Ahad, 4 September 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Jadi tempat penyu bertelur

Posted:

Jadi tempat penyu bertelur

Jadi tempat penyu bertelur

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my


MA' Daerah diwartakan oleh Kerajaan Terengganu sebagai Pusat Santuari Penyu.


KEMAMAN 3 Sept. - Ma' Daerah, suatu nama yang unik, namun namanya dan kawasan itu tidaklah begitu dikenali sehinggalah ia menjadi salah satu lokasi utama pendaratan penyu.

Ia kawasan pantai landai hanya 1.7 kilometer panjang, dikepung oleh kilang penapis petrokimia di belah utara dan bandar Kerteh di selatan.

Berdasarkan kepentingannya, pada 18 Januari 2007, Ma' Daerah seluas 23.65 hektar kawasan di Ma' Daerah diwartakan sebagai sebagai Pusat Santuari Penyu oleh kerajaan negeri.

Pusat tersebut ditubuhkan hasil kerjasama erat antara agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha pemuliharaan spesies terancam itu.

Kerjasama tiga pihak antara Jabatan Perikanan, BP Malaysia dan Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) sejak 1999 telah memastikan Ma' Daerah terus menjadi pantai pendaratan dan bertelur penyu yang penting di negara ini.

Ia mencatatkan antara pendaratan tertinggi bagi Penyu Agar (Chelonia mydas) di Semenanjung setiap tahun, dengan purata antara 200 dan 400 sarang serta mempunyai purata kadar penetasan yang tinggi iaitu sekitar 80 peratus.

Ketua Program Pemuliharaan Penyu dan Tuntung Laut Terengganu, WWF-Malaysia Rahayu Zulkifli ketika ditemui baru-baru ini, menyifatkan Ma' Daerah sebagai simbol kepada kecintaan terhadap warisan alam.

Katanya, bagi menjamin keberkesanan Ma' Daerah sebagai sebuah Pusat Santuari Penyu, kawasan seluas 23.65 hektar yang telah diwartakan perlu diperluaskan.

Ia perlu meliputi seluruh kawasan tanah rendah yang terletak di antara kawasan pantai dan pinggir Bukit Labohan, dengan anggaran keluasan 70 hektar dan seluruh kawasan pantai sepanjang 1.7 kilometer yang terletak di antara kawasan berbatu di sebelah utara dan di selatan pantai.

"Juga meliputi seluruh kawasan perairan negeri bersempadan dengan kawasan pantai dari gigi air ke laut sehingga tiga batu nautika atau 5.56 kilometer di samping seluruh kawasan laluan masuk ke santuari iaitu sepanjang laluan masuk sedia ada,'' katanya.

Beliau juga mencadangkan Bukit Labohan Kecil dan Besar diwartakan sebagai Taman Negeri di bawah Enakmen Taman Negeri Terengganu 1986.

"Kedua-dua Bukit Labohan Besar and Bukit Labohan Kecil kini bertindak sebagai penampan kritikal bagi Pusat Santuari Penyu dengan melindungi kawasan tersebut daripada cahaya, bunyi bising dan gangguan-gangguan lain," ujar beliau.

Pewartaan kedua-dua Bukit Labohan Besar dan Bukit Labohan Kecil di bawah Enakmen Taman Negeri Terengganu 1986 dapat membantu memastikan zon-zon penampan ini kekal terpelihara.

"Cara ini, Ma' Daerah juga akan kekal dilindungi sebagai Pusat Santuari Penyu yang penting di Malaysia.

"Kita bimbang akan kehilangan satu lagi kawasan pendaratan penyu bersama dengan kepupusan haiwan ini yang merupakan satu khazanah bagi negeri dan negara," ujarnya.

Katanya, selain dalam bentuk kawalan sedemikian, ia perlu diseimbangkan dengan tahap kesedaran bersama masyarakat tempatan dalam menjaga dan menghargai anugerah itu.

Menurut beliau, ia digerakkan melalui program pendidikan dalam komuniti dari semasa ke semasa terutama bersama Persatuan Khazanah Rakyat Ma' Daerah (Mekar).

"Pendidikan dan program kesedaran tentang penyu telah dijalankan oleh WWF-Malaysia bersama masyarakat tempatan di sekitar Kerteh, Paka dan Kemasek sejak tahun 2000.

"Usaha dipertingkatkan dengan penubuhan Mekar pada Ogos 2005 dengan dianggotai seramai 500 ahli masyarakat yang prihatin terhadap kelangsungan spesies penyu di kawasan mereka termasuk melalui pendekatan agama," ujarnya.

Mekar telah memainkan peranan penting dalam menjalankan pelbagai aktiviti kesedaran untuk masyarakat tempatan agar memikul tanggungjawab atau peranan bersama termasuk seruan agar tidak memakan telur penyu.

"Juga melindungi penyu daripada kepupusan dan memastikan kebersihan habitat penyu yang dilakukan termasuk melalui khutbah Jumaat di seluruh negeri dan tazkirah.

Sejak 2008, WWF telah membeli balik telur penyu yang dipungut oleh pemungut telur berlesen yang membuat rondaan di pantai Kerteh, Kemasek dan Kijal.

Semenjak itu, WWF telah membeli kira-kira 20,000 telur untuk tujuan pengeraman.

Bagi Rahayu, usaha yang dilakukan adalah proses yang berpanjangan, menuntut kepada komitmen mendalam agar haiwan itu pada masa depan bukan sekadar catatan sejarah.

Buruh asing maut nahas

Posted:

Buruh asing maut nahas

Buruh asing maut nahas

KEMAMAN 3 Sept. - Seorang buruh ladang kelapa sawit warga Indonesia maut setelah dirempuh oleh sebuah kereta ketika melintas jalan, awal pagi semalam.

Kejadian itu berlaku di kilometer 152 Jalan Jerangau-Jabor dekat Bandar Ceneh Baru kira-kira pukul 7.00 pagi ketika mangsa dikatakan sedang bekerja di kawasan Ladang Rakyat Paloh Jenang.

Mangsa yang dikenali sebagai Nasir Riduan, 31, meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala dan badan selepas diseret sejauh hampir 120 meter dari tempat mangsa dirempuh oleh kereta itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak menyedari kehadiran kereta Proton Iswara dari arah Kuala Terengganu ketika cuba melintas jalan.

Katanya, kejadian itu disedari oleh rakan mangsa yang kebetulan berada di situ.

"Polis percaya mangsa dirempuh dengan kuat oleh kereta itu menyebabkan mangsa terlambung dan terjatuh sebelum diseret sejauh 120 meter mengakibatkan kecederaan parah di kepala serta badan," katanya.

Menurut Abdullah Sani, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kemaman (HK) untuk bedah siasat.

Katanya, mangsa yang dipercayai berasal dari Lombok, Indonesia dikatakan datang ke negara ini tahun lalu untuk bekerja dan tinggal di rumah kongsi ladang berkenaan.

Dalam pada itu, Abdullah Sani berkata, pemandu kereta berkenaan, Mohd. Rozili Abd. Rahman, 37, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan manakala isteri dan seorang anak mereka tidak cedera.

"Ketika kejadian, keluarga berkenaan yang berasal dari Lot A, 42 Kampung Penanti, Beserah, Kuantan dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu untuk pulang ke rumah mereka," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved