Khamis, 8 September 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Misi pemahaman sejarah agenda utama

Posted:

Misi pemahaman sejarah agenda utama

Misi pemahaman sejarah agenda utama

Oleh Wahid Hashim

LONDON 7 Sept. – Misi membetulkan semula pemahaman dan penghayatan sejarah dalam kalangan rakyat Malaysia di sini menjadi agenda utama Karnival Merdeka di sini kali ini, yang pada tahun ini mengundang khas dua tokoh akademik, dan dihadiri sekali oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, Datuk Zakaria Sulung berkata, isu itu sangat penting diperbetulkan kerana hanya dengan pengetahuan tentang fakta sejarah yang betul, rakyat Malaysia di United Kingdom yang jumlahnya mencecah 70,000 orang sedar akan kewujudan Malaysia sebagai negara yang telah membangun dalam acuan yang betul.

Zakaria berkata, antara pengisian program ialah forum dan dialog, selain agenda biasa seperti mengibarkan jalur gemilang, menyanyikan lagu Negaraku, serta meraikan majlis sambutan Aidilfitri.

Ditanya sama ada isu putar belit sejarah seperti isu Bukit Kepong yang sedang menjadi isu besar di tanah air sekarang, juga perlu diperjelaskan di United Kingdom semasa dialog dan forum itu nanti, Zakaria berkata, jika ada keperluan beliau – sebagai perantara kepada forum khas itu akan membangkitkan isu berkenaan.

"Selain mengadakan penerangan secara perjumpaan fizikal, pendekatan menggunakan Internet juga akan dilakukan untuk mengembalikan penghayatan sejarah negara,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Forum bertajuk Kemerdekaan 54 Tahun: Membina Satu Bangsa, Berkongsi Satu Matlamat itu akan disertai oleh Profesor Ulung dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Pengarah Eksekutif Institut Pengajian Strategik Antarabangsa Islam (ISIS), Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin manakala Zakaria bertindak sebagai perantara.

Tambah Zakaria, ahli akademik dipilih sebagai panel supaya tidak timbul prasangka politik kerana ahli akademik dilihat bebas dan telus dalam menyatakan pandangan masing-masing.

Bagi program dialog, Muhyiddin sendiri akan hadir dan berdialog dengan rakyat Malaysia yang hadir. Kedua-dua program diadakan di Hyatt Regency di Churchill, London pada hari Jumaat ini. Seramai 300 orang dijemput menghadiri forum itu.

Pada sebelah tengah harinya, Muhyiddin akan bersolat Jumaat dengan hadirin di pejabat Pesuruhjaya Tinggi di sini.

Daripada 70,000 rakyat Malaysia di seluruh United Kingdom, 14,000 ialah pelajar tajaan persendirian dan kerajaan, sementara bakinya adalah pelbagai status.

Kata Zakaria, ada rakyat Malaysia yang telah lama menetap di United Kingdom, telah terhakis sedikit sedikit pengetahuan mereka tentang sejarah negara sendiri.

Timbalan Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja ke UK, dari 8 hingga 11 September. Selain berdialog dengan rakyat Malaysia, Muhyiddin akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Kolej Fesyen London di Universiti Kesenian London, Prof. Frances Corner, bersolat Jumaat bersama komuniti Malaysia di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London dan melawat Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.

Kata Zakaria, tujuan utama lawatan Timbalan Perdana Menteri adalah untuk menghadiri Karnival Merdeka Ke-54, iaitu salah satu sambutan Hari Kemerdekaan pada setiap tahun di UK.

''Acara ini selalunya akan menarik ramai rakyat Malaysiadi London ke pejabat Peuruhjaya Tinggi di sini,'' katanya.

Karnival Kemerdekaan diadakan pada Sabtu, 10 September ini. Beliau menjemput semua rakyat Malaysia di United Kingdom datang ke pejabatnya untuk meraikan Hari Lebaran dan Kemerdekaan. Beliau turut membuka ruang untuk menyelesaikan pelbagai isu berkaitan kerakyatan warga Malaysia, dan bercadang mengadakan program 'ala pemutihan' bagi tujuan penyelesaian. – UTUSAN

Dua beranak antara tiga maut van persiaran terbabas

Posted:

Dua beranak antara tiga maut van persiaran terbabas

Dua beranak antara tiga maut van persiaran terbabas


Nur Shahila Mohd. Jamil terselamat dalam kemalangan maut di Kilometer 186 Lebuh Raya Utara Selatan, semalam.


PARIT BUNTAR 7 Sept. - Kegembiraan seorang pelajar yang mahu mendaftar sebagai mahasiswa baru di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, bertukar tragedi apabila ibu dan kakaknya antara tiga maut dalam kemalangan di Kilometer 186 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Bukit Merah, dekat sini hari ini.

Mereka yang maut ialah ibu kepada Nur Shahila Mohd. Jamil, 19, iaitu Tukijah Esa, 59, kakaknya, Nurul Haniza Mohd. Jamil, 34, dan pemandu van persiaran yang disewa keluarga itu, Chua Wee Chau, 33.

Kejadian pukul 5.40 pagi itu turut mengakibatkan bapa Nur Shahila, Mohd. Jamil Anuar, 68, abangnya, Mohd. Nazir, 29, dan anak saudaranya, Aliya Madiha Abdullah, tujuh bulan, parah dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan.

Bagaimanapun Nur Shahila bersama ahli keluarga lain iaitu seorang lagi abangnya Mohd. Fairuz, 27, abang iparnya, Mustafa Kamal Mohd. Khamis, 38, serta Khairul Khafiza Isnin, 27, dan Liana Mat, 31, hanya cedera ringan.

Nur Shahila ketika ditemui hari ini memberitahu, ketika kejadian, dia tidur dan hanya menyedari kemalangan itu apabila kenderaan terbabit terperosok ke dalam parit di tepi lebuh raya.

"Saya cuma mendengar mak menjerit meminta tolong tetapi saya tidak dapat membantu kerana tidak boleh bergerak. Keadaan pada itu memang kelam-kabut dengan bunyi jeritan dan kami tidak dapat keluar kerana pintu van tersekat.

"Kakak pula walau dikejutkan beberapa kali masih tidak sedarkan diri dan saya hanya tahu kematian mereka apabila diminta membuat pengecaman mayat," katanya ketika ditemui di Hospital Parit Buntar di sini, hari ini.

Nur Shahila yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Baru, Muar berkata, mereka bertolak dari Muar pada pukul 10 malam dan sepatutnya tiba untuk mendaftar di UUM bagi kursus Ijazah Sarjana Muda Perbankan, pukul 9 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi hari ini berkata, van yang dinaiki 10 ahli keluarga mangsa yang dipandu Wee Chau itu dipercayai hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian.

"Kenderaan itu terbabas dan menjunam ke dalam parit di sebelah kiri lebuh raya. Ia mengakibatkan tiga mangsa maut, tiga cedera parah dan lima lagi cedera ringan.

"Mayat semua mangsa telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Taiping bagi rawatan," katanya.

orang Melayu, Islam dibunuh

Posted:

orang Melayu, Islam dibunuh

orang Melayu, Islam dibunuh

oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Orang Melayu sepatutnya tidak boleh mengetepikan sejarah tentang bagaimana ramai orang Melayu dan Islam telah menjadi mangsa kekejaman pengganas komunis kerana enggan menyokong perjuangan gerakan tersebut.

Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Jaafar Onn yang juga anak pejuang kemerdekaan, Datuk Onn Jaafar berkata, peristiwa menyayat hati itu berlaku ketika pihak komunis cuba menguasai negara ini sebaik sahaja Jepun menyerah kalah.

Katanya, ramai orang Melayu termasuk mereka yang berpengaruh dalam masyarakat seperti imam, penghulu dan pegawai daerah telah dibunuh dengan kejam oleh pengganas komunis ketika itu.

Beliau berkata, mereka dibunuh dengan pelbagai cara antaranya ditikam dengan tombak, dikurung di dalam sangkar babi kemudian dibunuh, ditinggalkan di dalam hutan berhari-hari sehingga meninggal dunia atau digantung dengan kepala menghala ke bawah.

"Paling saya tidak boleh dilupakan ialah seorang ibu dan anak-anaknya dibakar hidup-hidup dalam sebuah rumah kerana enggan menyokong perjuangan komunis. Kesemua mereka ini adalah orang Melayu.

"Adakah layak komunis ini diangkat sebagai pejuang? Mereka bunuh orang kita, bangsa kita tanpa belas kasihan. Kisah ini, kisah benar yang berlaku di sekitar Batu Pahat ketika Allahyarham bapa saya menjadi pegawai daerah di kawasan itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Jaafar dalam laporan akhbar hari ini ternyata begitu kecewa apabila terdapat pemimpin Melayu yang sanggup mendaulatkan komunis.

Sambil menyifatkan pemimpin Melayu serta pengikut mereka yang mengagungkan komunis sebagai pengkhianat, Jaafar, 79, berkata, beliau masih boleh menerima sekiranya rakyat Malaysia tidak mahu mengiktiraf jasa bapanya tetapi tidak sesekali memaafkan golongan yang mendewakan pengganas komunis.

Jaafar berkata, peristiwa-peristiwa yang berlaku itu diketahuinya ketika orang kampung mendapatkan perlindungan di kediaman bapanya di Bukit Soga selepas menerima ancaman daripada para pengganas tersebut.

Beliau berkata, penduduk kampung mengadu bahawa mereka diancam apabila tidak mahu menyokong perjuangan kumpulan haram berkenaan.

"Saya dengar kisah ini daripada mulut penduduk kampung sendiri yang mana ada ahli keluarga mereka dibunuh oleh komunis. Bukan sahaja penduduk kampung malah imam, pegawai daerah dan penghulu juga dibunuh kerana enggan memberi sokongan.

"Sedih saya mendengar bagaimana orang kita dibunuh. Bapa saya sendiri dilantik menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat disebabkan pegawai daerah sebelum itu telah dibunuh oleh komunis,'' ujarnya.

Atas sebab itu beliau merasa amat hairan bagaimana pemimpin Pas seperti Mohamad Sabu (Mat Sabu) beria-ia menyokong perjuangan komunis dengan mengangkat Muhammad Indera (Mat Indera) sebagai tokoh pejuang.

"Sebagai seorang Islam dan seorang Melayu tidak tergamak kita untuk menyokong perjuangan komunis dan mengangkat mereka yang bersekongkol dengan komunis seperti Mat Indera dan pendukung komunis Melayu lain sebagai tokoh pejuang.

"Sebab kita tahu komunis telah melakukan kekejaman termasuk membunuh anak bangsa kita kerana enggan menyokong perjuangan mereka,'' katanya lagi.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, tidakkah Pas sedar bahawa golongan imam pada masa itu sanggup mengorbankan nyawa daripada menyokong perjuangan komunis semata-mata mahu mempertahankan akidah mereka.

"Komunis tidak percaya pada agama dan sebab itu imam-imam kita menolak mentah-mentah pelawaan komunis kerana ideologi mereka bertentangan dengan Islam dan akibatnya mereka dibunuh oleh pihak komunis,'' katanya lagi.

Bercerita lebih lanjut beliau berkata, kediaman bapanya pada zaman komunis telah menjadi penempatan sementara penduduk kampung yang menjadi mangsa serangan dan ancaman kumpulan itu.

"Sehingga bapa terpaksa membuat sebuah bangsal bagi kemudahan penduduk kampung untuk mendapatkan perlindungan daripada komunis.

"Sebenarnya sebelum berlaku peristiwa Bukit Kepong, komunis telah pun menunjukkan kekejaman terhadap orang Melayu dan Islam,'' ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved