Isnin, 2 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Buka mata masyarakat hak wanita

Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Sebahagian sukarelawan yang turut serta pada Program Hentikan Keganasan Terhadap Wanita di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

KUANTAN 2 Dis. - Sebanyak 1,000 tandatangan berjaya dikumpul sebagai tanda sokongan masyarakat dalam menghentikan keganasan terhadap wanita sempena sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita peringkat negeri di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini baru-baru ini.

Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita disambut di seluruh dunia dan telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai peringatan kepada semua wanita setiap kali tibanya 25 November.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin, walaupun negara mempunyai rekod yang baik mengenai hak wanita dan beliau cukup berbangga dengan perkembangan tersebut, dalam masa yang sama kerajaan sentiasa berusaha keras dalam memastikan apa jua hak wanita sentiasa terbela.

Sambutan seperti ini hanyalah satu daripada banyak inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi memastikan wanita dapat hidup dalam persekitaran selamat, bebas daripada sebarang bentuk penderaan, penganiayaan dan keganasan.

Di Malaysia, sempena sambutan ini, pihak kementerian menyasarkan untuk turun padang dan menemui seberapa ramai masyarakat di luar sana termasuk pemimpin masyarakat, golongan belia dan pihak majikan sama ada di sektor awam atau swasta agar turut berperanan dalam menangani isu ini," katanya ketika merasmikan sambutan berkenaan di UTC di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita (PPW) negeri, Nurul Aini Mohammad.

Pada majlis tersebut, seramai 220 wanita mendaftar sebagai kumpulan sokongan kepada kerajaan dalam menangani keganasan terhadap wanita.

Sementara itu, menurut Nurul Aini, sambutan tersebut dilakukan serentak seluruh negara selama 60 hari dengan pelbagai program dan kegiatan bermula dari 12 Oktober lalu dan dijangka berakhir 10 Disember ini.

Diharap melalui program dan kempen yang dijalankan ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat umum tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita.

Program yang diadakan ini turut menyelitkan pelbagai aktiviti seperti jualan oleh peserta-peserta program peningkatan kemahiran yang dianjurkan oleh PPW," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Salasiah Mat Yusof, 46, berkata, penganjuran program tersebut amat bagus kerana memberi kesedaran kepada kaum wanita mengenai hak mereka dan pendedahan tentang tindakan selanjutnya.

Program tersebut sangat bermanfaat kepada golongan wanita kerana banyak memberi pengetahuan dan kesedaran mengenai hak yang tidak diketahui sebelum ini.

Saya harap lebih ramai wanita sedar mengenai hak mereka dan segera bertindak jika menyedari menjadi mangsa," katanya.

Seorang aktivis masyarakat, Minat Mamat, 61, memberitahu, beliau telah berkecimpung dalam bidang sukarelawan sejak lebih lima tahun demi memperjuangkan hak-hak kaum wanita dan kanak-kanak.

Saya harap golongan wanita sama ada yang bekerjaya atau tidak segera membuka mata bagi membendung apa jua bentuk keganasan.

Jika kita bukan sebahagian daripada mangsa, kita juga perlu bersama-sama mempertahankan hak kaum wanita dan membelanya agar mendapatkan keadilan," jelasnya.

Heliza Ibrahim, 41, dari Kampung Peramu di sini turut berterima kasih kepada pihak penganjur kerana mengetengahkan isu-isu mengenai keganasan terhadap wanita.

Terima kasih dengan penganjuran program seperti ini kerana sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat bahawa golongan wanita bukanlah insan yang lemah.

Saya harap dapat membuka mata semua pihak terutama kaum lelaki agar lebih menghargai dan membela nasib golongan wanita," jelasnya.

RapidKuantan tambah tiga laluan

Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
utusanktn@gmail.com

RAPIDKUANTAN menambah tiga laluan baharu tahun depan dalam meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di sekitar Kuantan.

KUANTAN 2 Dis. - Rapid Bas Sdn. Bhd., syarikat pengendali RapidKuantan akan menambah tiga laluan di daerah ini tahun hadapan berikutan pertambahan jumlah penumpang yang amat menggalakkan selepas setahun beroperasi di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zohari Sulaiman berkata, sejak beroperasi tahun lalu, pihaknya mencatatkan jumlah penumpang sebanyak 13,000 orang setiap hari ini dan penambahan laluan itu akan membolehkan penduduk daerah ini mendapat perkhidmatan yang lebih berkesan.

Katanya, tiga laluan yang dicadangkan adalah Hentian Bandar-Gebeng melalui Beserah; Hentian Bandar-Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) melalui Jalan Galing serta Hentian Bandar-Gebeng melalui Pintasan Kuantan.

"Penambahan laluan terbaharu itu akan meningkatkan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan RapidKuantan di daerah ini.

"Kami berbangga kerana dapat berkhidmat kepada masyarakat Kuantan dan Pahang amnya serta menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu Zohari berkata, penambahan tersebut bergantung kepada kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan agensi kerajaan tertentu yang mengawal selia pengangkutan awam.

Beliau berkata, penambahan tiga laluan itu menjadikan RapidKuantan beroperasi di 16 laluan dan ia merupakan satu perkembangan positif dalam perkhidmatan pengangkutan awam di daerah ini.

Katanya, RapidKuantan juga dilihat berjaya membantu usaha mempromosikan pelancongan negeri ini apabila membuka laluan pelancongan seperti di Teluk Cempedak, Bukit Gambang Resort City, Sungai Lembing dan Pantai Sepat.

"Kita juga merancang untuk menaik taraf terminal bas sedia ada di Hentian Bandar dengan membina laluan pejalan kaki berbumbung dan terbuka serta tempat duduk penumpang.

"Kemudahan terbaharu itu akan memberi keselesaan kepada para penumpang sekali gus membuktikan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Kuantan," katanya.

Pesakit teruja kehadiran Aby Yus di Hospital Pekan

Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST

Aby Yus menyampaikan sumbangan kepada seorang pesakit pada Program Mesra Dakwah di Hospital Pekan, Pahang, semalam. Turut kelihatan Mastor Mat Ban (tiga dari kiri) dan Anuar Mohd. Khalyubi (dua kiri).

PEKAN 2 Dis. - Kehadiran pelawak terkenal, Aby Yus melalui Program Mesra Dakwah (Peramah) di Hospital Pekan di sini hari ini benar-benar mengujakan para pesakit dan orang ramai yang berada di situ.

Rata-rata pesakit terkejut dengan kehadiran artis komedi itu kerana sebelum ini Program Peramah hanya dihadiri pemimpin setempat atau pihak penganjur bersama iaitu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Setiausaha Peramah, Khairul Anuar Mohd. Khalyubi berkata, program yang merupakan kerjasama antara JAIP dan pejabat Ahli Parlimen Pekan itu sentiasa diubah pendekatannya supaya usaha menyampaikan dakwah secara santai tercapai.

"Pendekatan menyampaikan dakwah dengan menziarahi pesakit di hospital telah lama dilakukan, tetapi kali ini kita libatkan selebriti tanah air supaya dapat menghiburkan mereka.

"Kita mahu mereka merasai bahawa kita turut berkongsi ujian (sakit) yang sedang dihadapi. Saya lihat kesannya cukup positif," katanya kepada pemberita di sini.

Dalam program tersebut, Aby Yus dengan diiringi pembantu wakil peribadi Ahli Parlimen Pekan, Mastor Mat Ban menyampaikan sumbangan kepada 60 pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

Menurut Khairul Anuar, selain hospital, pihaknya turut mengadakan program dakwah di sekolah, kampung-kampung dan masjid-masjid bagi meningkatkan jalinan persahabatan sesama Islam.

"Jika di sekolah atau di kampung, kita lebih kepada memberi penerangan mengenai penguatkuasaan supaya mereka lebih faham termasuk isu-isu semasa seperti ajaran sesat," jelasnya.

Sementara itu, menurut Aby Yus atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid, 48, program sedemikian wajar dicontohi terutama pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau swasta.

"Jika sesuatu program memberi manfaat baik, maka wajar diteruskan dan tidak perlu membuat pertikaian mengenai keikhlasan orang yang menyampaikan.

"Ikhlas atau tidak bukan hak kita untuk membuat perhitungan kerana apa yang penting ialah program berkenaan terlaksana dan memberi kesan positif," jelasnya.

Tambahnya, dia dapat menyelami perasaan para pesakit yang menerima sumbangan tersebut kerana mempunyai pengalaman sama ketika menjalani rawatan di hospital sebelum ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved