Utusan Online - Muka Hadapan |
- ‘Arwah terkulai di bahu saya’
- Najib sifatkan Noramfaizul wira Malaysia sebenar
- Kematian Noramfaizul menyentak perasaan rakyat – Muhyiddin
Posted: 'Arwah terkulai di bahu saya'Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR ATAS: Noramfaizul Mohd. Nor yang cedera parah akibat terkena tembakan curi ketika detik cemas dibawa ke hospital di Mogadishu, Somalia, kelmarin. KUALA LUMPUR 3 Sept. – Malang tidak berbau. Walaupun jarak perjalanan yang perlu ditempuhi oleh sebahagian petugas media dalam misi bantuan di Somalia sebelum diserang hendap semalam hanya tiga minit, namun tempoh itu tetap merupakan antara yang paling panjang yang pernah dilalui oleh jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan. Ini kerana dalam perjalanan tiga minit itulah mereka ditembak sekurang-kurangnya dua kali dan salah satu daripadanya mengorbankan rakannya, jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor, yang juga ketua pasukan media yang bertugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia.
Menurut Aji Saregar, ketika kejadian, beliau dan Noramfaizul berada dalam kenderaan terakhir daripada tiga kenderaan yang bergerak dari hotel penginapan petugas media elektronik menuju ke hotel yang menempatkan petugas media cetak dan penulis blog. "Sebelum memasuki pekarangan hotel itu dari hotel kami, saya terdengar bunyi tembakan dan sedar saya sendiri terkena tembakan di bahagian lengan kanan. "Dalam kesakitan, saya memberitahu Noramfaizul bahawa kami diserang tetapi arwah tiba-tiba terkulai di bahu kanan saya. Saya dapat melihat bahu kanan arwah berlubang dan dia berada dalam kesakitan yang amat sangat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Aji Saregar menceritakan detik-detik cemas itu sebelum menaiki pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Mogadishu untuk pulang ke tanah air bersama jenazah Allahyarham Noramfaizul serta kesemua petugas media dan sukarelawan misi berkenaan. Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan itu (10.30 malam tadi waktu Malaysia), konvoi tiga kenderaan termasuk sebuah kenderaan tentera kerajaan Somalia ditembak oleh penyerang tidak dikenali kira-kira 200 meter sebelum memasuki hotel berkenaan. Tembakan yang terkena bahu kanan Noramfaizul itu dilaporkan menembusi paru-parunya dan menyebabkan Allahyarham meninggal dunia ketika dirawat di hospital berdekatan kira-kira pukul 6.07 petang waktu tempatan sementara Aji Saregar hanya cedera di lengan.
| ||||
Najib sifatkan Noramfaizul wira Malaysia sebenar Posted: Najib sifatkan Noramfaizul wira Malaysia sebenarGambar Noramfaizul Mohd. Nor yang dirakamkan oleh rakan setugasnya beberapa jam sebelum jurukamera BernamaTV itu terbunuh setelah terkena tembakan curi ketika menyertai misi bantuan di Somalia, kelmarin. – BERNAMA PERTH 3 Sept. — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi di Somalia, semalam, sebagai seorang wira Malaysia sebenar "yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan". Sambil melahirkan rasa sedih berhubung apa yang berlaku, Najib berkata: "Kita telah kehilangan seorang rakyat Malaysia sangat mulia dan benar-benar berdedikasi. "Beliau bersedia mengambil risiko untuk memberikan liputan meluas mengenai misi kita membantu orang lain di banyak tempat di dunia." Bercakap kepada Bernama hari ini, Najib berkata, lawatannya ke Perth disingkatkan dan akan pulang ke Kuala Lumpur malam ini bagi membolehkan beliau berada di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang untuk ketibaan jenazah Noramfaizul dari Mogadishu, esok. Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan bersama beberapa petugas media Malaysia lain yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di di Somalia. Noramfaizul telah mengikuti beberapa misi kemanusiaan Malaysia di seberang laut yang bertujuan untuk menolong mereka yang amat memerlukan bantuan. "Beliau seorang yang berdedikasi dan individu yang tidak mementingkan diri yang bersedia untuk bertugas di kawasan persekitaran yang mencabar dan ganas seperti di Gaza dan Pakistan," kata Najib. Beliau berkata, malahan jurukamera BernamaTV itu bersedia untuk pergi ke Somalia selepas beliau menyedari ia mungkin merupakan misi berbahaya. "Sudah tentu beliau mahu berada di tempat itu bagi merekodkan satu misi kemanusiaan. Anda boleh kata bahawa kematiannya akibat kebinasaan lingkungan. "Bagaimanapun, kita telah kehilangan seorang yang sangat baik, rakyat Malaysia yang sebenar, seorang wira yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan," katanya. — BERNAMA | ||||
Kematian Noramfaizul menyentak perasaan rakyat – Muhyiddin Posted: Kematian Noramfaizul menyentak perasaan rakyat – MuhyiddinKUALA LUMPUR 3 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman hari ini merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat di Mogadishu, Somalia, semalam. Timbalan Perdana Menteri berkata, berita menyedihkan itu tentunya menyentak perasaan rakyat Malaysia khususnya fraterniti media tempatan yang tidak pernah menghadapi situasi seperti ini di dalam negara. "Saya yakin pemergian Noramfaizul bukan sahaja dirasai kaum keluarga Allahyarham, bahkan industri kewartawanan media yang kehilangan seorang rakan yang dedikasi, tekun serta berani menghadapi cabaran dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan," katanya dalam kenyataan. Muhyiddin berkata, selain anggota keselamatan, pengamal media juga banyak berkorban demi tugas tanpa mengira hari dan waktu terutamanya ketika musim perayaan, berjauhan daripada kaum keluarga dan orang tersayang. "Seringkali pengorbanan mereka terbabit dipandang ringan. Sudah tiba masanya kita tunjukkan penghargaan dengan mendoakan keselamatan mereka," katanya. Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia. "Kami berharap anggota keluarga Allahyarham Noramfaizul sabar menghadapi kehilangan insan tersayang. Doa kami semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin," kata Muhyiddin. Timbalan Perdana Menteri meminta semua yang terlibat dalam misi kemanusiaan di Somalia lebih berhati-hati memandangkan keadaan yang membahayakan di negara benua Afrika itu. — BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan