Rabu, 21 Disember 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pilihan Raya Malaysia lebih telus dari AS

Posted:

Pilihan Raya Malaysia lebih telus dari AS

Pilihan Raya Malaysia lebih telus dari AS

Oleh Azmi Hassan

PENGUNAAN dakwat kekal dalam pilihan raya lazimnya dikaitkan dengan negara mundur dimana bancian mengenai daftar pengundi amat sukar dilakukan kerana kekangan kewangan, masa dan logistik.

Kebanyakan negara mundur di benua Afrika dan negara berdekatan Malaysia seperti Pakistan, India, Afghanistan, Filipina dan Indonesia mengamalkan penggunaan dakwat untuk mengelak penipuan seperti undian berulang kali.

Mungkin ramai rakyat Malaysia yang tertanya-tanya atau terkeliru apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia membuat pengumuman penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya akan datang kerana SPR mempunyai pangkalan data daftar pemilih yang begitu mantap.

Sebenarnya, penggunaan dakwat kekal hanyalah sebahagian dari cadangan yang diutarakan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya kerana beberapa penambahbaikan seperti kebenaran mengundi awal, penghapusan masa bantahan dan bantuan mengundi untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) turut diperkenalkan.

Rata-rata rakyat menerima baik sikap keterbukaan dan ketelusan SPR untuk menjadikan pilihan raya di Malaysia memenuhi prinsip demokrasi tanpa menganiaya mana-mana pihak.

Lebih mengkagumkan adalah pihak yang mempunyai kepentingan politik tidak kira dari sebelah kerajaan mahupun pembangkang menyambut baik langkah SPR.

Tetapi berlainan pula cerita dengan sebuah negara yang dianggap sebagai pejuang demokrasi paling hebat di dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) mendapati begitu sukar untuk melaksanakan proses penambahbaikan pilihan raya kerana mendapat tentangan pihak yang berkepentingan.

Sistem daftar pemilih AS dikatakan agak longgar dan kucar kacir kerana kerajaan pusat tidak mempunyai kuasa sebaliknya setiap negeri mempunyai sistem yang berlainan di antara satu sama lain.

Beberapa negeri seperti Wisconsin, Iowa, Idaho dan Minnesota mempunyai sistem pendaftaran liberal seperti membenarkan pendaftaran pengundi pada hari pengundian.

Paling menimbulkan masalah adalah hampir ke semua negeri di AS mengamalkan sistem pendaftaran pengundi yang agak longgar yang terdedah kepada penipuan. Walaupun perlembagaan hanya membenarkan warganegara AS membuang undi, tetapi sebenarnya sesiapa sahaja boleh mendaftar sebagai pengundi.

Ini adalah kerana dokumen yang diperlukan untuk mengundi hanyalah bukti alamat bermastautin pengundi. Penyata akaun bank atau bil utiliti sudah cukup untuk membuktikan pengundi tersebut layak mengundi di kawasan yang tertera pada alamat tersebut.

Sebab itu, lebih dari 30 negeri di AS sudah mula memperkenalkan undang-undang daftar pengundi yang lebih ketat supaya penipuan dapat dielakkan.

Keperluan yang paling banyak diperkenalkan adalah penggunaan pengenalan bergambar seperti lesen memandu atau pasport sebagai bukti kelayakan mengundi. Tidak seperti di Malaysia, AS tidak mempunyai sistem pengenalan (kecuali surat beranak tetapi tanpa gambar) untuk membuktikan seseorang itu adalah warganegara AS.

Tetapi niat baik kerajaan negeri untuk mengelak penipuan itu ditentang dengan hebat oleh kerajaan pusat dengan alasan bahawa keperluan terbaru itu akan menyusahkan beberapa kelompok pengundi seperti golongan minoriti, berpendapatan rendah dan muda kerana mereka mempunyai kekangan untuk memperolehi pengenalan bergambar.

Peguam Negara, AS Eric Holder ialah antara yang paling lantang menentang kerana beliau meramalkan seramai 5 juta rakyat AS yang layak mengundi akan kehilangan hak mereka akibat keperluan terbaru ini.

Ada kebenaran mengenai kebimbangan Holder kerana golongan berpendapatan rendah yang lazimnya adalah berkulit hitam tidak mempunyai pengenalan bergambar kerana faktor kewangan. Umpamanya untuk mendapatkan pasport sahaja memerlukan bayaran AS$135 dan ini tidak termasuk kos perjalanan.

Kegusaran Holder ada sebabnya kerana Presiden Barack Obama dari parti Demokrat memenangi pilihan raya presiden 2008 kerana sokongan undi golongan yang besar kemungkinan terlepas hak mengundi iaitu pengundi kulit hitam, Hispanik, Latino dan golongan muda.

Kebimbangan Holder ini diperkuatkan lagi dengan fakta bahawa pada pilihan raya perwakilan dan Gabenor pada 2010, parti Republikan telah menang besar kerana minat mengundi golongan yang menyokong Obama telah luntur pada ketika itu.

Mungkin rakyat Malaysia sekali lagi tertanya-tanya niat baik kerajaan negeri AS itu tidak patut ditentang oleh Holder semata-mata hanya kerana mahu menyelamatkan Obama yang akan mempertahankan jawatan presiden pada pilihan raya November 2012. Ketelusan pilihan raya adalah jauh lebih penting dari agenda sesebuah parti politik.

Tetapi jika diteliti negeri yang memperkenalkan keperluan pengenalan bergambar kebanyakannya adalah diterajui oleh Gabenor dari parti Republikan. Sebab itu timbul kesangsian tentang niat sebenar mengapa keperluan pengenalan bergambar diwujudkan kerana terdapat elemen kepentingan tersirat.

Apakah tujuan tersirat untuk menyusahkan pengundi minoriti, berpendapatan rendah, muda, Hispanik atau Latino yang telah mengundi Obama pada pilihan raya 2008 atau pun mempunyai niat baik memperkukuhkan proses pilihan raya AS, pihak yang bertentangan mempunyai hujah masing-masing.

Tetapi perlu ditekankan oleh kerana sistem undi AS yang tidak menggunakan konsep satu pengundi dikira sebagai satu undi, penipuan pengundian yang dilakukan oleh pengundi bukan warganegara AS sebenarnya tidak begitu kritikal.

Berdasarkan reaksi rakyat Malaysia terhadap langkah terbaru SPR dan dibandingkan dengan kemelut keperluan pengenalan bergambar AS, maka tidak keterlaluan jika diandaikan proses pilihan raya di Malaysia adalah jauh lebih sihat dan telus berbanding dengan AS yang dianggap sebagai pejuang demokrasi.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut

GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu

Majlis Profesor Negara

Full content generated by Get Full RSS.

Pas tinggalkan perjuangan demi kuasa

Posted:

Pas tinggalkan perjuangan demi kuasa

Pas tinggalkan perjuangan demi kuasa

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

"Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan.

''Tidak ada gunanya kita cerdik , pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita.

''Keikhlasan yang tidak ada belah baginya lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita".

Inilah pesanan Prof. Dr. Zulkifli Mohamad kepada kepimpinan Pas pada awal penubuhan parti itu. Pesanan itu disampaikan kerana Allahyarham Dr.Zulkifli tidak mahu Pas tergelincir daripada landasan perjuangan bagi menegakkan Islam di negara ini.

Tetapi soalnya masih adakah keikhlasan untuk membawa kembali Pas ke landasan perjuangan asal? Sukar dipastikan, apa yang nyata dalam usaha Pas memburu kuasa bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, percayalah seruan agar Pas meninggalkan negara berkebajikan dan kembali ke matlamat asal menubuhkan negara Islam tidak akan dipedulikan. Dalam situasi yang dianggap kritikal ketika ini, Pas sudah pastilah tidak mahu melakukan tindakan yang akan dilihat boleh merugikan matlamat politik mereka dalam pilihan raya umum nanti.

Kepimpinan Pas sudah nekad bahawa dalam pilihan raya umum nanti apa pun berlaku mereka harus bersama PKR dan DAP menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Soal siapa untung siapa rugi selepas itu, ia perhitungan kedua. Apa yang paling mustahak pemerintahan BN perlu ditamatkan kerana pilihan raya umum kali ini dianggap pembangkang sebagai peluang paling keemasan.

Kita tidak pasti atas dasar apa pembangkang termasuk Pas begitu yakin bahawa rakyat akan menyebelahi mereka sedangkan pelbagai pungutan suara yang dibuat menunjukkan populariti pembangkang semakin merudum.

Tidak kisahlah itu hak pembangkang untuk 'syok sendiri', apa yang hendak diperkatakan ialah nasib Pas selepas pilihan raya umum nanti. Ketika PKR dan DAP sedang merancang strategi bagaimana untuk menguasai lebih banyak kerusi, Pas masih bergelut dengan masalah dalamannya yang berpunca daripada kegelisahan melihat Pas menggadaikan segala-galanya untuk mencari kuasa politik.

Sebab itulah munculnya pemimpin-pemimpin seperti Datuk Dr. Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa. Biar pun pelbagai tohmahan dilemparkan, namun kedua-dua mereka tetap istiqamah dan semakin lantang memperingatkan Pas bahawa parti itu sudah lari daripada landasan perjuangan asal.

Soalnya, apakah perjuangan Dr. Hasan dan Nasharuddin yang tulus ikhlas mengingatkan Pas akan berjaya? Sekarang ini sudah banyak andaian (mungkin juga tohmahan) yang menyalah tafsirkan pendirian tegas kedua-dua pemimpin tersebut.

Mahu tidak mahu, mereka memerlukan sokongan daripada dalam parti sendiri bagi membolehkan misi mereka berjaya, dalam soal ini tumpuan sudah tentulah diberikan kepada Dewan Ulama dan Dewan Pemuda Pas pusat.

Ia memandangkan kedua-dua dewan ini dilihat menyebelahi Hasan dan Nasruddin serta mungkin juga mereka semakin menyedari bahaya yang menanti Pas jika parti itu terus mengamalkan amalan politik seperti sekarang.

Apa yang jelas, Dewan Pemuda diharapkan membawa suara akar umbi yang semakin resah melihat persekongkolan antara Pas dengan PKR dan DAP.

Ketua dewan itu, Nasrudin Hassan dan Timbalannya, Nik Abduh Nik Aziz diharap menjadi pejuang barisan depan bagi melaksanakan misi tersebut.

Harapan itu disandarkan kepada Pemuda memandangkan sayap Pas tersebut dilihat lebih konsisten dalam memperjuangkan sesuatu isu atau tindakan.

Terbaru, Nik Abduh menegur tindakan Harakah menyiarkan kartun menyindir Nasharuddin dan beliau juga membidas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali kerana mengkritik Hasan.

Semua itu sudah menampakkan dengan jelas bahawa Dewan Pemuda boleh diharapkan oleh penyokong-penyokong parti itu untuk membimbing kembali Pas ke landasan perjuangan asal parti berkenaan.

Dalam soal ini, adalah diharapkan Dewan Pemuda Pas akan terus konsisten dan tidak terpengaruh dengan keghairahan Pas induk mencari kuasa bersama PKR dan DAP sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya.

Pas perlu disedarkan bahawa mereka sudah tersasar daripada asas perjuangannya dan tidak boleh terus berjuang dalam medan politik dengan 'remote control'nya dipegang oleh PKR dan DAP. Sebab itulah Allahyarham Prof.Dr. Zulkifli mengingatkan soal keikhlasan kerana tanpa keikhlasan Pas tidak akan ke mana.

Bagi Pas, sudah tentulah apa yang paling penting ialah orang mahu melihat sejauh manakah keikhlasan untuk berpegang kepada perjuangan Islam yang suatu ketika dulu menjadi pegangan kukuh parti berkenaan.

Bukankah ini yang menjadi punca Pas melihat UMNO sebagai musuh dulu, kini dan selamanya sehinggakan hendak duduk semeja bagi membincangkan perpaduan Melayu pun dituduh UMNO ada muslihat.

Bukankah kerana perjuangan Islam inilah, umat Islam berpecah-belah akibat berbeza fahaman politik? Bukankah kerana perjuangan Islam yang diuar-uarkan oleh Pas juga menyebabkan perlembagaan negara dianggap kafir? Bukankah kerana perjuangan Islam ini juga ada kenduri orang UMNO tidak dihadiri oleh orang Pas?

Dan kita juga hendak bertanya bukankah kerana perjuangan Islam itu juga yang menyebabkan sehingga ke hari ini isu solat Jumaat dua imam dalam satu kariah masih belum selesai sehingga ke hari ini? Justeru wajarkah setelah berpuluh-puluh tahun Pas menguar-uarkan mengenai perjuangan Islam dan bermati-matian hendak menegakkan negara Islam ia ditinggalkan begitu sahaja semata-mata untuk berkongsi kuasa dengan PKR dan DAP?

Sebab itulah keresahan Hasan dan Nasruddin serta penyokong Pas di peringkat akar umbi ada asasnya.

Kalau Pas sudah tidak mahu memperjuangkan lagi negara Islam dan memperjuangkan Islam, janganlah mereka hendak menuding jari mempertikaikan usaha UMNO memartabatkan Islam.

Mahu tidak mahu Pas perlu akui dalam usaha tersebut, UMNO jauh lebih ikhlas dan istiqamah, sebab itulah Malaysia boleh menjadi contoh kepada negara-negara Islam yang lain.

Sepanjang memerintah negara ini bersama parti-parti komponen BN yang lain, UMNO telah berjaya menonjol, mengembang dan mempertahankan Islam sedaya upaya, tetapi apa Pas sudah buat?

Lebih daripada itu, sementara kaum-kaum lain dibela, UMNO tidak pernah mempertaruhkan nasib orang Melayu dan umat Islam apatah lagi menggadaikan prinsip perjuangannya semata-mata bagi memburu kuasa politik. Ini berbeza dengan Pas sejak berkawan dengan PKR dan DAP, segala-galanya sudah boleh bertolak-ansur dan segala-galanya boleh dikompromi hatta melibatkan prinsip perjuangan sendiri.

Justeru Dewan Pemuda Pas mempunyai misi bagi 'menyelamatkan' parti itu daripada terus hanyut di lautan memburu politik kekuasaan kerana 'menumpang' kapal yang dikemudikan oleh PKR dan DAP.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved