Khamis, 8 September 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Lelaki bebas tuduhan bunuh jiran

Posted:

Lelaki bebas tuduhan bunuh jiran

Lelaki bebas tuduhan bunuh jiran

KOTA BHARU 8 Sept. - Seorang tukang rumah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan menyebabkan kematian jiran sekampungnya ketika berbalah bagi berebut seekor kerbau, dua tahun lalu.

Hakim Zainal L. Saleh memutuskan demikian terhadap Ismail Jusoh, 59, setelah mendapati tertuduh hanya mempertahankan diri dan tindakannya itu tidak melampaui hak yang ditetapkan oleh undang-undang.

''Setelah meneliti keterangan kedua-dua pihak, saya dapati tindakan tertuduh terjumlah kepada mempertahankan diri. Didapati mangsa bersama dua yang lain iaitu anak dan menantu mangsa yang telah pergi kepada tertuduh.

''Tertuduh dipegang oleh salah seorang daripada mereka. Mangsa juga didapati bertindak lebih agresif berbanding tertuduh dan walaupun cedera, mangsa menerkam tertuduh sehingga keempat-empat mereka terjatuh,'' katanya.

Ismail didakwa menyebabkan kematian Mohamed Jusoh, 73, di padang ragut Kampung Belimbing, Tanah Merah, dekat sini pada pukul 9 pagi, 19 Oktober 2009.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusof manakala Ismail diwakili peguam Rosmizan Sulaiman.

Sebaik sahaja mahkamah mengumumkan keputusan berkenaan, Ismail dilihat tergamam sebelum keluar dari kandang tertuduh lalu dipeluk oleh ahli keluarga dan saudara-maranya dengan linangan air mata.

Bapa kepada lapan orang anak itu kemudian dilihat menadah tangan tanda kesyukuran di tepi kandang tertuduh.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Ismail memberitahu, dia bersyukur dengan keputusan mahkamah dan menyedari dia bertindak demikian demi mempertahankan diri.

''Kes ini berlaku apabila mangsa mendakwa kerbau saya ialah kerbau dia. Dalam perbalahan itu saya mendapat tiga jahitan di kepala,'' kata Ismail.

2 warga Bangladesh didakwa masuk secara haram

Posted:

2 warga Bangladesh didakwa masuk secara haram

2 warga Bangladesh didakwa masuk secara haram


Monzurul yang direman berhubung kes bunuh dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, semalam atas tuduhan tidak memiliki dokumen sah memasuki Malaysia.


KUALA LUMPUR 8 Sept. - Dua lelaki warga Bangladesh yang direman berhubung kes bunuh wanita Indonesia dan anak lelakinya di Taman Kosas, bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini, hari ini atas tuduhan tidak memiliki dokumen sah untuk memasuki Malaysia.

Majed Rana, 22, dan Monzurul, 23, didakwa melakukan perbuatan tersebut di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dekat sini pada pukul 10.30 pagi, 29 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya dan sebatan tidak lebih enam kali.

Tiada pengakuan direkodkan oleh Majistret Aida Mastura Mohamed Aman kerana kedua-dua tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu.

Beliau kemudian menetapkan 18 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Bangladesh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nazatul Shima Ab. Wahab, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Pada 26 Ogos lalu, tiga lelaki daripada 11 warga asing yang ditahan reman, dihadapkan ke Mahkamah Majistret yang sama berhubung kes bunuh dan melupuskan mayat wanita tersebut dan anak lelakinya itu.

Dalam kes tersebut, Abd. Razak Tofazzal Hossain, 29, didakwa membunuh Siti Sando, 35, di No. 40, Tingkat 5, Blok Chrysaa, Pangsapuri Astaria, Taman Kosas di sini antara pukul 11 pagi hingga 5 petang, 29 Julai lalu.

Abd. Razak turut didakwa bersama-sama Mmd. Ripon Mandal, 26, atas tuduhan membunuh anak Siti yang hanya dikenali sebagai Mohd. Shukri, berusia dua tahun pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Seorang tertuduh lain, Mosharof Hossain, 23, menghadapi dua pertuduhan iaitu didakwa melupuskan mayat kedua-dua beranak tersebut antara pukul 11.20 pagi, 29 Julai lalu hingga pukul 11 pagi, 3 Ogos lalu di tempat yang sama.

Ketiga-tiga warga Bangladesh tersebut bagaimanapun tidak memahami pertuduhan masing-masing yang dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Melayu.

Berikutan itu, Majistret Wan Karimah Wan Md. Abd. Ghani menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Bangladesh.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved