Khamis, 8 September 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Tiga stesen minyak disita

Posted:

Tiga stesen minyak disita

Tiga stesen minyak disita

Oleh RAHANA MOHD.DAHARI
utusankb@utusan.com.my


FAUZI Haron meletakkan ibu jarinya di mesin perakam waktu sebagai tanda sembolik tamat perkhidmatannya di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 7 Sept. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri telah menyita tiga buah stesen minyak dan tiga buah kenderaan bernilai RM120,000 kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan bahan api.

Pengarahnya, Fauzi Haron berkata, salah sebuah stesen minyak tersebut didapati melakukan kesalahan sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 29 Ogos lalu dan dua lagi disita Ahad lalu.

Beliau berkata, pihaknya turut membuat laporan polis ke atas salah sebuah stesen minyak terbabit selepas menghalang anggota penguat kuasa melakukan tugas dan kes terbabit masih dalam siasatan.

"Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri juga telah menyita tiga buah kenderaan yang didapati melakukan pengubahsuaian pada tangki selain memasang tangki tambahan untuk tujuan penyeludupan bahan api.

"Hasil penahanan tersebut, bahagian penguat kuasa menyita petrol, diesel serta tiga kenderaan yang kesemuanya disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 ," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri PPDNKK negeri di sini hari ini.

Fauzi menambah, dua stesen minyak berkenaan telah dibenarkan beroperasi seperti biasa selepas siasatan selesai dijalankan, sementara sebuah lagi masih disita kerana kes dalam siasatan polis.

Mengenai penyeludupan bahan api, Fauzi memberitahu, aktiviti tersebut sehingga kini masih terkawal dan pihaknya telah menubuhkan pasukan 'task force' yang bertanggungjawab memantau kegiatan tersebut.

"Pasukan ini sentiasa membuat intipan dan pemantauan terhadap aktiviti terbabit dari semasa ke semasa dan operasi berterusan dijalankan bagi memastikan penyeludup tidak mempunyai ruang melakukan penyeludupan.

"Anggota kita juga telah mengenal pasti lebih 50 buah kenderaan di kawasan sempadan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan," ujarnya.

Majlis sambutan hari raya itu turut meraikan persaraan Fauzi yang akan menamatkan perkhidmatan bermula hari ini.

Setahun sebuah novel Indah Hairani

Posted:

Setahun sebuah novel Indah Hairani

Setahun sebuah novel Indah Hairani


INDAH Hairani menunjukkan buku hasil tulisannya di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 7 Sept. - Dalam diam, tanpa 'huha huha' kegiatan berpersatuan, tidak ramai yang menyedari bahawa di sebalik rona sastera yang dikatakan makin tandus di negeri ini, muncul beberapa penulis wanita yang semakin prolifik dalam genre novel.

Salah satu nama yang terselit di celah rak-rak novel di toko buku ialah Indah Hairani, antara segelintir anak negeri yang mencintai sastera dan terjun dalam dunia penulisan yang dianggapnya sebagai resah yang membahagiakan.

Minatnya berputik semasa di bangku persekolahan, beransur mengasah bakat dan ibu kepada empat orang anak itu yang berasal dari Tepoh dekat sini hanya muncul dengan novel pertamanya selepas berumah tangga.

''Alhamdulillah pada 2008, Rindu Berbisik telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selepas dua tahun menunggu dan ia cukup mengejutkan apabila meraih anugerah Buku Terbaik Kategori Remaja.

''Pada tahun sama lahir novel kedua saya, Hanya Sebatas Ini, terbitan Buku Prima. ia disusuli Di Hujung Ranting (2009), Castle Cinta Deady (2010) dan Berikan Aku Rindu 2011.

''Atas permintaan peminat dan sambutan yang di luar jangkaan, saya sedang menyiapkan manuskrip Di Hujung Ranting II yang mungkin terbit tahun depan," ujarnya ketika ditemui hari ini.

Indah Hairani atau nama sebenarnya Ramlah Awang, salah seorang petugas di Muzium Negeri sini, berusaha mencuri waktu singkat antara kerjaya hakiki, tanggungjawab sebagai ibu dan isteri untuk terus menghilirkan minatnya.

Dia berusaha untuk menghasilkan sekurang-kurangnya satu novel setiap tahun dan setiap satu berlatarkan realiti dan adunan fiksyen yang digetus di mana-mana hasil pengamatan, pergaulan, pembacaan dan pelayaran teknologi maklumat.

Indah yang kini sedang menyambung pelajaran dalam bidang kesusasteraan di Universiti Sains Malaysia (USM) sebenarnya bermula dengan penulisan skrip drama radio yang banyak disiarkan dalam slot Panggung Drama di Klasik Nasional.

Ini termasuklah Seindah Namamu Jannah, Seguris Hatinya, Sutera Terakhir selain drama-drama pendek dalam slot Eka Cerana dan Olak Alik ketika dua slot itu masih disiarkan di stesen penyiaran itu.

Selain skrip drama, dia juga mendekati penulisan puisi yang turut dimuatkan dalam akhbar arus perdana namun beberapa tahun kebelakangan ini tumpuan terarah kepada penulisan novel.

''Saya kembali pada minat dan kecenderungan sejak di bangku sekolah. Pada waktu itu, pengarang-pengarang idola saya seperti Khadijah Hashim, Fatimah Busu, Aziz Afkar, Hamka dan beberapa orang yang lain.

''Novel Hartini karya Aziz Afkar dan novel Tenggelamnya Kapal Van der Wijck karya Hamka misalnya saya membacanya berulang kali tanpa rasa bosan. Buku itu ada di rumah kerana ayah memilikinya," katanya.

Pada waktu itu katanya, dia tidak terfikir untuk menjadi seorang pengarang dan tekad itu tercetus pada 2000 apabila membaca beberapa novel dan mempersoalkan mengapa ia boleh diterbitkan dan diterima khalayak pembaca.

''Anehnya setiap kali selesai menghayatinya, berbagai persoalan berlegar di benak saya, kenapa begitu dan kenapa begini. Saya sering tidak berpuas hati dengan apa yang baru saya baca," ujarnya.

Dari situlah terdetik di hatinya untuk turut menghasilkan karya-karya mengikut keinginan sendiri, ditambah dengan dorongan suami dan anak-anak.

''Saya tidak terfikir, ke mana manuskrip itu nanti harus saya ajukan, sehingga saya menemui novelis Ali Jusoh yang menasihatkan saya mempersiapkan manuskrip tersebut dan dihantar kepada DBP untuk dinilai," ujarnya.

Menyorot karya-karyanya, ia merupakan fiksyen cinta yang diistilahkan sebagai karya popular yang mudah menarik minat penerbit kerana ia menjanjikan pasaran lebih besar.

Namun Indah berkata, dia akan berusaha mematangkan pengkaryaan dalam persoalan cinta dengan skop lebih luas, dengan persoalan yang lebih rencam.

JPJ keluar 244 saman

Posted:

JPJ keluar 244 saman

JPJ keluar 244 saman

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 7 Sept. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan telah mengeluarkan sebanyak 244 saman terhadap kenderaan atas pelbagai kesalahan di tiga jalan utama di negeri ini, sepanjang 23 hari Ops Sikap Musim Perayaan Aidilfitri dilaksanakan.

Pengarahnya, Abd. Ghani Che Kassim berkata, tiga jalan tersebut adalah Kota Bharu-Bukit Yong, Kuala Krai-Gua Musang dan Machang-Jeli.

Menurutnya, kesemua saman itu dikeluarkan sepanjang operasi yang bermula dari 14 Ogos hingga 5 September lalu mengikut pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan tersebut adalah lebih muatan sebanyak 49 kes, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen memandu 14 kes, kesalahan bagi lesen vokasional (kenderaan berat) melibatkan 11 kes, tamat cukai jalan 36 kes dan kesalahan lain (teknikal) 92 kes," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abd. Ghani memberitahu, bagi penyamaran anggota JPJ dalam bas, terdapat dua kes dikenal pasti semasa operasi lalu melibatkan kesalahan memotong di garisan berkembar.

"Selain itu, terdapat kesalahan ingkar larangan penggunaan kenderaan berat dan JPJ sudah menyita empat buah lori (membawa bahan binaan) yang didapati masih menggunakan jalan raya utama pada empat hari (yang dilarang) iaitu 27 hingga 28 Ogos dan 3 dan 4 September lalu," katanya.

Katanya, pegawai dan anggota JPJ turut mengadakan rondaan pada tiga jalan utama itu sepanjang operasi tersebut dijalankan.

"Tahun ini, tempoh operasi lebih lama dilakukan iaitu sebulan berbanding tahun lalu dalam masa dua minggu sahaja (seminggu sebelum raya dan seminggu selepas raya). Tempoh ini dilanjutkan bagi membolehkan pengguna jalan raya lebih mematuhi peraturan yang ditetapkan JPJ," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved