Ahad, 4 September 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Peluru 'merentap' misi ke Somalia

Posted:

Peluru 'merentap' misi ke Somalia

Peluru 'merentap' misi ke Somalia

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PANGKALAN Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pagi semalam menerima ketibaan jenazah perwira negara, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor.

Seingat penulis dan mana-mana catatan sejarah negara ini, belum pernah ada wartawan Malaysia terkorban dalam misi kemanusiaan paling mencabar di dunia ketika membantu mengurangkan derita kebuluran di sebuah negara yang juga medan perang paling bergolak nun di Afrika sana, Somalia.

Pagi sekitar pukul 10 pagi, ketibaan jenazah bersama rombongan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia selamat tiba di landasan pangkalan itu yang disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berpuluh wartawan yang juga sahabat seperjuangan Allahyarham menyambut ketibaan jenazah termasuk wartawan Reuters yang berteksi untuk ke lapangan terbang itu. Suasana hiba dirasai ketika keranda dibawa turun daripada pesawat Hercules C130.

Jurukamera BernamaTV itu sepatutnya pulang ke tanah air hari ini seperti mana perginya di lapangan terbang sama 28 Ogos lepas. Tetapi takdir menjemputnya pada hari terakhir beliau bersama misi kemanusiaan itu melengkapkan misinya Jumaat lalu.

Sejak rombongan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia tiba di Somalia hingga 2 September lepas, seramai 50,000 rakyat Somalia sudah mendapat manfaat daripada sumbangan bekalan makanan termasuk perubatan seberat 300 tan.

Namun pada hari Jumaat itulah, Noramfaizul dipanggil menghadap Ilahi terkena tembakan dipercayai daripada peluru pasukan Kesatuan Afrika di Somalia (AMISOM) sewaktu berada di dalam kenderaan pacuan empat roda yang mahu menuju ke hotel penginapan petugas media elektronik.

Sebaik sahaja Allahyarham terkulai di dalam kenderaan berkenaan di sisi sahabat jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, sepasukan paramedik dari Australia yang berada di tempat kejadian bertungkus lumus cuba membantunya.

Beberapa minit kemudian, pasukan perubatan Kelab Putera 1Malaysia diketuai Dr. Alwi Abdul Rahman,48, bertungkus lumus mencuba CPR untuk sekurang-kurangnya menyedarkan beliau.

"Kalaupun arwah memakai jaket kalis peluru sekalipun, peluru yang datang itu memang sukar dielak sebab betul-betul sipi menembusi bahunya dan melalui ketiak sebelum memasuki paru-paru arwah. Waktu itu pasukan perubatan Malaysia dan Australia tidak dapat berbuat apa-apa, arwah banyak kehilangan darah dan kesan lukanya terlalu besar," kata Dr. Alwi ketika ditemui Utusan Malaysia di Subang semalam.

Dikatakan bukan sahaja pasukan media dan misi kemanusiaan di sana tidak memakai topi keselamatan atau jaket kalis peluru, semua sukarelawan dari Iran, Arab Saudi dan Australia juga membuat perkara sama.

Ini kerana dua alat keselamatan itu dipercayai kurang berkesan untuk menghalang robekan peluru yang berkualiti tinggi. Somalia ibarat pekan koboi dalam sebuah negara tidak bertuan.

Pasukan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia yang juga satu-satunya dari Asia dan beberapa misi sama daripada negara Eropah dan Timur Tengah hanya bergerak sekitar di dalam Mogadishu.

Mereka tidak perlu keluar dari ibu negara Somalia itu kerana rakyat dari seluruh Somalia akan datang ke situ dengan berjalan beratus-ratus kilometer.

Menurut Dr. Alwi dan Naib Presiden 2 Kelab Putera 1Malaysia, Abdul Rahman Abdul Rahim, pasukan misi kemanusiaan itu mendapat sokongan 100 peratus daripada rakyat Somalia yang dahagakan bantuan daripada sebuah negara Islam.

Pasukan tentera kerajaan Somalia sendiri sanggup berbuat apa sahaja untuk menjamin keselamatan setiap warga Malaysia termasuk 40 doktor pelbagai kaum dengan kepakaran bidang tertentu yang bertugas dalam misi kemanusiaan kali ke-15 itu.

Situasi getir di Somalia telah dibangkitkan sendiri oleh Presiden Wilayah Udubland (dalam Somalia), Ibrahim Abdullah Addo ketika menghadiri satu majlis pelancaran misi kemanusiaan ini di Sri Perdana, Putrajaya beberapa hari sebelum Aidilfitri.

"Misi ini sangat berbahaya kerana selain masalah kebuluran terdapat juga masalah yang akan ditimbulkan daripada puak militan Shabaab yang menguasai sebahagian besar selatan Somalia. Namun pihak Shabaab berjanji akan bertoleransi dengan kerajaan kerana simpati dengan nasib majoriti rakyat yang sedang mengalami masalah kebuluran.

"Tetapi saya juga bimbang jika kekecohan ini ditimbulkan oleh pihak lain selain Shabaab kerana mahu mengambil kesempatan terhadap keadaan yang berlaku ini.

"Ini kerana sejak berlaku konflik bersenjata di Somalia, penduduk tempatan bebas membawa senjata api ke mana saja sehingga mampu menimbulkan keadaan tegang jika terserempak dengan anggota keselamatan atau tentera. Justeru, konflik bersenjata ini bukan sahaja akan menyusahkan mangsa bencana kemarau sehingga mencetuskan krisis kebuluran, bahkan turut menyukarkan penyaluran bantuan antarabangsa.

"Bagaimanapun, pihak kerajaan terutama daripada saya sendiri berjanji akan memberi perlindungan kepada rombongan misi ini supaya bantuan dan keselamatan anggota misi terjamin," kata beliau.

Namun, apa yang terjadi, itulah ketentuan-Nya. Bagi Dr. Alwi sendiri, beliau telah menempuh berpuluh misi kemanusiaan dan pasukan media juga kata beliau terpaksa berdepan dengan risikonya sendiri.

"Saya telah berbincang dengan pakar antarabangsa di sana, kata mereka meskipun menggunakan jaket kalis peluru pun, kebanyakan peluru yang dilepaskan boleh menembusi jaket berkenaan apatah lagi kereta berperisai.

"Kita di sana telah mengikut standard operating prosedure (SOP) pihak antarabangsa malahan kita dilindungi kiri kanan, depan dan belakang, tetapi itulah yang berlaku," katanya.

Dr. Alwi menyifatkan Allahyarham sahabat sejati beliau. Allahyarham bukan asing buatnya kerana turut sama terlibat dalam misi kemanusiaan di Gaza sebelum ini.

"Arwah memiliki motivasi yang tinggi dan mesra dengan sesiapa sahaja. Tapi sayangnya pasukan perubatan saya tidak boleh berbuat apa-apa meskipun kelengkapan alat perubatan yang kita bawa setaraf dengan United Kingdom," katanya.

Bagi Abdul Rahman pula, kekesalan amat dirasakan apabila tembakan yang membunuh Allahyarham dipercayai dilepaskan oleh pasukan AMISOM. Ini memandangkan hubungan pasukan misi kemanusiaan itu dengan militan Shabaab mendapat kerjasama yang amat baik.

"Namun, kejadian ini tidak akan melemahkan semangat misi kemanusiaan ini untuk kembali bukan sahaja di Somalia tetapi di mana sahaja negara yang dilanda bencana," katanya.

Bagi wartawan TV3, Shaharil Kadir, 33, pengalaman di Somalia merupakan sesuatu yang tidak pernah dijangkakannya. Namun ia sama sekali tidak melemahkan semangatnya untuk kembali membuat liputan di negara bergolak itu pada masa depan.

Suatu kenangan yang masih diingati Shaharil tentang Allahyarham ialah pada dua hari sebelum pemergiannya, arwah tidak menjamah makanan ketika makan tengah hari.

"Saya kehilangan rakan seperjuangan yang begitu berdedikasi, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang salih," kata Shaharil yang nampak sugul.

Guan Eng ulas Mat Sabu...Siapa si Luncai dan siapa pula labu-labu

Posted:

Guan Eng ulas Mat Sabu...Siapa si Luncai dan siapa pula labu-labu

Guan Eng ulas Mat Sabu...Siapa si Luncai dan siapa pula labu-labu

Oleh Hassan Mohd. Noor

SEMPAT juga penulis berhari raya di kampung walaupun terpaksa bertugas pada hari raya pertama. Seperti biasa, apabila kembali ke Permatang Pauh, banyak cerita menarik, tentunya mengenai politik.

Kebetulan pada hari raya ketiga, ada rumah terbuka wakil rakyat kawasan itu, Anwar Ibrahim (Parlimen Permatang Pauh) dan Mansor Othman (ADUN Penanti). Majlis berlangsung di bilik gerakan pakatan DAP-PKR-Pas berhadapan masjid Kubang Semang. Pada 11 September ini, kira-kira empat kilometer dari situ, akan berlangsung pula Rumah Terbuka Aidilfitri 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu, juga terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh dan DUN Penanti. Kepada penduduk kawasan itu dan sekitarnya dan mungkin juga di utara, hadirlah beramai-ramai untuk berhari raya bersama-sama Perdana Menteri, Najib Tun Razak.

Cerita yang menjadi bualan di Pulau Pinang tentulah mengenai kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng. Tidak ketinggalan juga kisah jiran kampung penulis, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu @ Mat Sabu. Ada sesetengah orang menggelarnya jurucakap kerajaan DAP Pulau Pinang. Lebih-lebih lagi kedudukan Mat Sabu dalam Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP).

Nama Mat Sabu memang menjadi sebutan ramai. Jika dulu 'ayam sabung' Pas ini tenggelam seketika selepas tewas bertanding jawatan dalam parti tetapi sejak kemenangannya sebagai orang No.2 dalam Pas, namanya melonjak kembali. Mat Sabu terus 'mencipta nama' dengan aksi jatuh motorsikal dalam perhimpunan haram Bersih di ibu negara Julai lalu. Namanya menjadi sebutan lagi dengan beratus laporan polis dibuat terhadapnya berikutan isu mengangkat komunis sebagai hero. Pada masa yang sama, timbul isu caj rawatan bagi merawat kecederaan Mat Sabu akibat menyertai perhimpunan Bersih yang melibatkan wang PBAPP. Begitulah insan popular bernama Mat Sabu yang masih dapat berhari raya dengan meriah walaupun diasak depan, belakang, kiri dan kanan.

Sehingga semalam, isu caj rawatan ini masih belum jelas. Guan Eng selaku Pengerusi Lembaga Pengarah PBAPP belum mampu menjawab persoalan yang ditimbulkan dengan baik sebaliknya menyifatkan beliau dan Mat Sabu sebagai mangsa fitnah. Malahan beliau sekadar berkata 'biarkan si Luncai dengan labu-labunya'.

Mungkin hari ini, selepas kembali dari lawatan ke China dan memulakan tugas selepas hari raya, Guan Eng bersedia menjelaskan semuanya sesuai dengan slogan yang dilaung-laungkannya iaitu cekap, akauntabiliti dan telus atau CAT. Eloklah Setiausaha Agung DAP itu merungkai segala persoalan supaya 'fitnah' itu ditangkis secara CAT. Apatah lagi beliau sering bercakap mengenai amar makruf nahi mungkar. Guan Eng pun faham bahawa dosa fitnah itu lebih besar daripada membunuh. Maka sebagai pemimpin sebuah kerajaan negeri, beliau perlu memimpin rakyatnya supaya tidak terlibat dengan fitnah.

Penulis juga tidak tahu apakah menjelaskan secara terperinci mengenai wang PBAPP itu selari dengan CAT atau tidak.

Ramai yang ingin penjelasan yang telus supaya akaun PBAPP diurus dengan cekap dalam erti kata yang sebenarnya. Bukan cekap memutarkan fakta dan angka.

Ramai juga yang ingin tahu mengenai kelayakan Mat Sabu mendapat rawatan yang dibiayai PBAPP walaupun punca kecederaan itu akibat menyertai perhimpunan haram. Apakah keistimewaannya? Jika layak, adakah PBAPP secara tidak langsung akan didakwa mengiktiraf perhimpunan haram Bersih itu? Jika ya, adakah jika pada masa depan kakitangan PBAPP menyertai mana-mana perhimpunan haram layak membuat tuntutan caj rawatan jika mengalami kecederaan atau harta mereka musnah? Rasanya tidak ada penanggung insurans yang akan membayar pampasan jika pelanggan mereka terlibat dengan aktiviti yang memudaratkan seperti perhimpunan haram itu.

Justeru penjelasan Guan Eng amat dinanti supaya CAT benar-benar diamalkan. Kita tidak boleh membiarkan 'Si Luncai dengan labu-labunya' terjun ke dalam laut, lebih bahaya apabila labu-labu itu bocor. Bak kata orang untung sabut timbul untung batu tenggelam.

Tetapi siapakah si Luncai dan siapa pula labu-labu? Kita tidak mahu isu ini berakhir begitu sahaja atau membiarkan Guan Eng 'terjun' dengan Mat Sabu.

Kembali kepada CAT, seorang Melayu yang mendakwa dari negeri itu menghantar e-mel kepada penulis. Antara kandungannya ialah: ''Saya sendiri yang tinggal di Pulau Pinang melihat, rakyat negeri ini kini lebih sejahtera hidup di bawah kepimpinan yang cekap, akauntabiliti dan telus,''.

Dalam e-mel yang mengulas Selak bertajuk Menang dulu kerusi PRU, baru pakat cerita soal jawatan itu, beliau juga berkata: ''Pada pengamatan saya, setelah lebih tiga tahun Lim Guan Eng cuba diburukkan oleh pihak-pihak tertentu, kepimpinan beliau semakin diterima kebanyakan orang Islam di Pulau Pinang''.

Tidak pasti kenyataan itu merujuk kepada orang Islam mana kerana di Pulau Pinang walaupun Islam itu satu tetapi ada orang Islam sokong Pas, UMNO, Kimma, PKR, DAP atau tidak berparti politik.

Ketika di kampung baru-baru ini, seorang rakan memberitahu, dalam ceramah di pekarangan sebuah masjid, pemimpin pembangkang bukan Islam diberi tepukan apabila menghentam UMNO. Tentunya ada orang Islam UMNO tidak suka Guan Eng.

Bukan setakat orang Islam dari UMNO tetapi Kimma atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga tidak senang dengan tindak tanduk Guan Eng ini. Jadi kurang tepat kalau dikatakan kebanyakan orang Islam Pulau Pinang menerima kepimpinan Guan Eng.

Akhirnya dia menulis: ''Saya berasa DAP akan terus menang dalam PRU akan datang di Pulau Pinang dan Lim Guan Englah paling layak untuk kekal menerajui Pulau Pinang,''.

Penulis setuju dengan kenyataan terakhirnya itu. Memang betul. Dengan sokongan kuat PKR dan Pas, isu Gerakan yang belum 'bangkit', sokongan masyarakat Cina terhadap MCA tidak berubah, maka bukan mustahil DAP akan kekal memerintah Pulau Pinang. Lebih parah jika UMNO Pulau Pinang tidak bekerja kuat atau kalut dengan kepimpinan.

Semua sesak selepas hari raya

DALAM perjalanan pulang ke Kuala Lumpur kelmarin (Sabtu), seperti tahun lalu, penulis sekali lagi terperangkap dalam kesesakan di Lebuh Raya Utara-Selatan. Kenderaan bergerak perlahan setiap kali menghampiri kawasan rehat dan rawat serta susur keluar ke plaza tol. Di sesetengah hentian rehat, pengguna lebuh raya beratur panjang untuk ke tandas. Gerai makanan menjadi tumpuan.

Sebelum pulang, penulis sempat menjamu selera di restoran nasi kandar di Bukit Jambul. Di situ juga jammed kerana pelanggan terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan makanan. Malangnya ada juga yang cuba potong barisan dengan taktik menegur rakan yang ada di hadapan. Nasib baik tidak ada yang kena penendang. Tetapi keadaan ini tentunya lebih baik berbanding di negara lain yang terpaksa berebut untuk mendapatkan makanan. Bersyukurlah!

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved