Ahad, 4 September 2011

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Ramai tertipu jenayah siber

Posted:

Ramai tertipu jenayah siber

Ramai tertipu jenayah siber

SUBANG JAYA 4 Sept. – Kurangnya kefahaman serta kesedaran mengenai keselamatan penggunaan komputer dan telefon bimbit telah menyebabkan ramai rakyat di negara ini ditipu oleh sindiket jenayah siber.

Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Daerah Subang Jaya, Inspektor Ahmad Faizal Aminuddin berkata, jenayah siber yang kerap dilakukan antaranya adalah melibatkan penggunaan perbankan melalui Internet, VoIP (Voice Over Internet Protocol) dan e-Perdagangan.

"Penggunaan komputer dan telefon bimbit yang semakin canggih telah memudahkan operasi sindiket untuk menipu orang ramai," katanya di sini baru-baru ini.

Ahmad Faizal berkata, ramai yang menjadi mangsa jenayah siber setelah mereka secara tidak sedar telah mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada ahli sindiket, yang menyebabkan wang simpanan mereka telah dipindahkan kepada pihak ketiga.

"Di Subang Jaya sendiri, jenayah siber didapati meningkat lebih 20 peratus sejak tahun lepas berbanding tahun sebelumnya dan kawasan ini juga mencatat jumlah tangkapan suspek paling banyak," katanya.

"Oleh itu, kini kita boleh lihat jenayah yang berlaku kurang lagi melibatkan jenayah berbentuk kekerasan malahan mereka lebih cenderung untuk melakukan jenayah komersial di mana ia mudah bagi mereka untuk mengelakkan diri daripada dikesan pihak polis oleh kerana mereka ini melakukan jenayah ini secara maya atau on-line," katanya.

Beliau berkata, selain itu ramai pengguna Internet turut ditipu semasa membeli secara talian terus yang 'sangat berisiko' dan tidak dijamin kerana individu yang berminat perlu membayar terlebih dahulu sebelum mendapat produk mereka dan kebanyakan mereka tidak menerima produk yang ditempah.

"Justeru undang-undang sedia ada perlu dikaji semula dan agensi berkaitan juga perlu bekerjasama bagi menangani jenayah komersial terutamanya melibatkan jenayah siber di negara ini," katanya.

Menurut statistik polis, jumlah kes dibuka pada 2010 ialah 1,050 sementara pada 2011 sehingga Julai tahun ini sahaja sebanyak 500 kes dengan jumlah tangkapan pada 2010 ialah 300 sementara tahun ini sehingga Julai sebanyak 80 kes.

Jumlah kes yang berjaya diselesaikan pada 2010 ialah 800 sementara pada tahun 2011 hingga Julai ialah 200. – BERNAMA

Majlis hari jadi nenek diganggu lelaki bersenjata

Posted:

Majlis hari jadi nenek diganggu lelaki bersenjata

Majlis hari jadi nenek diganggu lelaki bersenjata


RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek menyerang rumah Gordan Francis di Taman Desa Rishah, Ipoh, Perak, semalam.


IPOH 4 Sept. - Sambutan hari ulang tahun kelahiran seorang nenek yang dihadiri 32 ahli keluarganya di Taman Rishah di sini gempar apabila diserang sekumpulan empat lelaki bersenjatakan pistol, parang dan kayu golf, awal pagi ini.

Kejadian pukul 1.50 pagi itu turut mengakibatkan seorang daripadanya iaitu Gordan Francis, 18, yang juga cucu kepada M. Marianee, 58, cedera di bahagian bahu akibat terkena tembakan.

Menurut ibu saudara Gordan, G. Ushanantini, 30, salah seorang daripada suspek yang tidak dikenali itu dan bersenjatakan pistol melepaskan dua das tembakan rambang ke dalam rumah mereka.

"Ketika itu, anak saudara saya (Gordan) sedang duduk di atas motor menghisap rokok di luar pagar rumah sebelum keluar seorang lelaki daripada sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih melepaskan tembakan pertama, tetapi tidak kena.

"Dia (Gordan) yang panik lalu menghidupkan enjin motosikal dan cuba melarikan diri, namun tembakan kedua terkena bahu kirinya. Salah seorang suspek juga tidak berpuas hati dan memecahkan pintu kaca hadapan rumah dengan kayu golf.

"Namun, jeritan kanak-kanak termasuk tangisan seorang bayi berusia sebulan yang sedang tidur dalam buaian di ruang tamu menyebabkan semua lelaki itu melarikan diri," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, sebelum kejadian itu, suspek-suspek berkenaan menyerang seorang lagi lelaki berusia 21 tahun di sebuah restoran berdekatan sebuah hotel di Menglembu di sini pada pukul 12.30 tengah malam.

Menurut beliau, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai kelindan lori sedang berbual bersama dua lagi rakannya.

Utusan Malaysia difahamkan, lelaki berkenaan digunakan oleh suspek untuk mencari lokasi rumah Gordan di Taman Rishah yang terletak kurang satu kilometer dari restoran berkenaan.

"Lelaki itu telah didatangi sekumpulan suspek menaiki kereta sama iaitu Proton Iswara putih bernombor plat ACJ 352.

"Mangsa kemudian dibawa ke Taman Rishah sebelum dilepaskan di Jalan Kuala Kangsar berdekatan stesen pam minyak Petronas.

"Suspek juga bertindak merampas dokumen peribadi mangsa serta telefon bimbitnya jenis Sony Ericson," katanya.

Dzuraidi berkata, polis masih menyiasat motif serangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved