Utusan Online - Selatan |
- Terap nilai murni jaga kebersihan
- Aktiviti berfaedah harus lebih kerap dilakukan
- RM285j indahkan Sungai Melaka
Terap nilai murni jaga kebersihan Posted: Terap nilai murni jaga kebersihanOleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN Jelas terbayang rasa kepuasan pada pelajar-pelajar yang telah menjayakan aktiviti membersihkan pantai di Port Dickson, baru-baru ini. TELOK KEMANG 8 Sept. – Kebersihan adalah penting dalam kehidupan. Atas dasar prihatin mengenai kepentingan kebersihan, Sekolah Menengah King (SM) George V dekat sini mengadakan gotong-royong membersihkan pantai peranginan Blue Lagoon di Port Dickson, dekat sini baru-baru ini. Pengetua sekolah itu, Mohd. Md. Isa berkata, sebanyak 71 pelajar, lapan orang guru dan tiga kakitangan Majlis Perbandaran Port Dickson (MDPD) menyertai aktiviti tersebut. Katanya, mereka mengutip sampah di sepanjang persisiran pantai dan di bahagian daratan kawasan Blue Lagoon tersebut. "Kami mendapat kerjasama daripada MDPD yang membekalkan plastik sampah, sarung tangan, pencakar dan tong sampah. "Selepas selesai, kami memacakkan papan tanda yang tertulis 'Nikmatilah Keindahan Pantai, Hargailah Anugerah Ilahi Dan Jagalah Kebersihan Pantai Kita' yang disumbangkan oleh pihak sekolah," katanya. Sementara itu, Guru Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) sekolah berkenaan, Ab. Rahop Zakaria berkata, program itu bagi memastikan kebersihan pantai dan menerap nilai murni di kalangan pelajar mengenai kebersihan. "Program ini juga adalah di bawah mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan. Dari segi pemilihan tempat, surat-menyurat dan pengangkutan semuanya diuruskan oleh pelajar sendiri manakala para guru hanya memantau," katanya. |
Aktiviti berfaedah harus lebih kerap dilakukan Posted: Aktiviti berfaedah harus lebih kerap dilakukanSebahagian pelajar Sekolah Menengah King George V menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran pantai Blue Lagoon Port Dickson, baru-baru ini. TELOK KEMANG 8 Sept. - Dengan kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh semua pihak, para pelajar Sekolah Menengah (SM) King George V di sini berjaya melakukan aktiviti membersihkan pantai peranginan Blue Lagoon di Port Dickson dekat sini baru-baru ini. Pelajar V. Thanesh, 16, berkata, rasa cinta terhadap alam sekitar semakin mendalam pada dirinya apabila berjaya membersihkan kawasan pantai yang popular di kalangan pengunjung itu. "Jika sebelum ini, kita mungkin kurang menghargai kebersihan dengan membuang sampah merata-rata, kini, apabila membersihkannya sendiri kita akan lebih menghargai persekitaran," katanya. Katanya, persekitaran yang bersih akan membolehkan pengunjung menikmati suasana yang lebih nyaman dan mata berasa sejuk memandang apabila sampah tidak kelihatan di merata-rata tempat. Rakannya, Wong Shy Kit, 16, berkata, aktiviti berfaedah seperti itu harus dilakukan secara lebih kerap. "Selain dapat meningkatkan kesedaran, ia juga merupakan tanggungjawab sosial. Kita hendaklah tegur masyarakat yang membuang sampah merata-rata dengan memberi nasihat secara baik. "Ia bukan sahaja menguntungkan semua pihak malah orang akan berasa segan apabila selalu ditegur oleh masyarakat sekeliling yang bertanggungjawab dan ia akan membuatkan mereka berubah," ujarnya. Nur Athirah Nordin, 16, berkata, antara sampah yang paling banyak dan agak sukar dibersihkan adalah putung rokok. "Perokok tidak sepatutnya membuang putung merata-rata. Ia bukan sahaja merosakkan imej negara malah membahayakan apabila kanak-kanak yang bermain di sini akan mengutip dan cuba memakannya. "Saya harap mereka semua pandang serius perkara ini dan jangan hanya pentingkan kesenangan peribadi tanpa memikirkan akibat perbuatan tersebut," katanya. Kylie Wang Ching Mun, 16, berkata, beliau kesal kerana botol arak yang pecah juga banyak dibuang di situ. "Kesedaran mengenai kebersihan masih lagi kurang di kalangan rakyat Malaysia. Saya harap mereka di luar sana lebih berfikiran terbuka demi menjaga imej negara kita. "Sampah perlu dibuang di tempat sepatutnya dan bukan hanya mencampakkannya di merata-rata tempat. Anugerah persekitaran yang cantik jangan dipersia-siakan," katanya. |
Posted: RM285j indahkan Sungai MelakaOleh AMRAN MULUP River Cruise menjadikan Sungai Melaka semakin popular di kalangan pelancong tempatan dan luar. MELAKA 8 Sept. - Kerja-kerja membangun dan mengindahkan Sungai Melaka dari Jambatan Hang Jebat hingga ke Gadek di Alor Gajah sejauh 39 kilometer (km) akan bermula hujung tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM285 juta. Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Gapar Hasan berkata, peruntukan tersebut melibatkan projek fasa pertama dan kedua memakan masa lima tahun untuk disiapkan. Menurut beliau, bagi projek fasa pertama ia melibatkan kerja-kerja mengindahkan, mendalamkan sungai dan membina terminal teksi air dari Jambatan Hang Jebat hingga ke Melaka Sentral bermula Disember ini dan dijangka siap 2013. ''Bagi projek fasa kedua pula ia turut melibatkan pengindahan, mendalamkan sungai dan melebarkan sungai sehingga Gadek di Alor Gajah bermula dari 2013 hingga 2015. ''Projek ini bertujuan untuk menjadikan Sungai Melaka sebagai salah satu jalan pengangkutan air dengan menggunakan teksi air dan bot Melaka River Cruise," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Sebagai permulaan kata Gapar, kerja-kerja menaik taraf sungai tersebut melibatkan pemanjangan dan pelebaran sungai itu akan dilakukan sejauh 2.3 kilometer. Menurutnya, tender bagi projek fasa pertama telah dibuka dan akan ditutup pada 29 September ini. Beliau menambah, apabila projek fasa pertama siap nanti ia akan memudahkan orang ramai menggunakan teksi air dan bot Melaka River Cruise dari Melaka Sentral ke pusat bandar bagi mengelak kesesakan pada setiap hujung minggu dan cuti umum. ''Secara tidak langsung, Sungai Melaka akan menjadi salah satu produk pelancongan yang terkenal dan menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini," ujarnya. Di samping itu, katanya, pelbagai kemudahan infrastruktur bakal dibina sepanjang sungai tersebut selain mengindahkan tebing sungai dan pembinaan landskap menarik. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan