Khamis, 8 September 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Di sebalik sepuluh tahun selepas 911

Posted:

Di sebalik sepuluh tahun selepas 911

Di sebalik sepuluh tahun selepas 911

PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia


United Airlines 175 salah satu pesawat yang melanggar satu daripada dua menara Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001. Sejak tarikh itu bermula agenda "Peperangan terhadap Keganasan" Amerika Syarikat. - REUTERS


Minggu ini menyaksikan ulang tahun kesepuluh peristiwa 11 September 2001 (911) yang mencetuskan "Peperangan terhadap Keganasan" rekaan mantan Presiden Amerika Syarikat, Georga W. Bush.

Bahangnya amat dirasai oleh umat Islam sedunia seolah-olah mereka merupakan sasaran utama dalam peperangan tersebut, apa lagi memandangkan sebuah mercu tanda Amerika Syarikat - bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York - diranapkan oleh sekumpulan militan Muslim dari kumpulan al-Qaeda.

Presiden Barack Obama diberitakan akan mengambil kesempatan untuk memperingati semula tragedi tersebut, apa lagi setelah berjaya membunuh ketua al-Qaeda, dan baru-baru ini seorang lagi pemimpin kumpulan tersebut. Memandangkan pilihan raya presiden AS semakin hampir, isu keganasan ini merupakan modal terbaik untuk Obama raih lebih banyak undi buat kali keduanya.

Dalam masa sepuluh tahun sejak 911, banyak yang berlaku atas dasar memerangi keganasan. Banyak pula antaranya yang tidak diduga. Satu antaranya adalah kebangkitan rakyat Arab dan jatuhnya beberapa regim, umpama Tunisia dan Mesir, yang selama ini merupakan sekutu rapat kuasa-kuasa besar dunia; diikuti Libya sejak baru-baru ini.

Satu lagi peristiwa yang amat memeranjatkan adalah keganasan yang berlaku di Oslo, Norway tidak lama dahulu, yang melibatkan seorang militan Kristian berhaluan kanan. Pentingnya peristiwa ini adalah sebagai bukti nyata bahawa keganasan bukan 'hak milik' kumpulan Muslim semata-mata seperti mana yang dimomok-momokkan sejak awal-awal lagi.

Maka ada baiknya jika kewujudan kumpulan militan Kristian ini dikenali secara dekat, sekali gus menafikan bahawa keganasan itu bukan monopoli satu-satu pihak sahaja sebagaimana yang didakwa sejak berlakunya tragedi 911. Memahami senario sejagat ini dapat membantu mencari penyelesaian yang lebih wajar.

Bagi tujuan ini, satu-satu sumber rujukan terkini yang baik adalah buku berjudul The Armies of God - A study of militant Christianity (2010) oleh Iain Buchanan, seorang ahli akademik dan kini penulis bebas. Kajian beliau menyorot balik kepada era Perang Dingin Amerika Syarikat-Soviet Union sehingga pertengahan abad kedua puluh apabila agama dan imperialisme merupakan permainan kuasa-kuasa besar. Terutama selepas Perang Dunia Kedua di mana pola kuasa ekonomi dan politik bertukar, begitu jugalah pola gerakan Kristian yang bergantung kepada struktur kuasa yang wujud terutama di AS dewasa itu.

Sudah tentunya banyak persekongkolan berlaku - sektor korporat, tentera, politik mahupun gereja - untuk mengekal dan mengembangkan lagi pengaruh AS di merata dunia melalui pelbagai cara dan rupa.

Tumpuannya adalah kepada "Jendela 10:40" - yakni bahagian dunia yang berada antara latitud 10 darjah Utara dan 40 darjah Utara, tidak termasuk benua Amerika. Dikatakan 95 peratus penduduk dalam kawasan "Jendela" beragama Islam, Hindu dan Buddha yang mereka anggap dalam "kegelapan" tanpa risalah Kristian, dan oleh itu dijadikan sasaran utama mereka.

Malah petikan dari seorang penyebar risalah Kristian berbunyi: "Dari pusat Jendela 10:40, Islam menjangkau kesemua pelosok dunia, melalui strategi yang sama, kita mesti menembusi 'jantung' Islam melalui kebenaran risalah Kristian yang membebaskan."

Mengikut penulisan Buchanan, selama lebih daripada 30 tahun yang lampau, dasar luar AS bergantung kepada kehadiran penyebar risalah Kristian melibatkan hal-hal pentadbiran, membuat dasar, menaja dan menjalankan aktiviti 'turun padang.' Sungguhpun perkara ini kurang diuar-uarkan dan tersorok daripada tontonan ramai, namun ia penting dan amat berpengaruh dari segi politik, ketenteraan, kebudayaan dan ekonomi.

Ternyata kesannya amat meluas sekali ke atas hubungan antara budaya, agama dan negara serta kebangkitan kuasa dunia sebagai dalang dalam isu-isu sejagat khususnya di negara bukan Kristian seperti Iraq, India, Indonesia dan Thailand. Malaysia tidak terkecuali!

Antara strategi utama yang diamalkan adalah untuk menodai seluruh budaya, masyarakat dan negara berkenaan. Bidang sains sosial, termasuk antropologi, digunakan supaya aspek bangsa, bahasa atau kelas tidak terasa diganggu gugat dalam menyebarkan risalah berkaitan. Oleh itu lebih mudah diterima.

Buchanan mengenal pasti sekurang-kurang tiga buah universiti AS yang menawarkan ijazah khusus untuk mengajak orang Muslim memeluk agama Kristian, berdozen-dozen lagi institusi latihan untuk tujuan yang sama terhadap dunia Islam, disokong oleh berpuluh-puluh agensi yang beroperasi di kalangan orang Islam. Anggaran ratus ribu yang telah dilatih untuk menyebarkan risalah Kristian di negara sasaran di seluruh dunia.

Mereka dibekalkan dengan beberapa cara termasuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai seperti guru, jurutera, doktor, ataupun sebagai pelancong jangka pendek. Ramai juga yang terlatih di kalangan penduduk tempatan, atau sebagai "pekerja pendatang" mahupun pekerja pertubuhan organisasi sukarela yang namanya tersenarai dalam buku penulisan Buchanan itu. Ada yang berpangkalan di negara jiran.

Lebih 600 agensi seumpama ini berasal dari AS menawarkan perkhidmatan di pelbagai negara asing sambil mengutip pelbagai data setempat yang kemudiannya dimasukkan pangkalan data komputer untuk merancang kegiatan mereka. Projek "Pemetaan Spiritual" ini dimulakan pada awal 1990-an dan dikongsikan dengan agensi lain seperti badan perisik AS, CIA.

Selain itu politik diperalatkan juga. Penyebar risalah Kristian terkenal, Billy Graham misalnya, sememang dekat dengan White House sejak Presiden Eisenhower lagi. Dalam pentadbiran Bush, penasihatnya seperti Karl Rove dan Jack Abramoff didakwa terlibat rapat. Begitu juga dengan badan media dan korporat terutama yang berhaluan kanan. Bahkan ramai penceramah korporat dari syarikat Fortune 500 juga terlibat dengan rancangan yang sama.

Walaupun sistem politik Barat secara teorinya berbentuk sekular, kenyataannya tidak begitu disebabkan pengaruh kuat dari jaringan agama Kristian yang mampu menaja dan merancang agenda politik AS. Tujuan asasnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengkristiankan ekonomi, pentadbiran dan kepimpinan dunia bukan Barat secara halus.

Mengikut Buchanan fahaman "Dominionism" adalah antara teologi yang berbentuk ketenteraan dan elitis. Bagi fahaman ini kerja Tuhan perlu disempurnakan melalui satu "transformasi" di semua peringkat.

Seiring dengan usaha ini, terdapat juga apa yang dikenali sebagai "the Pentagon of modern Christianity" atau "God's Air Command" - satu pusat gabungan yang berhasrat memberi perlindungan dan maklumat strategik dalam memerangi lawan dan musuh!

Hasrat ini selari dengan angka lebih dari 40 peratus personel aktif dalam tentera AS yang menyifatkan diri mereka sebagai penyebar risalah Kristian, sedangkan 60 peratus pegawai agama tentera adalah demikian. Oleh itu tidak hairanlah berlakunya pelbagai seksaan dan peristiwa aib terhadap tawanan Iraq seperti mana yang dilaporkan di Penjara Abu Ghraib serta "Camp X-Ray" di Guantanamo Bay kerana "Allah" dianggap kumpulan ini sebagai penghalang terbesar dalam mencapai matlamat yang disasar.

Kata Buchanan dalam satu temu bual tentang bukunya, banyak perkara yang songsang tentang aktiviti penyebar risalah Kristian ini yang tidak ketahui ramai. Semata-mata kerana dikaitkan dengan kemajuan dan tamadun moden dunia Barat, ramai pula yang tidak mensyakinya.

Dan bagi agama Kristian hakikat ini sedang mendapat perhatian dengan lebih jelas lagi sejak kebelakangan ini. Penolakan dan kegagalan "multikulturalisme" atau prinsip hidup berbilang budaya di banyak negara Eropah adalah bukti terkini yang nyata. Bahkan istilah-istilah seperti "Taliban Kristian" sudah mula muncul.

Apa yang mereka berupaya lakukan dan sedang lakukan tidak kurang mampu mengancam keamanan sejagat apabila negara "ditakluki" dengan secara halus lagi seni menggunakan pelbagai teknologi serta strategi seperti yang diringkaskan diatas. Ini dikaitkan secara langsung dengan negara bukan Barat dan bukan Kristian yang berada di "Jendela 10:40" khasnya.

Apa yang masih samar sebelum ini yakni tentang keterlibatan agama Kristian dengan dunia politik Barat yang kini semakin jelas, bahawa kedua-duanya tidak terpisah sama sekali, malah saling mempengaruhi.

Peperangan ini akan berlarutan seandainya kajian teliti yang dipersembahkan oleh Buchanan dalam bukunya terus terabai seolah-olah hanya militan bukan Barat dan bukan Kristian sahaja yang wajar dipatahkan. Insaflah!

Menguruskan seloka Mat Sabu

Posted:

Menguruskan seloka Mat Sabu

Menguruskan seloka Mat Sabu

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

KALAU tidak dilayan kenyataan Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang mengherokan pengganas komunis, tentulah akan timbul dilema dalam hati.

Sebabnya, Mat Sabu bukannya orang bawah dalam sebuah parti politik. Dia Timbalan Presiden Pas - orang nombor dua selepas Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. (Meskipun ranking Pas meletakkannya orang nombor tiga parti yang dikepalai Mursyidul Amnya, Datuk Abdul Aziz Nik Mat yang mengetuai Majlis Syura parti itu).

Tetapi itulah gelagat yang ditunjukkan oleh Pas. Apabila ada segelintir pemimpin kanannya 'tersasar', masing-masing semuanya 'bersatu' mempertahankan apa sahaja ungkapan yang dikeluarkan individu terbabit.

Tidak kiralah sama ada ungkapan yang dikeluarkan amat mengguris hati dan perasaan orang Melayu yang dalam konteks ini tentunya anak-anak dan sanak saudara mangsa pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Dan kalau dilayan berjela-jela kenyataan menghina daripada Mat Sabu ini yang memperlecehkan pengorbanan anggota polis yang mempertahankan balai polis Bukit Kepong, mungkin akan didakwa pula sesetengah pihak ia 'mempopularkan' si Mat Sabu ini. Dakwaan itu logik barangkali.

Tetapi dari sudut yang lain, kita tidak nampak sebenarnya apa sumbangan Mat Sabu. Nak dikira nama besar dalam politik tanah air, tidak pula ternampak kesannya. Sekelumit pun jauh sekali. Cuma tempoh hari dia menang pemilihan pucuk pimpinan Pas, yang disebut-sebut ramai 'keputusan luar jangkaan', maka sejak itu namanya muncul kembali. Dan kini menjadi 'besar kepala' dengan kenyataan komunisnya.

Bagi penganalisis politik, Dr. Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), pembangkang di Malaysia hidup atas isu. Kalau tidak ada isu, pembangkang akan dilihat sebagai parti yang mati. Inilah, kata Jeniri, strategi komunikasi yang dipilih oleh pembangkang dan ia kian bersemarak sejak 2005.

"Inilah pendekatan yang digunakan oleh Mat Sabu. Isu popular dan sensasi dipilihnya (mendewa-dewakan komunis)... wujudkan kontroversi walaupun ia tidak logik dan melanggar arus perdana," kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Barangkali boleh dipertimbangkan komen Dr. Jeniri ini jika dilihat lagi kontroversi baru yang 'cuba dicetuskan' Mat Sabu dalam forum membincangkan perjuangan Mat Indera di Kuala Lumpur kelmarin. Timbalan Presiden Pas ini yang memang terserlah gelagat lawaknya menimbulkan pula persoalan sama ada benar bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng seorang pengganas.

Lebih dari itu pula, kata Mat Sabu, jika diadakan referendum atau pungutan suara sejurus selepas merdeka, Tunku Abdul Rahman tidak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama sebaliknya orang lain.

Dan 'pandai' pula Mat Sabu ini dengan keletah ungkapan ringkasnya dalam forum itu: "Saya tak mahu jawab. Kalau silap, mampus aku esok. Lu fikirlah sendiri," sambil disambut tepukan dan ketawa hadirin.

Bercakap mengenai sifat individu yang mirip Mat Sabu, Dr. Jeniri menyifatkan ada individu sepertinya umpama dalam 'jiwa kacau'. Dan Mat Sabu termasuk kalangan ahli politik yang hidup dengan 'memperkudakan isu'.

"Kalau tidak, dia tidak akan dikenali. Jadi, lagi lama isu itu dalam arus perdana lagi seronoklah, kian bergeleteklah dia asalkan matlamat menghalalkan cara," kata beliau.

Dr. Jeniri menarik perhatian mengenai keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008 yang mungkin dicetuskan oleh 'ungkapan-ungkapan isu separuh benar, beretorik seterusnya memperdayakan rakyat' sehingga membawa keputusan memihak pakatan pembangkang di beberapa negeri.

Apalagi dengan sikap segelintir orang yang memang gemar mendengar cerita kontroversi.

Keupayaan teknik retorik yang efektif dengan bahasa yang hebat boleh menyebabkan rakyat terperangkap.

Justeru amat penting bagi kerajaan yang telah menerima mandat rakyat yang sah untuk mengemukakan wacana-wacana tandingan (melawan balik ungkapan lawak Mat Sabu) dengan bersandarkan kepada fakta dan hakikat.

"Dan bukannya bersandarkan kepada imaginasi atau fakta separuh benar yang bertujuan untuk berpolitik dan merugikan bangsa, agama dan negara," kata beliau.

Dalam hal ini, Dr. Jeniri mempersoalkan pembangkang: "Ke mana hala tuju pembangkang di negara ini. Adakah nak membina masyarakat atau cuba menghancurkan apa yang sudah ada dan tidak peduli lagi dah dengan nawaitu dan politik pemikiran kotor."

Mengakui ungkapan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mat Sabu yang memilih pengganas komunis jadi hero membuatkannya menggeleng-gelengkan kepala, Dr. Jeniri menarik perhatian bahawa sebuah kerajaan mungkin boleh tumbang jika wujud persepsi atau tanggapan atas 'lawak yang mungkin ditanggap benar' seperti mana dicetuskan Mat Sabu.

"Memang agak bahaya jika tidak ada tangkisan fakta daripada ahli sejarawan, mungkin kita perlukan debat intelektual antara Mat Sabu dan ahli sejarawan dan bukannya antara orang politik dengan lawannya daripada parti lain.

"Sebab itu isu ini tidak akan selesai jika Mat Sabu berdebat dengan Ketua Pemuda UMNO Pusat, Khairy Jamaluddin. Mat Sabu patut ajak ahli sejarawan berdebat dengannya tentang sumbangan Mat Indera dan bukannya mempelawa (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin (Yassin)," katanya.

Dr. Jeniri seterusnya meminta Mat Sabu membaca semula sejarah tragedi Bukit Kepong atau setidak-tidaknya meminta anaknya memperdengarkannya di telinga. Memetik sebahagian sejarah pertempuran itu, kata Dr. Jeniri:

"Dalam detik terakhir pertempuran hebat disertai gerombolan 180 pengganas di balai polis yang diperbuat dari kayu di tebing Sungai Muar itu, komunis membakar berek kelamin dan balai polis. Dua wanita dan anak-anak polis terbakar hangus dalam berek kelamin.

Pada ketika itu hanya tiga orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka.

Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu. Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong di sebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.

"Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur ke dalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian.

"Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan Abu Bakar, anak kepada Konstebal Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup ke dalam api. Seramai 14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (adalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang."

Dan ungkapan kontroversi terbaru yang diuar-uarkan Mat Sabu dalam forum di Kuala Lumpur kelmarin barangkali sudah dijawab oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa satu program wacana pemikiran di Ayer Keroh, Melaka Rabu lalu.

"Biar dia (Mat Sabu) cakap banyak, baru kita tahu lubuk hati dia yang sebenar. Kalau dia tidak cakap, kita tak tahu siapa di belakang dia. Sekarang ini kita tahu, mereka sebenarnya adalah penyokong komunis dan pengganas.

"Sebab itu, saya ingat tak perlulah tangkap dia (Mat Sabu ini), beri dia cakap banyak-banyak supaya kita akan tahu jenis orang di belakangnya. Ini rakyat harus tahu kerana kalau tidak, mereka terus tertipu sepanjang masa," kata Dr. Mahathir.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved