Utusan Online - Dalam Negeri |
- Kecewa Ops Sikap ke-24 gagal
- Guna dakwat kekal: JTP akan buat keputusan
- Beberapa lagi EPP bakal dilancar
Posted: Kecewa Ops Sikap ke-24 gagalOleh ANGELINA SINYANG Ismail Omar pada sidang media berkaitan Ops Sikap Ke-24 di Bukit Aman, semalam. – BERNAMA KUALA LUMPUR 8 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar melahirkan rasa kecewa kerana semua usaha dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendidik rakyat negara ini agar bersikap tertib dan sopan di jalan raya masih tidak berkesan sehingga mengakibatkan Ops Sikap Ke-24 yang berakhir kelmarin, gagal. Beliau berkata, bermacam-macam pendekatan sudah diambil oleh PDRM dan pihak berkuasa lain untuk mendidik orang ramai agar bersikap tertib dan sopan di jalan raya, namun ia masih gagal. Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengemukakan cadangan kepada Menteri Dalam Negeri agar merangka kokurikulum program keselamatan jalan raya di peringkat sekolah rendah dan prasekolah untuk memberi kesedaran serta menanam budaya pematuhan kepada peraturan dan undang-undang lalu-lintas. "Saya berasa dukacita dan kesal kerana semua usaha yang kita buat selama ini untuk mendidik orang ramai bersopan dan tertib di jalan raya seolah-olah tidak berkesan apabila jumlah kemalangan masih lagi tinggi direkodkan. "Macam-macam kaedah kita pakai. Antaranya adalah memberi nasihat, mengedarkan risalah dan buku panduan keselamatan, malah turut memberi hadiah atau buah tangan kepada pengguna jalan raya di plaza-plaza tol," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini. Menurut Ismail, beliau juga yakin latihan yang diberikan kepada orang ramai untuk mendapatkan lesen memandu juga cukup kemas, malah jalan raya di negara ini diiktiraf sebagai terbaik di dunia. Beliau berkata, semua usaha dilakukan itu bagaimanapun dilihat hanya sia-sia apabila kadar kemalangan jalan raya dalam Ops Sikap Ke-24 masih tinggi setelah mencatatkan 259 kemalangan maut dengan 289 kematian. Katanya, jumlah dicatatkan itu meningkat berbanding Ops Sikap Ke-23 di mana terdapat pertambahan 41 kes (18.8 peratus) kemalangan maut, manakala kematian turut meningkat 41 kes (16.5 peratus). Keseluruhannya, kata beliau, sebanyak 19,462 kemalangan dicatatkan dalam Ops Sikap Ke-24 iaitu meningkat 2,645 kes (15.7 peratus) berbanding sebelum ini. "Penunggang dan pembonceng motosikal merupakan penyumbang tertinggi dengan kadar kemalangan maut dan kematian berjumlah 178 kes (61.6 peratus) daripada 289 kematian yang direkodkan iaitu meningkat 35 kes (24.5 peratus). "Mangsa paling banyak terkorban ialah mereka yang berusia 16 hingga 20 tahun," katanya sambil memberitahu kemalangan paling tinggi berlaku antara pukul 4 dan 6 petang dan antara 1 hingga 2 pagi. Beliau menambah, kajian mendapati lebih 85 peratus kemalangan berlaku disebabkan sikap pemandu dan pengguna jalan raya sendiri apabila memandu dalam keadaan cuai, letih, tertidur, mengekori kenderaan lain terlalu rapat dan leka. Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya akan membuat penjenamaan semula atau memberi nama baru yang lebih sesuai dan sinonim dengan keadaan semasa kepada Ops Sikap di musim perayaan pada masa hadapan. |
Guna dakwat kekal: JTP akan buat keputusan Posted: Guna dakwat kekal: JTP akan buat keputusanPUTRAJAYA 8 Sept. - Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam memutuskan menyerahkan keputusan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen (JTP) yang baru dibentuk. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz berkata, cadangan penggunaan sistem biometrik turut diputuskan diserahkan kepada JTP. ''Laporan yang mengatakan Kabinet bersetuju menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum seperti yang disiarkan akhbar berbahasa Cina dan dipetik oleh beberapa portal berita adalah tidak betul. ''Sebenarnya tidak ada keputusan, kita bincang secara umum perkara itu dan memutuskan apa-apa keputusan yang hendak dibuat diserahkan kepada JTP, ini termasuklah isu dakwat kekal dan biometrik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Nazri mengulas laporan akhbar yang memetik Kabinet yang bermesyuarat semalam bersetuju dengan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya. Tegas beliau, tanggungjawab untuk membuat keputusan sewajarnya diberikan kepada JTP sejajar dengan matlamat penubuhannya. Jawatankuasa itu akan berbincang serta mencari kata sepakat mengenai bentuk penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum dilaksanakan pada pilihan raya umum akan datang sekali gus menjadi bukti kerajaan komited dengan sistem pilihan raya yang bersih. |
Beberapa lagi EPP bakal dilancar Posted: Beberapa lagi EPP bakal dilancarMustapa Mohamed dan Mukhriz Mahathir memotong kek sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 8 Sept. - Kerajaan akan melancarkan beberapa lagi inisiatif Projek Permulaan (EPP) sebelum akhir tahun ini bagi memastikan negara mampu bertahan dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan telah melancarkan tujuh EPP dalam tempoh 11 bulan dan perkembangannya adalah baik. "Sekarang baru bulan September dan masih ada empat bulan lagi. Saya yakin akan ada beberapa lagi projek EPP akan diumumkan oleh kerajaan,'' katanya. Beliau kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini, hari ini. Turut hadir timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir. Mengulas mengenai prestasi EPP yang diumumkan oleh kerajaan hari ini, beliau berkata, walaupun ekonomi dunia tidak menentu terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat, Malaysia masih mampu menggerakkan pelaburan serta mencapai sasarannya. "Kerajaan melakukan dengan baik. Ketika ini RM171 bilion pelaburan diterima dan sebahagian besar daripadanya telah dilaksanakan. "Yang paling penting adalah memastikan perlaksanaannya berjalan dengan lancar dan bukan setakat pengumuman sahaja,'' jelasnya. Tambah beliau, melalui EPP negara mampu bertahan walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu walaupun tidak sebaik tahun lalu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan