Utusan Online - Kota |
- Lif rosak tiga kali seminggu
- Seni bina Uzbekistan hiasi KL
- Konsert Sweet Charity, Blues Gang 1 Oktober
Posted: Lif rosak tiga kali semingguOleh ROSLAH OTHMAN Lif di apartmen blok B Menara Jade di Bukit Indah, Ampang sering mengalami kerosakan, terutama ketika hujan. – Utusan/Noor Asrekuzairey Salim AMPANG 8 Sept. – Isu kerosakan lif di perumahan bertingkat khususnya perumahan kos rendah di ibu negara sudah dianggap sebagai perkara biasa tetapi jika ia berulang lebih daripada tiga kali dalam tempoh seminggu pastinya menimbulkan tanda tanya, selain sudah tentu sangat menyusahkan penduduk. Lebih menyakitkan, aduan sudah dikemukakan beberapa kali kepada pihak bertanggungjawab tetapi sehingga kini masih tiada langkah penyelesaian berkesan ditemui. Keadaan sama turut dialami oleh kira-kira 1,000 penghuni apartmen blok B Menara Jade, Bukit Indah di sini. Penghuni mendakwa masalah kerosakan lif di situ kini pada tahap serius apabila pihak yang dipertanggungjawab untuk menyelia kemudahan di situ sehingga kini masih gagal menyelesaikan masalah tersebut. Penduduk turut mempersoalkan kewibawaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dalam menangani isu berkenaan. Penduduk mendakwa masalah kerosakan lif yang berulang kali berlaku dipercayai akibat sikap pengurusan bangunan yang tidak membaik pulih lif dengan sempurna. Mereka turut mendakwa usaha pihak bertanggungjawab sebelum ini ibarat melepaskan batuk di tangga. Setiap kali aduan dikemukakan, alasan sama diberikan iaitu sama ada masih dalam siasatan atau menunggu laporan lengkap daripada pihak penyenggaraan lif. Tinjauan Utusan Malaysia ke situ baru-baru ini mendapati apartmen 13 tingkat itu mempunyai dua blok iaitu blok A dan B berada dalam keadaan baik. Terdapat dua unit lif bagi setiap blok. Bagaimanapun, mungkin benar seperti didakwa penghuni di situ keadaan itu sukar dijangkakan dan itulah yang sebenarnya lebih membimbangkan para penghuni. Salah seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Raj, 47, mengakui lif di situ hanya berada dalam keadaan baik cuma buat seketika. Selebihnya ia boleh terhenti di tingkat tertentu sahaja, turun secara tiba-tiba dan pintu lif tidak boleh dibuka atau ditutup. "Setiap kali cuaca hujan ia petanda kerosakan lif akan berlaku dan ia sudah pasti memberi tekanan jiwa kepada kami," ujarnya. Seorang penghuni lain yang juga enggan dikenali mengakui masalah penghuni yang tersangkut di dalam lif sudah banyak kali berlaku dan diutarakan kepada pihak pengurusan tetapi tiada tindakan menyeluruh diambil bagi menangani masalah itu. Katanya, disebabkan takut tersangkut dalam lif ada penghuni yang memilih untuk turun atau naik menggunakan tangga. "Sekiranya kerosakan berlaku pada kedua-dua lif melibatkan mana-mana blok, pihak pengurusan bangunan hanya akan mengalihkan salah satu 'papan induk' lif blok lain ke blok berkenaan. "Apabila hanya ada satu lif sahaja berfungsi ia sudah pasti mendatangkan kesulitan kepada penghuni terutama kanak-kanak dan warga emas," ujarnya. Lelaki berusia awal 30-an itu menambah, walaupun sehingga kini tidak pernah ada kejadian kemalangan buruk berlaku, kecuali ada yang terperangkap dalam lif selama kira-kira satu jam, perkara itu harus diselesaikan segera. "Pihak bertanggungjawab perlu melihat isu ini dengan lebih serius demi keselamatan dan keselesaan kami," ujarnya. |
Posted: Seni bina Uzbekistan hiasi KLOleh NUR NAZLINA NADZARI Ahmad Fuad Ismail (dua dari kiri), Bokhodir Akhmedov (tiga dari kiri) dan Shukur Sabitov melihat barangan yang dipamerkan pada Kul-Uzbek Cultural Show Art and Handicraft Exhibition di Auditarium DBKL, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/Mohd. Azim Abd. Rahman KUALA LUMPUR 8 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang mewujudkan satu kawasan yang mempunyai ciri-ciri seni bina daripada Uzbekistan bagi menambahkan keceriaan di ibu negara. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, pihaknya sedang mencari lokasi yang sesuai bagi membina seni bina tersebut yang cantik dan menarik. Katanya, beliau berharap seni bina itu dapat juga diaplikasikan di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) supaya seni bina Uzbekistan ini dapat dilihat di sekitar tepi sungai. "Cara ini mungkin dapat memberi peluang kepada orang ramai yang masih tidak berpeluang lagi untuk melawat negara itu untuk merasai keindahan seni bina bangunan di sana. "Ia juga bagi dapat menunjukkan seni bina Uzbekistan yang mempunyai ciri-ciri seni bina Islam. Sama seperti kawasan Petaling Street yang menunjukkan ciri-ciri masyarakat Cina," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Kul-Uzbek Cultural Show Art and Handicraft Exhibition di perkarangan auditorium DBKL, Jalan Raja Laut di sini, hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kebudayaan dan Sukan Uzbekistan, Bokhodir Akhmedov dan Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr. Shukur Sabitov. Ahmad Fuad berkata, pameran yang bermula hari ini sehingga 10 September itu diadakan oleh Kedutaan Uzbekistan bersempena sambutan kemerdekaan negara tersebut yang ke-20 pada 1 September lalu. "Sebanyak 10 orang yang terdiri daripada pemuzik, tukang kraftangan dan pelukis dari Uzbekistan telah datang ke Malaysia bagi menjayakan pameran ini," ujarnya. |
Konsert Sweet Charity, Blues Gang 1 Oktober Posted: Konsert Sweet Charity, Blues Gang 1 OktoberKUMPULAN Sweet Charity dan Blues Gang pada sidang akhbar Konsert 2 Raksasa 2011 Charity di Kuala Lumpur kelmarin. KUALA LUMPUR 8 Sept. - Konsert 2 Raksasa 2011 yang menggabungkan dua kumpulan legenda tanah air, Sweet Charity dan Blues Gang, akan diadakan pada 1 Oktober ini di Stadium Merdeka, di sini. Penerbit Eksekutif konsert berkenaan, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya berharap konsert itu akan berjalan lancar dan mendapat sambutan daripada peminat-peminat setia kumpulan berkenaan. "Walaupun konsert ini telah tertunda pada 9 Julai lalu, namun saya tetap yakin konsert ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan. "Sehingga kini, sebanyak 50 peratus tiket telah dijual dan saya yakin sekurang-kurangnya 25,000 peminat Sweet Charity dan Blues Gang akan hadir menyaksikan konsert berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam. Selain itu, Shirazdeen menambah, bagi peminat yang telah membeli tiket sebelum ini, ia boleh digunakan untuk konsert tersebut. Tiket konsert berkenaan berharga RM73 boleh dibeli di laman web www.airasiaredtix.com, kedai muzik Rock Corner, Victoria Music, kaunter-kaunter terpilih Konsortium Transnasional Berhad atau menghubungi talian 03-8775466. Sebelum ini, konsert yang sepatutnya berlangsung pada 9 Julai lalu itu terpaksa ditunda bagi mengelak bertembung dengan perhimpunan haram Bersih yang berlangsung pada tarikh yang sama dengan penganjuran konsert berkenaan. Konsert 2 Raksasa 2011 merupakan sebuah konsert yang menggabungkan Sweet Charity dan Blues Gang buat kali kedua selepas konsert pertama mereka pada 1984 yang juga diadakan di Stadium Merdeka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan