Rabu, 21 Disember 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Rela jadi mangsa keganasan suami

Posted:

Rela jadi mangsa keganasan suami

Rela jadi mangsa keganasan suami

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my


Selalunya pihak isteri sanggup bertahan dengan sikap ganas suami bertahun-tahun lamanya dengan berharap suaminya akan berubah demi masa depan rumah tangga dan anak-anak - Gambar hiasan.


BERPELUANG bertemu Emi (bukan nama sebenar) merupakan saat yang amat dinanti-nantikan. Tiada niat untuk mencampuri urusan peribadinya. Tetapi sekadar ingin menyelami hati seorang isteri yang hidup menderita akibat dikasari lelaki yang bergelar suami.

Di awal pertemuan, tergambar di wajahnya yang begitu takut untuk memulakan bicara. Setiap soalan yang diutarakan hanya dijawab dengan jawapan 'selamat'.

Setelah 10 minit berbual, jalan cerita yang diinginkan masih belum diperoleh. Malah jawapan yang diterima bercanggah antara satu sama lain.

Apabila diberitahu kecelaruan tersebut, Emi terdiam sebelum akhirnya bersetuju menceritakan perkara sebenar tanpa berselindung.

Kata Emi, pernikahannya dan suami berlangsung di negara jiran kerana tidak mendapat restu orang tuanya.

Ini kerana selain usia perkenalan mereka yang baru mencecah lima bulan, Emi sebenarnya mengandung empat bulan hasil hubungan terlarang tersebut bersama Din (bukan nama sebenar), kekasihnya (ketika itu).

Menurut Emi, sepanjang perkenalan serta di awal perkahwinan, segala-galanya berjalan lancar dan mereka tidak menghadapi masalah.

Mereka diibaratkan seperti pasangan suami isteri yang bahagia. Tetapi tidak diduga segala-galanya berubah dalam sekelip mata.

Tambah Emi, di saat dirinya mengandungkan anak kedua, suaminya mula buat perangai.

Din, bukan sahaja bertukar menjadi seorang suami yang suka 'naik tangan' tetapi dia juga seorang penagih dadah.

Ulas Emi, bermula dari situ, rumah tangga mereka berantakkan dan dirinya selalu menjadi mangsa kemarahan suaminya.

"Saya sering dipukul sekiranya segala kehendak Din tidak dapat dipenuhi.

"Sejak Din mengambil 'benda' tu, dia bukan sahaja menjadi seorang suami yang baran malah dia juga sudah lupa pada tanggungjawabnya. Saya pula tidak bekerja.

"Pantang salah sedikit, tubuh badan saya akan menjadi mangsa barannya itu walaupun ketika itu saya sedang mengandung," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Apabila ditanya adakah dia ada membuat laporan polis, Emi hanya mampu menggelengkan kepalanya.

Menurut Emi, bukan dia tidak mahu membuat laporan polis tetapi disebabkan terlalu sayang dan memikirkan Din adalah ayah kepada anak-anaknya, Emi hanya mampu mendiamkan diri.

Lagipun katanya, dia masih boleh bertahan dan bersabar. Ditambah pula Din akan merayu dan meminta maaf darinya selepas setiap kali pertelingkahan berlaku.

Setiap kesabaran pasti ada hadnya. Emi akhirnya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis apabila dia bukan sahaja dipukul malah kepalanya turut ditetak dengan parang mengakibatkan kepalanya luka sebelum jatuh pengsan. Din akhirnya ditahan polis dan dipenjarakan untuk satu jangka masa yang agak pendek.

Penderitaan Emi tidak berakhir di situ. Kini dia mengalami satu lagi masalah apabila dia ingin meminta cerai daripada Din, kesnya tidak boleh dirujuk di mana-mana pejabat agama.

Ini kerana sijil pernikahan mereka telah hilang dan hanya ada satu jalan penyelesaian iaitu pergi semula ke tempat mereka dinikahkan untuk mendapatkan salinan sijil nikah mereka di sana.

"Tanpa sijil perkahwinan, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Sekarang saya dan abang saya sedang usahakan untuk mendapatkan salinan sijil nikah tersebut.

"Namun kehidupan saya sekarang bukan sahaja dalam ketakutan malah turut diugut oleh pihak suami kerana tidak menarik balik laporan polis yang dibuat biarpun dia dalam penjara.

"Saya pasti, apabila Din keluar dari penjara, dia akan mencari saya kerana itu janjinya," katanya.

Hari ini, bagi menampung kehidupannya anak-beranak, Emi bukan sahaja keluar mencari rezeki malah turut mendapatkan perlindungan daripada salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) khusus untuk wanita.

Alhamdulillah, setakat ini Emi bukan sahaja gembira dengan kehidupannya tetapi turut bersyukur kerana dikelilingi oleh orang-orang yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya sekeluarga.

Full content generated by Get Full RSS.

Keganasan terhadap wanita satu jenayah

Posted:

Keganasan terhadap wanita satu jenayah

Keganasan terhadap wanita satu jenayah

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my

KEGANASAN terhadap wanita bukan sahaja merupakan satu bentuk pencabulan ke atas hak asasi manusia malah ia juga boleh dikategorikan sebagai satu jenayah.

Dengan jumlah yang semakin meningkat ketika ini, usaha untuk menghentikan keganasan terhadap wanita mendapat banyak sokongan tetapi jelas sekali ia masih belum mencukupi.

Mengikut rekod, sejak 1994, polis menerima lebih 3,000 laporan keganasan rumah tangga di seluruh negara setiap tahun.

Malah, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), menunjukkan Januari hingga Julai lalu, sebanyak 1,926 laporan diterima mengenai keganasan domestik manakala rogol sebanyak 1,962 kes.

Kajian yang dilakukan oleh sebuah organisasi bebas bukan kerajaan, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), pada 1992 menganggarkan satu daripada 10 wanita menjadi mangsa dera suami mereka.

Walaupun WAO berusaha memperkenalkan pelbagai program mendidik dan menyedarkan masyarakat terhadap isu keganasan rumah tangga setiap tahun, namun jumlahnya tidak pernah berkurangan.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Ivy Josiah, sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima 88 kes keganasan rumah tangga yang mewakili 70.4 dan 20 kes untuk hamil luar nikah iaitu 16 peratus daripada keseluruhan kes membabitkan wanita.

Tambahnya lagi, tidak mustahil angka-angka tersebut akan bertambah sekiranya tiada kesedaran yang diambil oleh kaum wanita itu sendiri.

"Kes keganasan terhadap wanita berlaku sejak sekian lama. Ia boleh berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa saja.

"Usaha membendung jenayah keganasan terhadap wanita bukan sahaja bergantung kepada seorang individu, satu organisasi atau di bahu kerajaan tetapi ia membabitkan kerjasama semua rakyat di negara ini.

"Pelbagai kempen telah diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai jenayah ini tapi ia tidak akan dapat dibendung sepenuhnya andai mangsa (wanita) hanya berdiam diri," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen You can make a difference now! di Selangor, baru-baru ini.

Katanya lagi, walaupun isu itu sering diperkatakan, hakikatnya ia merupakan satu isu yang perlu diambil berat oleh masyarakat sekeliling.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, jelas Ivy, laporan statistik tahunan WAO menunjukkan sebanyak 44 peratus atau 55 wanita yang meminta bantuan di WAO pernah terfikir untuk membunuh diri.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 kes telah dicatatkan dan statistik turut menunjukkan seramai 125 wanita yang mendapatkan perlindungan di pusat perlindungan WAO dengan 88 daripada mereka adalah mangsa keganasan domestik.

Sementara itu, WAO yang merupakan sebuah organisasi bebas, tidak berasaskan agama dan bukan kerajaan, komited untuk menangani keganasan terhadap wanita.

Selain menyediakan rumah perlindungan bagi mereka yang berhadapan dengan masalah keganasan rumah tangga, ibu tunggal, wanita pendatang yang didera termasuk pembantu rumah dan wanita yang diperdagangkan, WAO turut menyediakan Pusat Jagaan Kanak-Kanak (CCC) untuk kanak-kanak.

Sejak Januari hingga September tahun ini, WAO telah melindungi 70 wanita dan 16 kanak-kanak daripada pelbagai kes.

Laporan statistik tahunan WAO turut menunjukkan sebanyak 70 peratus wanita meminta bantuan perlindungan daripada suami, pasangan, teman lelaki, ahli keluarga atau majikan.

Dalam pada itu, bagi menampung kos pengurusan, WAO memerlukan dana sebanyak RM1 juta setiap tahun untuk rumah perlindungan, CCC dan Pusat WAO (kerja advokasi).

Setakat ini WAO berjaya mengumpulkan RM700,000 (setakat Oktober lalu) tetapi masih kekurangan RM300,000 dan bagi mengumpul dana, kempen You Can Make A Difference Now! telah dilancarkan.

Kempen tersebut bertujuan mendidik masyarakat dalam menangani isu keganasan wanita yang berlaku di samping mengajak orang ramai menderma bagi wanita memerlukan.

Mensasarkan orang ramai menjadi penyokong diikuti dengan seruan amalan menderma, ia dilihat memberi impak positif dalam kehidupan wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan.

"WAO berhasrat membentuk kesedaran di kalangan orang awam mengenai peningkatan jumlah wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga seperti seksaan fizikal dan penderaan seksual.

"Hasil dana berkenaan diperlukan bagi membantu mangsa yang mahu 'berhijrah' dari 'alam ngeri' kepada kehidupan baru.

"Kempen ini diharap dapat mendidik orang awam mengenai isu yang semakin dibelenggu wanita serta ingin mendapatkan lebih banyak sokongan," kata Ivy lagi.

Menurut beliau, WAO percaya setiap individu mempunyai kuasa untuk menyumbang dan membawa perubahan dan itulah mesej asas kempen tersebut.

Kepada golongan wanita yang mahukan bantuan persatuan ini bolehlah menghubungi WAO di talian 03-7957 0636 atau 7987 2372.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved