Jumaat, 9 September 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Parkir penuh, pelanggan tiada

Posted:

Parkir penuh, pelanggan tiada

Parkir penuh, pelanggan tiada

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
kota@utusan.com.my


DERETAN kereta sentiasa memenuhi tempat letak kereta di Medan Selera Desa Tun Razak tetapi jumlah kenderaan itu tidak sepadan dengan pelanggan yang mengunjungi medan selera tersebut . – utusan/AHMAD ZAKKI JILAN


KUALA LUMPUR 9 Sept. – Tempat letak kenderaan penuh tetapi medan selera kosong. Itulah situasi yang berlaku di Medan Selera Desa Tun Razak di sini setiap hari.

Keadaan itu berpunca daripada tindakan penghuni perumahan berhampiran yang menjadikan tempat letak kereta di situ sebagai parkir tetap mereka.

Akibatnya, peniaga di medan selera itu merungut kerana kemudahan yang sepatutnya digunakan oleh pelanggan mereka telah dirampas oleh penduduk.

"Situasi ini menjejaskan jumlah pelanggan yang datang ke sini kerana kesukaran mendapat tempat meletakkan kenderaan, ditambah pula dengan pusat penjaja ini agak tersorok," kata mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia ke pusat penjaja tersebut mendapati kawasan niaga itu memang lengang walaupun waktu itu adalah waktu makan tengah hari.

Pengerusi Persatuan Pusat Penjaja Desa Tun Razak, Ali Salam berkata, mereka telah memohon kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menambah kawasan tempat letak di kawasan perumahan itu.

"Kami juga mencadangkan supaya DBKL menjadikan kawasan berhadapan dengan perumahan tersebut sebagai kawasan tempat parkir untuk penduduk perumahan berkenaan.

"Ini kerana DBKL tidak membenarkan mana-mana pihak berniaga di situ tetapi sejak akhir-akhir ini, terdapat banyak gerai-gerai beroperasi tanpa diketahui status mereka," katanya.

Tambah Ali, kemunculan gerai-gerai tersebut juga menjejaskan perniagaan di medan selera itu kerana kawasan itu lebih mudah dikunjungi berbanding pusat penjaja itu yang agak tersorok.

Peniaga gerai, Roziah Nor, 25 , berkata sejak tiga tahun berniaga di tempat tersebut, masalah penduduk menggunakan kemudahan parkir di situ masih tidak dapat diselesaikan.

"Setiap hari kawasan tersebut sesak tetapi bukannya oleh kenderaan pelanggan, sebaliknya kenderaan penduduk dan orang luar.

"Keadaan ini memberi tekanan kepada peniaga di sini kerana kami perlu membayar sewa setiap bulan kepada DBKL tetapi pendapatan yang diperoleh tidak seberapa," katanya.

Peniaga, Nor Faizal Abd. Rahman, 29, berkata, dia terpaksa menjalankan perniagaan sampingan kerana tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada perniagaan di medan selera itu.

"Kalau nak diharapkan keuntungan di sini memang tidak banyak kerana jumlah pengunjung yang datang ke medan selera di sini setiap hari sangat sedikit," jelasnya.

Rashidah dibantu dapatkan pekerjaan

Posted:

Rashidah dibantu dapatkan pekerjaan

Rashidah dibantu dapatkan pekerjaan


RasHidah Ahmad mengutip bahan buangan di dalam tong sampah untuk dijual bagi menyara keluarganya selepas suaminya meninggal dunia baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 9 Sept. – Kesempitan hidup seorang ibu tunggal, Rashidah Ahmad, 38, yang bergantung kepada hasil jualan barangan terbuang bagi menyara keluarga mengundang rasa simpati beberapa pihak.

Antaranya ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Sazali Kamilan yang terpanggil untuk memberikan bantuan selepas membaca kisah kesengsaraan hidup wanita itu di akhbar kelmarin.

Menurutnya, walaupun kes itu adalah terpencil tetapi apabila mengetahui perkara itu pihaknya cuba memastikan mereka menerima bantuan kewangan dengan segera.

"Kita juga akan berusaha meringankan beban keluarga ini dengan memohon bantuan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta mendapatkan rumah kos rendah untuk keluarga ini dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui selepas melawat keluarga itu di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah menyampaikan bantuan kewangan sebanyak RM300 dan barangan keperluan harian bernilai RM200.

Selain itu, bantuan RM50 juga diberikan kepada setiap orang anaknya untuk meringankan beban mereka.

Sazali berkata, pihak kementerian itu juga akan membantu wanita itu mendapatkan pekerjaan yang sesuai supaya tidak boleh menyara keluarganya dengan lebih baik.

Sementara itu, Rashidah berkata, dia bersama tiga orang anaknya yang berusia 13, 15 dan 17 tahun kini tinggal di rumah pusaka keluarga suaminya.

"Saya terpaksa menyara tiga orang anak selepas kematian suami akibat penyakit barah hati beberapa hari selepas Hari Raya Aidilfitri lalu," katanya.

Rashidah yang tinggal di Pantai Dalam berkata, dia telah beberapa kali memohon bantuan daripada Baitulmal tetapi setakat ini dia diberitahu permohonannya masih diproses.

Dia berkata, sepanjang Ramadan lalu, dia ada menerima sumbangan kewangan dan barangan keperluan dapur daripada pihak kementerian itu.

Sebuah akhbar kelmarin menyiarkan kisah Rashidah yang mengumpul dan menjual barangan terbuang dengan memperoleh pendapatan antara RM5 hingga RM10 sehari.

Polis masih buru perompak kedai mamak

Posted:

Polis masih buru perompak kedai mamak

Polis masih buru perompak kedai mamak

SHAH ALAM 9 Sept. - Polis masih belum dapat mengenal pasti identiti enam penjenayah yang telah melakukan rompakan bersenjata di dua buah restoran mamak di sekitar bandar raya ini pada malam 28 Ogos lalu dan semalam.

Bagaimanapun, siasatan terhadap kumpulan bersenjatakan parang itu sedang giat dilakukan daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan kaitan mereka dengan kumpulan gangster.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, siasatan awal pihaknya percaya kesemua penjenayah terlibat berusia lingkungan 20-an.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan mereka bertindak berani ketika melakukan rompakan kerana di bawah pengaruh dadah.

"Setakat ini kita masih belum mendapat maklumat mengenai identiti kumpulan tersebut, tetapi pasukan khas yang kita tubuhkan sedang giat memburu mereka," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 28 Ogos lalu, kumpulan lelaki itu merompak sebuah restoran mamak di Seksyen 15 di sini dan turut melarikan barangan berharga milik pelanggan yang sedang menjamu selera di situ.

Rakaman kejadian rompakan itu melalui kamera litar tertutup (CCTV) kemudian disebarkan di Internet oleh pihak tertentu.

Penyebaran rakaman video itu menimbulkan rasa bimbang orang ramai terutama pelanggan restoran mamak yang beroperasi 24 jam.

Tidak sampai dua minggu selepas itu, semalam kumpulan yang sama dipercayai merompak sebuah lagi restoran mamak di Seksyen 24 di sini dan beberapa pelanggan turut menjadi mangsa.

Kedua-dua rompakan dilakukan pada awal pagi iaitu pada pukul 4 pagi dan 5.30 pagi di mana jumlah pelanggan restoran ketika itu tidak terlalu ramai.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved