Utusan Online - Utara |
Posted: Asyras sudah serikOleh ABDUL MUIN SAPIDIN MOHD. Asyras Mohamad dan ibunya, Rozaini Hashim menunjukkan bekas tapak rumah mereka yang musnah akibat mercun di Kampung Permatang Sintok, Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini. KEPALA BATAS 3 Sept. - "Maaflah, bagi free pun saya tak nak". Itu reaksi spontan Mohd. Asyras, 13, ketika diajukan pertanyaan mengenai keinginannya bermain mercun - hobi yang hampir meragut nyawanya tiga tahun lalu. Bagi Asyras, setiap kali menjelang Aidilfitri, dia pasti mengingati peristiwa 29 September 2008 apabila mercun 'lalat' berharga 50 sen yang dibelinya menjadi punca keluarganya hilang tempat tinggal, tiga hari menjelang 1 Syawal. Malah, Asyras mengakui, selepas kejadian malang itu, dia tidak pernah menyentuh apatah lagi membeli mercun walaupun sering dipujuk oleh rakan-rakannya. "Gara-gara mercun, kami sekeluarga hilang tempat tinggal. Saya sudah berjanji dengan mak tidak akan bermain mercun, saya dah serik," katanya ketika ditemui di Kampung Permatang Sintok di sini, baru-baru ini. Mengimbas semula kejadian itu, Mohd. Asyras berkata, dia begitu teruja melihat mercun lalat yang dibakarnya berpusing-pusing sebelum menyedari ia memasuki salah satu bilik dalam rumahnya. Dia kemudiannya cuba mencari mercun itu di dalam rumah dengan bantuan kakaknya, Nurul Alwani, 19, tetapi tidak berhasil sebelum menyedari api mula merebak dan memusnahkan rumah mereka. Kejadian berlaku ketika ibunya, Rozaini Hashim, 42, keluar bekerja di sebuah kilang dekat Bukit Minyak dekat sini. Anak bongsu dua beradik itu memberitahu, ketika kejadian dia hanya mampu menangis lantas keghairahan menyambut hari lebaran lenyap sama sekali. "Saya mendengar Kak Wani (Nurul Alwani) menjerit-jerit meminta tolong. Saya lihat api sudah semakin marak dan ketika itu saya hanya mampu menangis. "Ketika kejadian, saya melihat orang ramai sibuk cuba memadam api. Saya menjadi sangat takut dan melarikan diri kerana tahu mak pasti akan marah," katanya menghimbau peristiwa hitam tiga tahun lalu itu. Sementara itu, Rozaini mengakui, kejadian tersebut mengubah sikap Mohd. Asyras yang dulunya dikenali sebagai seorang anak yang degil dan 'keras kepala'. "Banyak keperitan yang kami lalui selepas kejadian itu dan Mohd. Asyras menjadi anak yang lebih mendengar nasihat. Tetapi, kami bersyukur kerana akhirnya Kerajaan Pusat menampung perbelanjaan membina semula rumah kami yang musnah," katanya. |
Posted: Laporan polis bantah Mat SabuIPOH 3 Sept. - Pemuda UMNO Ipoh Barat semalam membuat laporan polis berhubung kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengangkat anggota Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai hero sebenar tragedi Bukit Kepong pada tahun 1950, dalam ceramahnya, baru-baru ini. Laporan itu dibuat oleh Ketuanya, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi di Balai Polis Sungai Senam dekat sini. Syamsul Baharin dalam laporannya meminta polis menyiasat kenyataan pemimpin Pas yang dikenali sebagai Mat Sabu itu mengikut Akta Hasutan dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya. "Kenyataan Mat Sabu itu menunjukkan bahawa dia adalah pengkhianat negara yang sebenar dan mempunyai pengetahuan yang cetek mengenai sejarah negara sendiri. "Jika dia benar-benar tidak tahu mengenai sejarah negara, kami sentiasa bersedia dan tiada masalah untuk mengajarnya mengenai sejarah negara ini supaya beliau tidak lagi mengeluarkan kenyataan dangkal seperti itu," katanya kepada pemberita di sini, semalam. Syamsul Baharin berkata, Mat Sabu juga perlu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong itu. "Tindakannya mempertikaikan perjuangan anggota keselamatan amat mengguris hati semua anggota keselamatan yang terdiri daripada pelbagai kaum pada zaman itu dan beliau wajar memohon maaf secara terbuka," katanya. Sementara itu, Syamsul Baharin turut menyelar kenyataan Ketua Pemuda Pas Negeri, Zawawi Yusoff yang menyokong tindakan Mat Sabu dengan mendakwa ia merupakan situasi sebenar berdasarkan fakta-fakta relevan berhubung perkara tersebut. |
Rumah, kereta, motosikal musnah Posted: Rumah, kereta, motosikal musnahBUKIT MERTAJAM 3 Sept. – Sebuah keluarga terpaksa melupakan kemeriahan hari raya apabila rumah mereka di Kampung Baru Alma dekat sini musnah dalam satu kebakaran pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, rumah pusaka separa papan dua tingkat yang didiami sejak lebih 70 tahun itu musnah sama sekali mengakibatkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang. Menurut anak mangsa, Norsiah Ismail, 48, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen apabila terhidu bau gas yang kuat dipercayai daripada peti ais. "Kami 12 orang yang berada di dalam rumah terus berlari keluar sambil membawa emak, Rabaayah Ahmad, 76, yang kurang sihat akibat mengalami masalah jantung kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku. "Salah seorang adik saya kemudiannya menelefon bomba, tetapi belum sempat bomba sampai saya ternampak asap di bahagian dapur sebelum api mula marak membakar rumah pusaka ini," katanya yang pulang beraya ke rumah itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan