik antarabangsa yang lebih luas, 911 bukanlah suatu peristiwa yang besar sepanjang dekad yang telah berlalu ini. Apa yang telah mentransformasi dunia adalah pertumbuhan pesat yang dialami oleh negara China, India dan Brazil terutamanya. Pertumbuhan pesat negara-negara inilah yang telah mengubah senario politik dunia. Dengan terhakisnya kuasa hegemoni AS dan perselisihan antara pihak Barat dengan sesetengah negara Islam hanyalah side show dalam senario politik yang lebih besar ini. Negara maju dan kaya di Barat dan dunia Islam terutamanya akan menghadapi risiko peminggiran politik dan ekonomi yang serius dalam orde baru dunia ini. Dalam order baru dunia ini, Israel juga akan bangkit sebagai satu kuasa unggul di rantau Asia Barat yang dilanda pergolakan politik. Bermula dari sini kuasa Israel akan mengukuhkan kedudukannya di dunia sebagaimana kita lihat sebelum ini Israel telah pun secara senyap membina kekuatan militernya. Keunggulan Israel menjadi semakin ketara apabila AS dan kuasa-kuasa Eropah seperti Sepanyol, Portugal dan Itali mula goyah kedudukan ekonominya akibat krisis kewangan. Dalam konteks orde baru dunia ini, amat penting bagi Malaysia untuk mempelbagaikan hubungan luarnya dalam usaha mengelak kebergantungan kepada sesuatu negara. Malaysia harus terus mengambil kesempatan daripada hubungan bersejarahnya dengan mengukuhkan hubungan dengan negara China serta juga negara India dibawah pergerakan negara-negara berkecuali (NAM) dan Komanwel. Pada masa yang sama terus mengekalkan hubungan baik dengan AS sebagaimana wujud dalam pentadbiran Najib-Obama setakat ini bagi mengimbangi kuasa China di Asia Tenggara. Kepimpinan Malaysia masa kini telah melaksanakan strategi yang tepat dengan mempelbagaikan hubungan luarnya di samping meneruskan kerjasama selatan-selatan lanjutan dari inisiatif yang dimulakan oleh pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan