Utusan Online - Sukan |
Posted: Rexy tak turun pangkatOleh Norzie Mohd. Khasbi Rexy Mainaky tersenyum ke arah wartawan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan BAM di Stadium Juara, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ASWAD YAHYA KUALA LUMPUR – Rexy Mainaky bukan saja tidak lagi membimbing beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Beong, malah ditukarkan melatih beregu wanita dan campuran. Keputusan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu semalam mungkin mengejutkan banyak pihak, apatah lagi Tan Kim Her daripada jurulatih pelapis dinaikkan ketua jurulatih beregu lelaki. Namun Rexy menerima arahan baru itu dengan positif. Jurulatih kelahiran Indonesia itu keluar dari bilik mesyuarat dengan wajah ceria, sambil berkata kepada wartawan yang menunggu lebih tiga jam: "Saya akan terus tidur di Malaysia. Anda boleh lihat wajah saya, anda tahu saya gembira." Bekas juara Olimpik dan Dunia itu akur dengan tugas barunya selepas seminggu sugul ekoran pengakuan beregu kesayangannya, Kien Keat-Boon Heong yang meminta bertukar jurulatih tidak lama selepas Kejohanan Dunia bulan lalu. Biarpun pada awalnya terkilan kerana dipersalahkan atas kegagalan Kien Keat-Boon Heong di London dan kehilangan beregu yang dibimbingnya sejak 2006, Rexy segera melupakan kekecewaan sambil mengakui, struktur kejurulatihan baru yang diperkenalkan CTC mungkin pelan terbaik dalam membantu misi mencari emas Olimpik. Mengikut struktur baru tersebut, skuad elit dan pelapis digabungkan di bawah satu bumbung. Rashid Sidek mengetuai perseorangan lelaki, Kim Her beregu lelaki, Rexy beregu wanita serta campuran, manakala Chi Shanrong ketua jurulatih perseorangan wanita. Ujar Rexy, perubahan ini mampu memberi sokongan maksimum kepada pemain yang disasarkan, terutama beregu lelaki, yang bakal menyaksikan Kien Keat-Boon Heong bakal menerima bantuan (sparring) daripada tujuh beregu lain dalam usaha memenuhi misi emas Olimpik. Begitupun ketika ditanya, apakah beliau kesal kerana perubahan yang disifatkan positif itu hanya dibuat selepas beliau tidak lagi memimpin beregu lelaki. "Kita harus pandang ke depan dan mengutamakan kepentingan negara daripada mencipta isu baru. Saya tumpang gembira kalau perubahan ini dapat membantu Kien Keat dan Boon Heong biarpun saya bukan jurulatih mereka lagi. "Saya sendiri ada tanggungjawab baru memastikan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui layak diri ke Sukan Olimpik. Selain itu membantu dua pasangan muda, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Ong Jian Guo-Sabrina Chong layak dalam beregu campuran. Saya perlu fokus kepada apa yang sepatutnya," katanya. Bagi Kien Keat-Boon Heong, biarpun Kim Her bakal mengetuai beregu lelaki, mereka sudah pasti akan mendapat apa yang dihajati, beraksi di bawah Pang Cheh Chang kerana jurulatih itu turut diserapkan di bawah Kim Her. Turut membantu skuad beregu lelaki adalah pembantu Rexy ketika ini, Rosman Razak. Rexy akan mengendalikan empat beregu wanita dan tiga beregu campuran dengan bantuan Jeremy Gan dan Chong Kien Ling. Rashid pula mengendalikan 12 perseorangan lelaki, diketuai jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dengan dibantu Tey Seu Bock, Hendrawan serta Mohd. Hazwan. Setiausaha Agung BAM yang juga pengerusi CTC, Ng Chin Chai ketika menjelaskan rasional perubahan drastik ini berkata, keutamaan badan kebangsaan itu adalah mencari emas Olimpik 2012. Justeru mereka merangka program yang akan memberi sokongan maksimum kepada pemain yang disasarkan. "Dengan menggabungkan pemain dari skuad elit dan pelapis, Lee Chong Wei akan mendapat 11 rakan sparring. "Ini membantunya untuk mencari kejayaan di London, manakala bagi pemain-pemain muda pula, peluang berlatih dengan jaguh dunia itu akan membantu menaikkan permainan mereka," katanya. |
Safee ikrar cuba yang terbaik di Cardiff Posted: Safee ikrar cuba yang terbaik di CardiffOleh FERZALFIE FAUZI KUALA LUMPUR – Penyerang bola sepak kebangsaan, Safee Sali (gambar) tidak meletakkan harapan yang tinggi pada sesi ujian bersama kelab Cardiff City, namun berikrar untuk mencuba yang terbaik. Menurutnya, antara cabaran besar apabila menyertai sesi ujian dua minggu di Cardiff mulai Isnin ini ialah faktor cuaca. Namun, katanya sebagai pemain profesional dia harus cepat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan supaya dapat menjalani ujian dan latihan dengan selesa. "Saya menyandarkan kelebihan sebagai penyerang yang mampu menjaringkan gol untuk memikat panel pemilih di Cardiff nanti. "Saya teruja kerana akhirnya ditawarkan secara rasmi untuk menjalani sesi ujian di kelab yang beraksi dalam divisyen dua England," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Jakarta, semalam. Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan