Utusan Online - Pahang |
- Pusat urut tawar pelacur
- 250 kenderaan berarak sekitar bandar Lipis
- Jabatan Kebajikan Masyarakat cari waris Suhara
Posted: Pusat urut tawar pelacurOleh NOREHAN SALLEH KUANTAN 9 Sept. - Kerajaan negeri mengesan pusat urut terutama di bandar ini yang menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk pelacuran bagi menarik ramai pelanggan ke premis mereka. Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, pihaknya mendapati pusat tersebut tumbuh bagaikan cendawan sekali gus menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat. "Kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sudah lama menyedari taktik kotor pengusaha yang tidak bertanggungjawab itu. "Untuk itu, MPK mengetatkan pemantauan dan sebanyak 13 kes diambil tindakan dengan menarik balik lesen perniagaan sejak Julai lalu," katanya kepada pemberita di sini, semalam. Kata Muhammad, setiap pendaftaran perniagaan pusat urut akan diteliti lebih lanjut terutama dengan pengambilan warga asing sebagai pekerja di situ. Beliau menambah, latar belakang pengusaha serta syarikat turut diperiksa supaya mereka yang ingin membuka pusat tersebut tidak disenarai hitam kerana didapati menjalankan kegiatan itu. ''Justeru orang ramai diminta segera melaporkan kegiatan tidak bermoral itu kepada pihak berkuasa bagi menangani masalah sosial yang semakin membimbangkan,'' ujarnya. |
250 kenderaan berarak sekitar bandar Lipis Posted: 250 kenderaan berarak sekitar bandar LipisSEBAHAGIAN penunggang motosikal Persatuan Permotoran Lipis menyertai perarakan sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia di Bandar Kuala Lipis, kelmarin. KUALA LIPIS 9 Sept. - Bahang sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini dihangatkan dengan perarakan 250 kereta dan motosikal yang mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang laluan konvoi sejauh 10 kilometer di sekitar daerah ini, semalam. Konvoi anjuran Persatuan Permotoran Lipis itu bermula dari Dataran Residen melalui Kem Lapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) Lipis, Masjid Tunku Mahmud, Bandar Lama Lipis, pesisiran Sungai Jelai dan Bandar Baru Kuala Lipis. Perarakan kumpulan itu yang diketuai Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman kemudian berakhir di pekarangan rumah Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani. Menurut Mohamad Shahrom, perarakan itu terdiri daripada ahli persatuan belia di kawasan Parlimen Lipis dalam menaikkan semangat patriotik dan memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan. "Bandar ini sinonim dengan sejarah penjajahan British pada abad ke-19 selain nostalgia perjuangan Pahlawan Melayu Pahang seperti Mat Kilau dan Tok Gajah menentang kolonial pada awal 1890-an," katanya kepada pemberita di sini, semalam. Terdahulu, ketika berucap melancarkan program berkenaan, beliau mengingatkan golongan belia agar tidak mudah terkeliru dengan pandangan pemimpin pembangkang yang cuba memperlekehkan wira negara. ''Gunakan akal yang waras dan bersikap lebih rasional agar tidak terjebak dengan isu atau dakyah yang boleh meretakkan perpaduan dan menggugat keharmonian rakyat," tambahnya. |
Jabatan Kebajikan Masyarakat cari waris Suhara Posted: Jabatan Kebajikan Masyarakat cari waris SuharaTEMERLOH 9 Sept. - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Temerloh mencari waris seorang gadis, Suhara Nawir Hanif (gambar) yang dipercayai masih berada di negeri ini untuk diserahkan kembali kepada keluarganya. Pegawainya, Haniza Tamin berkata, sebelum ini, pihaknya ada mencari dan menghubungi bapa gadis tersebut, Nawir Hanif Nganro serta abangnya, Suhaimi, tetapi gagal. "Suhara ditempatkan di Pusat Perlindungan Kanak-kanak dan akan keluar daripada pusat jagaan itu bulan depan. "Kita perlukan ahli keluarga gadis itu untuk diserahkan selepas keluar daripada pusat jagaan itu dalam keadaan selamat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini. Haniza berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa abang gadis tersebut berada di Kuantan tetapi gagal mengesannya. Beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat ahli keluarga gadis tersebut menghubungi Pegawai rumah perlindungan itu di talian 019-9863428 atau 09-2961760. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan