Utusan Online - Jenayah |
3 sindiket edar dadah RM2.6j tumpas Posted: 3 sindiket edar dadah RM2.6j tumpasNOOR Rashid Ibrahim menunjukkan beberapa ketulan mampat dadah jenis ganja keseluruhan bernilai RM2.6 juta di Bukit Aman, KUALA LUMPUR 8 Sept. – Polis berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dengan penahanan tujuh suspek termasuk empat warga asing dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM2.6 juta, sejak tiga hari lalu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya berjaya menahan kesemua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 41 tahun itu di tiga lokasi berlainan iaitu di Bandar Sri Damansara, Hulu Terengganu dan Jalan Duta. Katanya, siasatan mendapati ketiga-tiga sindiket terbabit tidak mempunyai kaitan. "Dalam operasi kelmarin, kita berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif menyeludup masuk dadah jenis ganja ke pasaran tempatan. "Suspek pertama, seorang warga Thailand yang memandu kereta jenis Toyota Crown berjaya ditahan di kawasan Bandar Sri Damansara. "Susulan penangkapan suspek itu, polis kemudian menahan dua lagi rakannya, warga tempatan di kawasan sama," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini. Tambahnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta tersebut, pihaknya menemui sejumlah 60 ketulan mampat dadah jenis ganja yang disembunyikan di ruang khas pada bahagian kereta yang telah diubah suai. Noor Rashid memberitahu, dalam satu lagi kejayaan semalam, JSJN Terengganu berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dan merampas 6,930 biji pil WY, dianggarkan bernilai RM173,250, lima botol heroin berjumlah RM5,000 dan wang tunai berjumlah RM31,000. Katanya, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun. Katanya, dalam operasi awal pagi tadi, pihaknya menahan dua lelaki warga Nigeria dan seorang wanita warga Thailand yang dipercayai pengedar dadah selepas polis menahan kereta mereka di belakang sebuah stesen minyak di Jalan Duta di sini. "Kesemua suspek, sebelum itu cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan dalam kejadian pukul 4.15 pagi. "Hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut polis menemui sebuah beg galas berisi 29 ketulan mampat ganja," katanya. Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Dalam pada itu, beliau berkata, sejak tiga bulan lalu, pihaknya mengesan modus operandi (MO) digunakan warga Nigeria yang lebih gemar merekrut warga Thailand untuk menyeludup dadah ke negara ini. Sehubungan itu, pihaknya akan memberi tumpuan terhadap taktik penyeludupan tersebut dengan mengawal ketat pintu sempadan negara bagi mengelakkan dibolosi penyeludup dadah melalui negara jiran. |
Sengsara rumah dibaling mercun Posted: Sengsara rumah dibaling mercunOleh AZELI ALI CHAN Chee Woon menunjukkan bumbung rumahnya yang bocor akibat dibaling mercun oleh remaja nakal di Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam. BUKIT MERTAJAM 8 Sept. - Seorang peniaga di pekan Permatang Pauh di sini bimbang dengan tindakan sekumpulan remaja yang melempar batu dan mercun ke rumahnya sejak sembilan tahun lalu. Menurut Chan Chee Woon, 42, sepanjang tempoh itu lebih 10 laporan polis dibuatnya ekoran tindakan remaja terbabit yang sering mengganggu keluarganya terutama pada awal pagi. Semuanya bermula apabila kumpulan remaja terbabit berang kerana ditegur oleh abangnya ketika mereka bermain mercun berhampiran rumahnya pada waktu malam dan mengganggu mereka hendak tidur. "Sejak itu, mereka membaling batu ke arah bumbung rumah saya pada awal pagi di antara pukul 1 hingga 3 pagi sebelum bertindak membaling mercun beberapa tahun lalu. "Kehidupan kami sekarang tidak tenteram kerana terganggu dengan tindakan mereka itu serta tidak dapat tidur lena setiap malam," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini. Tambah Chee Woon, tindakan remaja itu juga menyebabkan keadaan kesihatan bapanya yang menghidap sakit jantung bertambah buruk. Selain itu, katanya, abangnya juga menghidap darah tinggi yang serius kerana tidak dapat tidur pada waktu malam ekoran diganggu bunyi bising itu. "Saya juga sering terjaga pada waktu malam dan tidak mendapat rehat yang secukupnya kerana diganggu bunyi mercun itu yang turut merosakkan bumbung rumah saya. "Beberapa kali saya cuba laporkan perkara ini kepada pemimpin masyarakat di kawasan ini, namun tiada sebarang tindakan diambil," ujarnya. Dia juga turut berharap pihak polis mengambil tindakan segera terhadap kumpulan remaja terbabit. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan