Isnin, 2 Disember 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


2 pengikut Tuhan Harun ditahan

Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ dan NORAZRIN MARZUKI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Polis menahan dua pengikut kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun yang diburu selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Tagasan di Semporna, Sabah hari ini.

Kedua-dua suspek lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik pada 10 November lalu.

Salah seorang daripada mereka iaitu Shaizral Eddie Nizam Shaari, 37, merupakan salah seorang daripada 10 pengikut kumpulan itu yang gambarnya dikeluarkan Polis Diraja Malaysia kelmarin.

Seorang lagi yang ditahan ialah Aidil Akhbar Ridzuan, 29, berasal dari Bakri di Muar, Johor.

Kejayaan hasil serbuan pasukan Op Cantas Khas Polis Kontinjen Sabah itu diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitter beliau pada pukul 7.19 malam ini.

"Syabas Team Cantas Khas @PDRMsia Sabah, tadi dapat tangkap dua daripada 10 pengikut Tuhan Harun yang dikehendaki di Semporna, Sabah. Go Go Boys!," kata Khalid dalam laman sosialnya.

Sementara itu, sumber memberitahu, kedua-dua suspek ditahan di Kampung Tagasan pada pukul 1 petang hasil maklumat orang ramai yang mengecam wajah suspek menerusi gambar yang disiarkan dalam akhbar.

Sumber berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan polis yang menyerbu sebuah rumah di kampung itu.

"Tiada sebarang pergelutan atau kejadian yang tidak diingini berlaku dan suspek akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Pahang dengan segera," katanya.

Shaizral Eddie yang berasal dari Bukit Beruang, Melaka adalah antara 10 suspek yang diburu polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ahmad Raffli.

Polis sebelum ini mendedahkan gambar-gambar suspek susulan penahanan 13 anggota kumpulan ajaran sesat termasuk dua wanita pada Jumaat lalu.

Dalam penahanan itu, sepucuk pistol semi-auto telah ditemukan bersama seorang suspek yang ditangkap di Taman Setiawangsa di sini.

Gadis mati ditikam kekasih

Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
pengarang@utusan.com.my

ANGGOTA polis mengusung mayat mangsa bunuh di Taman Limbongan Permai, Melaka, semalam.

MELAKA 2 Dis. - Seorang lelaki tergamak menikam kekasih yang dikenalinya sejak 10 tahun lalu sehingga mati di sebuah rumah di Taman Limbongan Permai, Tengkera di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang juga pekerja kafe siber, Goh Meng Yee, 23, ditemui mati dengan kesan tikaman di perut dalam sebuah bilik di rumah keluarga suspek.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, suspek yang berusia 23 tahun dikatakan turut bertindak nekad menikam diri sendiri sejurus selepas menikam kekasihnya.

Menurutnya, hasil maklumat orang awam, polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa telah meninggal dunia manakala suspek dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka berikutan kecederaan yang dialami.

"Mangsa dipercayai meninggal dunia selepas cedera parah akibat ditikam di perut dan mayatnya dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Salehhudin, hasil siasatan di tempat kejadian polis menemukan sebilah pisau Rambo di tepi katil bersebelahan mangsa dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.

"Polis masih menyiasat motif pembunuhan dan suspek yang sedang dirawat kini ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Salehhudin memberitahu, suspek dan mangsa difahamkan sudah mengenali satu sama lain sejak 10 tahun lalu semasa mereka berada di tingkatan dua dan mangsa dikatakan menetap di rumah keluarga suspek sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, adik suspek yang berusia 19 tahun memberitahu, dia terdengar pergaduhan abangnya dengan mangsa antara pukul 9 hingga 10 malam tadi.

"Saya dan seorang lagi adik tidur awal dan langsung tidak sedar tentang kejadian itu. Saya hanya menyedarinya selepas dikejutkan ibu kira-kira pukul 4 pagi sebaik sahaja dia pulang dari tempat kerja.

"Semasa ibu sampai di rumah dia nampak abang duduk di kerusi ruang tamu dengan perut berlumuran darah akibat ditikam," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved