Sabtu, 10 Disember 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


6,000 mohon sekolah agama

Posted:

6,000 mohon sekolah agama

6,000 mohon sekolah agama

Oleh TENGKU FAUZIAH NGAH
utusanterengganu@utusan.com.my


SEBAHAGIAN daripada pelajar yang menyertai Kem Imam Muda anjuran JHEAT di Pusat Latihan Kecemerlangan Pendidikan, Wakaf Tengah, Kuala Terengganu, kelmarin. - UTUSAN/TENGKU FAUZIAH


KUALA TERENGGANU 9 Dis. - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerima lebih 6,000 permohonan pelajar yang tamat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk ditempatkan di 10 buah sekolah menengah agama kelolaan kerajaan negeri tahun depan.

Penolong Pesuruhjaya Hal Ehwal Murid JHEAT, Razak Jusoh berkata, permohonan yang diterima itu melebihi 200 peratus berbanding kekosongan tempat untuk pelajar tingkatan satu di sekolah-sekolah berkenaan yang hanya menyediakan 1,525 tempat.

Katanya, daripada jumlah tempat yang disediakan itu, 125 pelajar akan ditempatkan di sekolah berasrama penuh, Sekolah Menengah Agama (SMA) (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk.

''Manakala bakinya 1,400 tempat lagi akan disediakan di sembilan buah sekolah menengah agama lain di seluruh negeri,'' katanya selepas majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil Kem Imam Muda Sekolah Menengah Agama Terengganu di Pusat Latihan Kecemerlangan Pendidikan, Wakaf Tengah, di sini semalam.

Sekolah-sekolah menengah agama itu adalah SMA Maarif, Besut; SMA Ittifakiah, Jerih; SMA Setiu; SMA Khairiah Kuala Terengganu; SMA Mahmudiah, Kuala Berang; SMA Sultan Zainal Abidin, Ladang, Kuala Terengganu; SMA Sultan Ismail Dungun dan SMA Al-Falah, Kemaman.

Menurut Razak, disebabkan permohonan terlalu ramai, JHEAT akan mengadakan ujian saringan Ahad ini kepada calon yang akan ditempatkan di sembilan sekolah menengah agama, manakala pada 15 Disember untuk calon SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk sebelum memulakan sesi persekolahan awal tahun depan.

Katanya, pelajar yang memperolehi keputusan 5A dalam UPSR layak memohon ke sekolah menengah agama berasrama penuh itu, manakala sekolah menengah agama lain sekurang-kurangnya 1A berdasarkan kelayakan ditetapkan oleh sekolah- sekolah berkenaan selain anak kelahiran Terengganu.

''Sebagai contoh, SMA Khairiah dan SMA Sultan Zainal Abidin Ladang memerlukan pelajar memperolehi sekurang-kurangnya 3A dan 2B dalam UPSR,'' katanya.

Beliau berkata, bilangan calon yang berminat menyambung pelajaran ke tingkatan satu di sekolah-sekolah menengah agama kelolaan kerajaan negeri meningkat setiap tahun, tetapi bilangan yang diterima adalah terhad.

Katanya, JHEAT kini hanya mempunyai 57 kelas di 10 sekolah agama dan setiap kelas hanya dapat menampung antara 35 hingga 40 orang.

Bagaimanapun kata Razak, pihaknya sedang berusaha untuk menambah bilangan kelas di sekolah-sekolah agama terbabit tetapi bergantung kepada persekitaran dan keluasan kawasan sekolah.

Seramai 120 pelajar yang selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) daripada 10 buah sekolah menengah agama tersebut menyertai Kem Imam Muda yang diadakan selama enam hari itu.

Full content generated by Get Full RSS.

Tekun salur RM2.3 juta bantu 540 usahawan

Posted:

Tekun salur RM2.3 juta bantu 540 usahawan

Tekun salur RM2.3 juta bantu 540 usahawan


AWANG Adek Hussin (dua dari kiri) menyampaikan cek pinjaman TEKUN kepada salah seorang usahawan di Bachok, semalam.


BACHOK 9 Dis. - Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Nasional (TEKUN) telah menyalurkan bantuan sebanyak RM2.3 juta untuk membantu 540 penduduk menjadi usahawan sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, sasaran sebenar pembiayaan pinjaman TEKUN bagi jajahan ini sepanjang 2011 adalah sebanyak RM1 juta dengan menyasarkan hanya 125 usahawan sahaja.

"Ia sudah melangkaui sasaran sebenar dengan kecemerlangan yang ditunjukkan oleh peminjam yang berjaya dan gigih menjalankan perniagaan serta penghasilan bahan menerusi industri kecil dan sederhana (IKS)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek pembiayaan pinjaman TEKUN kepada 40 usahawan di Dewan Haji Hussin, dekat sini hari ini.

Awang Adek berkata, kerajaan amat mengambil berat potensi dan kesungguhan penduduk dengan menyediakan pinjaman kewangan mudah bagi membolehkan mereka mendapatkan modal untuk menguruskan projek ekonomi berdaya maju yang mampu diusahakan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok berkata, mengikut rekod yang dikeluarkan oleh TEKUN, 85 peratus daripada peminjam melunaskan bayaran pembiayaan pinjaman mengikut jadual dan berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dalam setiap projek ekonomi yang diusahakan.

"Tahniah kepada Kelab Usahawan Tekun yang pernah menerima Anugerah Kawasan Terbaik Peringkat Nasional yang turut menyuntik semangat usahawan tempatan untuk memajukan projek masing-masing," katanya.

Tambahnya, selain TEKUN usahawan jajahan ini turut mendapat pembiayaan daripada Skim Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang turut menyediakan peruntukan berjumlah RM100 juta bagi tujuan sama iaitu membangunkan program keusahawan dan memajukan ekonomi rakyat untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Full content generated by Get Full RSS.

T-Team bercadang cari penajaan luar

Posted:

T-Team bercadang cari penajaan luar

T-Team bercadang cari penajaan luar

KUALA TERENGGANU 9 Dis. - Pasukan T-Team akan berusaha mendapatkan penajaan luar dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi untuk mengurangkan bebanan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, kerajaan negeri kini terpaksa menanggung perbelanjaan dua pasukan bola sepak iaitu Terengganu dan T-Team.

"Buat masa ini, kita akui bahawa sumbangan terbesar yang kita terima memang datang dari kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, T-Team akan berusaha mendapatkan tajaan baru bagi membantu pasukan ini pada masa depan," katanya semasa menggulung perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri kelmarin.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Rosol Wahid (BN-Ajil) yang menyentuh mengenai perbelanjaan besar ditanggung kerajaan negeri ekoran kewujudan dua pasukan bola sepak di negeri ini.

Rosol turut mempersoalkan kewajaran dua pasukan diwujudkan bagi mewakili negeri memandangkan sokongan hanya cenderung kepada satu pasukan iaitu Terengganu.

Rozi memberitahu, kewujudan pasukan T-Team boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak negeri pada masa depan.

"Dengan adanya pasukan T-Team, skuad Terengganu tidak ketandusan bakat baru dalam sukan bola sepak kerana pemain T-Team boleh menyertai pasukan Terengganu dan sebaliknya.

"Kewujudan pasukan ini (T-Team) juga membolehkan anak-anak muda yang mewakili T-Team bertanding dalam kejohanan bola sepak di peringkat lebih tinggi bagi mengelakkan bakat yang mereka miliki 'statik' atau 'sejuk' begitu saja," katanya.

Rozi berkata, pihaknya mengharapkan pasukan T-Team mampu memberi saingan dalam liga pada musim hadapan bagi menaikkan imej pasukan bola sepak dari negeri itu.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved