Ahad, 4 September 2011

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Sejuta ayam mentah sehari

Posted:

Sejuta ayam mentah sehari

Sejuta ayam mentah sehari

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my


RUANG memproses dan mengasingkan bahagian-bahagian ayam selepas melalui fasa penyembelihan.


MALAYSIA merupakan antara 15 buah negara yang menjadi destinasi eksport bagi produk ayam segar dan makanan proses sejuk beku berasaskan ayam keluaran syarikat Kumpulan SAHA Farms.

Berpangkalan di Bangkok, Thailand, syarikat berkenaan berupaya menghasilkan satu juta ekor ayam mentah sehari.

Kemampuan itu telah menjadikan produk-produk syarikat tersebut kini berjaya menembusi pasaran banyak negara dunia seperti Kanada, Denmark, Jerman, Dubai, Jepun, Vietnam, Singapura dan China.

Di Malaysia, 95 peratus pengimport utama produk-produk keluaran syarikat gergasi itu adalah Ayamas dan Kumpulan KFC.

Baru-baru ini, sekumpulan petani, penternak dan peladang dari Malaysia yang menyertai program Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 anjuran Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT) berpeluang melawat kilang pemprosesan tersebut.

Terletak di daerah Petchabun, kira-kira tiga jam perjalanan dari Bangkok, kilang itu merupakan sebahagian daripada lokasi persinggahan dalam siri jelajah kembara tani berkenan.

Ketibaan para peserta di sambut baik oleh Naib Presiden Eksekutif Kumpulan SAHA Farms, Jesse Liu bersama kakitangan syarikat.

Bercerita mengenai perniagaan yang dijalankan, Liu memberitahu, kilang seluas 912 hektar itu memberi tumpuan kepada proses penyembelihan dan pemprosesan ayam mentah.

"Selain penyembelihan dan pemprosesan, kita juga mempunyai rangkaian perniagaan berkaitan seperti penternakan ayam pedaging, penetasan, pembuatan makanan ayam, pemprosesan produk makanan berasaskan ayam serta aktiviti kajian dan penyelidikan.

''Secara keseluruhannya, ladang-ladang kami mampu mengeluarkan 450 juta biji telur ayam dan 360 juta anak ayam setahun.

''Untuk kilang penyembelihan dan pemprosesan di sini, kita mempunyai tiga buah bilik penyembelihan utama dengan sokongan 500 orang kakitangan bagi mengurus kerja-kerja memproses dan mengasing bahagian-bahagian ayam.

''Ini kerana, setiap negara yang mengambil bekalan ayam dari SAHA Farms mempunyai permintaan tersendiri daripada segi saiz dan jenis potongan. Jadi kita perlu ikut keperluan itu,'' jelasnya kepada para peserta.

Sesuatu yang unik mengenai kilang tersebut, ia memberi penekanan maksimum kepada sistem keselamatan bio sekuriti agar kesemua produk mentah yang dihasilkan bebas daripada bakteria.

Sistem tersebut merangkumi teknologi pengawasan maksimum melibatkan pembahagian zon dan sistem amaran kehadiran virus seperti selesema burung dalam jarak satu kilometer.

Jesse memberitahu, bangunan kilang SAHA Farms juga dilengkapi teknologi penyejukan udara di mana ia merupakan yang pertama dilaksanakan di Asia.

Bangunannya yang berada dalam kawasan geografi berbukit-bukau pula bertujuan menyekat kehadiran bakteria berpenyakit dan burung-burung daripada terbang melintasi kawasan kilang.

''Pelaksanaan semua usaha ini bermatlamat memastikan ayam-ayam mentah dan produk makanan sejuk beku yang dikeluarkan SAHA Farms bermutu tinggi, bersih, sihat dan bebas daripada pencemaran.

''Sama seperti ladang penternakan di Supcharoen dan Patthana, kita turut menggunakan sistem ternakan tertutup berteknologi tinggi lengkap dengan sistem bio sekuriti dan pengudaraan terbaik untuk keselesaan haiwan,'' jelasnya.

Bagi memastikan kesihatan ayam ternakan di SAHA Farms, haiwan itu diberi makanan berasaskan sayur-sayuran lengkap dengan vitamin, protein dan mineral.

Apa yang menarik, kesemua haiwan tersebut juga tidak diberi suntikan hormon atau sebarang ubat antibiotik.

Daripada sudut keperluan air untuk melancarkan proses kilang pula, pihak syarikat melaksana teknologi sistem rawatan air tersendiri.

Mengesan antibiotik ternakan ayam

Posted:

Mengesan antibiotik ternakan ayam

Mengesan antibiotik ternakan ayam

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN


Penggunaan antibotik yang minimum dapat mewujudkan industri ayam yang lebih sihat. -Gambar hiasan.


SELAMA ini adakah kita sebagai pengguna mengambil berat mengenai apa yang kita makan? Misalnya antibiotik yang terkumpul dalam daging ayam yang kita makan setiap hari?

Antibiotik terutama tetracycline digunakan secara meluas dalam pengeluaran ternakan bagi terapi dan peningkatan berat badan.

Bahan berkenaan dimasukkan ke dalam makanan bagi merangsang peningkatan berat selain menghalang jangkitan penyakit.

Biasanya antibiotik berkenaan diberikan bermula dalam makanan permulaan atau starter sehingga ke 'finisher' atau hingga ayam disembelih.

Biasanya antibiotik akan berkumpul dalam tisu haiwan ternakan dan memasuki rantaian makanan apabila ternakan berkenaan disembelih, dijual dan dimakan oleh manusia.

Antibiotik stabil sehingga sembilan bulan dan tidak terurai malah akan terkumpul di dalam otot, hati dan kulit.

Daging ayam merupakan makanan utama dalam diet manusia, Antibiotik yang terdapat dalam daging ayam mungkin boleh mendatangkan kesan kepada manusia seperti rentan kepada antibiotik serta memberikan kesan karsinogenik (penyebab kanser).

Disebabkan penggunaan antibiotik menjadi semakin penting dalam pengeluaran makanan, pihak berkuasa perlu mengambil langkah tertentu bagi mengukur kesan sisanya dalam makanan.

Bagi memastikan produk makanan yang selamat untuk penggunaan tempatan dan antarabangsa, keupayaan mengesan sisa antibiotik dalam ternakan ayam sangat penting.

Sistem pengesanan antibiotik yang ideal biasanya dirujuk sebagai imbasan mikrobiologi diikuti dengan ujian ELISA dan pengesahan akhir serta kuantiti menggunakan analisis HPLC atau GCMS.

Walaupun analisis berkenaan menggunakan peralatan yang sensitif tetapi ia amat mahal dan memakan masa yang lama.

Justeru gabungan jalur biosensor yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan peralatan digital mudah alih yang dibangunkan oleh Rapid Lab Sdn. Bhd. bagi pemantauan antibiotik mampu dimiliki dan sesuai bagi mendapatkan keputusan yang cepat.

Pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Bioteknologi, MARDI, Dr. Faridah Salam berkata, teknologi yang dibangun berdasarkan kepada produk antibiotik tempatan sangat berkaitan dengan pemantauan antibiotik.

Ini kerana jalur berkenaan boleh digunakan di lapangan pada masa sebenar.

"Jalur berkenaan mempunyai potensi pasaran yang besar bagi penggunaan eksport dan tempatan bernilai sehingga RM250 juta.

"Sejak Kementerian Kesihatan meningkatkan keupayaan mengimbas kandungan antibiotik dalam produk berasaskan ayam, jalur biosensor merupakan teknik terbaik bagi imbasan antibiotik," katanya.

Biasanya paras antibiotik yang selamat adalah 100 bahagian per bilion atau 100 mikrogram bagi satu kilogram.

Dr. Faridah berkata, selalunya hanya penternak industri ayam yang besar mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Dianggarkan kos imbasan saja menyumbang kira-kira 10 peratus daripada jumlah kos pasaran.

Pada tahun pertama, jalur berkenaan dijangka dapat memasuki 10 peratus pasaran segmen ujian dengan pertumbuhan lima hingga 10 peratus setahun.

Berdasarkan segmen pasaran, produk berkenaan dijangka menjana pendapatan sebanyak RM2.5 juta setahun.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved