Khamis, 24 November 2011

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kayuhan Cinta Negara

Posted:

Kayuhan Cinta Negara

Kayuhan Cinta Negara

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my


SEBAHAGIAN daripada peserta KCN gembira di pekarangan Masjid Jamek Kampung Parit Kahar, Pontian, sebelum meneruskan program kayuhan baru-baru ini.


PONTIAN 23 Nov. – Jika pada Mac lalu daerah ini dibanjiri ratusan penunggang basikal klasik yang menyertai Kayuhan Terowong Masa (KTM), baru-baru ini suasana sama berulang.

Namun kali ini daerah ini 'diserbu' kira-kira 300 penunggang basikal bukit dari kelab Associated Cyclosportif Trekkers (ACT) yang menganjurkan Kayuhan Cinta Negara (KCN) Zon Selatan.

Jelajah sejauh 75 kilometer oleh kelab dari Shah Alam, Selangor itu meliputi dua daerah iaitu Pontian dan Batu Pahat bagi menutup program KCN Fasa keempat tahun ini yang sebelum ini dijalankan di Pahang, Kedah dan Perak.

Program selama tiga hari itu bermula di Kampung Seri Bunian, Kampung Parit Kahar dan Kampung Parit Betak di Pontian dan berakhir di Pantai Sungai Lurus, Senggarang di Batu Pahat.

ACT merupakan kelab yang ditubuhkan pada 2008 dan berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia yang disertai oleh pelbagai lapisan peminat basikal dari seluruh negara.

Ketua ekspedisi, Ahmad Ruzizan Maphilindo Md. Isa memberitahu, daerah Pontian dan Batu Pahat dipilih supaya ahli lebih mengenali kedua-dua tempat itu yang mempunyai destinasi pelancongan, kegiatan ekonomi terutama industri kecil dan sederhana (IKS) serta perkampungan tradisional.

"Dengan adanya wakil-wakil daripada dewan perniagaan, kami akan cuba membantu memasarkan produk mereka atau mewujudkan jalinan perniagaan bagi ahli ACT yang datang dari pelbagai latar belakang pekerjaan.

"Begitu juga dengan objektif 'melancong di bumi sendiri' akan menarik minat peserta untuk melawat kampung-kampung tersebut dengan menginap di rumah-rumah penduduk," katanya.

Majlis pelancaran melepaskan peserta program KCN yang bermula di pekarangan Masjid Jamek Kampung Seri Bunian disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Md. Othman Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup.

Semasa singgah untuk 'merarau' di Kampung Parit Kahar yang terkenal dengan ternakan burung payuh, ahli rombongan dirai oleh Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon manakala pelepasan peserta meninggalkan daerah Pontian menuju ke Batu Pahat disempurnakan oleh Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana, Mohd. Fauzi Sunawan.

Ahmad Ruzizan Maphilindo berterima kasih atas sambutan penduduk Pontian dan mengakui para peserta mempelajari sesuatu yang baharu, terutama budaya serta masakan seperti nasi ambeng, burasak, lepat lut, selain kuih tradisional yang dihasilkan oleh pengusaha IKS.

Sementara itu, Md. Othman melahirkan penghargaan kepada ACT kerana memilih Pontian sebagai destinasi KCN pada tahun ini dan ia dianggap bertepatan bagi membantu meningkatkan lagi industri pelancongan tempatan yang masih memerlukan sokongan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Soal penginapan tidak menjadi masalah kerana kini terdapat banyak hotel bajet di bandar Pontian, terutama di Pusat Perdagangan Pontian selain inap desa di beberapa kampung," katanya.

Muji pula berkata, kunjungan KCN mampu menarik minat orang ramai menyertai aktiviti berbasikal memandangkan ramai peminat aktiviti itu di daerah ini.

"Kami sentiasa mengalu-alukan kunjungan mana-mana organisasi sama ada dalam bentuk aktiviti sukan, khidmat sukarela, khidmat masyarakat, seminar atau mesyuarat kerana dapat membantu mempromosikan Tanah di Penghujung Benua Asia ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Peserta gembira dapat pengalaman baharu

Posted:

Peserta gembira dapat pengalaman baharu

Peserta gembira dapat pengalaman baharu

PONTIAN 23 Nov. - Peserta Kayuhan Cinta Negara (KCN) Zon Selatan teruja dan gembira kerana diberi peluang menyertai program itu kerana dapat berbakti kepada masyarakat setempat.

Seorang peserta dari Johor, Nurhisam Jalal, 32, berkata, sambutan mesra yang diberikan oleh penduduk kampung akan terus menggamit dirinya dan rakan-rakan untuk datang kembali ke dua daerah itu.

"Sama ada dekat atau jauh perjalanan yang ditempuhi, kami sentiasa bersedia daripada segi mental dan fizikal dengan adanya latihan pada hujung minggu serta lain-lain aktiviti berbasikal di tempat masing-masing," katanya yang bertugas sebagai jurutera.

Bagi Mohd. Nizam Yaakub, 38, kayuhan yang melalui kawasan perkampungan, bandar dan pekan kecil amat istimewa kerana dapat mengenali dengan lebih dekat pelbagai etnik seperti Jawa, Bugis dan Banjar yang terdapat di negeri ini.

"Sambutan meriah daripada penduduk setempat menjadikan kami bersemangat untuk meneruskan kayuhan bagi menepati objektif KCN iaitu mendekatkan ahli ACT dengan masyarakat berbilang kaum dan budaya," katanya yang berasal dari Pahang.

Faridah Parman, 31, dari Shah Alam pula menyifatkan kunjungan ke kawasan kampung adalah sesuatu yang cukup istimewa kerana dapat 'lari' daripada kesibukan tugas seharian di pejabat.

"Kami juga berpeluang menyaksikan sendiri golongan wanita di kampung-kampung memainkan peranan penting bagi meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga mereka," katanya sambil memberitahu seramai 38 peserta wanita menyertai program itu.

Bagi Pegawai Sains Fizik, Zunaidah Said, 30, dari Kuala Lumpur, penyertaannya dalam ACT bukan sahaja untuk mengisi masa lapang pada hujung minggu tetapi juga untuk menyihatkan badan.

Dia mengakui kunjungan ke beberapa projek industri kecil dan sederhana (IKS) memberi peluang kepada peserta melihat sendiri cara produk makanan ringan dihasilkan.

"Kalau boleh, kami juga ingin membantu memasarkan produk IKS terutama pada musim perayaan kepada rakan-rakan sepejabat bagi membantu pengusaha di kampung-kampung tersebut," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved