Isnin, 2 Disember 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Jenazah bekas Pengarah JSJ selamat dikebumikan

Posted: 02 Dec 2013 02:31 AM PST

SHAH ALAM 2 Dis. - Jenazah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Allahyarham Datuk Fauzi Shaari yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman di hati dan buah pinggang malam tadi selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 hari ini.

Allahyarham yang berusia 63 tahun disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abduk Aziz Shah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari.

Menurut anak sulung Allahyarham, Mohd. Faizal, 35, bapanya dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Seksyen 20 sejak Rabu lalu akibat demam sebelum dipindahkan ke Hospital Selayang yang mempunyai segala rekod perubatan beliau.

"Doktor menasihatkan arwah dipindahkan ke Hospital Selayang sejak Jumaat lalu setelah beliau dikesan mempunyai kuman dalam darah.

"Sebaik sahaja dipindahkan ke Hospital Selayang, arwah tidak sedarkan diri sehingga menghembuskan nafas terakhir di hadapan kami sekeluarga pukul 8.17 malam tadi," katanya selepas selesai pengebumian Allahyarham.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin; Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar. - UTUSAN ONLINE

Banjir: Dua kampung di Labis tenggelam, 121 dipindah

Posted: 02 Dec 2013 01:46 AM PST

Oleh MOHAMED SAARI

LABIS 2 Dis. - Seramai 121 orang daripada 23 keluarga di Kampung Sungai Gatom dan Kampung Usaha Jaya dipindahkan ke dua pusat pemindahan banjir apabila kedua-dua kampung tersebut mula ditenggelami akibat kenaikan paras air Sungai Labis dan Sungai Karas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, setakat pukul 5 petang ini, dua pusat pemindahan yang telah dibuka adalah Dewan Serbaguna Kampung Sungai Gatom yang menempatkan seramai 81 orang dari 15 keluarga dan Balai Raya Kampung Usaha Jaya dengan 40 mangsa daripada lapan keluarga.

"Dua pusat pemindahan itu mula dibuka kira-kira pukul 11.30 pagi selepas paras air sungai melimpahi tebing akibat hujan berterusan sejak Sabtu lalu dan lebih banyak pusat pemindahan dijangka dibuka menjelang malam nanti kerana hujan belum berhenti," katanya ketika ditemui ketika melawat mangsa banjir di Kampung Sungai Gatom, di sini.

Mohd. Azahar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Banjir DUN Tenang berkata, semua penduduk yang menetap di kawasan rendah dan mudah dinaiki air diminta membuat persiapan dan persediaan untuk berpindah. - UTUSAN ONLINE

Banjir: 20 penduduk dipindahkan di Kemanan

Posted: 02 Dec 2013 01:37 AM PST

KUALA TERENGGANU 2 Dis. - Hujan berterusan yang melanda negeri ini sejak tiga hari lalu mengakibatkan empat buah kawasan di sekitar daerah Kemaman dinaiki air.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Kemaman , sebanyak lima keluarga melibatkan 20 orang mangsa daripada Kampung Teladas, Kampung Teluk Kalong, Kampung Batu 14 dan kampung Dadong terpaksa dipindahkan ke tiga buah pusat penempatan iaitu di Sekolah Kebangsaan Kalong, Masjid Kampung Batu 16 dan Dewan Orang Ramai Batu 14.

Kesemua mangsa mula dipindahkan tengah hari tadi selepas Bilik Gerakan Banjir Daerah Kemaman dibuka pada pukul 10.30 pagi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi bilik gerakan itu di talian 09-8591063. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved