Utusan Online - Hiburan |
Posted: Bakat kreatif Shaheizy SamOleh KHADIJAH IBRAHIM SAM dikelilingi anak saudara. Dari kiri, Azrin, Cinta, Sean, Aydeen dan Kenny yang memangku Arjuna sedang menonton cerita menerusi komputer riba. TATKALA melihat lakonannya sebagai mat despatch dalam filem Adnan Semp-It, ramai yang ketawa dan tidak kurang juga yang mengalirkan air mata simpati dengan nasib Arman lakonannya menerusi filem Sekali Lagi. Itulah kelebihan pelakon Shaheizy Sam Abd. Samad, 29, yang mampu membuat penonton 'terjebak' dengan aksi lakonannya yang penuh penghayatan itu. Namun ada satu lagi bakat Shaheizy Sam atau yang mesra dengan panggilan Sam yang tidak diketahui umum. Baru-baru ini S3 berjaya merakamkan aksi Sam yang tidak pernah didedahkan kepada orang ramai ketika berkunjung ke rumahnya di Bukit Antarabangsa. Sewaktu menuruni tangga menuju ke rumahnya, penulis dapat melihat dengan jelas betapa tekunnya Sam menggosok kertas pasir ke bingkai kerusi pasang siap. Sam yang hanya mengenakan kemeja- T dan seluar pendek itu memberitahu penulis, dia telah memulakan kerja-kerja memasang dan mengecat bangku serta meja itu sejak raya pertama lagi. "Memang tidak merancang pun. Pada hari raya pertama itu, bila terasa bosan Sam mula terfikir kerja apa yang perlu dilakukan. "Disebabkan sudah lama Sam berhasrat nak buat taman di halaman rumah ini, Sam terus pergi ke Ikea membeli bangku dan meja kayu ini," jelasnya. Kata Sam, bangku dan meja pasang siap yang dibeli asalnya berwarna gelap dan dia sengaja memilih cat warna putih untuk disesuaikan dengan tema taman putih impiannya. Jelas Sam, dia jenis yang tidak boleh duduk diam dan mesti melakukan sesuatu pekerjaan sebagai mengisi waktu terluang. "Bila letih, Sam akan tidur tapi selalunya Sam akan melakukan kerja-kerja yang jarang dilakukan sebelum ini. Entahlah, sejak dulu Sam minat dengan kerja-kerja tangan. "Kalau nak ikutkan bangku dan meja ini setelah siap dipasang, ia sudah boleh diguna tapi Sam nak kelainan. Kerja-kerja mengecat atau pertukangan begini dapat membebaskan fikiran Sam daripada segala bebanan. Kemudian hati rasa puas tengok hasil kerja yang dibuat," katanya terus terang. Menurutnya, projek mengecat bangku dan meja taman itu akan siap dalam beberapa hari lagi kerana dia amat teliti dan cerewet dalam melakukan persiapan. Kata Sam, adalah menjadi tabiatnya, kalau buat kerja-kerja begitu dia tidak mahu diganggu kerana kerja seni memerlukan kedamaian. Namun sepanjang menyiapkan projek taman putih itu, kerjanya sering terganggu dengan gelagat anak-anak kakaknya, Jozieta Ronalie,36, iaitu Kenny, 7, Aydeen,4, Sean, 3 tahun. Serta anak-anak Samzy Fuzette,35, iaitu Mohd. Azrin Fuzette, 10, Cinta Matanya Fuzette, setahun dan Arjuna enam bulan. "Gangguan-gangguan yang tidak diingini inilah yang membuatkan kerja-kerja Sam terganggu. Sekejap-sekejap datang nak membantu tapi menganggu. Biarpun begitu, Sam gembira kerana raya kali ini anak saudara dari Alaska, Amerika Syarikat balik beraya sama," katanya yang dipanggil Papa Adik di kalangan anak saudara. Kata Sam, dia turut membeli lampu hiasan yang kemudiannya disembur cat putih untuk diletakkan di taman di hadapan halaman rumahnya itu. Menurutnya, ada juga jiran-jiran yang secara bergurau meminta dia membuat benda yang sama di rumah mereka. "Ada uncle tu kata, macam kafe aje. Sebenarnya, Sam nak buat taman ini tempat lepak dengan kawan-kawan terutamanya kalau ada perlawanan bola sepak," katanya. Dalam pada sibuk dengan kerja-kerja mengecat itu, Sam sempat menunjukkan hasil kerjanya di ruang tamu, bilik tidurnya dan komputer riba miliknya. "Sam tidak suka mengecat dinding keseluruhan sebab tidak mencabar. Cuba tengok tiga garisan pemisah ini, Sam yang buat. "Begitu juga dengan komputer ini. Bajet permata-permata yang dilekatkan di komputer ini mencecah RM500. Biarpun mahal, janji Sam puas hati dengan hasil kerja yang menampakkan logo Gucci," katanya. Katanya, kerja-kerja tangan begitu hanya dilakukan setiap kali dia ada waktu lapang yang jarang-jarang dimiliki. Menurut pelakon popular itu, dia bukanlah jenis yang suka lepak di luar. Katanya, mungkin sudah terbiasa sejak zaman sekolah kerana dulu rakan-rakannya suka datang lepak di rumah dan kebetulan maminya, Khaty Fauziah rajin memasak. Pelakon yang telah membintangi filem antaranya, Evolusi KL Drift 2, Niyang Rapik, Jangan Pandang Belakang Congkak, Syruga Cinta dan Bohsia-Jangan Pilih Jalan Hitam bakal tampil filem Bini-Bini Ku Gengster pada 22 September ini. |
Kawan-kawan teman Ramona di kala lapang Posted: Kawan-kawan teman Ramona di kala lapangGambar IHSAN RAMONA RAMONA Zamzam (tiga dari kanan) ketika menyambut hari lahir seorang kawannya, baru-baru ini. Baginya, duduk bersama dengan teman-teman dan melakukan pelbagai aktiviti bersama membuatkannya riang dan gembira. Sama seperti kebanyakan remaja lain, Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira Mohd. Zamzam, 22, lebih selesa sekiranya detik berkenaan diluangkan dengan bersantai bersama teman-temannya. "Begitulah rutin saya sekiranya tidak terikat dengan aktiviti seni, saya akan mengajak rakan-rakan untuk keluar dan menghabiskan masa terluang kami bersama-sama. "Bagi saya dengan cara itu, ia dapat membuatkan saya lupa sebentar terhadap bebanan kerja yang ditanggung selain merehatkan diri. "Lagipun apabila keluar bersama ia dapat mengeratkan lagi hubunan persahabatan yang telah terjalin di antara kami," ujarnya kepada S3 baru-baru ini. Menyambung bicara, gadis yang dibesarkan di Ipoh, Perak itu menambah, apabila keluar bersama rakan-rakannya banyak aktiviti yang dilakukan seperti menonton wayang, berkaraoke, duduk minum-minum di kedai mamak ataupun mengunjungi spa. "Selalunya kalau keluar, pasti saya dan kawan-kawan akan melakukan beberapa aktiviti dalam memenuhkan ruang kosong yang kami ada. "Namun antara yang wajib kami lakukan adalah mengunjungi kafe ataupun restoran-restoran mamak di mana sambil makan atau minum, kami akan bertukar-tukar cerita. "Dari situ sedikit sebanyak kami dapat mengetahui perkembangan terkini yang berlaku dalam kehidupan masing-masing," jelas anak sulung daripada dua beradik itu. Ujarnya lagi, setelah letih berbual perihal cerita terbaru tentang diri masing-masing, barulah dia dan rakan-rakannya beransur meninggalkan restoran yang dikunjungi untuk melakukan aktiviti lain. "Dari restoran atau kafe itu, kami akan beralih ke tempat-tempat lain. Tengoklah kalau ada yang ingin menonton wayang, kami akan terus ke panggung dan kalau ada yang ingin berkaroke, kami akan ke pusat karaoke. "Semua itu bergantung kepada keputusan majoriti jika ramai yang ingin ke karaoke, kami semua akan ke sana," kongsi Ramona lagi. Namun jelas Ramona, secara jujurnya dia lebih gemar keluar menonton wayang bersama dengan teman-temannya itu. "Saya ini kaki wayang dan hampir setiap minggu saya akan menjengah ke panggung untuk menonton filem-filem terbaru. "Tetapi sekiranya kawan-kawan mengajak ke tempat lain, saya tetap akan bersama dengan mereka. "Bagi saya apa yang penting kami dapat bersama dalam meluangkan masa tanpa mengira kepentingan diri sendiri," jelas aktres yang meminati bintang Hollywood, Megan Fox dan Gerard Butler. Selain itu, ujar pelakon yang mula dikenali menerusi drama Begitukah Cinta, dia juga akan memperuntukkan masa untuk keluar bersama keluarganya. "Keluarga adalah keutamaan saya dan sekiranya ada kelapangan, saya akan mengajak keluarga untuk keluar bersama. "Selalunya jika keluar dengan keluarga, pusat membeli-belah adalah destinasi yang akan kami tujui sama ada untuk membeli-belah ataupun sekadar mencuci mata," kata Ramona yang baru tampil dalam telefilem Tart Untuk Kakak yang disiarkan sempena Aidilfitri lalu. Jelasnya, keluarga juga adalah peneman setia yang akan menemaninya untuk berkunjung ke restoran mamak sekiranya dia teringin untuk menikmati hidangan lewat malam. "Teh tarik merupakan minuman kegemaran saya. Jika waktu malam, saya teringin minum teh tarik di restoran mamak, saya pasti mengajak ibu, ayah dan adik saya ke restoran berhampiran rumah kami. "Malah makanan mamak juga dekat dengan keluarga saya terutamanya ayah yang begitu menggemari masakan kari. Maklumlah ayah saya ada darah Pakistan," ujar Ramona sebelum menamatkan perbualan pada petang itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan