Selasa, 6 September 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


UMNO Tumpat rai anak yatim

Posted:

UMNO Tumpat rai anak yatim

UMNO Tumpat rai anak yatim

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my


NOOR Zahidi Omar (duduk tengah) dan R. Naidu (duduk kiri) bersama Rosidi Mahmud Kamaruddin (duduk kanan) dan Nik Fatimah Nik Salleh (berdiri kanan) menyarungkan pakaian hari raya kepada anak-anak yatim di Pasar Raya Mydin Kubang Kerian, Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 5 Sept. _ Sepasang pakaian baharu mungkin biasa diterima oleh kanak-kanak yang datang daripada keluarga berada, namun seorang anak yatim miskin, ia dianggap begitu bermakna apatah lagi mahu digayakan di pagi Syawal yang mulia.

Bagi golongan yang kurang berkemampuan itu, fesyen dan warna bukan keutamaan kerana apa yang lebih penting, seperti rakan sebaya lain mereka juga berpeluang menyarung sepasang pakaian serba baharu.

Berkongsi rasa dan kegembiraan dengan anak-anak yang masih terlalu mentah mengenali erti kesusahan orang tua, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Tumpat mengambil inisiatif mengumpul tabung untuk menjayakan Program Sinar Kasih Aidilfitri - Jom Shopping Pakaian Raya di pasar raya Mydin Kubang Kerian di sini, baru-baru ini.

Program itu disertai oleh 320 anak-anak yatim dan miskin daripada 53 kampung di Jajahan Tumpat yang diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Noor Zahidi Omar.

Turut serta ialah Ketua Pemuda, Rosidi Mahmud Kamaruddin; Ketua Puteri, Nik Fatimah Nik Salleh dan ketibaan rombongan tersebut disambut oleh Pengurus Cawangan Mydin Kubang Kerian, R. Naidu.

Mereka dibawa secara berkonvoi dengan menaiki 26 kenderaan, termasuk enam bas dari Tumpat dan tiba di pasar raya tersebut lebih kurang pukul 9 pagi dengan diiringi beberapa anggota polis trafik.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak tersebut yang setiap seorang mendapat sepasang baju Melayu atau kurung dilengkapi songkok, samping dan tudung serta sepasang kasut.

Menurut Noor Zahidi, program tersebut bertujuan berkongsi keceriaan dengan anak-anak daripada golongan kurang bernasib baik melalui sumbangan yang diperuntukkan oleh UMNO bahagian.

"Anak-anak yang dibawa membeli-belah itu datang dari seluruh pelosok kampung di Tumpat yang dikenal pasti oleh pemimpin-pemimpin masyarakat di sana.

"UMNO Tumpat mahu kegembiraan Aidilfitri turut dirasai oleh anak-anak kerana memang lumrah, golongan inilah yang patut diraikan.

"Mereka terdiri daripada 160 kanak-kanak lelaki dan 160 kanak-kanak perempuan yang setiap seorang mendapat nilai belanja pakaian dan kasut raya bernilai RM100," ujarnya.

Tambahnya, RM32,000 dibelanjakan untuk menjayakan program tersebut.

Program itu turut dibantu oleh 30 kakitangan dan jururawat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang menjadi 'ibu angkat' kepada anak-anak tersebut untuk memilih saiz dan warna baju serta kasut mengikut cita rasa masing-masing.

Selain itu, 60 kakitangan Mydin daripada bahagian pentadbiran turut membantu anak-anak tersebut membeli-belah.

Sementara itu, Nik Fatimah berkata, program tersebut merupakan kesinambungan daripada program pada tahun lalu, bezanya kali ini sayap parti itu membawa kumpulan kanak-kanak dalam skala lebih besar.

"Program membeli-belah bersama anak-anak yatim dan miskin ini bermula sejak tahun lalu, tetapi hanya melibatkan 30 orang. Tahun ini melalui peruntukan yang disalurkan daripada UMNO pusat, lebih ramai anak yatim berjaya dibantu.

"Puteri terpanggil untuk meneruskan program ini untuk memberi keceriaan kepada mereka yang ada di antaranya telah kehilangan orang tua dan tinggal bersama waris yang juga hidup dalam kancah kemiskinan," katanya.

Sementara itu, salah seorang anak yatim yang ditemui, Mohd. Syazwan Mohamad, 11, dari Kelaboran melahirkan syukur dan rasa gembira kerana terpilih menyertai program membeli-belah itu.

"Kebetulan nenek yang menjaga kami tujuh beradik pun belum membuat apa-apa persediaan menyambut hari raya, jadi pakaian dan kasut baru yang disumbangkan oleh UMNO hari ini akan saya pakai di pagi Syawal nanti," ujarnya yang telah kehilangan ibu bapa sejak kecil lagi.

Bagi Wan Nur Shaliza Wan Zadri, 11, dari Kampung Rhu Dalam pula berasa bertuah diberi peluang membeli belah di pasar raya Mydin dan memilih sendiri fesyen dan warna kegemarannya.

"Ayah telah meninggal dunia semasa saya berusia 8 tahun dan sejak itu, hari raya disambut ala kadar sahaja tetapi hari ini saya gembira kerana mendapat pakaian dan kasut baharu untuk dipakai ke rumah kawan-kawan di hari raya nanti," ujar anak bongsu daripada empat adik beradik itu.

Kerajaan Pusat sedia membantu

Posted:

Kerajaan Pusat sedia membantu

Kerajaan Pusat sedia membantu

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


AWANG Adek Hussin menyampaikan sumbangan pada majlis pengagihan dividen di Kampung Gunung, Bachok, baru-baru ini.


BACHOK 5 Sept. – Kerajaan Pusat akan terus membela nasib 43,376 petani dan nelayan miskin yang berpendapatan tidak melebihi RM1,000 sebulan di negeri ini, supaya mampu mengubah kehidupan keluarga masing-masing.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, berdasarkan perangkaan menunjukkan, jajahan paling ramai rakyat termiskin ialah Tumpat diikuti Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok.

"Jumlah yang melebihi 43,000 orang itu berdasarkan bancian terkini yang membuktikan Kelantan adalah negeri paling miskin di negara ini.

"Ia perlu diubah menerusi pelbagai pendekatan dan bimbingan kepada kumpulan sasaran bukan sekadar memberi bantuan supaya mereka mampu berdikari," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembahagian dividen kepada anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gunung di sini.

Seramai 70 petani yang menyertai projek ternakan cendawan secara bersepadu anjuran PPK Gunung memperolehi dividen kedua masing-masing RM200.

Turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Ibrahim Mat.

Awang yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, pelbagai agensi pertanian yang digerakkan oleh Kerajaan Pusat seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan KADA telah diberi tanggungjawab membantu meningkatkan taraf hidup kumpulan sasaran itu.

Menurutnya, Kerajaan Pusat telah banyak menyalurkan peruntukan kepada kedua-dua agensi tersebut untuk melaksanakan pelbagai projek pertanian seperti menternak lembu dan ayam kampung dengan kos RM10,000 setiap peserta.

Agensi lain, katanya, seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga turut membiayai elaun sara hidup RM200 sebulan kepada setiap nelayan yang tinggal di Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Puteh selain memberi bantuan peralatan menangkap ikan, bot dan pukat.

"Kemiskinan yang wujud di negeri ini sebenarnya berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat walaupun diberi peluang memerintah 21 tahun.

"Tiada apa-apa yang dilakukan bagi merubah kehidupan rakyat sebagai suatu evolusi ekonomi di Kelantan, kecuali memberi projek kecil yang hanya terbatas dalam kalangan penyokong Pas sahaja," katanya.

1,500 ahli keluarga keturunan Tok Bilal Ali berkumpul

Posted:

1,500 ahli keluarga keturunan Tok Bilal Ali berkumpul

1,500 ahli keluarga keturunan Tok Bilal Ali berkumpul


SEBAHAGIAN ahli keluarga Tok Bilal Ali berkumpul pada satu majlis di Dewan Sivik Kampung Gong Terap Chalok, kelmarin.


KUALA TERENGGANU 5 Sept. - Sambutan Aidilfitri merupakan masa yang paling sesuai untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim sesama sanak-saudara.

Peluang itu turut diambil oleh waris Tok Ki Tok Min Ali atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Bilal Ali dalam kalangan sanak-saudara mereka untuk menganjurkan satu perjumpaan keluarga melibatkan generasi ketiga hingga keenam keturunan keluarga itu.

Seramai 1,500 ahli keluarga Tok Bilal Ali berkumpul dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Sivik Kampung Gong Terap Chalok, Setiu, kelmarin.

Tok Bilal Ali dikatakan hidup sekitar 1900-an dan dipercayai terlibat dalam mengasaskan Kampung Bukit Chalok, Setiu yang berkembang menjadi Kampung Penarik ketika itu.

Keturunan Tok Bilal Ali diteruskan oleh Mat Amin atau Tok Bilal Mat Amin yang akhirnya meninggal dunia pada 1991 ketika berusia lingkungan 80-an.

Menurut pengarah program itu, Nazri Yusoff, perjumpaan keluarga berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada generasi baru Tok Bilal Ali tentang susur galur keturunan keluarga agar jati diri dapat diterapkan di dalam jiwa mereka.

Katanya, cetusan idea untuk mengadakan program tersebut wujud sejak beberapa tahun lalu setelah mendapat sambutan positif daripada ahli keluarga.

" Saya tidak sangka acara ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ahli keluarga dan amat gembira kerana ramai ahli keluarga Tok Bilal Ali berkumpul di sini hari ini.

"Justeru kita akan mengadakan program ini setiap tahun kerana pastinya akan ada ahli keluarga baru yang bertambah tahun depan," jelasnya.

Pada majlis berkenaan, ia turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ashaari Idris; Ahli Parlimen Setiu, Mohd. Jidin Syafie serta ahli keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri Permaisuri, Abdul Halim Jusoh yang juga ada kaitan dengan susur galur keturunan Tok Bilal Ali.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved