Isnin, 2 Disember 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Mahkamah berhak ulas keputusan

Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 2 Dis. - Mahkamah Persekutuan diminta menolak permohonan semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memadam satu perenggan dalam penghakiman bertulis panel terdahulu berhubung kes liwat pertama atas alasan perenggan itu memang mempunyai kaitan dengan intipati pertuduhan yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup berhujah, Mahkamah Persekutuan terdahulu berhak mengeluarkan ulasan yang menyentuh pertuduhan kes ketika mencapai keputusan sama ada untuk membenarkan atau menolak rayuan Anwar pada 2004.

Beliau menghujahkan, perenggan yang dimaksudkan itu (yang mengaitkan Anwar dengan aktiviti homoseksual) tidak merendah-rendahkan reputasi Anwar kerana merupakan satu dapatan berdasarkan kepada bukti keterangan daripada rekod rayuan.

Hujah Manoj, hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu, Tun Abdul Hamid Mohamad (kini bersara) telah membuat penilaian yang mencukupi berdasarkan kepada rekod rayuan sebelum membuat keputusan majoriti membebaskan Anwar.

Sehubungan itu, beliau memohon agar permohonan itu ditolak atas alasan mahkamah hanya boleh menyemak keputusan terdahulu sedangkan Anwar memohon memadam satu perenggan dalam penghakiman yang telah memihak kepadanya.

''Permohonan ini seharusnya ditolak kerana jika dibenarkan, dikhuatiri akan membuka ruang kepada pihak lain membuat permohonan serupa supaya penghakiman terdahulu disunting untuk disesuaikan dengan tujuan masing-masing,'' hujah Manoj.

Mahkamah mendengar permohonan semakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk memadam satu perenggan dalam penghakiman bertulis Mahkamah Persekutuan terdahulu berhubung kes liwat pertama melibatkan bekas pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar.

Terdahulu, peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakilinya berhujah, perenggan yang dimaksudkan wajar dipadam kerana merosakkan reputasi Anwar dan secara berterusan digunakan untuk merujuk ahli politik itu sebagai pelaku homoseksual.

Hujahnya, perenggan tersebut juga diterbitkan secara meluas dan digunakan oleh pihak tertentu sebagai justifikasi bagi mengutuk anak guamnya sebagai pengamal seks songsang.

Beliau menghujahkan, perenggan yang dimaksudkan itu tidak relevan untuk dimasukkan dalam penghakiman tersebut dan wajar dipadam kerana merupakan ulasan peribadi Abdul Hamid yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara.

Hujah Sulaiman, Abdul Hamid tidak mempunyai asas untuk membuat ulasan peribadi sedemikian memandangkan panel yang sama ketika itu telah membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat.

Beliau turut menghujahkan, perenggan itu mencetuskan ketidakadilan terhadap Anwar kerana penghakiman itu menyatakan anak guamnya berkecenderungan kepada homoseksual namun dibebaskan kerana kekurangan bukti.

Hujah peguam bela, perenggan berkenaan turut digunakan oleh beberapa defendan bagi mewajarkan pembelaan mereka dalam kes-kes saman yang dikemukakan oleh Anwar.

Sehubungan itu, Sulaiman menghujahkan, panel yang bersidang hari ini mempunyai bidang kuasa semakan untuk memadam perenggan tersebut kerana tuduhan terhadap anak guamnya adalah spesifik berhubung kes liwat, bukannya aktiviti homoseksual.

Penghakiman dalam kes liwat melibatkan Azizan yang diputuskan sembilan tahun lalu membebaskannya daripada sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh mahkamah terdahulu.

Keputusan majoriti 2-1 pada 2 September 2004 itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000 yang menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atasnya.

Panel itu turut mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun ke atas adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang dibicarakan bersama-sama Anwar atas dakwaan meliwat Azizan di Tivoli Villa di ibu negara pada 1994.

Dalam penghakiman itu, Abdul Hamid berkata: 'kami mendapati wujud keterangan yang mengesahkan perayu (Anwar dan Sukma Darmawan) terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami cenderung untuk percaya bahawa insiden yang didakwa berlaku di Tivoli Villa itu benar-benar berlaku, kadang kala...'

Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang bersidang bersama Datuk Seri Zaleha Zahari, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Ramly Ali menetapkan permohonan semakan itu diputuskan pada satu tarikh lain.

Peguam Negara arah siasatan kes rogol dibuka semula

Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST

Abdul Gani Patail menunjukkan keratan akhbar mengenai perkahwinan Mohd. Fahmi Alias dan Nor Fazira Saad ketika sidang akhbar di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 2 Dis. - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan polis membuka semula siasatan kes Mohd. Fahmi Alias, 20, yang didakwa terbabit merogol Nor Fazira Saad, 13, sebelum menikahi remaja itu tahun lalu.

Abdul Gani memberi masa seminggu kepada polis untuk membuka semula kertas siasatan sebelum beliau membuat keputusan sama ada akan melakukan pendakwaan atau sebaliknya.

Awal tahun lalu, polis menahan dua suspek berikutan laporan polis berlaku kes rogol beramai-ramai termasuk Mohd. Fahmi dan seorang lagi rakannya manakala suspek ketiga gagal dikesan.

Pihak pendakwaan bertindak menarik balik kes (ke atas Mohd. Fahmi) kerana dia sudah berkahwin dengan mangsa dan seorang lagi yang mengaku salah kini sedang menjalani hukuman di Pusat Pemulihan Akhlak Paya Terubung, Pulau Pinang.

"Kes ini dibuka semula kerana membabitkan kepentingan awam dan saya memberi masa seminggu kepada pegawai penyiasat untuk mengumpulkan hasil siasatan.

"Sekiranya bukti yang diperoleh tidak mencukupi kes ini tidak akan dibawa semula ke mahkamah," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Abdul Gani mengulas mengenai pasangan remaja yang pernah menggemparkan negara kerana berkahwin dalam usia muda dengan niat untuk mencegah maksiat tahun lalu tetapi mengumumkan penceraian minggu lalu.

Pasangan, Nor Fazira Saad, 13, dan Mohd. Fahmi Alias, 20, yang bernikah pada 17 November tahun lalu setelah mendapat kebenaran Mahkamah Rendah Syariah Kulim disahkan bercerai pada 11 November lalu.

Selepas kes penceraian pasangan muda itu mendapat perhatian akhbar apabila bapa Nor Fazira, Saad Mustafa, 44, membuat kenyataan bahawa anaknya telah dirogol tiga lelaki termasuk bekas suaminya itu dan ikatan dilakukan untuk menutup kesilapan tersebut, namun dinafikan Mohd. Fahmi.

"Selain menggunakan bukti terdahulu kami juga akan mendapatkan semula keterangan mangsa, ayah, ibu saudara, doktor dan dua suspek termasuk bekas suami mangsa dan seorang lagi yang sedang menjalani hukuman," kata Abdul Gani.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved