Isnin, 14 November 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kesederhanaan ke arah dunia selamat

Posted:

Kesederhanaan ke arah dunia selamat

Kesederhanaan ke arah dunia selamat


Najib Tun Razak menyampaikan ucapan di hadapan kira-kira 200 tetamu di East-West Center, Honolulu, Hawaii kelmarin.


Puongpun Sananikone; Pengerusi Lembaga Gabenor East-West Center, Charles E. Morrison; Presiden East-West Center, Joey Manahan; Wakil Hawai, penuntut East-West Center; Tuan-tuan dan puan-puan.

"E pluribus unum" – daripada banyak, satu. Fahaman yang tertera pada Lambang Negara negara ini agak mudah, namun ini melambangkan lebih daripada sumbangan ahli falsafah atau pemidato, semangat yang sudah hampir 250 tahun memberi inspirasi kepada negara dan rakyat anda.

Selama setengah abad East-West Centre telah menggunakan prinsip yang sama dalam hubungan antara Asia dan Amerika Syarikat, menyatukan kita untuk belajar antara satu sama lain dan memahami dunia kita dengan lebih baik.

Ia merupakan usaha yang sangat penting. Kini terdapat lebih daripada tujuh bilion lelaki, wanita dan kanak-kanak yang berada di bumi yang sesak ini, dan terdapat pelbagai budaya yang begitu dekat, dan kita hanya boleh meneruskan kelangsungan hidup jika kita belajar untuk hidup bersama-sama satu sama lain dengan aman dan harmoni, memberi tumpuan terhadap persamaan kita dan bukan apa yang memisahkan kita.

Hawaii merupakan contoh sebenar bagaimana ia boleh dicapai. Ia merupakan pertumpuan budaya dengan masyarakat pelbagai latar belakang hidup, bekerja dan menjalin hubungan sosial sesama mereka. Kunjungi Aloha Stadium pada Ahad untuk menyaksikan Pro-Bowl dan anda tidak sahaja melihat pengunjung dari Eropah, Asia dan penduduk tempatan, malah medan yang dipenuhi 50,000 penduduk Hawaii.

Beginilah keadaan sebenar di negara saya, Malaysia, tempat tinggal kepada masyarakat Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan pelbagai lagi penduduk dari kumpulan penganut agama yang kecil. Kami bercakap dalam banyak bahasa dan mempunyai banyak agama, namun sejak separuh dekad merdeka, kami adalah Satu Malaysia, berusaha bersama-sama menjadikan negara ini rumah kami yang progresif, negara yang berjaya seperti hari ini.

Jika Malaysia dan Hawaii sudah membuktikan perkara ini boleh dicapai, cabaran yang dihadapi masyarakat antarabangsa dalam abad ke-21 ini menunjukkan pentingnya mengapa pemahaman dan kerjasama yang serupa mesti dicapai di peringkat dunia. Lebih-lebih lagi sekarang, negara berlainan sudah duduk bersama-sama untuk merancang kejayaan masa depan. Krisis kewangan dunia, keganasan antarabangsa, penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia merupakan masalah yang tidak boleh ditangani dengan jayanya oleh mana-mana kerajaan secara bersendirian.

Namun masa ini Barat dan Timur berpecah, kumpulan ekstremis kecil bersuara lantang berusaha mencetuskan pergaduhan sesama kita. Di suatu pihak terdapat sekumpulan masyarakat Islam yang sesat yang mewajarkan konflik dan keganasan. Di satu pihak lain pula terdapat mereka yang membenarkan diri mereka percaya bahawa semua pengganas itu orang Islam, semua orang Islam adalah pengganas, dan Timur tidak boleh menjadi rakan yang boleh dipercayai oleh Barat.

Ketika Timothy McVeigh mencetuskan pembunuhan beramai-ramai di jalanan Oklahoma City, tiada siapa yang mengatakan semua Kristian bertanggungjawab. Jika berbuat demikian ia dilihat sebagai tidak masuk akal, namun itulah situasi yang dihadapi oleh 1.3 bilion umat Islam di dunia. Ketika kejadian buruk menimpa Oslo sebelum itu, mereka yang kononnya pakar mengatakan serangan itu dilakukan oleh pelampau Islam. Kita kemudiannya mengetahui kisah sebenar, namun ahli politik dunia, wartawan dan pengulas, terus-menerus mengatakan keganasan dan Islam adalah ibarat sekeping siling yang mempunyai dua wajah.

Saya sudah banyak kali mengatakan, dan wajar diulangi sekali lagi dan lagi dan lagi: Islam ialah agama keamanan. Islam menentang keganasan. Dan Islam tidak mempunyai tempat, tidak menghormati dan tidak cintakan mereka yang menggunakan namanya untuk keganasan, tamat. Cendekiawan Islam membuat penjelasan bahawa mereka yang melakukan keganasan bukan Islam sebenar – ideologi mereka tidak diterima oleh mana-mana ajaran.

Sebagai seorang manusia, sebagai Perdana Menteri dan, sebagai orang Islam, saya mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan, tanpa mengira sama ada ia doktrin agama, pelaku dan mangsa. Tidak pernah – pernah – ada sebarang kewajaran untuk mencabut nyawa orang yang tidak berdosa.

Namun pelampau bukan disebabkan agama yang baik atau agama yang buruk, atau kepercayaan yang baik dan kepercayaan yang tidak baik – ia adalah mengenai orang yang baik dan orang yang tidak baik. Saya bercakap mengenai kumpulan dan individu di setiap negara, setiap sekolah pemikiran politik, umat setiap agama, dan tiada agama yang menggunakan apa sahaja cara untuk digunakan untuk mengetengahkan idea mereka sendiri dan pada masa yang sama menyembunyikan motif sebenar di sebalik "perjuangan yang diwajarkan".

Fikirkan orang Kristian yang mengaku beliau menjalankan peranan Tuhan semasa menembak mati seorang pekerja rumah pengguguran. Fikirkan seorang tentera yang menggulingkan kerajaan persekutuan kerana menganggap ia merupakan tugasnya.

Fikirkan anarki yang ganas yang mewajarkan pengeboman makmal yang menjalankan uji kaji ke atas haiwan. Mereka ini pentaksub. Inilah pelampau. Mereka mengambil kesempatan ke atas kebebasan bersuara untuk memperdaya dan mengeksploitasi mereka yang tidak tahu, lemah dan miskin.

Apa sahaja yang mereka kata, mereka tidak mewakili kami. Namun sudah terlalu lama tanpa tindakan secara bersama, majoriti sederhana memberi ruang kepada minoriti pelampau ini, mewajarkan tindakan yang bukannya berasaskan sebab, tetapi siapa yang mempunyai suara yang paling kuat.

Kini tiada lagi. Sudah sampai masanya untuk kita, kumpulan majoriti yang cintakan keamanan dan sederhana, menuntut keamanan dan mendapatkan hak kita. Kita tidak lagi boleh terus membisu dalam berhadapan dengan pelampau dan keganasan. Kita mesti memastikan suara kita didengari – bukan sahaja suara Islam sederhana, malah Kristian sederhana, Hindu sederhana, Yahudi sederhana, aetis sederhana.

Jika suara ini mahu menjadi cukup kuat untuk menghapuskan pelampau, ia perlu didengar dari setiap sudut dunia. Itu sebab, tahun lepas, saya menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu menyertai saya dalam membentuk "Pergerakan Kesederhanaan Dunia" global.

Saya tidak bersendirian dalam memperakui pentingnya menangani pelampau dalam semua bentuk, dan gesaan saya mendapat sokongan meluas – bulan lepas sahaja Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel memasukkan konsep ini dalam Kenyataan akhir dan Setiausaha Negara (Hillary) Clinton juga bersuara lantang menyuarakan sokongannya.

Berdasarkan sokongan antarabangsa yang semakin meningkat ini, kita mesti menggunakan momentum ini. Hari ini saya bangga mengumumkan bahawa Persidangan Antarabangsa mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global pertama akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 hingga 19 Januari tahun depan. Saya dengan hormatnya menjemput anda semua ke acara itu, yang dianjurkan oleh Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan bakal menyaksikan pelancaran rasmi Pergerakan Global bagi Yayasan Kesederhanaan.

Bagaimanapun usaha ke arah kesederhanaan ini akan menemui kegagalan jika kita – sebagai pemimpin kerajaan, perniagaan, gereja dan universiti – hanya melihatnya sebagai satu proses akademik. Kita tidak boleh duduk di menara gading, mengadakan perbincangan dan menghasilkan dokumen berabuk yang menekankan bahawa "sesuatu perlu dilakukan". Kita mesti mengambil tindakan sebenar, membuat perubahan sebenar. Dan kita tidak dapat melakukannya jika kita mengabaikan pendapat majoriti, kerana jika anda gagal memahami apa yang mengganggu lelaki dan wanita yang bekerja, mereka akan mudah menjadi mangsa pelampau yang bijak menawarkan penyelesaian mudah namun berbahaya. Lebih-lebih lagi, kerajaan mesti menunjukkan kepimpinan melalui teladan. Kerana, bagaimana kita boleh menjangkakan kesederhanaan daripada orang lain jika tindakan kita sendiri menjauhkan diri dari berada di tengah?

Itu sebab mengapa semasa saya menjadi Perdana Menteri lebih dua tahun lepas, saya segera melakukan transformasi dan reformasi Malaysia, mencorakkan cabaran ekonomi, politik dan sosial abad ke-21 dan menetapkan pertumbuhan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

Kami sudah meliberalisasikan industri, mengurangkan kerenah birokrasi, memudahkan syarikat asing melabur serta memudahkan syarikat Malaysia untuk berkembang. Saya menamakannya Program Transformasi Ekonomi, dan ia sudah pun membuahkan hasil sebenar – menurut Forum Ekonomi Dunia, Malaysia kini negara kelima paling kompetitif di Asia dan tempat ke-21 paling kompetitif di dunia. Kami mengatasi Jerman, Jepun dan Switzerland dalam indeks Bank Dunia bagi "Mudah Menjalankan Perniagaan". Rancangan untuk gaji minimum akan dibentangkan di Parlimen, namun pendapatan perkapita sudah meningkat dan berada pada kedudukan untuk mencecah AS$15,000 menjelang 2020. Hampir 400,000 pekerjaan diwujudkan, dengan tiga juta lagi dijangkakan dalam tempoh sedekad akan datang. Kemiskinan tegar secara mayanya sudah dimansuhkan.

Saya juga sudah memulakan reformasi berkekalan membabitkan cara institusi bekerja menerusi Program Transformasi Kerajaan. Laporan pakar-pakar antarabangsa menyatakan paras rasuah semakin menurun. Kadar jenayah turun, pekerjaan meningkat. Semakin ramai orang kini menggunakan pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan dan pencemaran.

Kedua-dua program perancangan berpusat itu bukan proses atas ke bawah. Sejak mula lagi kami mengutamakan penduduk Malaysia, mendengar pendapat mengenai keutamaan mereka dan menghubungkan dengan pakar untuk menentukan jalan terbaik ke hadapan.

Perubahan ini disokong oleh reformasi politik dan sosial yang belum pernah dilakukan, yang sudah pun berjalan sejak enam bulan lepas. Undang-undang keselamatan yang lama seperti Akta Keselamatam Dalam Negeri yang dilaksana semasa zaman penjajah digantikan dengan perundangan antikeganasan moden yang menggunakan model amalan terbaik antarabangsa. Syarat akhbar untuk membaharui lesen penerbitan setiap tahun dimansuhkan. Undang-undang Penapisan disemak semula bagi melindungi nilai-nilai tradisi kami tanpa berkompromi terhadap kebebasan bersuara atau menyekat perbahasan politik. Dan saya telah melancarkan panel dua pihak bagi meneliti gesaan supaya reformasi pemilih dan melihat langkah yang perlu diambil dalam memastikan setiap undi rakyat Malaysia dikira.

Saya merencanakan laluan sederhana untuk Malaysia, memacu kami jauh daripada pelampau berbahaya – sosial, politik dan ekonomi – yang boleh merosakkan negara. Reformasi ini bersama-sama merupakan pelan tindakan untuk transformasi negara, yang sudah diikuti oleh negara lain, dan yang akan mahu dikongsi bersama dengan pemimpin demokrasi baharu di Libya, Mesir, Tunisia dan seterusnya.

Pemahaman dan pengajaran bersama inilah mengenai East-West Center, yang juga apa yang APEC dapat sumbangkan kepada rantau Asia Pasifik semasa tempoh yang sukar ini.

Apabila orang bercakap mengenai "Asia Pasifik" mereka kerap terperangkap dalam pemikiran ia hanya meliputi negara kecil di Asia Tenggara. Malah, rantau ini meliputi empat benua yang mempunyai lebih dua dozen negara. Hampir tiga bilion penduduk tinggal di negara yang dikelilingi lautan Pasifik dan Laut China Selatan. APEC sendiri mempunyai 21 anggota dan minggu ini ia menghimpunkan wakil dari sejauh Rusia dan Chile, New Zealand dan Kanada.

Asia Pasifik ialah rantau yang penuh ekstrem dan perbezaan. Alaska mengalami suhu paling sejuk di dunia manakala gurun di Australia merupakan antara tempat paling panas. Tokyo, yang jalannya sentiasa sibuk, adalah tempat yang padat penduduk di dunia manakala Atacama merupakan tempat yang paling kurang penduduk.

Apa yang kita sama-sama berkongsi ialah Pasifik, dan adalah tepat APEC berlangsung di Hawaii, di tengah-tengah lautan itu. Selama berabad-abad kepulauan ini merupakan tempat persinggahan pelaut yang berlayar antara Timur dan Barat. Hari ini kehadiran para pemimpin APEC, membentuk jambatan simbolik antara kedua-dua belah dunia yang sangat berbeza, malah banyak yang boleh dikongsi bersama.

Semasa pemimpin APEC bertemu sebelum ini, anggota mempersetujui bahawa mereka hanya dapat memenuhi cabaran Alaf ke-21 jika kita "menjalin hubungan mengenai kepentingan bersama bagi mewujudkan pertumbuhan yang kukuh, seimbang dan berkekalan." Melihat permasalahan yang dihadapi oleh ekonomi global hari ini, usaha sama ini nampaknya semakin penting.

Dengan kira-kira 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar dunia dalam tangan negara APEC, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk menyokong dunia yang lebih luas, satu tanggungjawab yang bukan dapat ditanggung oleh sebuah negara secara bersendirian – ia hanya boleh dilakukan jika kita bersatu hati. Kita mesti menggunakan APEC untuk membangunkan kerjasama dan pembabitan bermakna yang bukan sahaja membantu orang kita malah mereka di Afrika, Eropah dan tempat lain di Asia. Kita tidak boleh membiarkan mereka.

Selama lebih dua abad negara ini dipacu oleh cita-cita, harapan dan keyakinan bahawa ramai rakyat Amerika, daripada peladang hinggalah kepada pemimpin, boleh dan mesti meningkatkan diri. Impian untuk meningkatkan diri, yang diperkenalkan oleh nenek moyang kita dan diturunkan daripada satu generasi ke generasi lain, menjadikan Amerika sebagai negara tempat segala-galanya boleh menjadi kenyataan, tempat di mana anak lelaki Hawaii dilahirkan oleh ibunya yang berasal dari Kansas dan bapanya dari Kenya, yang bukan sekadar impian mahu menjadi presiden, malah merealiasikannya.

Namun ketika kita melangkah ke dekad kedua abad ke-21, hasrat dan cita-cita bukan lagi terhad kepada Amerika Syarikat. Dunia kita tidak banyak berubah, seolah-olah setiap cahaya subuh membawa perubahan radikal yang mencabar institusi yang nampaknya tidak goyah. Gelombang Arab melanda Afrika Utara dan Timur Tengah, menjatuhkan diktator yang sudah memerintah selama berabad-abad dan mencetuskan gelombang baharu demokrasi. Ekonomi Eropah kini berhadapan ancaman membabitkan mata wang yang paling kukuh di dunia. Dan tumpuan strategik komuniti antarabangsa kini beralih ke Atlantik Utara ke Timur.

Hampir separuh daripada penduduk dunia berusia di bawah 25 tahun dan majoriti daripada mereka tinggal di Afrika dan Asia – dan penduduk dunia mencecah tujuh bilion pada 31 Oktober lepas. Golongan muda ini mewakili generasi dunia sebenar dan mereka pasti tidak berpuas hati terhadap kisah lama. Dipisahkan oleh lautan namun dihubungkan menerusi Twitter dan Facebook, golongan muda dari setiap sudut bumi sudah melihat apa yang dapat ditawarkan oleh dunia dan mahukan kita mewujudkan masyarakat dunia di mana seperti di Amerika, sesiapa sahaja oleh bermimpi, malah menjadikan mimpi itu sebagai realiti.

Jika kita mengabaikan keamanan, kesederhanaan dan keharmonian dunia di mana harapan ini boleh terlaksana, tidak cukup jika ia sekadar reformasi politik dan ekonomi – kita mesti mengubah cara kita berfikir. Saya tidak berminat terhadap falsafah lama yang melagakan Timur dan Barat, yang tidak membawa apa-apa, namun konflik kepada dunia.

Akhirnya, Timur dan Barat merupakan konsep sebuah peta, diwujudkan oleh manusia – tidak ada dinding pemisah yang dibina mengelilingi dunia, melindungi masyarakat kita sebagai entiti berasingan. Dan jika kita boleh mewujudkan pemisahan ini, kita boleh merobohkannya.

Sekarang adalah masa untuk membangunkan visi baharu yang progresif untuk Timur dan Barat berdiri sebelah-menyebelah, mempelajari antara satu sama lain dan menghadapi cabaran dunia moden bersama-sama. Kerana, bersama kita lebih kuat dan dalam ramai, kita satu.

– BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Kukuhkan kuasa umat Islam

Posted:

Kukuhkan kuasa umat Islam

Kukuhkan kuasa umat Islam

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


SEBAHAGIAN peserta Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah III yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Sabtu lalu.


APA akan terjadi kepada kuasa politik orang Melayu dan umat Islam di negara ini, selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti?

Apakah orang Islam akan terus menjadi tunjang utama kepimpinan negara atau kita hanya sekadar menjadi pak turut kepada pihak lain?

Persoalan itu wujud kerana kekuatan politik yang ada di dalam genggaman orang Melayu kini semakin longgar, perpecahan dan perbezaan ideologi politik serta ditambah pula dengan keghairahan untuk merebut kuasa telah menyebabkan orang Melayu berpecah belah.

Kita tidak boleh duduk semeja hatta untuk membincangkan kepentingan umat Islam itu sendiri.

Justeru penganjuran Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah III yang bertemakan Siyasah Syar'iyyah Dalam Konteks Religio-Politik Semasa Malaysia pada Sabtu lalu di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) tepat pada masanya.

Wacana anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dihadiri oleh ramai pemimpin yang mewakili beberapa organisasi Islam.

Walaupun mungkin akan ada pihak yang memandang serong wacana berkenaan seperti mana mereka melihat Perhimpun Sejuta Umat (Himpun) namun Pengarah Wacana, Ismail Mina Ahmad mempunyai alasan tersendiri.

Menurut beliau, kecenderungan mewacanakan Siyasah Syar'iyyah secara aktif diadakan atas dua faktor: Pertama, faktor terdesak yang tercetus oleh sekumpulan orang yang mahu menguasai kekuasaan politik semata-mata kerana politik kekuasaan.

Sementara kumpulan kedua pula, berteraskan faktor fundamental yang mahu memelihara maruah umat Islam melalui instrumen kekuatan dan kuasa politik umat. Kedua-dua kelompok melihat betapa pentingnya kuasa politik umat.

Berdasarkan kepada hujah berkenaan jelaslah dalam pilihan raya umum akan datang, umat Islam akan berhadapan dengan dua kelompok yang mahu merebut kekuasaan politik.

Satu kelompok dilihat bersedia mempertaruhkan segala-galanya demi mendapat kuasa manakala satu lagi kelompok harus bertarung mempertahankan kuasa yang dimiliki bagi memastikan umat Islam dan orang Melayu tidak mudah diperkotak-katikkan atau menjadi pak turut kepada mana-mana pihak.

Kita boleh saksikan dari semasa ke semasa, kesabaran umat Islam sentiasa sahaja diduga dan dicabar malah lebih malang sudah ada keberanian luar biasa di kalangan sesetengah pemimpin Islam sendiri menyokong apa yang diperjuangkan oleh bukan Islam.

Sebab itulah Ismail Mina secara tegas menyebut soal memelihara agama, termasuklah mengurus dan menjaga segala kepentingan dan kebaikan syariah dengan optimum yang menyangkut kedudukan ajaran dan umat Islam.

Justeru Ismail Mina merumuskan bahawa memperkukuhkan kuasa politik umat Islam merupakan salah satu instrumen terpenting pada masa ini.

Namun begitu usaha untuk memperkukuhkan kuasa politik tersebut tidak akan mendatangkan apa-apa hasil jika kita sebagai umat Islam terus berpecah-belah dan lebih mementingkan usaha untuk menjatuhkan antara satu sama lain.

Kesudahannya umat Islam akan menjadi lemah dan ini akan memberikan kesempatan kepada golongan tertentu untuk menunjukkan taring yang selama ini mereka simpan sekian lama.

Sebab itulah dalam kertas kerja bertajuk 'Siyasah Syar'iyyah dan kepentingannya dalam mengurus kepentingan Muslimin di Malaysia, Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad mengulas kepentingan umat Islam memperkukuhkan perpaduan sesama mereka.

Menurut beliau, perpaduan di kalangan umat Islam dan persaudaraan di kalangan mereka merupakan halangan terbesar kepada kemusnahan dan kehancuran mereka.

''Ia menjadi benteng kepada kekalahan mereka, oleh itu jika mereka ingin mengelak bencana besar dan azab pedih menimpa mereka, maka kekalkan persaudaraan dan perpaduan di kalangan mereka. Politik perpecahan adalah politik yang membawa kehancuran dan kekalahan umat Islam,'' kata beliau.

Tetapi persoalannya sejauh manakah umat Islam yang terlibat dalam politik memahami bahaya yang sedang menanti mereka? Seruan untuk mereka bersatu padu dan tidak berpecah belah serta bahaya yang menanti sudah dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW.

Namun malangnya majoriti antara kita masih lagi mengamalkan pekakkan telinga, butakan mata dan menutup hati untuk menerima kebenaran berkenaan.

Ada antara kita masih berhujah dengan hujah politik masing-masing, apabila ada usaha hendak dilakukan bagi menyatukan umat Islam tanpa mengira fahaman politik ia seolah-olah ditolak mentah-mentah dengan pelbagai alasan.

Malahan ada pula yang berfikiran dangkal apabila menyatakan bahawa seruan perpaduan Islam itu dilontarkan kerana kononnya satu lagi puak Islam itu sudah lemah pengaruh politiknya.

Malang sekali apabila percaturan dan perhitungan politik mengatasi segala-galanya, biar pun umat Islam secara keseluruhan amat memahami bahaya yang menanti mereka.

Dalam soal ini Mohd. Nakhaie berhujah, tindakan politik yang membelakangkan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah atau yang memanipulasikan ajaran al-Quran dan al-sunnah untuk kepentingan politik diri, puak atau kaum, menjadi punca utama berlaku krisis di kalangan umat Islam .

''Naluri ingin berkuasa yang tidak diurus secara bijaksana menjadi pendorong ke arah tindakan politik yang membelakang petunjuk al-Quran dan al-Sunnah yang menghasilkan krisis politik berpanjangan di kalangan umat Islam sehingga melemahkannya dan berakhir dengan kekalahan di tangan musuh-musuh Islam,'' tegas Mohd. Nakhaie.

Soalnya, apakah mereka yang terlibat memahami situasi ini? Apakah kerana keghairahan untuk menawan Putrajaya telah memungkinkan segala-galanya mahu dipertaruhkan? Apakah kerana mahu meraih undi pihak lain, maka perpaduan dan kerjasama antara Islam mahu diketepikan begitu sahaja?

Oleh itu mahu tidak mahu kepentingan siyasah syar'iyyah perlu difahami oleh semua parti politik yang dianggotai dan kuasai oleh orang Islam.

Ini kerana seperti mana kata, Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr.Yusri Mohamad, siyasah syar'iyyah menawarkan fahaman politik Islam yang sepatutnya mengurangkan pertentangan dan kebencian antara parti-parti politik beragama Islam dan ahli-ahlinya.

''Ia juga sepatutnya mengurangkan ketegangan dalam masyarakat akibat persoalan politik kerana perbezaan secara asasnya bukanlah berada di tahap perselisihan akidah.

''Maka fahamam siyasah syar'iyyah akan membolehkan parti-parti yang berbeza tetap bekerjasama di atas isu-isu yang disepakati bersama demi maslahah Islam, kalaupun tidak sampai ke tahap bergabung,'' katanya.

Kini terserahkan kepada kepimpinan parti-parti Islam untuk menilai dan menentukan apa yang diusahakan melalui wacana siyasah syar'iyyah tersebut.

Apa yang pasti, penganjur dan mereka yang menyertai wacana berkenaan berniat suci dan ikhlas demi masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved